Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Friday, October 17, 2008

Muzakarah Peguam Syarie Negeri Johor

Pada 16 Oktober 2008 (16 Syawal 1429) saya menghadiri Muzakarah Pemegang Tauliah Peguam Syarie Negeri Johor bertempat di Dewan Muzakarah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor.

Sebanyak 2 kertas kerja dibentangkan iaitu `Peranan Peguam Syarie di era Globalisasi : Perjuangan dan Cabaran' disampaikan oleh Tuan Abas bin Nordin, Peguam Syarie Kanan Persekutuan dan `Perlaksanaan Arahan Amalan' disampaikan oleh Tuan Hj Walid bin Abu Hassan, Ketua Unit Pembangunan Undang-Undang dan Sistem Kehakiman Syariah.

Tuan Abas telah menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab peguam syarie. Antaranya beliau memetik kata-kata oleh almarhum Syaikh Mohd Abu Zuhrah,

`Peguam ialah seorang yang alim tentang undang-undang yang mampu mencari kebenaran pihak yang benar dan menolak kepalsuan pihak yang bersalah bersandarkan kepada ilmunya mengikut kehendak undang-undang dalam menegakkan hak dan kewajipan dan pengekalan dan pengukuhan kepada kebebasan awam...'

Seterusnya beliau menekan kepentingan para peguam syarie khususnya agar memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau merujuk kepada kata-kata Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim,

`Sungguhpun Perlembagaan Persekutuan itu tidak digubal sebagai Perlembagaan Negara Islam, dia boleh dipakai dan dilaksanakan supaya ia sesuai atau sekurang-kurangnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Perlembagaan Persekutuan itu ialah ciptaan manusia dan dia tidak bebas dari kekurangan dan kesilapan'

Kenyataan di atas menunjukkan bahawa Perlembagaan Malaysia kelihatannya tidak menghalang perlaksanaan undang-undang syariah.

Tambahan, Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia menyebut Islam sebagai agama persekutuan atau agama bagi Negara Malaysia. Maksud tersirat yang boleh kita fahami di sini ialah Islam bukanlah sebagai agama rasmi semata tetapi seolah-olahnya `persekutuan' ialah `seorang manusia' yang menganuti agama Islam. Prof Aziz Bari turut mengulas di dalam bukunya bahawa berdasarkan di atas Malaysia seharusnya ditunjangi oleh dasar-dasar Islam.

Tuan Abas turut memetik penghakiman YAA Ketua Hakim Negara di dalam kes Lina Joy,

`It was clear that in art 11 there was usage of the words `... right to profess and practice his religion...'. The words `has the right' was applicable to `profess' and also `practise' : Kamariah bte Ali lwn Kerajaan Negeri Kelantan [2002] 3 MLJ 657; Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55 followed. Islam is not only a collection of dogma and rituals but it is also a complete way of life comprising of all kinds of human, individual or public, legal, political, economic, social, cultural or judicial activities'

Manakala Tuan Hj Walid menjelaskan penggunaan Arahan Amalan yang membantu melicinkan pentadbiran sistem Mahkamah Syariah dan penyeragaman peraturan-peraturan Mahkamah Syariah yang memberi natijah yang amat baik apabila banyak kes-kes dapat diselesaikan dengan segera. Beliau juga menerangkan prosedur pembinaan Arahan Amalan yang mana berbeza Practice Direction dalam undang-undang sivil.

Muzakarah diteruskan dengan forum undang-undang bertajuk `Tanggungjawab Peguam Syarie Masa Kini' dipengerusikan oleh Tuan Muhammad Khaldun bin Mohamad Syarif, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah. Ahli panel yang memberi input dan berkongsi pengalaman dan ide-ide bernas ialah Tn Hj Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tn Abas bin Nordin dan Tuan Hj Walid bin Abu Hassan.

Tn Hj Zainul Rijal menjelaskan usaha-usaha PGSM untuk tingkatkan keyakinan masyarakat kepada peguam syarie di Malaysia, memperjuangkan penubuhan Majlis Peguam Syarie Malaysia dan Akta Profesion Peguam Syarie, Mahkamah Syariah menjadi Mahkamah yang membicarakan isu-isu yang berkaitan perbankan Islam.

Wallahu`alam.

Syariah Paksi Keadilan


serba sedikit coretan perkongsian... moga bermanfaat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails