Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Monday, July 14, 2008

Suami cerai isteri kerana tiada sefahaman



Suami cerai isteri kerana tiada sefahaman


Azman dan Nora baru setahun jagung mendirikan rumahtangga. Selepas lebihkurang 7 bulan berkahwin, Azman telah bertindak keluar meninggalkan rumah sewa mereka. Tiada pertengkaran yang berlaku antara mereka. Bahkan Nora adalah seorang isteri yang penyabar dan mempunyai peribadi mulia dan lemah lembut. Maka tinggallah Nora keseorangan di rumah sewa, malam menanti siang, siang menanti malam. Air mata sememangnya menjadi teman pengubat duka.

Baru-baru ini Azman datang mengunjungi Nora di pejabat. Nora menghadiahkan senyuman apabila ternampak Azman. `Alhamdulillah, suamiku masih lagi mengingati dan menyayangi diriku', detik hati Nora kegirangan.

`Nora, antara kita tidak ada sefahaman lagi. Abang akan menceraikan Nora di mahkamah syariah nanti', ujar Azman tegas. Menggigil tubuh badan Nora mendengar kata-kata yang terpacul daripada mulut suami yang sangat disayangi. Walaupun perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta, bahkan semuanya diatur oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak tetapi 7 bulan hidup bersama sebagai suami isteri telah mencambahkan rasa kasih dan cinta Nora terhadap Azman.

Nora mengangguk lemah. `Kenapa bang? Apa yang membuatkan abang mengambil keputusan begini?', perlahan Nora bertanya.

`Pertama, cara hidup kita berbeza, tak serasi. Cara hidup abang, dengan cara hidup Nora tak sama. Kedua, abang belum bersedia untuk berumahtangga. Ketiga, abang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Nora. Keempat, abang tidak mahu terus menerus rasa berdosa terhadap Nora. Kelima, abang tidak mampu menunaikan nafkah batin kerana tidak lagi mempunyai rasa kasih sayang terhadap Nora', jawab Azman dalam nada yang lembut tetapi tegas dengan keputusan yang dibuat.

Azman telah memfailkan perceraian secara baik di Mahkamah di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Kedua-dua ibubapa Azman dan Nora hadir di Mahkamah. Hubungan kekeluargaan antara dua buah keluarga tetap erat. Nora juga amat disayangi oleh keluarga mertua.

Masalah di sini ialah bukanlah Nora tidak menyayangi Azman, tetapi Azman masih lagi mengingati kekasih lama, Diana. Perkahwinan ini diharapkan Azman dapat membantu beliau melupakan Diana, tetapi masih belum berhasil. Azman seringkali keluar out-station dan berhibur dengan rakan-rakan, tetapi wajah lembut Diana masih terpampar di mana-mana. Tetapi, adakah ini balasan yang patut diterima oleh Nora? Setelah setahun berkahwin dan berkorban akhirnya dihadiahkan title `janda'.

`Inilah yang dikatakan jodoh... jadi jodoh mereka setakat itu sahajalah', inilah antara kata-kata yang terpacul dari mulut salah seorang ahli keluarga yang hadir.

Semasa di dalam Mahkamah, Yang Arif Hakim meneliti Saman Dan Pernyataan Tuntutan yang difailkan oleh Azman.
`Adakah perkahwinan ini tidak boleh diselamatkan lagi' soal Tuan Hakim.
`Ya', Azman menjawab pendek.
`Adakah perceraian ini satu-satunya jalan penyelesaian' soal Tuan Hakim lagi sambil mencatat butir-butir jawapan Azman.
`Ya', jawab Azman sambil menoleh melihat Nora yang duduk disebelahnya.

Nora diam seribu bahasa. Tiada perkataan yang nak diluahkan dan dirayu apabila suami sudah bertekad untuk melepaskannya.

`Adakah puan bersetuju untuk berpisah' soal Tuan Hakim.
`Keputusan ditangan suami' jawab Nora.

`Ini adalah perceraian secara baik. Maksudnya selepas ini janganlah ada dendam di hati. Saya harap Puan dapat menjaga diri di sepanjang tempoh eddah. Suami boleh merujuk Puan semasa tempoh eddah. Encik boleh lafazkan cerai, sebut nama encik kemudian lafazkan cerai talak satu terhadap isteri, sebut nama isteri encik. Istighfar dan mohon keampunan daripada Allah. Sebelum itu, eloklah bermaaf-maafan', ujar Tuan Hakim lembut.

Nora tunduk mencium tangan suaminya sambil memohon maaf atas segala kesalahan selama berumahtangga dan mohon agar dihalalkan segala makan minum. Begitu juga dengan Azman meminta maaf atas segala kepincangan beliau sebagai suami selama tempoh perkahwinan.

Azman menarik nafas dalam-dalam. Azman diam sebentar. Mungkin mencari kekuatan untuk melafazkan sesuatu yang tidak pernah terucap sebelum ini. Nora hanya tunduk, tenang. Suasana sunyi seketika.

`Astaghfirullahal`azim, saya Azman bin Aziz, saya ceraikan isteri saya Nora binti Abdullah dengan talak satu'

`Puan dengar lafaz suami puan', soal Tuan Hakim perlahan.
`Ya' jawab Nora sambil mengangguk.

Yang Arif Tuan Hakim tekun merekod lafaz talak serta butir-butir persetujuan antara Azman dan Nora.


Benarlah firman Allah swt :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (30:21)
`Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir'

Sesungguhnya rasa kasih sayang antara suami isteri adalah suatu nikmat anugerah Allah swt kepada hamba-hambaNya. Perasaan cinta dan kasih sayang ini boleh hadir secara semulajadi atau kita berusaha serta berdoa bersunggguh-sungguh ke hadrat Yang Memegang Segala Hati dan Perasaan agar Allah swt mencampakkan rasa kasih suami kepada isteri, dan kasih isteri kepada suami. Suami isteri juga boleh pergi bercuti berdua atau menghadiri Seminar / Kaunseling sebagai salah satu usaha ke arah mempertahankan mahligai yang telah dibina. Setelah segala usaha yang bersungguh-sungguh telah dibuat tetapi masih belum menampakkan hasilnya, maka terpulanglah kepada mereka untuk membuat keputusan yang terbaik.



suria


`In a love relationship, we replace our need for love with the need for our partner's love' - Mars and Venus Starting Over

Makluman Peguam Pembela Islam

Tarikh-tarikh penting untuk perhatian:


7 Julai 2008 [9.00 pagi] – kes Tanah Perkuburan Kota Kemuning – Mahkamah Rayuan Putrajaya

Ini adalah permohonan Semakan Kehakiman oleh 187 orang bukan Islam terhadap penggunaan sebidang tanah yang masih belum digazetkan untuk tanah perkuburan Islam. Empat Jenazah Islam telahpun disemadikan di sana . Dan sekiranya permohonan semakan kehakiman tersebut dibenarkan empat jenazah Islam itu terpaksa digali semula. Sekarang perintah injunksi telah dikeluarkan bagi menghalang jenazah Islam lain dikebumikan di sana . Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memohon untuk mencelah tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil. MAIS merayu terhadap keputusan tersebut.


9 Julai 2008 [9.00 pagi] – kes penggunaan kalimah `Allah’ - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta – permohonan untuk semakan kehakiman (Judicial Review)

Permohonan Semakan Kehakiman difailkan oleh Titular Roman Catolic Church of Kuala Lumpur untuk mengkaji semula keputusan kerajaan menghalang gereja tersebut untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly. Mereka juga memohon deklarasi mengisytiharkan perkataan ALLAH bukan milik khusus bagi orang Islam. Sekiranya dibenarkan orang Kristian bebas menggunakan perkataan ALLAH bagi tujuan agama mereka.


5 Ogos 2008 [9.00 pagi] – kes kalimah `Allah’ Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta – Writ Saman

Pihak Titular Roman Chatolic Church of Kuala Lumpur telah memfailkan Writ Saman untuk deklarasi mengisytiharkan perkataan ALLAH bukan milik khusus bagi orang Islam.


7 & 8 Ogos 2008 [9.00 pagi] – kes kalimah `Allah’ (Sidang Injil Borneo ) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta

Permohonan Semakan Kehakiman difailkan oleh Sidang Injil Borneo kerana merampas bahan-bahan cetakan berbahasa Indonesia yang merujuk beberapa perkataan digunakan untuk merujuk kepada agama Kristian. Mereka juga memohon menggunakan perkataan perkataan ALLAH, BAITULLAH, KAABAH dan SOLAT bagi kegunaan pendidikan agama Kristian. Sekiranya dibenarkan orang Kristian bebas menggunakan perkataan-perkataan tersebut untuk disebarkan di Malaysia.


Seruan:

Kami memohon agar umat Islam, khususnya pendukung-pendukung NGO-NGO Islam yang berkelapangan untuk hadir di Mahkamah berkenaan pada tarikh-tarikh tersebut di atas bagi mengikuti secara langsung perbicaraan kes-kes yang dinyatakan, demi menzahirkan keprihatinan serta memberi sokongan moral kepada perjuangan ini serta pihak-pihak yang terlibat. Kes-kes tersebut merangkumi pelbagai isu melibatkan kepentingan umat Islam dan kedudukan Islam di dalam perlembagaan persekutuan. Sebarang pertanyaan/ pengesahan kehadiran boleh berhubung dengan Hj. Zainul Rijal Abu Bakar (0192351555) atau Azril Mohd Amin (0123037110).


Sekian,

Peguam Pembela Islam [PPI]

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam [PEMBELA]


www.myislamnetwork.net

`Kahwin lari' undang pelbagai implikasi

‘Kahwin lari’ undang pelbagai implikasi


PENULISAN puan mengenai kahwin lari dan sorok-sorok minggu lalu menarik perhatian saya. Seorang kawan terbabit dengan kahwin lari dan saya nyaris terbabit sama. Apakah nasihat puan kepada mereka yang terbabit dalam hal ini? Apakah kesan daripada perkahwinan lari atau sorok-sorok ini.

Wanita Metropolitan,
Kuala Lumpur


Jawapan:


KITA perlu berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap hasutan syaitan. Perlu diketahui kehancuran rumah tangga adalah matlamat utama musuh nombor satu manusia itu. Jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti yang digariskan Allah serta Rasul.

Adab dan batas itu mesti dipatuhi semua, tidak kira lelaki atau perempuan, sudah berkahwin atau belum. Kepada isteri, jika ditakdirkan suami berkahwin lain sama ada dengan pengetahuan atau sebaliknya, jangan bertindak di luar batas kewarasan.

Sebesar manapun kesilapan yang dilakukan suami, kita mesti kembali kepada qada dan qadar Allah. Kalau bukan kerana jodoh, kita sendiri pun tidak akan menjadi isterinya. Begitulah juga perkahwinannya dengan wanita kedua atau seterusnya.

Nabi Muhammad SAW ketika berpesan kepada sepupunya Ibn Abbas bersabda yang bermaksud: “Ingatlah jika seluruh umat bersepakat untuk memberikan sesuatu kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu berbuat demikian, kecuali kebaikan yang ditulis oleh Allah untukmu. Dan jika mereka bersepakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak dapat memudaratkan kamu, kecuali apa yang sudah ditulis oleh Allah ke atasmu.”

Kesan positif dan negatif daripada kahwin lari dan sorok-sorok antaranya:

l Kesan terhadap isteri dan anak ialah suami tidak berlaku adil dalam hak giliran bermalam, tidak mampu memberi nafkah, meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah, suami berubah tingkah laku menjadi pemarah dan isteri terpaksa bekerja kerana tidak menerima nafkah.

l Kesan terhadap Isteri ialah suami enggan atau mengelak untuk mendaftarkan perkahwinan menyebabkan hak isteri dalam tempoh perkahwinan terabai dan tidak dilaksana oleh suami.

Keadaan akan bertambah rumit jika suami menghilangkan diri selepas dikurniakan anak bagi proses pendaftaran dan ia akan memberi kesan kepada persekolahan. Sukar untuk mengambil tindakan mahkamah seperti menuntut cerai.

l Kesan terhadap suami pula, perlu berusaha berlaku adil serta menanggung beban kewangan (jika berpendapatan rendah), sukar membahagi masa untuk kedua-dua keluarga yang menjurus kepada berlaku pembohongan.

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan, apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh mahkamah supaya hadir.

Apabila permohonan didengar isteri pertama selepas mengetahui suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bolehlah memfailkan tuntutan di mahkamah supaya suami berlaku adil dalam perkahwinan dan jika mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Persoalan lain membabitkan isu kahwin lari termasuk persoalan sah atau tidaknya perkahwinan seperti wali hakim dan wali mujbir selain keengganan suami mendaftarkan perkahwinan bagi mengelak tanggungjawab terhadap isteri.

Perkahwinan tidak didaftar mendatangkan masalah kerana isteri tidak boleh menuntut hak seperti mutaah, nafkah edah, nafkah anak serta tidak boleh ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran.

Ada juga isteri membenarkan suami berkahwin lain tetapi menetapkan syarat seperti meminta nafkah bulanan banyak, pindah milik harta atas nama mereka dan tindakan lain menyebabkan suami mengambil keputusan kahwin sorok-sorok.



Jawapan disediakan oleh peguamcara dan peguambela, Sazira Abdul Aziz yang juga AJK Wanita JIM Muar, Johor. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails