Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Thursday, July 16, 2009

Suami minta tebus talak RM100000




'Jangan harap aku nak ceraikan kau. Kalau kau nak cerai jugak, boleh, kau bayar aku RM100000 baru lepaskan kau' ujar En. A kepada isterinya, Pn. S dalam nada yang agak keras.

Kelihatan peguamnya cuba menenangkan En. A dan mengajaknya keluar dari Mahkamah.

Setitis demi setitis air mata Pn. S jatuh. Tampak wajahnya tenang di sebalik tekanan yang dilaluinya selama ini. Saya memegang tangan Pn. S. Sejuk dan terasa Pn. S menggigil perlahan. Senyap. Saya biarkan Pn. S menenangkan perasaannya.

Mahkamah ditangguhkan selama 30 minit untuk sesi perbicaraan kes yang lain. Kes Pn. S ini baru diperingkat sebutan untuk membolehkan En. A memfailkan pembelaan terhadap tuntutan perceraian fasakh oleh Pn. S.

'Saya ok, insya-Allah..' ujar Pn S perlahan sambil tersenyum.

'Saya tahu dan saya percaya Puan boleh melalui detik-detik ini. Saya dapat rasakan yang Puan seorang isteri, ibu yang kuat dan tabah' balas saya sambil menggenggam erat tangan Puan S untuk memberi semangat kepada beliau.

`Mana lah saya nak cari duit sebanyak tu. Selama 10 tahun kahwin, nafkah diri dan anak-anak saya pun tak menentu. Beri nafkah pun ikut suka hati dia. Kalau dia nak bagi, dia bagi. Kalau tak, pandai-pandai la saya anak beranak nak hidup. Tapi, bila nak pisah sanggup dia minta saya RM100000' Puan S mengesat air matanya. Kelihatan Puan S tenang.

Inilah antara realiti yang berlaku sekarang ini. Bila berumahtangga, tanggungjawab sukar dilaksanakan. Di akhirat kelak, `tanggung' dan `jawab'lah di hadapan Rabbul Jalil. Perceraian pula, macam dah jadi satu bisnes lumayan pulak. Boleh pula diletak `papan tanda' harga cerai secara tebus talak.



****************


Apa itu tebus talak atau khulu'?


Tebus talak atau khulu' pada bahasa ialah cabut dan buang. Pada `uruf bermakna menghilangkan hubungan perkahwinan. Mengikut Sayid Sabiq dalam kitabnya Fikih Sunnah, khulu' yang dibenarkan hukum Islam berasal dari perkataan khala'a ats-tsauba, ertinya 'menanggalkan pakaian'. Ini adalah kerana perempuan sebagai pakaian lelaki dan lelaki sebagai pakaian perempuan.

Firman Allah s.w.t. : `Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamupun pakaian bagi mereka' (Al-Baqarah, ayat 187)

Khulu' juga dinamakan tebusan kerana isteri menebus dirinya dari suaminya dengan mengembalikan apa yang pernah diterimanya atau mahar kepada isterinya.


Definisi khulu' yang dipetik dari kitab Fiqh & Perundangan Islam oleh Wahbah al-Zuhaili :-


Mazhab Syafie : perceraian antara suami isteri dengan bayaran atau tebusan dengan menggunakan lafaz talak ataupun lafaz khulu'.

Mazhab Maliki : talak dengan gantian atau tebusan, sama ada tebusan itu daripada isteri atau orang lain, ataupun talak dengan menggunakan lafaz khulu' walaupun tanpa tebusan apa-apa.

Mazhab Hanafi : menghilangkan milik nikah yang memerlukan penerimaan isteri dengan lafaz khulu' atau yang seerti dengannya

Ulama Hanbali : perceraian antara suami dan isterinya dengan tebusan atau balasan yang di ambil daripada isteri atau orang lain dengan menggunakan lafaz-lafaz yang tertentu.


Dalil khulu' daripada hadith Ibn 'Abbas :

`Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata, `Wahai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais), tetapi saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan)', maka Rasulullah bersabda, 'Mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu)', isteri Qais menjawab, `Ya'. Kemudian baginda Rasulullah bersabda (kepada suaminya), `Terimalah kembali kebun itu, dan cerailah dia satu talak'

Berdasarkan dalil khulu' di atas, kita dapat melihat keindahan Islam yang memudahkan segala urusan hamba-hambaNya. Talak dikenali sebagai hak lelaki, manakala khulu' dikatakan sebagai hak isteri. Tetapi hakikatnya, seolah-olah khulu' itu dijadikan senjata oleh suami untuk menjadikan si isteri menderita dengan meletakkan suatu jumlah yang tinggi yang mana si suami tahu bahawa si isteri tidak mampu untuk menjelaskannya.

Kita boleh melihat suatu perbezaan yang nyata antara fasakh dan khulu'. Jika secara fasakh, pihak-pihak sama ada lelaki atau perempuan perlu membuktikan keburukan/kesalahan dan lain-lain perkara yang boleh disabitkan fasakh sebagaimana yang tercatat di dalam Enakmen. Melalui khulu', jika kita rujuk hadis di atas, wanita tersebut tidak menyatakan kesalahan atau aib suami, beliau hanya menyatakan bahawa beliau tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya, dan jika perkahwinan diteruskan mungkin akan menyebabkan beliau hidup dalam keadaan maksiat dan dosa. Dan Rasulullah s.a.w. membenarkan khulu' atas alasan wanita tersebut dan memerintahkan suami beliau menerima mahar yang dikembalikan dan seterusnya menjatuhkan talak.


Persoalan yang timbul yang boleh difikirkan bersama ialah -

1. Berapa jumlah tebus talak?
2. Siapakah yang sepatutnya menetapkan jumlah tebus talak?
3. Bolehkah mahkamah memerintahkan tebus talak dengan jumlah yang munasabah walaupun suami tidak bersetuju dengan jumlah tersebut?
4. Apakah alasan-alasan khulu' yang boleh diterima pakai oleh Mahkamah?




Syariah Paksi Keadilan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails