Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Monday, January 21, 2008

Ucapan Presiden Peguam Syarie Malaysia semasa Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan pada 17 Januari 2008

Ucapan Presiden semasa majlis pentauliahan peguam-peguam Syarie Wilayah Persekutuan


Terima kasih Pengerusi Majlis,
YAA Datuk Ibrahim bin Lembut, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM
YAA Tuan Hj Hussin Ahamad Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan
Yang Arif Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah MSWPKL
Y Bijaksana Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan
Ketua Pendaftar, Pegawai Sulh dan Pegawai-pegawai MSWPKL
Pimpinan PGSM dan ahli-ahli PGSM
Ahli Jawatankuasa Penganjur Program
Dan Yang Diraikan Semua Peguam Syarie yang akan menerima sijil pentauliahan pada hari ini.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, Selawat dan salam ke hadrat Rasulullah saw. Selaku Presiden PGSM, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnianya sehingga Majlis Pentauliahan ini berjaya dilaksanakan pada hari ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak YAA dan juga seluruh Pegawai MSWPKL yang telah memberi ruang kepada PGSM untuk bersama-sama meraikan majlis ini. Saya berasa sangat gembira melihat jumlah Peguam Syarie yang agak ramai yang akan mendapat pentauliahan pada hari ini. Ia sekali gus menunjukkan kesungguhan dan minat mendalam di kalangan Peguam Syarie yang baru untuk bersama-sama memartabatkan perjuangan Syariah di negara kita.

Pada hari ini, kita meraikan hari yang bermakna bagi Peguam Syarie yang baru, kerana mereka telah berjaya melepasi ujian dan temu duga sehingga berjaya ditauliahkan sebagai Peguam Syarie di Wilayah Persekutuan. PGSM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan anda semua dan selamat datang ke alam guaman syarie.

Secara umumnya, profesyen guaman sebenarnya berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri. Seseorang peguam hendaklah membina dan mempunyai kualiti tertentu yang sangat penting dalam profesion ini. Antara sikap penting tersebut adalah integriti, sabar, suka mencari ilmu dan meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan. Ia bukan semata-mata melibatkan wang sebagai ganjaran yang menjadi matlamat tetapi peluang untuk berkhidmat dan membantu pihak yang teraniaya adalah menjadi keutamaan.

Pada hari ini, akhbar sering melaporkan isu-isu mahkamah sama ada mahkamah syariah atau mahkamah sivil. Secara tidak langsung ia turut melibatkan peguam yang beramal. Kerana itu, para peguam sama ada sedar atau tidak akan turut menjadi tumpuan dan menjadi tempat rujukan masyarakat. Justeru itu, Peguam-peguam perlu mengambil kira beberapa kualiti yang perlu disemai agar ia subur dalam diri kita.

Pertama, seseorang peguam mesti mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasannya. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti yang memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap klien, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nila-nilai profesional tinggi seorang peguam. Seseorang peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada klien, peguam yang lain dan juga kepada pihak Mahkamah dalam menegakkan keadilan. Kita perlu sentiasa melihat sesuatu isu itu dari aspek yang makro berbanding dengan mikro.

Kedua, Mengambil berat dan sabar dalam berurusan- Sikap ini menghendaki kita supaya sentiasa menghormati dan memerhati kehormatan semua orang. Untuk itu, seseorang peguam perlu melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam-peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi dari bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak di sepanjang proses undang-undang yang dilaksanakan. Ini bermakna, walaupun seseorang peguam mewakili kliennya tetapi masa yang sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.

Ketiga, Cintakan Ilmu dan Sentiasa Berusaha menambah ilmu. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu yang ada dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada dengan menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau pun bertanya kepada Peguam-peguam Senior apa-apa perkara yang mungkin belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum kita ketahui.

Keempat, Bersikap Baik dan Mengambil Berat (Civility)- Seorang peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan sahaja kepada Mahkamah dan rakan sekerja tetapi juga kepada seluruh manusia yang digaulinya. Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji yang dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen yang sangat tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan. Seseorang peguam mesti mewakili klien dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan serta komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan yang diberikan oleh klien terhadapnya. Pada masa yang sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada kliennya tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan yang tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan kepada undang-undang dan menjaga sistem keadilan Syariah yang kita perjuangkan.

Kelima, Bersungguh dan Teliti- Seseorang peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga dan kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes dan peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya. Dengan menguasai fakta dan undang-undang dengan teliti, ia akan membantu peguam dalam menjalankan tugasan dan mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan kliennya. .

Keenam, Suka untuk memberi khidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas- Seseorang peguam mesti membantu dan melibatkan diri dalam urusan-urusan yang memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu mereka yang memerlukan sama ada melibatkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebaginya.

Dalam berurusan dengan pihak lawan, peguam-peguam mereka, pegawai Mahkamah dan mana-mana pihak yang terlibat dalam sistem perundangan negara, seseorang peguam mesti berusaha untuk menjadikan sistem keadilan kita dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang. Seseorang peguam perlu mengelak dari melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik Mahkamah Syariah dan sistem perundangan Syariah atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan Syariah terhakis. Apa yang menjadi matlamat adalah untuk mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Hukum Syarak.

Sebelum memilih untuk membawa kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, seseorang peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada klien alternatif-alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah mereka seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.

Seseorang peguam juga mesti meningkatkan kemampuan berkomunikasi dan penulisan sama ada dalam bahasa Malaysia, Bahasa Arab atau pun bahasa Inggeris. Semua kertas perundangan juga perlu menggunakan bahasa yang senang difahami dan tepat kepada maksud yang dikehendaki. Peguam juga mesti sentiasa memerhatikan kes kliennya dan memberi nasihat yang tepat dan bersesuaian.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud yang bermaksud “ Hakim-hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka....” Hadith ini sebenarnya bukan sahaja ditujukan kepada hakim sahaja malah kepada peguam juga kerana kedua hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam-peguam yang berhujah secara palsu di hadapannya dulu bersama-sama mereka. Oleh itu para peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan.

Sebagai sebuah Badan yang ingin memartabatkan perundangan Syariah dan sekali gus menjaga kebajikan Peguam Syarie di Malaysia, PGSM sentiasa berusaha untuk memberi input positif terutama melibatkan perundangan Syariah. Kita juga sangat berharap agar semua Peguam Syarie yang beramal nanti akan turut sama berada di bawah PGSM dan sama-sama bekerjasama menghidupkan serta memajukan PGSM demi kebaikan semua.

Akhirnya, saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali kali kepada pihak YAA kerana memberi peluang kepada PGSM untuk turut sama meraikan Peguam Syarie yang baru pada hari ini. Mewakili PGSM, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Peguam Syarie yang berjaya mendapat pentauliahan pada hari ini. Sekian Terima kasih.

Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
17 hb Januari 2008.

(edited by Nurhidayah Muhd Hashim)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails