Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Saturday, February 23, 2008

Sekiranya Kita Mempunyai Sebuah Kerajaan





Al-Ustaz Hassan Al-Banna r.a. berkata :

Sekiranya kita mempunyai sebuah kerajaan Islam yang sahih Islamnya, benar imannya, bebas berfikir dan melaksanakan segalanya, mengetahui dengan betul keagungan khazanah yang berada di hadapannya, kebesaran sistem Islam yang diwarisinya, beriman bahawa padanya ada penawar untuk rakyat yang menjadi petunjuk hidayah kepada manusia seluruhnya... .

Maka kita akan menuntut daripadanya agar membangunkan dunia dengan nama Islam. Kita akan menuntut negara-negara lain untuk mengkaji dan menilainya, menarik mereka kepadanya dengan seruan yang bertalu-talu, hujah dan utusan yang berturut-turut dan dengan pelbagai cara lain untuk menyeru dan menyampaikan risalah Islam.

Dengan itu ia pasti akan menjadi pusat kerohanian, politik dan praktik antara pelbagai kerajaan. Nescaya ia akan mampu untuk memperbaharui sensitiviti rakyat, mendokongnya ke arah keagungan dan cahaya, mencetuskan dalam dirinya semangat, kesungguhan dan amal.

Sungguh amat menghairankan, kita mendapati komunis mempunyai negara yang mendokong dan menyeru untuknya, berkorban dan menarik manusia kepadanya. Kita mendapati Fasis dan Nazi mempunyai umat yang memuja dan berjuang untuknya, berbangga dengan pengikutnya serta menundukkan seluruh sistem yang penting kepada ajarannya. Kita mendapati pelbagai aliran kemasyarakatan dan politik mempunyai pendokong yang gagah, membelanya dengan nyawa, akal, pemikiran, tulisan, harta benda, akhbar dan segala usaha untuknya. Mereka hidup dan mati kerananya.

Tetapi kita tidak mendapati sebuah kerajaan Islam yang menjalankan kewajipan berdakwah kepada Islam, yang menghimpunkan seluruh keindahan sistem ini dan membuang segala keburukannya. Ia mempersembahkannya kepada umat lain sebagai suatu sistem global yang mempunyai penyelesaian yang betul, jelas lagi menyenangkan bagi semua masalah kemanusiaan.

Sedangkan Islam telah menjadikan dakwah satu kefardhuan yang mesti dilakukan. Ia diwajibkan kepada seluruh umat, perkumpulan dan rakyat Islam sebelum sistem-sistem ini diciptakan dan sebelum dikenali wujudnya sistem dakyah kepada ideologi-ideologi ini.


Surah Ali-Imran, ayat 104 :
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."

Tetapi para pemerintah kita enggan untuk mengikuti perkara ini. Mereka semua telah dididik dalam dakapan orang asing. Mereka lebih hampir dengan pemikiran orang asing. Mereka berlari mengikuti jejak langkah orang asing dan berlumba-lumba untuk memperolehi keredhaan mereka? Mungkin tidak melampau sekiranya kita menyatakan bahawa pemikiran kemerdekaan (bebas)dalam mengatur urusan dan kerja tidak terlintas dalam pemikiran mereka ini, apatah lagi ia hendak dijadikan manhaj (method) kerja mereka.

Sesungguhnya kita telah mancadangkan cita-cita dan harapan ini kepada ramai pemerintah di Mesir. Adalah suatu perkara biasa, harapan ini tidak akan memberikan kesan yang praktikal. Sesungguhnya suatu kaum yang telah kehilangan Islam dalam diri, rumah, urusan peribadi dan urusan umum mereka adalah lebih tidak mampu untuk mencurahkan perkara ini kepada orang lain, tidak mampu bergerak ke hadapan mengajak orang lain kepada Islam kerana orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberikan apa-apa.


- dipetik daripada Majmu' Rasail al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna



`Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya' (Ali-Imran 3 : 104)

Friday, February 22, 2008

Mahkamah bukan teater bangsawan, titah Raja Nazrin

Mahkamah bukan teater bangsawan, titah Raja Nazrin
Posted on Tuesday, February 19 @ 20:25:06 MYT by greenboc

Oleh Bernama

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang berkewajipan mempertahankan kedaulatan sistem kehakiman negara dan menjadikan diri mereka teladan kepada orang ramai, titah Pemangku Raja Perak Raja Nazrin Shah Selasa.
Baginda bertitah, mereka wajib meletakkan tanda aras kepada orang awam dari segi amalan menghormati undang-undang dan mempertahankan kesucian serta tidak mempersendakan mahkamah dari dipesongkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, pada setiap masa.



"Mahkamah jangan sama sekali dibenarkan hingga sampai ke peringkat dianggap oleh masyarakat sebagai satu teater melakonkan bangsawan yang skripnya telah ditulis oleh pengarah tertentu. "Mahkamah juga harus dikawal dari dijadikan gelanggang oleh mana-mana pihak untuk mencari pengaruh politik," titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-13 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Titahnya, undang-undang tidak membawa erti jika sekadar menjadi himpunan kata-kata suci yang terkandung dalam kanun, enakmen dan akta, yang kemudiannya dinodai dengan perbuatan mungkar tanpa menghormati etika profesion.
Sebaliknya, titah baginda, nilai undang-undang terletak kepada kemuliaan perlaksanaan oleh mereka yang telah diberi amanah, kepercayaan dan penghormatan untuk mengendalikan undang-undang. "Kekuatan dan kemuliaan undang-undang tidak terletak pada keindahan seni bina bangunan mahkamah atau peralatan mahkamah yang canggih atau pada pakaian para hakim dan peguam yang hebat.
"Mahkamah dan para pengamal undang-undang perlu mempunyai roh yang meyakinkan hingga dapat menegakkan institusi perundangan yang dihormati," titahnya.
Raja Nazrin bertitah, amalan perundangan yang berlandaskan kod etika peguam yang tinggi mampu memperkukuhkan sistem demokrasi negara sesuai dengan mekanisme semak dan imbang antara kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
Titahnya, sistem perundangan yang adil dan diyakini rakyat adalah prasyarat untuk memastikan keamanan negara tidak tergugat.
"Sistem perundangan yang saksama adalah instrumen berkesan untuk menjauhkan warga dari mencari alternatif lain yang memudaratkan sehingga boleh membawa negara menuju kepada satu anarki," titah baginda.

Monday, February 11, 2008

Kaedah Fiqh : Kesukaran Diiringi Kemudahan

KAEDAH 3 : KESUKARAN DIIRINGI KEMUDAHAN

1. Huraian Kaedah

a. Subhi Mahmassani : Kesukaran boleh menjadi sebab diberikan kemudahan dan wasilah kepada keringanan, dan lazimnya diberi kelonggaran pada ketika berhadapan dengan keadaan yang menyulitkan
b. Apabila terdapat sesuatu kesulitan dalam melaksanakan perintah Allah, perintah itu diringankan, tidak seperti asalnya
c. Terbentuk hukum rukhsah atau keringanan dalam syariat Islam
d. Ini agar syariat Islam dapat dilaksanakan oleh mukallaf bila dan di mana sahaja dengan memberi kelonggaran dan keringanan di saat dan ketika seseorang terjebak dengan kesempitan dan kesukaran
e. Hadis Anas : `Apabila Rasulullah saw bermusafir pada jarak 3 batu atau farsakh, Baginda bersembahyang 2 rakaat’

2. Sumber Asal Kaedah

a. `Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran’ (Baqarah : 185)
b. `Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan’ (Al-Maidah : 6)
c. `...dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama’ (Al-Hajj : 78)
d. Hadis Anas bin Malik : `Permudahkanlah dan janganlah menyukarkan’
e. Hadis Abu Hurairah : `Sesungguhnya agama (Islam) ini mudah’

3. Peringkat Masyaqqah

a. Masyaqqah yang sangat berat

Masyaqqah yang ditakuti mengancam nyawa, anggota badan atau manfaatnya. Masyaqqah ini wajib diberi keringanan dan kelonggaran kepada manusia kerana memelihara nyawa dan anggota badan bagi membangunkan kepentingan dunia dan akhirat lebih utama daripada mendedahkannya kepada kerosakan atau kemudaratan disebabkan ibadat. Contoh, tidak ada jalan lain mengerjakan haji melainkan melalui jalan laut sahaja, sedangkan kebiasaannya tidak selamat untuk sampai ke Mekah, maka dalam keadaan ini tidak wajib haji

b. Masyaqqah yang sangat ringan

Misalnya, sedikit kesakitan di jari tangan atau kaki, sedikit pening atau berasak-asakan (dalam haji atau jihad fizikal). Maka sakit2 kecil seperti ini tidak akan mempengaruhi hukum dan tidak perlu diambil kisah kerana menghasilkan kepentingan2 ibadat itu lebih aula dari menolak masyaqqah seperti ini yang kebiasaannya orang tidak ambil peduli. Apatah lagi kepentingan ibadat dan kemuliaannya hendaklah diutamakan, di samping kecilnya masyaqqah ini

c. Masyaqqah yang sederhana

Jika masyaqqah ini hampir kepada masyaqqah yang pertama, maka mesti diberikan keringanan. Manakala jika ia hampir kepada masyaqqah yang kedua, tidaklah diberi keringanan. Kesemua ini bergantung kepada zan atau perhitungan seseorang mukallaf itu

4. Rukhsah dalam Ibadat

a. Rukhsah yang disyariatkan dalam Islam merupakan suatu bukti yang jelas bahawa Islam berpegang kepada samahah (berbaik hati) dan yusr (mudah) dalam menuntut perlaksanaan hukum Syarak
b. Rukhsah dalam Bahasa Arab bermaksud `memudah dan menyenangkan’. Menurut
Ulama Fiqh diertikan sebagai `hukum2 yang disyariatkan oleh Allah berdasarkan kepada keuzuran-keuzuran manusia demi menjaga kepentingan dan hajat mereka, di samping kekal sebab yang mewajibkan hukum asal’

5. Pembahagian Rukhsah

Ulama Syafi’iyyah membahagikan Rukhsah kepada 5 bahagian :
a. Rukhsah Wajibah (diwajibkan) seperti memakan bangkai bagi mereka yang terdesak, berbuka puasa bagi yang takut mudarat (binasa) kerana kebuluran atau kehausan walaupun ia bermukim dan sihat badan. Mengamalkan Rukhsah ini wajib kerana uzur iaitu memelihara nyawa.
`Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan’ (Baqarah :195)
b. Rukhsah Mandubah (disunatkan) seperti qasar solat bagi seorang yang bermusafir 3 marhalah atau lebih.
HR Umar al Khattab, sabda Rasulullah saw : `Ini (solat qasar) suatu sedekah yang Allah sedekahkan kepada kamu. Maka terimalah sedekah-Nya itu’
Keharusan berbuka puasa bagi mereka yang masyaqqah ke atasnya berpuasa dalam perjalanan atau ketika sakit, melewatkan solat zohor ke waktu tidak panas membakar dan keharusan memandang wanita ketika hendak meminangnya
c. Rukhsah Mubahah (diharuskan) seperti aqad salam, bay’ al-araya, al-ijarah dan beberapa akad muamalat yang seumpamanya. Semuanya rukhsah tanpa khilaf, kerana salam dan ijarah adalah 2 jenis akad ke atas sesuatu yang majhul (tidak wujud). Bay’ al-araya ialah menjual rutab (buah kurma mengkal) dengan tamar (kurma yang masak). Keharusan muamalat ini kerana ia diperlukan
d. Khilaf al-Aula (menyalahi keutamaan), seperti seorang bermusafir berbuka puasa yang tiada kemudaratan kalau ia meneruskan puasanya
`Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah)’ (Baqarah : 184)
e. Rukhsah yang makruh dilakukan, seperti solat qasar dalam suatu perjalanan yang kurang dari 3 marhalah

6. Sebab-Sebab Rukhsah

a. Musafir yang diharuskan.
• qasar sembahyang
• menyapu khuf lebih dari sehari semalam
• berbuka puasa
• jamak

b. Sakit.
• Tayammum ketika sukar menggunakan air atau menggunakan air boleh memudaratkan
• Solat fardhu sambil duduk atau berbaring atau terlentang atau isyarat atau dengan hati berdasarkan kemampuan
• Diharuskan doktor lelaki melihat aurat wanita dengan tujuan rawatan
• Diharuskan meninggalkan solat Jumaat
• Diharuskan meninggalkan puasa dan menggantikan apabila sembuh atau meninggalkan sepenuhnya bagi mereka yang tua dan uzur serta membayar fidyah
• Tidak makruh minta tolong orang menjiruskan air ke atasnya ketika mandi atau membasuh anggota wuduk
• Mewakilkan menunaikan haji dan melontar jamrah

c. Paksaan (terpaksa atau dipaksa)
• Mengancam nyawa dan harta bendanya
• Kelaparan yang mengancam nyawa diharuskan makan benda haram
• Dipaksa mensyirikkan Allah tetapi hatinya masih tetap beriman
`Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman’ (An-Nahl : 106)

d. Terlupa
• Tidak batal puasa mereka yang makan dalam keadaan terlupa
Hadis : `Sesiapa yang terlupa sedang ia berpuasa, di mana ia makan atau minum, hendaklah ia menyempurnakan puasanya itu’
• Tidak berdosa mereka yang terlupa solat sehingga keluar waktunya
• Terlupa menunaikan zakat, haji, kaffarat
`Tidak dikira bersalah 3 golongan : Orang yang tidur sehingga ia terjaga, kanak2 sehingga ia bermimpi dan orang gila hingga ia berakal’

e. Kejahilan
• Seseorang yang bercakap ketika sembahyang kerana ia bodoh, sembahyangnya tidak batal
• Hukum2 yang tidak diketahui melainkan oleh ulama sahaja adalah dimaafkan bagi orang awam
• Hukum2 yang umum diketahui oleh orang awam dengan mudah atau yang sepatutnya diketahui oleh setiap orang Islam, kejahilan tidak dimaafkan, seperti riba
f. Kesulitan serta umum al-balwa (kesukaran umum yang tidak dapat dihindarkan)
• Dimaafkan sembahyang orang yang berpenyakit sentiasa keluar air kecil atau istihadah
• Harus beristinjak dengan batu
• Segala najis yang sukar dihilangkan adalah dimaafkan seperti tahi burung merpati yang tinggal dalam masjid
• Sembahyang dengan najis yang dimaafkan seperti nanah bisul dan penyakit cacar
• Najis yang tidak dilihat oleh penglihatan mata seperti belalang
• Menyentuh mashaf al-Quran bagi kanak2 sedang belajar dengan berhadas
• Membuang air besar atau air kecil dengan mengadap atau membelakangi kiblat dalam tandas
• Harus menyapu khuf ketika bermukim kerana sukar mencabutnya pada setiap kali berwuduk tetapi wajib dicabut ketika mandi wajib kerana tidak kerap seperti wuduk
• Harus memakai sutera bagi lelaki kerana berpenyakit atau sebab sakit serta untuk tujuan peperangan
• Harus bertahallul daripada haji apabila dikepung musuh
• Disyariatkan khiyar selama 3 hari

g. Kekurangan
• Kanak2 dan orang gila tidak dibebankan dengan taklif
• Kaum wanita tidak diwajibkan solat Jumaat atas dasar kekurangan sifat2 tertentu dan mereka tidak diwajibkan berperang dan tidak dikenakan jizyah
• Wanita diberi kemudahan memakai barang kemas dan sutera
• Taklif syarak atau tanggungjawab terhadap kaum wanita lebih ringan berbanding kaum lelaki
• Bebanan dan tanggungjawab lebih ringan dikenakan terhadap hamba berbanding orang merdeka

7. Keringanan Syarak

a. Digugurkan
• Digugurkan tuntutan solat Jumaat, puasa, haji, jihad dengan sebab keuzuran
• Digugurkan kewajipan berpuasa kepada orang tua dan haji kepada orang yang lemah
• Digugurkan menyertai jihad sebab uzur

b. Dikurangkan
• Qasar (dipendekkan) solat 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir

c. Digantikan
• Digantikan wuduk dan mandi dengan tayammum
• Solat berdiri dengan duduk atau berbaring atau isyarat
• Digantikan puasa dengan membayar fidyah bagi yang tidak berdaya

d. Didahulukan
• Solat jamak taqdim
• Mendahulukan keluar zakat sebelum tiba haul
• Zakat fitrah sebelum raya
• Kaffarat sumpah sebelum melanggar sumpah

e. Diakhirkan
• Solat jamak ta’khir
• Menangguhkan puasa ramadhan kerana musafir atau sakit
• Menangguhkan solat demi menyelamatkan orang lemas atau kebakaran

f. Dimaafkan
• Solat orang beristinjak dengan batu atau seumpamanya sedangkan najis masih ada
• Minum arak kerana terlalu dahaga dan ketiadaan air
• Diharuskan makan benda najis atau makanan haram kerana terdesak

g. Diubahkan atau perubahan
• Menukar dan mengubah kedudukan serta cara mendirikan solat ketika dalam ketakutan dan menghadapi musuh

8. Kaedah Pecahan

a. `Apabila sesuatu itu sempit, hukumnya menjadi luas’

• Imam Syafie, 3 kaedah :
o apabila seseorang wanita kehilangan walinya ketika dalam musafir, lalu ia menyerahkan wali untuk urusan musafirnya itu kepada seseorang lelaki. Harus hukumnya
o berkaitan dengan bekas yang diperbuat daripada tanah liat yang mana bahan bakarannya adalah daripada benda2 najis. Apakah harus berwuduk dengan bekas itu?
o lalat yang hinggap di atas najis, lalu hinggap pada pakaian seseorang. Sekiranya ketika ia terbang sebelum hinggap pada pakaian itu kakinya menjadi kering, ia jelas tidak menyebabkan pakaian itu menjadi najis. Namun jika sebaliknya,beliau menyatakan kaedah itu.
• Sudah memadai dengan saksi wanita dan diterima saksi wanita dalam perkara yang lelaki tidak mengetahuinya dan tidak melihatnya, seperti cacat pada anggota
• Tidak perlu kepada keyakinan dan cukup dengan zann atau berat sangka sahaja dalam masalah arah kiblat, suci tempat dan lainnya
• Imam al-Zarkasyi menjelaskan, seseorang itu harus menggunakan bekas yang diperbuat daripada emas dan perak untuk berwuduk, kiranya tidak ada bekas lain

b. `Apabila sesuatu itu longgar atau luas, hukum menjadi sempit’

• Melakukan gerakan yang sedikit ketika sedang mendirikan solat diharuskan. Namun begitu, tidak boleh melakukan gerakan yang besar dan berulang-ulang seandainya tiada desakan atau keperluan berbuat begitu
• Seseorang yang dalam keadaan lapang, seharusnya melakukan solat di awal-awal waktu serta dengan menepati segala rukun dan syaratnya yang sempurna

c. `Kemudaratan-kemudaratan itu membolehkan tegahan-tegahan’

• Harus makan benda haram dalam keadaan sangat lapar untuk menyelamat jiwa daripada mati kebuluran
• Doktor harus melihat aurat lelaki dan wanita untuk tujuan rawatan
• Harus melawan dan mengambil tindakan terhadap perompak, walaupun terpaksa membunuhnya
• Harus mengambil harta benda orang yang berhutang yang enggan membayar hutangnya

d. `Keadaan darurat ditentukan menurut kadarnya’

• Memakan bangkai hanyalah harus untuk menyelamatkan diri daripada kelaparan dan mati kebuluran. Apabila bertenaga semula, batas diharuskan itu berakhir
• Doktor diharuskan melihat aurat pesakit lelaki dan wanita untuk merawat, namun pada anggota atau bahagian sakit sahaja, tidak lebih daripada itu
• Kiranya wanita sakit tidak harus ia dirawat oleh doktor lelaki kiranya masih ada doktor wanita

e. `Apa yang diharuskan kerana uzur, batal dengan sebab hilang uzur tersebut’

• Tayammum menjadi batal dengan sebab didapati ada air sebelum mendirikan solat
• Sekiranya seseorang saksi ada keuzuran syarak untuk datang dan memberi kesaksian di hadapan hakim di mahkamah, seperti sakit. Harus ia memberi kesaksian di rumah. Namun setelah keuzuran hilang, iaitu sembuh dari sakit, wajib ia hadir untuk memberi kesaksian di mahkamah

f. `Keperluan atau hajat diletakkan pada kedudukan darurat, sama ada umum atau khusus’

• Diharuskan melihat bakal isteri untuk tujuan perkahwinan
• Seseorang lelaki diharuskan memakai pakaian sutera disebabkan penyakit kulit dan lainnya, namun dalam keadaan biasa diharamkan

g. `Keadaan terdesak tidak membatalkan hak orang lain’

• Sekiranya tempoh sewa atau upah menyusu bayi daripada ibu susu telah tamat, sedangkan bayi tersebut telah dapat menyesuaikan diri dengan susunya. Selain itu, bayi tersebut masih belum dapat makan atau menerima makanan lain. Ibu susu itu boleh dipaksa supaya terus menyusui bayi tersebut, demi menjaga kepentingan bayi. Ibu susu hendaklah dibayar upah dengan kadar yang setimpal
• Sekiranya tempoh sewaan tanah pertanian telah tamat, namun tanamannya masih belum dapat dituai disebabkan belum masak. Sewaan dikira berterusan sampai ia dapat dituai, dengan kadar tambahan sewaan sepatutnya. Hal itu kerana desakan dan tekanan penyewa untuk mengekalkan tanamannya hingga masak dan dapat dituai tetap tidak membatalkan hakmilik tuan tanah

h. `Hukum itu mengikut kemaslahatan yang kukuh’

• Haramnya minum arak dan berjudi
• Keizinan berjihad dan memerangi musuh. Zahirnya menyebabkan kematian dan kerosakan, namun natijahnya adalah amat baik dan jelas. Iaitu mempertahankan diri, agama dan menyebarkan agama Islam

i. `Hukum itu berkisar bersama illahnya atau sebabnya’

• Diharamkan arak disebabkan illahnya yang memabukkan. Apabila illahnya hilang atau tidak ada lagi, waktu itu ia tidak diharamkan, contoh, arak bertukar menjadi cuka
• Sesuatu itu apabila ia mengandungi racun, apabila ia merosakkan diharamkan, namun apabila tidak merosakkan bahkan dapat dijadikan ubat, diharuskan
• Jus anggur atau nira apabila bertukar menjadi arak hilang kesuciannya

j. `Kedudukan perkara yang tidak diketahui itu sama dengan kedudukan apa yang tidak ada’

• Seseorang yang menemui barang tercicir, apabila pemiliknya datang dan mendakwa, ia hendaklah menyerahkannya. Seandainya tidak ada pemilik, ia adalah daripada harta Allah yang dikurniakan kepada orang yang Ia kehendaki


suriaterang

Murtad : Isu-Isu berkaitan, Hukuman serta Implikasinya




Muqaddimah

Murtad ialah sesuatu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seseorang Islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan seseorang tadi keluar dari Islam. . Mengikut bahasa riddah ialah kembali daripada sesuatu kepada yang lain. Menurut Syara’, kembali daripada agama Islam kepada kekufuran, atau dengan perkataan yang mempersendakan, kedegilan ataupun iktikad. Umpamanya orang yang mengingkari kewujudan Allah swt, menafikan para Rasul, membohongi seseorang Rasul, menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, menafikan perkara yang wajib, mengiktikadkan wajib perkara yang tidak wajib, berazam untuk menjadi kafir pada esok hari ataupun berbolak-balik untuk menjadi kafir. Contoh perbuatan yang boleh menyebabkan kekafiran ialah meletakkan Quran atau buku hadis Nabawi ke atas perkara-perkara yang kotor, sujud kepada berhala atau matahari atau menafikan kewajipan solat dan lain-lain lagi.

ISU-ISU BERKAITAN RIDDAH

1. Konflik antara Hak Kebebasan Agama dan Hak Asasi Manusia

Konsep kebebasan agama dalam Islam disebut dalam al-Quran yang bermaksud : ‘Tidak ada paksaan dalam agama Islam kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan kufur. Oleh itu sesiapa yang tidak percayakan taghut dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali agama yang teguh, yang tidak akan putus. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui’

Jika dilihat asbabun nuzul, ayat di atas diturunkan setelah berlaku peristiwa seorang ayah yang tinggal di Madinah pada masa itu belum memeluk Islam menyerahkan anaknya kepada orang Yahudi Bani Nadhir untuk dipelihara. Kemudiannya orang Madinah menjadi Islam, menyambut kedatangan Rasulullah saw dan menjadi kaum Anshar. Apabila berlaku pengusiran ke atas Bani Nadhir keluar daripada Madinah kerana mengengkari perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani, maka si ayah tadi memohon kepada Rasulullah saw supaya anak itu ditarik kepada Islam, kalau perlu dengan paksa. Beliau mengatakan ‘Belahan diriku sendiri akan masuk neraka, ya Rasulullah!’. Maka turunlah ayat di atas ‘tidak ada paksaan dalam agama’. Kalau anak itu sudah terang menjadi Yahudi, tidaklah boleh dipaksa memeluk Islam. Menurut riwayat Ibnu Abbas, Nabi saw hanya memanggil anak-anak itu dan disuruh memilih, apakah mereka sudi memeluk agama ayah mereka, iaitu Islam atau tetap dalam Yahudi dan turut diusir? Dan menurut riwayat, ada yang memeluk Islam dan ada yang terus menjadi Yahudi dan sama berangkat dengan Yahudi yang mengasuhnya itu meninggalkan Madinah. Keyakinan suatu agama tidaklah boleh dipaksakan, sebab : ‘Telah nyata kebenaran dan kesesatan’ . Agama Islam memberi orang kesempatan mempergunakan akalnya yang murni untuk mencari kebenaran.

Berdasarkan ayat di atas menunjukkan bahawa konsep ‘tiada paksaan dalam agama’ hanya terpakai kepada orang-orang bukan Islam sahaja. Jika sekiranya seseorang bukan Islam itu telah memasuki agama Islam, maka konsep di atas tidak akan terpakai. Maka hujah yang menyatakan bahawa ayat ‘tiada paksaan dalam agama’ merujuk kepada ‘hak untuk menukar agama’ tidak boleh diterima kerana ianya jauh terpesong daripada konsep agama Islam dan juga bercanggah dengan ayat-ayat suci yang menjanjikan azab seksa dan sengsara di dalam neraka. Seterusnya dalam ayat yang lain, Allah swt berfirman yang bermaksud, ‘Katakanlah : Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah Allah yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’

Maka, dalil di atas sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11(1) menyebut : ‘Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan agamanya’. Fasal (4) menyebut : ‘Undang-Undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Undang-Undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam’. Fasal (4) secara jelas menyatakan bahawa melalui peruntukan Undang-Undang boleh ‘mengawal atau menyekat’ sebarang penyebaran lain-lain agama ke atas orang-orang Islam. Maka pihak berkuasa boleh mengambil apa-apa tindakan yang munasabah untuk memberi efek kepada Fasal (4) tersebut. Dan jika sekiranya tindakan kawalan dan sekatan oleh pihak berkuasa tidak berkesan, tindakan undang-undang dan hukuman yang sewajarnya hendaklah dilaksanakan mengikut kuasa yang telah diberi mengikut Undang-Undang.
Di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 ada memperuntukkan :
Seksyen 3 – Pemujaan salah
Seksyen 4 – Doktrin Palsu
Seksyen 6 – Dakwaan Palsu
Seksyen 7 – Menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dll. agama Islam
Seksyen 8 – Mempersendakan, dll ayat Quran dan Hadis

Terdapat golongan yang salah memahami nas al-Quran yang diturunkan atau sengaja menyelewengkan pengertiannya dengan mengatakan Islam menggalakkan kebebasan beragama yang mana orang Islam sendiri dibenarkan murtad, dan ianya bukanlah suatu kesalahan. Mengapa terjadi sedemikian? Antara sebabnya ialah sebagaimana dinyatakan di bawah ini :
(1) tidak tahu nas hukum atau cuai
(2) kesalahfahaman terhadap nas atau kerana kesalahan mentakwilkannya, seperti menganggap khusus kalimat yang umum. Menganggap muqayyad terhadap kata yang mutlak atau sebaliknya
(3) memandang dan memahami kalimat, dipisahkan dari konteks kalimat sebelumnya, atau terpisah dari apa yang menguatkannya dari dalil ijmak yang meyakinkan yang belum pernah dilanggar oleh seorang ulama pun sepanjang zaman
(4) tindakan terburu-buru dalam mengambil pengertian nas, sebelum mempelajarinya dengan semestinya, memikirkan secukupnya, mempertimbangkan sematangnya dan mencurahkan semua kemampuannya dalam membahas dan meneliti
(5) kemahuan untuk mengikuti hawa nafsunya atau hawa nafsu orang lain, baik orang lain ini berupa sekelompok penguasa yang diharap manfaatnya dan ditakuti kekejamannya ataupun berupa sekelompok rakyat yang mana sebahagian orang mencari kerelaan dan sanjungan darinya. Allah berfirman : ‘Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu...’
(6) mujtahid semasa yang terpengaruh oleh suatu realiti yang berlaku dan berusaha mencari alasan untuk membenarkannya, baik dengan sengaja atau tidak
(7) usaha untuk mengenepikan firman Allah swt dan sabda Rasulullah saw dan menyelewengkannya dari maksud yang sebenarnya

Apakah kita boleh berijtihad dalam masalah perintah yang ada hukuman bagi mencuri iaitu ‘Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya’ dan perintah yang ada dalam hukum zina iaitu ‘Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah setiap seorang dari keduanya seratus kali dera’ dan kita jadikan kedua perintah tersebut ‘diperbolehkan’ bukan untuk ‘diwajibkan’ berdasarkan perintah dalam firman Allah yang bermaksud ‘Wahai Bani Adam, ambillah perhiasanmu setiap pergi ke masjid dan makanlah, minumlah dan janganlah berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan’

Jadi mereka mengatakan bahawa hukuman zina dan hukuman mencuri tidaklah diwajibkan dan boleh beralih kepada hukuman lain. Sedangkan Rasulullah saw sendiri menolak memohon perlindungan apapun dalam hukuman had ini dari seorang yang paling dicintainya iaitu Usamah bin Zaid di mana Rasulullah saw bersabda kepada Usamah bin Zaid : ‘Adakah engkau meminta perlindungan dalam masalah had Allah, wahai Usamah! Demi Allah seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya akan aku potong tangannya’. Seterusnya Allah berfirman : ‘Dan janganlah kamu belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk menjalankan agama Allah jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman’

2. Hukuman bunuh adalah melulu dan kejam

Jumhur Fuqaha’ yang terdiri daripada Imam Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat : hukuman bunuh ke atas orang-orang Islam yang telah murtad dan enggan bertaubat, wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad, sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda tanpa perbezaan.

Seseorang Islam yang telah murtad tiak boleh dihukum bunuh, kecuali setelah dan selepas diminta bertaubat terlebih dahulu untuk mengetahui sebab-sebab ia menjadi murtad. Jika seseorang itu murtad disebabkan salah faham mengenai agama Islam hendaklah diberi penjelasan kepada mereka kedudukan yang sebenar masalah-masalah yang berkaitan dengan agama Islam sehingga mereka faham dan menyedari kesalahan dan rujuk kembali menganut agama Islam. Dan jika seseorang tadi murtad disebabkan keingkarannya hendaklah juga diminta mereka bertaubat agar kembali kepada agama Islam. Setelah orang yang murtad itu diminta bertaubat , tetapi ia masih berdegil juga (tidak mahu bertaubat), maka wajiblah dibunuh.

Ini bersandarkan dalil-dalil berikut :
(1) Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. : ‘Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah ia’
(2) Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. : ‘Tidak halal menumpahkan darah seseorang Islam, kecuali dengan sebab salah satu dari tiga perkara : Orang yang telah pernah berkahwin berzina (zina muhsan), nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dibalas dengan bunuh), dan orang yang meninggalkan agamanya (agama Islam) yang memisahkan diri dari jamaah orang Islam (murtad)’

Oleh yang demikian, tidak benarlah pengataan bahawa hukuman bunuh terhadap orang yang murtad adalah melulu dan kejam kerana mereka telah diberi berpeluang untuk bertaubat. Dan dalam tempoh tersebut juga, mereka boleh mempelajari dan mendalami ajaran Islam untuk menjelaskan kekaburan dan ketidakfahaman, salah faham dan sebagainya yang telah membuatkan mereka mengambil tindakan terburu-buru untuk murtad. Seolah-olah tiada jalan lain untuk menyelesaikan kebuntuan fikiran dan masalah yang mereka hadapi selain daripada mengambil keputusan untuk meninggalkan agama Islam yang murni. Hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas orang yang telah thabit murtadnya itu tidak boleh dianggap suatu tindakan yang melulu dan kejam, kerana hukuman itu adalah hukuman Allah dan RasulNya yang wajib dilaksanakan, dan tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan hukuman Allah.

Walaubagaimanapun, kesalahan murtad di Malaysia dilihat dari dua sudut iaitu, pertamanya, sebagai kesalahan jenayah riddah, dan keduanya, sebagai kesalahan menghina agama Islam. Murtad adalah satu kesalahan jenayah di Pahang yang mana boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan sebat tidak melebihi enam sebatan.

Peruntukan di Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak secara literalnya tidak menjadikan murtad sebagai satu kesalahan kecuali ianya dilakukan dengan niat untuk mengelak dari didakwa di mahkamah syariah maka ia menjadi satu kesalahan atau jenayah. Seterusnya undang-undang di Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa murtad ialah kesalahan menghina agama Islam. Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 dalam Seksyen 7 memperuntukkan :
Mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain – (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubung dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang yang sedang berkuatkuasa …. yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya

Seksyen 8 dalam Akta yang sama pula menyatakan tentang kesalahan mengucapkan kata-kata atau melakukan perbuatan mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat suci al-Quran atau hadith Rasulullah saw. Berdasarkan peruntukan-peruntukan sedia ada, walaupun tidak dinyatakan secara tegas akan kesalahan murtad, namun jika sekiranya peruntukan-peruntukan yang sedia ada dikuatkuasakan dapat membendung gejala murtad di kalangan umat Islam dan memberi suatu amaran keras kepada pihak-pihak bukan Islam supaya lebih menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Adalah molek sekiranya dimasukkan peruntukan khusus bahawa tindakan juga akan diambil kepada individu-individu, pertubuhan, atau badan yang menjalankan dakyah agama mereka ke atas umat Islam.

3. Konflik Bidangkuasa Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah

Isu murtad menimbulkan pelbagai pendekatan yang mengelirukan diambil oleh mahkamah sivil dan mahkamah syariah sehinggalah Perkara 121(1A) dimasukkan agar bidangkuasa antara kedua-dua mahkamah diasingkan dengan lebih jelas.

Prof Emeritus Ahmad Ibrahim menyatakan tujuan dimasukkan Perkara 121(1A) di dalam Perlembagaan Malaysia, ‘one important effect of the amendment is to avoid for the future any conflict between the decisions of the Syariah courts and the civil courts, which had occurred in number of cases before [Myriam v Ariff and Tengku Mariam & Anor v Commissioner for Religious Affairs, Trengganu & Ors]. … In a number of cases the High Court in dealing with Muslim parties have not applied the Islamic Law but have applied the law, which is in conflict with the Islamic Law [Ainan bin Mahmud v Syed Abubakar and Nafsiah v Abdul Majid]… In the cases like those dealt with above, it would appear that the effect of the amendment to article 121 of the Federal Constitution would be to prevent for the future any conflict between the decisions of the civil courts and the Syariah courts, as the matters can only be brought to the Syariah Courts and the High Court will no longer have jurisdiction to deal with them. Although this seems to be the result, it would seem to be advisable to remove all doubt and to amend or repeal certain laws which would seem to give jurisdiction to the High Court’ . Di dalam kes Dalip Kaur v Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor , pada mukasurat 63, ‘according to the fatwa, a Muslim who renounced the Islamic faith continues in Islam until a Syariah court makes a declaration that he has become a ‘murtad’.’

4. Undang-Undang Islam hendaklah mengikut kehendak peredaran zaman

Antara isu yang ditimbulkan lagi, adakah semua hukum-hakam syariat boleh diperbaharui dan dikembangkan? Dan bolehkan hukum hakam Islam disesuaikan mengikut peredaran zaman serta terikat dengan Akta-Akta, Enakmen-Enakmen, dan kepentingan hak asasi manusia? Untuk membincangkan isu ini terutamanya apabila melibatkan hukum murtad, kita perlu membahagikan semua hukum-hakam perundangan ini kepada tiga bahagian :

(1) Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima perubahan
Semua dasar dan kaedah yang berkait dengan pengurusan harta, penentuan hukum, system ekonomi dan pentadbiran serta perlembagaan. Syariat dalam masalah ini hanya menetapkan kaedah serta skop yang umum, sementara tugas melakukan serta menghuraikan pelaksanaannya diserahkan kepada eksekutif serta penggubal undang-undang agar sesuai dengan zaman serta suasana setempat dengan syarat tidak bercanggah dengan nas sahih, tidak terkeluar dari kaedah umum atau melampaui dari skop yang dibenarkan.
(2) Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima pengembangan
Masalah yang tidak ada nas yang terang adalah tertakluk kepada ijtihad semasa. Masalah-masalah ini seperti menerangkan hukum Islam tentang jaminan pencen pekerja, ganti rugi pemberhentian kerja dan lain-lain lagi. Ulama muktabar, warak, bertakwa, berkebolehan dalam berijtihad perlu menentukan hukum Islam berasaskan kemaslahatan, perkembangan, sesuai dengan perkembangan tamadun serta kemajuan ilmu. Kaedah fiqh : ‘tidak dinafikan hukum-hakam itu berubah mengikut perubahan zaman’
(3) Masalah-masalah perundangan tetap yang tidak boleh menerima pembaharuan dan pengembangan
Ijtihad tidak dibenarkan dalam masalah yang terdapat nas yang qat’i, seperti masalah aqidah, rukun iman, hukum-hakam ibadah, haramnya zina, riba, arak, judi, membunuh jiwa, membataskan bahagian harta warisan, menghadkan iddah talak dan kematian, larangan membuka aurat, percampuran lelaki dan perempuan dan sebagainya. Ini untuk menjamin tidak berlaku perubahan hukum yang boleh menghancurkan syariat dan ajaran Islam. Ulama’ usul mengatakan : ‘berijtihad tidak dibolehkan terhadap masalah ada nas’

5. Orang-orang bukan Islam hendaklah diberi hak kebebasan untuk menegur, memberi pandangan, mengkritik ajaran dan undang-undang Islam

Ini adalah satu isu yang dibangkitkan oleh salah seorang aktivis muslimah dalam sebuah NGO yang memperjuangkan hak kebebasan beragama menurut perspektif dan kefahamannya. Beliau mengatakan `We cannot discuss race relations because it is sensitive. We cannot discuss religion because it is sensitive. Then who do we give the space to discuss these issues? Where religion is concerned, the people who do not recognize freedom of religion also do not recognize tolerance, understanding, equality, do not have any compunction about other people’s sensitivities… why is it that we, who want to promote freedom of religion, freedom of expression, dialogue, understanding and tolerance must shut up because of the sensitivities of others? To do this is to then hand over this one exclusive group of people, exclusive rights and the monopoly to decide on what is Islam, what is right and what is wrong. The rest of the citizens of this country who will be affected by such pronouncements and by such law making are told to shut up and accept it. This tantamount to nothing more then theocratic dictatorship. The role and right of non-Muslims to talk about Islam is questioned. What right do they have to talk about Islam? Every time they want to say something about Islam, they are told to shut up because ‘you are a non-Muslim and you do not know anything about the religion and you therefore do not have the right to talk about the religion’. When religion is part of public life, when you want to use religion to govern public life, to make laws in the name of religion, then in a democratic society, every citizen has the right to talk about religion because it affects your life, your well-being and it affects your rights as a citizen of this country’.

JiKa sekiranya, orang Islam sendiri merelakan agamanya dikritik dan menganjurkan agar dibenarkan Islam dikritik oleh orang-orang bukan Islam, apakah pula pandangan orang-orang bukan Islam? Sedangkan, umat Islam dianjurkan agar menghormati agama lain. Mengapa pula, penganut agama lain tidak boleh dianjur supaya menghormati agama Islam yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi/persekutuan? Tambahan, undang-undang syariah hanyalah meliputi orang-orang Islam sahaja. Maka, apakah wujud kerisauan dihati orang-orang bukan Islam bahawa mereka juga akan dihukum jika melakukan kesalahan? Hal ehwal agama hendaklah dibincangkan oleh pakar agama sahaja. Orang-orang Islam yang awam yang tidak memahami konsep perundangan Islam, ilmu fiqh, usul fiqh dan sebagainya tidak mungkin atau amat sukar untuk memahami undang-undang syariah, apatah lagi orang-orang bukan Islam yang diajak untuk berbincang tentang ajaran Islam. Bahkan, umat Islam sendiri tidak pernah menyentuh, mengkritik, atau apa-apa sahaja berkaitan agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain. Itu bukanlah adab beragama! Contohnya, seseorang yang memerlukan pembedahan koronari, apakah akan diajak seorang doktor gigi untuk melakukan pembedahan tersebut, ataupun dipanggil seorang mekanik, atau seorang peguam untuk melakukan tugasan tersebut? Walaupun, doktor gigi berada dalam aliran atau bidang `kedoktoran’ yang sama tetapi beliau tidak mempunyai kepakaran dalam perkara pembedahan koronari. Fikir-fikirkanlah.

HUKUMAN RIDDAH

Jika sekiranya terdapat orang-orang Islam yang murtad, dan tindakan itu telah menjadi bahaya kepada masyarakat Islam sama ada dengan pengisytiharan mereka secara terang-terangan, atau mereka telah berperang dengan orang Islam, atau bertindak mengajak orang-orang Islam lain murtad, maka orang-orang Islam diperintah mengambil tindakan terhadap mereka sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud : ‘Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu) padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah (melahirkan) Islam serta, mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun di bumi ini yang menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong’ (Al-Taubah : 73-74)

Murtad adalah merupakan dosa besar dan mengikut Jumhur Ulama ia bukan sahaja dibalas dengan hukuman yang pedih di akhirat akan tetapi boleh dihukum sebagai jenayah mengikut al-Quran dan al-Sunnah.

‘Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai hukum berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah ‘Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi orang-orang Islam dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada Allah dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram serta mengusir penduduknya dari situ, adalah lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah) kekacauan dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan dihormati). Dan mereka orang-orang kafir itu sentiasa memerangi kamu hingga mereka sanggup melakukan yang demikian; dan sesiapa di antara kamu yang murtad, lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)’ (Al-Baqarah : 217)

‘Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah ia beriman dia mendapat kemurkaan Allah, kecuali orang yang dipaksa kafir pada hal hatinya tetap dalam iman’ (An-Nahl : 106)

‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah kemudian murtad, beriman kembali, murtad lagi kemudian memperbesar-besar ketidakpercayaan mereka. Allah tidak akan mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan jalan yang benar kepada mereka’

Ayat ini merujuk kepada perbuatan murtad dan kemudian beriman secara silih berganti, namun tidak ada disebutkan hukumannya. Menurut S. A. Rahman, Ketua Hakim Pakistan : `Hal yang demikian ialah bukti yang jelas dan hampir muktamad yang menolak tesis bahawa orang yang murtad harus dihukum bunuh sebaik sahaja dia murtad. Ayat ini menggambarkan perbuatan murtad yang berulangkali setelah berselangseli beriman kepada Allah, tanpa menyebut sebarang hukuman kerana perbuatan tersebut di dunia. Oleh yang demikian, perbuatan murtad mestilah suatu dosa bukannya jenayah. Jika orang yang murtad harus dibunuh sebaik sahaja dia murtad pertama kali, tentulah dia tidak mungkin murtad berulangkali’. Berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, yang bermaksud ‘Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia’.

Setiap jenayah yang dilakukan sememangnya patut menerima hukuman. Uqubah adalah balasan yang ditetapkan oleh syarak untuk mencegah perlakuan yang ditegah oleh Allah dan melakukan apa yang diperintahNya. Balasan berbentuk fizikal dan telah ditetapkan sejak generasi terdahulu dengan tujuan untuk menyekat mukallaf daripada melakukan jenayah. Jika kesalahan dilakukan juga, pesalah akan dihukum dengan uqubah agar dia tidak mengulangi jenayah itu dan dengan harapan tindakan terhadapnya itu akan menjadi pengajaran kepada yang lain. Ibnu Taimiyah berpendapat uqubah syariah diperundangkan sebagai ‘rahmat’ daripada Allah swt untuk hambaNya, lahir daripada rahmat dan belas ihsan Allah kepada makhlukNya. Jika demikian wajarlah manusia dihukum kerana dosa yang mereka telah lakukan, untuk memenuhi matlamat ihsan dan rahmat kepada manusia, sebagaimana matlamat seorang bapa mendidik anaknya dan seorang doktor mengubati pesakit.

Ciri-ciri falsafah uqubah Islam adalah seperti berikut :-
(1) Berasaskan panduan Allah, bukan hasil pemikiran manusia
(2) Rahmat kepada manusia
(3) Berteraskan pemeliharaan lima aspek asas kehidupan
Imam al-Ghazali menegaskan : ‘Sesungguhnya mencari manfaat dan menghindar kemudaratan adalah tujuan hidup manusia, maslahat manusia akan tercapai melalui pencapaian tujuan hidup mereka. Tetapi apa yang kita maksudkan dengan maslahat ialah menjaga perkara yang menjadi tuntutan syarak ke atas manusia ialah lima iaitu hendaklah menjaga agama mereka iaitu agama Islam kerana agama yang lain tidak diterima oleh Allah, hendaklah menjaga nyawa (termasuk tubuh badan), menjaga akal fikiran, keturunan dan harta benda. Sesuatu yang termasuk dalam penjagaan kelima-lima asas ini dikatakan maslahah’
(4) Menggabungkan uqubah dunia dan uqubah akhirat
(5) Syariah dan keadilan

Ciri-ciri uqubah adalah seperti berikut :-
(1) Uqubah mestilah memadai atau mencukupi sebagai balasan kepada penjenayah
(2) Uqubah mestilah boleh menghalang orang lain daripada melakukan jenayah seperti uqubah yang pedih dan menakutkan, tetapi dalam batas keadilan
(3) Wujud kesesuaian antara uqubah dengan jenayah yang dilakukan, hukuman yang tidak sesuai hendaklah dielakkan
(4) Uqubah mestilah berkuatkuasa sepenuhnya untuk memastikan tiada siapa yang terlepas daripada hukuman

IMPLIKASI RIDDAH

1. Hubungan Perkahwinan

Jika suami atau isteri murtad, maka putuslah hubungan perkahwinan mereka. Apabila isteri atau suami yangmurtad itu bertaubat dan kembali semula kepada Islam, mereka haruslah memperbaharui akad nikah dan mas kahwin. Firman Allah swt : ‘Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik dari seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Ini ialah kerana) orang-orang kafir mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya kepada umat manusia supaya mereka dapat mengambil pengajaran (daripadanya)’ (Al-Baqarah : 221)

Seksyen 46 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyebut : ‘Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain daripada Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh mahkamah’

2. Hak Jagaan Anak (termasuk nafkah anak)

Permasalahan hak jagaan anak dan nafkah timbul apabila satu pihak memeluk agama Islam manakala satu pihak lagi enggan, ataupun apabila satu pihak murtad. Ini dapat dilihat dalam beberapa kes yang telah diputuskan oleh pihak Mahkamah. Di dalam kes Mohd Hanif Farikullah v. Bushra Chaudri & Another Appeal , isu ialah sama ada Mahkamah Majistret ada bidangkuasa untuk mendengar permohonan nafkah anak. Faiza Tamby Chik J : `Article 121(1A) Federal Constitution does not overrule the general jurisdiction of the civil courts. Civil courts are courts of general jurisdiction and can hear cases commenced by Muslims as well as by non-Muslims, and can try offences against Muslims and non-Muslims that are created by the laws of the land. Moreover, the civil High Courts are courts of inherent jurisdiction while the jurisdiction of the Syariah Courts are determined by the respective state laws and if the Legislature does not confer on the Syariah Courts any jurisdiction to deal with any matter in the State List then the Syariah Court is precluded from dealing with that matter. Consequently, once a decision is made that the civil court has jurisdiction to hear a matter then the court can decide the matter or issue which arise’

3. Hak Terhadap Harta

Imam Syafie berpendapat harta benda orang murtad menjadi hakmilik baitul mal, dan tidak boleh diwarisi, sama ada oleh waris yang Islam atau yang bukan Islam. Imam Hanafi berpendapat harta orang yang murtad yang diperolehinya pada masa ia Islam (sebelum murtad) adalah diwarisi oleh warisnya yang Islam. Tetapi harta yang diperolehi pada masa ia murtad, jika ia mati, atau dihukum bunuh atau dibuang ke negara bukan Islam, maka hartanya menjadi harta Fie’, dan hendaklah diserahkan kepada baitul mal.

4. Harta Sepencarian

Ke manakah pihak-pihak akan memohon apabila salah seorang murtad untuk menuntut hak terhadap harta sepencarian yang didapati dalam tempoh perkahwinan? Adakah pihak-pihak boleh menuntut harta sepencarian tersebut? Adakah pihak yang murtad boleh memohon di Mahkamah Sivil?

5. Hak Perwalian

Orang yang murtad tidak mempunyai hak kewalian terhadap orang lain. Ia tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya.

6. Hak Waris

Orang yang murtad tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat-kerabat muslimnya. Dalam kes Re Timah bt Abdullah telah diputuskan ahli waris bukan Islam seorang perempuan Jepun yang telah memeluk Islam, tidak mendapat apa-apa bahagian dai harta pusakanya. Sabda Nabi saw, ‘Orang muslimin tidak boleh mempusakai orang kafir, dan orang kafir tidak boleh mempusakai orang Muslim’

7. Hutang Orang Murtad

Segala hutang yang ditanggungnya semasa dia masih Islam dibayar dengan harta pencariannya semasa dia Islam. Manakala hutang-hutang tanggungannya ketika murtad hanya dibayar dengan hasil usahanya semasa dia dalam murtad. Ini adalah riwayat daripada Abu Hanifah, dan kata-kata Zufar.

8. Hak Persaksian

Dalam banyak urusan yang menghendaki orang Islam yang adil disyaratkan menjadi saksi. Orang Islam yang fasik tidak diterima sebagai saksi, apatah lagi orang kafir kecuali dalam perkara wasiat orang Islam yang dalam musafir yang hendak meninggal dunia apabila tidak didapati orang Islam lain disampingnya. Hadith ‘Adalah tidak sah nikah melainkan dengan wali dan dua saksi yang adil’ (Riwayat Thabrani). Firman Allah swt : ‘…dan hendaklah kamu mengadakan 2 orang saksi lelaki dari kalangan kamu..’ (Al-Baqarah : 282)

9. Hak Dalam Kepimpinan dan Jawatan

Pemimpin, pengurus, pentadbir dan pelindung orang Islam itu hendaklah orang Islam. Firman Allah swt : ‘Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain..’ (At-Taubah : 71). Dalam satu surah yang lain, Allah swt berfirman : ‘Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat kepada sesetengahnya yang lain…’ (Al-Maidah : 51)

PENUTUP

Isu murtad adalah amat sensitif dikalangan mana-mana penganut agama, dan tidak terhad kepada agama Islam semata-mata. Yang membezakan hanyalah, Islam adalah suatu sistem hidup yang merangkumi undang-undang yang sempurna mengawal kehidupan umat termasuklah menyediakan hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan. Pada hakikatnya tidaklah ada segala agama, pemuka-pemuka agama yang bertanggungjawab dalam agama itu, seperti pendeta Kristian, pastor Katolik, bikshu Buddha dan ulama Islam yang senang mendengar kalau ada penganutnya yang murtad. Pemuka tiap agama ingin pemeluk agama lain pindah ke dalam agama yang dia pimpin dan yang di dalam jangan sampai murtad. Sebab itu dalam hati kecil pemuka sekalian agama tidak ada yang menyetujui : Ayat 1 fasal 16 dan Hak Murtad yang terselip dalam fasal 18 Piagam Hak-Hak Asasi Manusia.

Justeru, maklumat yang benar dan betul berkenaan undang-undang Islam yang bersifat rabbani, universal, lengkap dan melengkapi seluruh kehidupan manusia seringkali disalahertikan yang mana sebahagian umat Islam sendiri keliru dan mempunyai kefahaman yang salah tentang Islam dan menganggap bahawa Islam hanyalah agama sepertimana agama-agama lain yang hanya terbatas diruang lingkup ibadat di masjid, surau, hanya berkenaan ibadat dan akhlak semata-mata. Jika umat Islam sendiri gagal untuk memahami, enggan mempelajari, dan hanya mengambil sikap sambil lewa dan tidak mengendah kepentingan mempelajari dan memahami konsep Islam yang sebenar, maka tidak hairanlah terdapat pihak bukan Islam yang cuba memberi definisi Islam menurut teori dan kefahaman mereka sendiri dengan mencedok sedikit sebanyak maklumat daripada agama-agama lain. Malah umat Islam sendiri cuba menerangkan berkenaan agama Islam berdasarkan ilmu yang ada di dada mengikut kefahaman masing-masing tanpa merujuk kepada golongan pakar agama. Ini menimbulkan kesan yang negatif terhadap agama Islam dan umat Islam sendiri.

Kaedah Fiqh : Keyakinan Tidak Dihilangkan Dengan Keraguan

KAEDAH 2 : KEYAKINAN TIDAK DIHILANGKAN DENGAN KERAGUAN

1. Sesuatu perkara yang telah diyakini berlaku, sebarang keraguan yang datang kemudian untuk meragui keyakinan itu tidak diambil kira. Perkara asal dan yang yakin itu tidak boleh ditinggalkan hukumnya disebabkan oleh sebarang syak atau keraguan. Apa yang telah tetap dan teguh itu tidak terangkat atau berganjak dengan sebab kedatangan syak kepadanya

`Tanggungjawab apabila dibina atas keyakinan ia tidak terlepas kecuali dengan yakin’

2. Kaedah Lain
a. `Apa yang ditetapkan dengan yakin tidak diangkat melainkan dengan yakin’

b. `Yang yakin tidak dihilangkan dengan syak dan tidak boleh dihilangkan melainkan dengan yakin’

c. `Tidak ditinggalkan yang yakin asal wajibnya dengan perkara baru yang diramal atau diandai’

d. `Yang syak tidak dipalingkan kepadanya atau tidak diambil kira dan yang yakin diamalkan terhadapnya’

e. `Syak tidak menghimpit yang yakin’

3. Perbezaan Yakin, Syak, Zann dan Waham
a. Yakin
• Al-Jawhari : suatu ilmu dan lenyapnya syak
• Ibn Mansur : Ilmu dan membuang syak serta hakikat sesuatu perkara
• Abu al-Baqa’ : Pegangan yang kukuh mantap dan tetap serta menepati kenyataan
• Raghib al-Asfahani : Tetapnya atau diamnya sesuatu kefahaman berserta tetap hukum. Yakin merupakan sifat yang lebih tinggi daripada makrifah, buktinya dikatakan ilmu al-yaqin dan tidak dikatakan makrifa al-yaqin
• Sesuatu yang pasti berdasarkan kajian dan bukti iaitu sesuatu yang menjadi tetap melalui penglihatan atau dengan adanya dalil
b. Ghalabah al-Zann
• Al-Allamah : penjelasan dan ibarat tentang ketenangan zan
• ½ ulama : berada pada tingkat yang sama dengan yakin
• harus diasaskan hukum fiqh berdasarkan ghalabah zan ketika tidak ada yaqin dan selagi ia berasaskan penelitian dan bukti
c. Zann
• Al-Hamawiy : seseorang yang berada dan berhenti di antara dua yang mana ia dapat mengukuhkan atau dapat ditarjihkan salah satu antara keduanya
• Berat sangka atau sangkaan yang lebih hampir kepada kebenaran, namun tidak mencapai tahap keyakinan dan ghalabah al-zan
• harus dibina hukum dan diterima
d. Syak
• Keraguan yang sama kuat atau sama banyak terhadap sesuatu perkara i.e. keraguan tidak dapat ditarjihkan mana satu yang lebih kuat
• tidak diterima dalam hukum fiqh
e. Waham
• Keraguan yang dialami oleh seseorang yang mana antara keduanya lebih mirip atau cenderung kepada yang lemah atau tidak kukuh
• Suatu bayangan atau lintasan pada hati atau diri seseorang yang dikira sebagai sangkaan meleset atau salah
• Tidak diterima dalam hukum fiqh

4. Jenis syak
a. keraguan yang lahir daripada atau sumber haram
b. keraguan yang terbentuk daripada asal atau dasar yang harus
c. keraguan yang tidak dapat dipastikan asal atau sumbernya, sama ada haram atau harus

5. Sumber asal kaedah
a. `Apabila seseorang kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, kemudian timbul keraguan dengan sebabnya : Apakah telah keluar sesuatu daripadanya atau tidak? Janganlah sesekali ia keluar daripada masjid sehingga ia mendengar suara atau mencium bau’
b. `Apabila seseorang kamu ragu2 ketika sembahyangnya, ia tidak ingat berapa rakaatkah yang telah dilakukannya : 3 atau 4? Hendaklah ia ketepikan keraguan tersebut dengan keyakinan dan berpegang dengan apa yang meyakinkan’

6. Kaedah Pecahan
a. `Asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya’
• Wanita yang ditalak rajie, membuat pengakuan bahawa ia masih dalam keadaan suci dan iddah belum habis. Dibenarkan akuannya serta berhak mendapat nafkah daripada suaminya. Kerana asalnya kekal iddah hinggalah yakin iddah telah tamat
• Pasangan suami isteri yang telah hidup bersama bertelingkah. Di mana isteri membuat pengakuan suaminya tidak menunaikan tanggungjawab nafkah dan pakaian kepadanya. Pengakuan isteri itu yang diterima. Alasannya kerana asalnya nafkah tersebut adalah tanggungjawab suami dan ia belum diberikan
b. `Apa yang ada semenjak dahulu, dibiarkan atas kedahuluannya’
• Seseorang mempunyai hak atau diberikan kebenaran menggunakan jalan di hadapan rumah orang lain semenjak dahulu kala, pemilik tanah tersebut tidak berhak menegahnya walaupun ia tidak mengetahui sejarah asal mulanya
• Seseorang yang dibenarkan mengairi sawahnya dengan menggunakan terusan yang ada dalam tanah orang lain yang telah berlaku semenjak sekian lama. Tuan tanah tidak berhak menegah pengairan walaupun ia tidak mengetahui asal mulanya
c. `Asalnya seseorang bebas daripada tanggungjawab’
• Penjenayah yang melukakan seseorang mengatakan : `Itulah 1 kesan luka yang saya cederakan awak’. Namun mangsa mengatakan : `Awak cederakan saya pada 2 tempat’. Pengakuan yg diterima ialah kata2 penjenayah kerana asalnya ia bebas drp tanggungjawab
d. `Asalnya apa yang menjadi tumpuan iqrar ialah sesungguhnya saya beramal dengan keyakinan, menolak keraguan serta tidak mengambil yang berdasarkan kebiasaan atau dikuasai oleh dugaan’
• Seorang hakim telah membuat ikrar atau pengakuan tentang sesuatu. Sekiranya ikrar dalam keadaan memberi keputusan atau kehakiman ikrarnya diterima. Jika dalam keadaan orang biasa atau bercerita tentang perkara lalu, ia tidak diterima sebagai keputusan
e. `Asal segala sesuatu itu tiada’
• Seseorang telah mendakwa bahawa barang yang dibelinya ada kerosakan, sedangkan penjual menafikannya. Diterima pengakuan penjual, kerana asalnya kecacatan pada barang dijual tiada
f. `Apa yang ditetapkan berdasarkan masa atau semasa dihukum dengan kekalnya begitu, selagi tiada dalil menyalahinya’
• Seseorang yang menghilangkan diri tanpa dapat dikesan sama ada hidup atau mati. Harta pemilikannya tidak dapat diwarisi sesuka hati. Kerana ia dikira masih hidup sebagaimana ia keluar dari rumah dahulu, sehinggalah ada bukti yang menunjukkan kematiannya
g. `Asal setiap yang berlaku diambil kira masa paling hampir’
• Seseorang lelaki memukul perut wanita mengandung, kemudiannya wanita tersebut melahirkan anak dalam keadaan hidup dan sihat dalam jangkamasa tertentu. Tidak berapa lama kemudian, bayi itu meninggal dunia. Lelaki yang memukul perut wanita tersebut tidak dikenakan tanggungjawab, kerana kemungkinan bayi itu mati sebab lain
h. `Asal sesuatu adalah harus, hinggalah ada dalil menunjukkan pengharamannya’
• Suatu ketika Rasulullah saw melihat para sahabat di Madinah bersusah payah memanjat pokok kurma untuk mengahwinkan bunga kurma supaya buahnya lebih bermutu. Lantaran, Baginda menyarankan supaya mereka tidak perlu bersusah payah begitu. Namun ternyata jika bunga tamar tidak dikahwinkan menyebabkan buahnya kurang baik mutunya. Selepas peristiwa itu, Baginda menyerahkan urusan yang berkaitan keduniaan kepada umatnya.
HR Anas bin Malik : `Kamu lebih mengetahui dalam hal yang berkaitan dengan urusan keduniaanmu’
i. `Hukum asal dalam masalah seks adalah haram’
• Jika dinyatakan kepada seseorang lelaki bahawa di sebuah kampong tertentu terdapat seorang wanita yang haram dikahwininya, namun ia tidak mempastikan mana satu wanita yang dimaksudkan. Ia tidak mengahwini semua wanita yang tinggal di kampong itu sehingga ia dapat mempastikan mana satu wanita yang haram dikahwininya
j. `Hukum asal pada sesuatu ucapan itu dikira maknanya yang hakiki’
• Seseorang bersumpah tidak akan makan lembu yang dibeli. Ia dikira melanggar sumpahnya jika ia memakan daging lembu tersebut. Namun jika meminum susunya tidak mengapa kerana daging merupakan makna hakiki dan susunya merupakan makna majazi
k. `Apabila sesuatu lafaz sukar diertikan secara hakiki, dipindahkan kepada pengertian majazi’
• Seseorang lelaki bersumpah tidak akan makan pokok durian. Menurut pengertian hakiki dia tidak akan makan batang dan dahannya. Namun pengertian hakiki tersebut sukar serta tidak dapat dilaksanakan. Waktu itu, berpindah perlaksanaannya kepada pengertian majazi, iaitu tidak akan makan buah durian
l. `Sesiapa yang syak adakah ia telah melakukan sesuatu atau belum, dianggap ia belum melakukannya’
• Jika seseorang syak adakah ia meninggalkan salah satu rukun sewaktu sembahyang atau ibadat wajib lain. Hukumnya ia mestilah mengulangi apa yang disyaki atau dirasakan belum melakukannya
m. `Sesiapa yakin melakukan sesuatu amalan, namun ragu2 tentang sedikit atau banyaknya, dikira yg sedikit. Kerana ia lebih meyakinkan’
• Seseorang suami syak sama ada ia telah menceraikan isterinya dengan talak satu atau lebih. Ia hendaklah mengira yang paling sedikit

7. Kategori Hukum Asal dan Zahir
(A) `Berlaku pertentangan antara asal dengan zahir’
a. Asal lebih kukuh secara pasti
b. Zahir lebih kukuh secara pasti
c. Asal lebih kukuh menurut pendapat yang lebih tepat
d. Zahirnya lebih kukuh daripada asal

(B) `Berlaku pertentangan di antara 2 asal’
a. seseorang yang meragui sedikit atau banyaknya darah kutu yang terkena pada pakaian sembahyangnya. Imam al-Haramain, ada 2 kemungkinan : asalnya terhindar dari najis dan asalnya juga najis dan darah seperti itu dimaafkan
(C) `Berlaku pertentangan di antara 2 zahir’
a. seseorang wanita mengikrarkan berlaku perkahwinan dan ikrar tersebut dibenarkan oleh orang yang diikrarkan
• qaul jadid Imam Syafie : ikrar wanita diterima. Kerana zahirnya ia menunjukkan kebenaran antara pembuat ikrar dan orang yang diikrarkan saling membenarkan atau mengakui
• qaul qadim Imam Syafie : andainya pembuat pengakuan dan orang yang diakui menetap dalam satu daerah, hendaklah dibawa saksi. Kerana zahirnya ia bertentangan dengan zahir yang lain iaitu 2 orang yang tinggal dalam satu daerah sememangnya telah mengetahui keadaan diri masing2 serta mudah bagi keduanya membawa saksi


suriaterang

Kaedah Fiqh : Segala Urusan Berdasarkan Niat

KAEDAH 1 : SEGALA URUSAN BERDASARKAN NIAT

1. Segala perbuatan dinilai dan bergantung kepada niat seseorang. Amalan2 yang dilakukan mukallaf bergantung kepada apa yang diniatkannya. Ulama fiqh bersepakat menyatakan sekiranya seseorang berniat untuk melakukan kebajikan dan tidak dapat ditunaikannya disebabkan sesuatu masyaqqah atau keadaan tertentu ia tetap diberi pahala. Niat juga amat penting untuk menentukan halal dan haram.

Peristiwa Rukanah menceraikan isteri dengan lafaz al-Battata ( ) bermaksud : putus. Hadis Riwayat Yazid bin Rukanah :
`Sesungguhnya beliau telah menceraikan isterinya dengan lafaz al-Battata, iaitu putus. Dia pergi menemui Rasulullah saw dan bertanyakan masalah tersebut dengan berkata : Aku tidak inginkan begitu, katanya lagi : Aku maksudkan satu talak sahaja. Rasulullah saw bertanya : Demi Allah! Engkau maksudkan satu? Rukanah menjawab : Demi Allah! Aku maksudkan hanya satu. Beliau berkata : Baginda mengembalikan isterinya’

2. Hukum Furuq yang terbentuk daripada kaedah :

a. Seseorang mencuri alat muzik yang melalaikan tujuan merosakkannya, ia tidak dikenakan hukuman hudud, namun jika ia mencuri dengan tujuan menjualnya, ia dihukum
b. Seseorang yang melakukan sesuatu yang diharus terhadap dirinya dengan niat atau meyakini ia adalah haram, dikira haram. Contohnya, menyetubuhi isterinya dengan meyakini isterinya itu adalah wanita lain, ia dikira berzina
c. Seseorang lelaki menyetubuhi wanita lain dengan sangkaan dan meyakini wanita tersebut adalah isterinya, ia tidak dikenakan hukuman hudud sebagaimana orang yang berzina berdasarkan niat dan maksudnya itu
d. Seseorang yang memerah anggur dengan niat membuat cuka, harus hukumnya. Jika ia berniat membuat arak, haram hukumnya
e. Seseorang yang meminum air mutlak dengan berniat minum arak, haram hukumnya

3. Sumber asal kaedah :

a. Al-Bayyinah : 5 `Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid’

b. Ali Imran : 145 `Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu
c. Hadis Umar al-Khattab : `Sesungguhnya setiap pekerjaan itu diambilkira berdasarkan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya, atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, hijrahnya itu berdasarkan apa yang ia hijrahkannya’
d. Hadis Abu Hurairah : `Manusia akan dibangkitkan berdasarkan niatnya’
e. Hadis Abu Musa al-Asy`ari : Niat seseorang muslim lebih baik dari amalannya’
f. Hadis Uqbah bin Husayn : `Sesungguhnya Allah memasukkan 3 orang ke dalam syurga kerana satu anak panah’
g. Hadis Maimunah : `Sesiapa dari kalangan orang Islam yang berhutang (ia berniat untuk membayarkannya) Allah mengetahui yang ia berhasrat untuk melunaskannya, melainkan Allah akan lunaskan di dunia’



4. Bidang Kaedah

a. Ibadat
Berwuduk, mandi wajib dan sunat, khuf, tayammum, solat, puasa, iktikaf, haji, umrah dll
b. Akad dan Kontrak
Hukum berkaitan akad dan keluarga seperti pinjaman, jaminan, pindahan hutang, pelupusan hutang, pembatalan jualbeli, perwakilan, ikrar, rujuk, talak dll
c. Qisas
Membezakan antara perbuatan pembunuhan sengaja, separuh sengaja dan tidak sengaja
d. Segala amalan Taqarrub
Niat mendekatkan diri kepada Allah i.e. menyebarkan ilmu, mengajar, fatwa, menulis, menghukum, menegakkan kebenaran, berkaitan dengan kehakiman dan tugasnya
e. Segala amalan harus bertujuan ibadat i.e. makan, minum, bekerja dan mencari nafkah, berkahwin serta hubungan keluarga juga menjaga diri daripada zina dan maksiat

5. Kaedah Pecahan

a. `Melakukan apa yang tidak dimaksudkan, bererti berpaling daripada yang dimaksudkan’

b. `Niat berkaitan dengan sumpah dapat mengkhususkan lafaz umum, namun tidak mengumumkan lafaz khusus’

c. `Sesuatu lafaz berdasarkan niat orang yang mengucapkannya’

d. `Sumpah berdasarkan niat orang yang bersumpah’

e. `Amalan fardhu terlaksana dengan niat sunat’

f. `Apa yang dipegang dalam akad itu ialah maksud dan makna, bukan lafaz dan bentuk perkataan’

g. `Segala akad yang mana maksudnya tidak membawa faedah tersebut’

6. Fungsi disyariatkan niat

a. Membezakan ibadat dengan adat
• Menahan diri dari makan kerana puasa atau menguruskan badan
• Menyembelih binatang untuk makan atau ibadat korban
b. Membezakan ibadat dengan ibadat lain
• Ibadat fardhu atau sunat
• Memberikan wang sebagai sedekah atau zakat

7. Kategori Penyekutuan Niat

a. Menyekutukan Ibadat dengan Bukan Ibadat
menyembelih binatang dengan niat kerana Allah dan lainnya, batal penyembelihannya itu dan binatang sembelihan tidak halal dimakan

b. Menyekutukan Ibadat Fardu dengan Sunat
i. mendapat kedua-duanya
• sembahyang fardhu serta niat untuk mengajar orang lain
• niat mengerjakan haji dan menggabungkan umrah sunat atau wajib
ii. mendapat yang fardu
• niat mengerjakan haji wajib dan haji sunat, dapat haji wajib
iii. mendapat yang sunat
• menghulurkan wang dengan niat berzakat dan sedeka biasa, dapat sedekah sunat
iv. terbatal kesemuanya
• mendirikan sembahyang fardu dengan niat sembahyang fardu dan sunat, terbatal keduanya

b. Menyekutukan Ibadat Fardu dengan Fardu
Hukum asal terbatal keduanya. Imam al-Subky berkata ia tidak mendapat ganjaran pahala kecuali dalam ibadat haji dan umrah sahaja

c. Menyekutukan Ibadat Sunat dengan Sunat
Mendirikan sembahyang sunat duha dan qada’ atau ganti sunat sebelum subuh. Tidak dapat keduanya kerana penyekutuan.

d. Menyekutukan Niat dengan selain Ibadat
`Engkau adalah haram untukku, dengan berniat talak dan zihar’
i. boleh memilih antara kedua, mana yang dipilih itulah yang tercapai
ii. talak berdasarkan kekuatannya yang lebih berbanding zihar
iii. zihar kerana asalnya perkahwinan tetap berlaku

8. Syarat Niat
a. Islam
b. Mumaiyiz
c. Berakal atau waras

9. Menafikan Niat
a. Membatalkan iman
• berniat memutuskan iman, dikira murtad
b. Memutuskan daripada ibadat
• Niat berhenti sembahyang ketika sedang sembahyang, batal sembahyang

10. Kedudukan Niat dalam ibadat – sama ada berada pada status rukun atau syarat
a. majoriti ulama mazhab al-syafie : rukun daripada ibadat
• alasan : ia berada atau terletak dalam ibadat. Sedangkan syarat itu hendaklah berada atau seharusnya ada sebelum menunaikan ibadat, serta wajib ada syarat tersebut selagi perkara itu berlangsung
b. Ibn al-Sabbagh dan Qadi Abu al-Tayyib : niat adalah syarat, bukan rukun
• Alasan : jika tidak dikatakan syarat sudah tentu perlu kepada niat yang lain pula dan tidak memadai satu niat tersebut sahaja, iaitu perlu kepada niat yang dikatakan rukun tersebut


suriaterang

Wakalah Peguam Syarie

Wakalah Perlantikan Peguam Syarie

Berbeza dengan kes-kes di Mahkamah Sivil, seorang peguam boleh bertindak mewakili anakguam dengan hanya memfailkan Notis Kehadiran di Mahkamah dengan bayaran tertentu.

Walaubagaimanapun di Mahkamah Syariah, peguam syarie hendaklah memfailkan Wakalah Perlantikan di Pejabat Mahkamah Syariah dengan bayaran tertentu dan seterusnya membacakan wakalah perlantikan tersebut dihadapan Pendaftar atau Hakim.

Al-Wakalah dari segi bahasa bermaksud :
(i) bertanggungan dan menunaikan urusan orang lain
(ii) bergantung kepada yang lain atau menyerahkan
(iii) menjaga

Dari segi istilah ia bermaksud mengganti orang lain di dalam melaksanakan sesuatu urusan yang boleh dilakukan oleh pengganti tanpa mensyaratkan selepas kematian pihak yang menyerahkan urusan.

Berdasarkan maksud tersebut maka al-wakalah terikat dengan beberapa perkara seperti berikut :
(i) penyerahan gentian berurusan memerlukan ijab dan Kabul di antara pewakil dan wakil
(ii) urusan yang diserahkan kepada wakil mestilah jelas
(iii) urusan yang diserahkan mestilah yang boleh menerima gentian (niyabah) iaitu yang boleh dilakukan oleh pengganti/wakil
(iv) urusan yang diserahkan adalah milik wakil
(v) tidak mensyaratkan urusan tersebut dengan kematian pewakil kerana jika disyaratkan pelaksanaan tersebut selepas kematian pewakil maka ianya menjadi wasiat


CONTOH WAKALAH
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI ........
DALAM NEGERI .........., MALAYSIA
KES MAL BIL : 01003-055-0634 TAHUN 2007

DI ANTARA

ABC BT DEF … PLAINTIF
DENGAN
HIJ BIN KLM … DEFENDAN

WAKALAH

Bahawasanya saya, ABC BT DEF (No. K/P : 666666-66-6666) yang beralamat di xxxxxxxxxxxxxxxxx adalah Plaintif yang dinamakan di atas dengan ini melantik PUAN XYZ BT MNO Peguam Syarie bagi mewakili dan bertindak bagi pihak saya dalam kes ini dan untuk hadir dalam prosiding yang berhubung dengannya.

Bertarikh pada haribulan , 2007.


................……………………………
ABC BT DEF


Bahawasanya saya, XYZ BT MNO dengan ini menerima dan bersetuju untuk menerima perlantikan sebagaimana tersebut di atas.

Bertarikh pada haribulan , 2007.

………………………………..
XYZ BT MNO


Di hadapan saya,


………………………………………………
HAKIM/PENDAFTAR


Wakalah ini telah difailkan oleh Tetuan XYZ & Partners, peguam syar’ie yang beralamat di No. . Tel : 06-99999999 Faks : 06-99999999 No. Rujukan : ASAP/MR/S/10000

Lafaz talak beribu-ribu - adakah jatuh talak?

Lafaz talak beribu-ribu – adakah jatuh talak?


Dewasa ini pelbagai persoalan timbul dengan ungkapan perceraian oleh suami dengan menggunakan pelbagai `wording’ atau lafaz perkataan serta menggunakan pelbagai kaedah teknologi terkini termasuklah sistem khidmat pesanan ringkas dan lain-lain.

Nampak seperti mudahnya perceraian yang berlaku dan murah sekali harga sebuah perkahwinan. Keletihan dan beban hutang yang ditanggung semasa mengadakan majlis perkahwinan yang gilang gemilang masih lagi terasa. Ringan mulut menuturkan ungkapan `apa nak buat, jodoh tak ada’.

Terdapat juga pasangan yang bersungguh-sungguh berusaha untuk mempertahankan rumahtangga yang dibina, tetapi disebabkan kejahilan tentang hukum hakam perkahwinan, maka mahligai bahagia yang dibina roboh begitu sahaja. Terbayang wajah anak-anak yang masih kecil tertanya-tanya dan keliru dengan perpisahan yang berlaku antara ibu dan ayah yang masih kuat dan utuh ikatan kasih sayang mereka.

Di dalam hal ini, ingin saya berkongsi satu contoh kes di mana si suami telah melafazkan kalimah cerai terhadap isteri dengan ungkapan lafaz taklik, `kalau you jumpa dia (Jamaluddin), jatuh talak beribu-ribu’. Tidak dinafikan bahawa si isteri masih terus berjumpa Jamaluddin selepas lafaz taklik tersebut. Suami menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk menceraikan isteri dengan lafaz taklik tersebut tetapi hanya bertujuan untuk melarang isteri daripada berjumpa dengan Jamaluddin.

Dalam kes Zainuddin Kamaruzzaman lwn Khairuzita Khairuddin , [2006] 1 CLJ (Sya) 366, Hakim Bicara telah mengulas bahawa lafaz taklik yang perlu kepada Mua’lah Alaib iaitu perbuatan pergi jumpa Jamaluddin dan ini disahkan sendiri oleh isteri.

Hakim bicara selanjutnya telah menjelaskan dengan merujuk kepada kitab I’aanah at-Talibin, Juzuk 4 m/s 27 :

`Harus bertaklik talak seperti mana membebaskan hamba dengan syarat dan tidak harus menarik balik sebelum wajib sifat dan tidak berlaku talak sebelum wujudnya syarat’.

Di dalam kitab al-Sharqani at-Tharit, Juzuk 2, m/s 302 menyatakan :

`Sesiapa yang membuat taklik dengan satu sifat atau lafaz maka jatuh talak dengan satu talak dengan adanya perbuatan atau sifat seperti mana bentuk lafaz taklik yang dibuat itu’

Berdasarkan 2 nas hukum syarak di atas jelaslah bahawa lafaz taklik talak yang telah dilafazkan oleh suami adalah lafaz taklik yang tidak boleh ditarik balik sehingga ia berlaku atau perlanggaran taklik itu wujud iaitu syarat atau sifat dalam lafaz taklik iaitu `kalau you jumpa dia, jatuh talak beribu-ribu talak’. Syaratnya `kalau isteri pergi berjumpa Jamaluddin jatuh talak beribu-ribu talak’.

Persoalan seterusnya, berapa jumlah talak yang jatuh?

Hakim bicara telah jelas menyebut berpandukan hukum syarak iaitu jika taklik seperti beribu atau sebanyak bintang di langit sekalipun ianya hanya akan dikira sekadar tiga sahaja iaitu jumlah yang maksima yang dibenarkan hukum syarak.

Di dalam kes ini, suami telah menjatuhkan satu talak kepada isteri sebelumnya. Maka baki talak ialah sebanyak sua talak lagi. Hakim seterusnya mensabitkan talak jatuh dua menjadikan tiga talak yang berjumlah kepada talak bain.

Adalah dinasihatkan supaya suami iaitu perayu di dalam kes ini menerima hakikat bahawa lafaz telah berlaku secara bain kubra dan wajar menerima ketentuan Ilahi ini dengan redha. Walaupun berat tetapi mahkamah ini menasihatkan supaya belajar mengenai hukum perkahwinan supaya menjamin rumahtangganya. Muslim dapat ditegakkan bukan hanya untuk nikah sahaja tetapi semua hukum-hukum yang terbit dari perkahwinan itu seperti bersekedudukan selepas bercerai tanpa rujuk yang sah, juga harus di ambil iktibar bahawa perbuatan itu menjejaskan akad nikah dan juga tidak sesuai sebagai rumahtangga muslim.


suriaterang

Pemimpin Gereja Britain minta undang-undang Syariah dibenarkan

Pemimpin gereja Britain minta undang-undang syariah dibenar
08/02/2008 4:16pm


LONDON 8 Feb. _ Ketua Uskup (Archbishop) Canterbury semalam meminta dibenarkan pelaksanaan undang-undang syariah secara terhad di Britain, cadangan yang mendapat pujian dari penduduk Islam Britain.

Cadangan yang dianggap luar biasa daripada seorang pemimpin tinggi gereja itu jika diterima akan memberi ruang kepada penduduk Islam Britain menyelesaikan pertikaian perkahwinan dan harta mengikut undang-undang Islam dan tidak melalui mahkamah-mahkamah sivil Britain.

Ketua Uskup Rowan Williams dalam satu temu ramah radio dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berkata, pelaksanaan undang-undang Islam boleh membantu membaiki masalah sosial.

Menurut beliau, langkah memperkenalkan undang-undang Islam merupakan suatu yang "tidak boleh dielak."

"Beberapa peruntukan dalam syariah sudah diiktiraf dalam masyarakat kita dan diterima di bawah undang-undang kita, jadi kita bukan membawa suatu yang asing dan bertentangan dengan sistem," katanya.

Bagaimanapun, jurucakap kepada Perdana Menteri Gordon Browan menolak cadangan Williams itu.

"Perdana Menteri percaya undang-undang Britain perlu dilaksana di negara ini berdasarkan nilai Britain," tegas Michael Ellam.

Cadangan tersebut juga ditolak oleh Sayeed Warsi, seorang menteri bayangan bagi Perpaduan Masyarakat dan Tindakan Sosial.

Beliau memberi alasan bahawa semua rakyat Britain tertakluk kepada undang-undang yang sama.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Ramadhan, Mohammed Shafiq berkata, pelaksanaan undang-undang syariah akan mengurangkan ketegangan dalam masyarakat.

"Ia akan menjadikan orang Islam berbangga menjadi orang Britain. Ia juga akan menjadikan orang Islam yakin negara ini menghormati kepercayaan mereka," katanya.

Menurut beliau, rakyat bukan Islam Britain juga perlu memahami bahawa cadangan Williams itu tidak bermaksud pelaksanaan dalam hal ehwal jenayah tetapi untuk pertikaian sivil.

Mohammed dan Williams menyatakan, Britain telah membenarkan penganut Yahudi Orthodok menyelesaikan pertikaian mengikut undang-undang tradisional Yahudi.

– AP

http://www.archbishopofcanterbury.org/1581

Suami Murtad, Hak Jagaan Anak Diberikan Kepada Ibu




Suami Murtad, Hak Jagaan Kepada Ibu


Di dalam kes Permohonan Ex Parte Zaimas bt Ibrahim , Pemohon telah memohon mengesahkan perceraiannya oleh suaminya yang telah menceraikan diluar mahkamah. Mahkamah telah berpuas hati bahawa Muhamed Tham bin Abdullah telah murtad, mahkamah juga berpuas hati bahawa perbuatannya yang sedemikian itu menyebabkan Mahkamah ada kuasa untuk membubarkan perkahwinannya dengan Zaimas binti Ibrahim.

Mahkamah telah merujuk kepada peruntukan Seksyen 43(1) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 yang memperuntukkan :

`Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain daripada Islam, maka perbuatan yang sedemikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah’

Sepanjang tempoh perkahwinan, mereka telah dikurniakan dua orang cahayamata perempuan.

Mengenai tuntutan hak jagaan anak oleh Pemohon, Mahkamah melihat kepada apa yang disebutkan di dalam kitab feqah. Di dalam kitab Kifayah Al-Akhyar juzuk 2 mula 93 ada disebut bererti :

`Hadanah ialah satu ungkapan untuk menyatakan pelaksanaan mengasuh anak yang masih tidak dapat membedakan antara yang bermanfaat (tamyiz), dan tidak dapat mengatur dirinya sendiri dan mengasuhnya sesuai dengan apa yang mendatangkan manfaat kepada dirinya dan menjauh mudarat daripada’

Selain daripada itu syarat-syarat hadinah, iaitu perempuan yang mempunyai hak mendidik kanak-kanak juga disebut di dalam kitab yang berkenaan di muka surat 94, manakala di dalam undang-undang ianya diperuntukkan menurut Seksyen 81 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 seperti berikut :

Hadinah, iaitu perempuan yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika –

(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia berakal sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani’


Di dalam Enakmen yang sama, Seksyen 83 telah memperuntukkan :

(1 Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan

(2) Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memutuskan selainnya’


Memandangkan bahawa Muhamed Tham bin Abdullah telah keluar dari agama Islam, walau apapun kedudukannya, demi menjaga iman anak-anaknya dengan Zaimas dan berpandukan kepada peruntukan Seksyen 83(2) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 yang antara lain memperuntukkan, `… melainkan jika Mahkamah memerintah selainnya,’ dan juga hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

`tiap-tiap kanak-kanak itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah (suci) maka kedua-dua ibu bapa merekalah yang menyebabkan mereka itu menjadi Yahudi atau Nasrani ataupun Majusi’

serta kaedah feqah (legal maxim) Saad Al-Dharu’i iaitu menutup saluran bahaya, Mahkamah berpendapat hak jagaan kedua-dua anak perempuan hendaklah diberikan kepada Zaimas binti Ibrahim, ibu kanak-kanak berkenaan.



suriaterang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails