Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Thursday, October 8, 2009

Tunggakan Nafkah RM24,000


Tunggakan Nafkah RM24,000


Pembaca yang dirahmati Allah swt,

Rasanya tidak lewat untuk saya mengucapkan `Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri' dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa 6 di bulan Syawal yang mulia ini. Di sebalik kemeriahan `open house' dan menziarahi sanak saudara, masih terdapat insan-insan yang menderita, insan-insan yang tidak dapat berhari raya bersama ibu atau ayah yang tercinta, insan-insan yang mengalami pelbagai ujian dan mehnah...

Lagi isu tunggakan nafkah oleh ayah kepada anak...hampir 10 tahun cerai, bekas suami tak bayar nafkah edah, mutaah dan anak

Dipetik daripada Harian Metro hari ini :

MUAR : Selepas hampir 10 tahun bercerai, seorang wanita mendakwa bukan hanya tidak dibayar nafkah edah dan mutaah, malah tunggakan nafkah untuk anak mereka mencecah RM24,000.

Dalima Mohd Said, 35, berkata sejak bercerai dengan suami, Ahmad Zaki Abdul Ghani, 47, pada 1999 hingga sekarang, bekas suaminya itu langsung tidak memberi nafkah anak. Katanya, mahkamah memerintahkan bekas suami membayar nafkah edah RM1,000, mutaah RM5,000 dan hutang barang kemas RM1,750 pada Oktober 2000.

`Anak perempuan kami sepatutnya diberi nafkah setiap bulan RM200 tetapi hingga kini langsung tidak mendapat hak daripada bapanya', katanya.

Menurutnya dia buntu menyelesaikan masalah itu kerana tidak dapat menjejaki bekas suami. Katanya saman mahkamah di hantar ke alamat tetap bekas suami di Kuala Terengganu dikembalikan semula dan tuan rumah memaklumkan tidak mengenali individu berkenaan. Malah katanya, dia pernah berusaha menghantar surat saman sama ke tempat kerja isteri bekas suaminya tetapi kecewa apabila dimaklumkan nama lelaki yang tertera pada surat berkenaan bukan suaminya.

`Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan bekas suami. Dulu, dia tinggal di kampung halamannya di Kuala Terengganu dan terbaru dimaklumkan berpindah ke Johor Bahru. Saya pernah cuba mengesan alamat terbarunya dengan berurusan di beberapa agensi kerajaan tetapi kecewa berikutan tidak mempunyai maklumat lengkap', katanya.

Menurutnya, bekas suaminya masih menggunakan telefon bimbit yang sama dan terbaru anaknya menghubungi bapanya bagi mendapatkan salinan surat beranak bapanya pada Mei lalu untuk urusan melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi.

`Saya pelik alamat yang tertera pada pos laju diterima anak adalah salinan surat beranak bapanya sama dengan alamat surat menyurat termasuk saman mahkamah yang dikembalikan. Saya pernah dibawa bekas suami pergi ke kediaman keluarganya dan timbul tanda tanya kenapa pemiliknya tidak mengenalinya. Saya berharap dia menunaikan tanggungjawabnya terutama sebagai bapa dan apa yang saya lakukan hanya menuntut hak terutama untuk anak kerana sejak berpisah hingga sekarang, anak saya tidak diberi nafkah. Saya masih mampu bersabar dan berharap dia menyelesaikan masalah ini segera' katanya.


****************************


Perintah Mahkamah Syariah dah ada...
Usaha untuk penguatkuasaan Perintah juga dibuat dan diusahakan...
Ayahnya masih ada...
Keluarga ayahnya pun masih ada...walaupun mendakwa tidak mengenali anak sendiri...

Inilah realiti yang berlaku sekarang...
Inilah antara masalah yang dihadapi oleh para ibu-ibu tunggal dan anak-anak yang ditinggalkan...mempunyai suami / bapa yang tidak menjalankan tanggungjawab & amanah Allah swt

Waran Tangkap??? Hmmm... orang yang hendak ditangkap tidak dijumpai, lagipun, ini bukannya jenayah besar, bukannya mencuri merompak, bukannya bunuh orang... masalah kecil jer ni... tak bayar nafkah anak...

KWSP??? Seksyen 51 Akta memperuntukkan bahawa caruman dan deposit tidak boleh diserah hak, dipindahkan atau ditahan. Seterusnya peruntukan yang sama menjelaskan bahawa apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung di dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain -
- tiada jumlah wang yang dipotong daripada upah seseorang ahli kumpulan wang di bawah seksyen 48;
- tiada amaun yang kena dibayar oleh majikan sebagai carumannya; dan
- tiada amaun yang berada pada kredit seseorang ahli kumpulan wang.

Amat sukar bagi si ibu untuk melalui dan menanggung semua ini... bekas suami ada wang simpanan KWSP, tetapi tiada peruntukan undang-undang pula yang membolehkan bayaran nafkah dibuat melalui potongan KWSP atau hutang tunggakan nafkah dijelaskan oleh KWSP..

Walaubagaimanapun apabila berlaku kematian, isteri boleh mengeluarkan wang KWSP suami dan proses pengeluaran tersebut akan menjadi lebih mudah jika suami telah menamakan isteri atau waris-waris lain sebagai penama. Tetapi, itu jika isteri yang sah, bagaimana kepada bekas isteri yang mempunyai ramai anak hasil perkahwinan terdahulu?

Fikir-fikirkanlah...



Syariah Paksi Keadilan

Friday, August 28, 2009

Tanah pusaka dibolot ibu tiri - Mingguan Wanita Online




Salam Ramadhan buat semua pembaca,

Alhamdulillah, hari ini 8 Ramadhan 1430H... bagaimana agaknya amal kita semua di dalam bulan yang serba berkah ini. Insya-Allah, masih ada masa untuk memperbaiki & mempertingkatkan amal di dalam Madrasah Ramadhan tahun ini. Karnival Ibadah yang sepatutnya disambut dengan meriah oleh semua umat Islam.

Hari ini tiada kes di Mahkamah. Masa yang terluang diperuntukkan untuk menyemak fail-fail klien, kemaskini artikel-artikel, menambah isi & idea untuk buku yang bakal diterbitkan (insya-Allah, moga dipermudahkan Allah swt. semuanya dengan izin-Nya jua), membaca emel-emel yang berlambakan, surfing internet... hmmm ... sempat saya `singgah' di teratak Mingguan Wanita Online. Menarik persoalan yang dilontarkan, `Tanah pusaka dibolot ibu tiri'.

Saya perturunkan kisahnya di sini :

Kisahnya mengenai ibu tiri yang telah membolot harta-harta pusaka peninggalan arwah ibu. Saya merupakan anak tunggal dalam sebuah keluarga yang menetap di Sarawak. Sebelum saya dilahirkan, ayah dan ibu tidak mempunyai anak selama 13 tahun perkahwinan mereka.

Bagi menghilangkan rasa sunyi di dalam hati, ayah dan ibu sudah sepakat untuk mengambil anak angkat, seorang lelaki dan seorang perempuan. Syukur rezeki Allah selepas mendapat anak angkat, ibu disahkan mengandung. Lahirkan saya hasil perkahwinan ibu dan ayah.

Hidup kami sangat bahagia namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Ketika usia saya mencecah 9 tahun, ibu pergi meninggalkan kami semua akibat sakit. Selepas kematian ibu, ayah berkahwin baru dengan seorang wanita yang sangat muda, boleh dipanggil anak kalau dibandingkan dengan umur abang dan kakak saya.

Selepas ayah berkahwin, bermulalah kisah sedih hidup saya. Beberapa tahun perkahwinan, ibu tiri melahirkan dua orang anak yang mana kedua-duanya adalah perempuan. Ketika usia saya 11 tahun, saya dipinggirkan. Makan, minum dan pakaian semuanya saya perlu uruskan sendiri.

Lepas tamat sekolah menengah, saya disuruh bekerja dan hidup sendiri. Apa yang menyedihkan, dalam usia 26 tahun, bapa pergi meninggalkan kami semua kerana sakit tua. Nasib baik ketika itu, saya sudah bekerja tetap, mampu membeli rumah sendiri dan mempunyai keluarga sendiri. Setelah bapa meninggal, perangai ibu tiri yang tinggal bersama-sama dua anak perempuannya begitu menjadi-jadi.

Tanah dan harta pusaka peninggalan bapa dan ibu saya habis kesemua ditukar menjadi hak miliknya. Mereka menukar nama hak milik tersebut menggunakan khidmat peguam tanpa pengetahuan saya. Semasa menukar hak milik tersebut, ibu tiri memberitahu bahawa saya tiada kerana saya bekerja di bandar ketika itu.

Untuk makluman semua, tanah yang ditukar milik kepada nama ibu tiri saya itu bukanlah tanah pusaka dari bapa tapi harta pusaka sebelah emak. Bantulah saya Puan kaunselor, bagaimana harus saya menyelesaikan masalah ini. Bolehkah saya menuntut hak saya memandangkan tanah pusaka itu dari sebelah ibu dan bagaimanakah caranya. Bantulah saya.


*****************

Saya kongsikan catatan pandangan ringkas saya dalam isu yang dibangkitkan...

Harta yang menjadi persoalan ialah tanah pusaka arwah ibu pengadu.

Ada beberapa pihak dalam kes di atas.

1. Ibu tiri yang mempunyai 2 orang anak perempuan
2. Pengadu (wanita) anak kandung
3. Abang dan kakak angkat pengadu
4. waris-waris yang berhak

Ketika ibu kandung pengadu meninggal dunia, pengadu berusia 9 tahun. Tidak pasti sama ada ayah pengadu telah menyelesaikan masalah harta pusaka ibu pengadu. Tidak pasti juga sama ada ibu pengadu masih mempunyai ibu dan bapa yang masih hidup. Ini adalah kerana ianya akan memberi kesan kepada bahagian pusaka yang diterima oleh pengadu, ayah pengadu, datuk pengadu & nenek pengadu (sekiranya ada), adik beradik sebelah ibu & ayah.

Seterusnya ayah pengadu meninggal dunia. Pengadu menyatakan tanah pusaka arwah ibu dipindahmilikkan ke atas nama ibu tiri. Sebenarnya, sukar untuk memindahmilikkan harta pusaka milik arwah ibu pengadu ke atas nama ibu tiri begitu sahaja. Ia hendaklah melalui proses pusaka di Pejabat Pusaka jika nilainya kurang RM600,000 atau ke Mahkamah Tinggi jika nilainya melebihi RM600,000 atau mendapatkan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah.

Saya syorkan Pengadu membuat carian tanah di Pejabat Tanah yang berkenaan untuk mengetahui sebenar sama ada tanah pusaka ibu Pengadu telah ditukar nama atau sebaliknya. Jika benar tanah tersebut telah dipindahmilikkan, maka pengadu boleh & berhak mengambil tindakan undang-undang. Rujuklah pihak-pihak yang lebih mahir berkenaan undang-undang sebelum meneruskan tindakan selanjutnya.

Saya juga ingin highlight kepentingan membuat wasiat pentadbiran pusaka / hibah dan sebagainya semasa kita masih bernafas (termasuklah saya). Di dalam kes ini, anak angkat yang dipelihara sejak dari kecil dengan penuh kasih sayang akan terkeluar daripada menerima bahagian harta pusaka. Dengan adanya hibah atau wasiat pemberian harta kepada anak angkat, maka mereka memperolehi sesuatu daripada ibu bapa angkat untuk meneruskan kehidupan.

Wallahu'alam.



Syariah Paksi Keadilan

Tuesday, August 18, 2009

Ramadhan menjelang lagi... perceraian yang menanti...




Ramadhan yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam bakal tiba hari Sabtu minggu ini. Mungkin ini Ramadhan terakhir buat kita, maka rebutlah peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah swt ini dengan sebaiknya.

Bagi para majikan, mudahkanlah kepada para pekerja untuk mengerjakan ibadah. Mungkin juga elok jika sekiranya para pekerja dibenarkan untuk pulang awal bagi menyediakan keperluan berbuka puasa dan menggantikan masa dengan masuk lebih awal untuk bekerja. Molek juga sekiranya dimulakan awal pagi semasa masuk bekerja dengan tadarus al-Quran sesama pekerja dan menunaikan ibadah solat dhuha di pejabat. Wallahu'alam. Muga dipermudahkan Allah untuk kita melakukan amal ibadah di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tentu indah sekali setelah keletihan berpuasa seharian, maka kita semua dapat berbuka dengan ahli keluarga dan menunaikan solat maghrib secara berjamaah bersama. Kemudiannya, para bapa & ibu membawa anak-anak untuk menunaikan solat tarawih di masjid. Ada juga masjid yang bermurah hati menyediakan juadah selepas tarawih, jika di utara disebut sebagai `more'. Keesokan paginya, ibu mengejut anak-anak untuk bersahur bersama. Indah bukan...

Di sebalik keindahan tersebut, terdapat insan-insan yang menderita, kebingungan, kesedihan, dan pelbagai lagi ...

dan pada penulisan kali ini, saya ingin fokus kepada kisah seorang ibu, Puan S, suri rumah sepenuh masa yang mempunyai 6 orang cahayamata, yang mana 2 orang bersekolah menengah, seorang bersekolah rendah, seorang tadika dan 2 lagi baru berusia 4 tahun dan 2 tahun.

Perkahwinan Puan S dengan suami beliau, En K selama lebihkurang 17 tahun amat bahagia walaupun En K berpendapatan rendah. Kehadiran orang ketiga menyebabkan sikap En K mula berubah. Selama lebih 4 bulan En K mula mengabaikan nafkah keluarga.. sikap En K mula bertukar menjadi seorang pemarah.

Ada ketikanya, tiada apa-apa di rumah untuk mengalas perut Puan S anak beranak. En K cuma singgah ke rumah dan memberikan wang poket sekolah untuk anak sebanyak RM3.00 sahaja. Teguran dan nasihat Puan S kepada suami yang dikasihi agar menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak diendahkan.

Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga yang diterima oleh Puan S menyebabkan Puan S makin kebingungan.

`Apa? Suami yang amat aku kasihi & sayangi selama ni nak menceraikan aku?!!' terduduk Puan S apabila membaca butir-butir yang terkandung di dalam Pernyataan Tuntutan tersebut.

Ramadhan akan menjelang.. dan Ramadhan kali ini disambut dengan permohonan suami tercinta untuk menceraikan Puan S atas alasan tidak lagi bersefahaman dan bermasalah dengan anak-anak. Anak-anak menjadi masalah?? Anak-anak yang dijadikan alasan untuk En K menceraikan Puan S.

Aku membaca coretan ringkas Puan S. Ternyata Puan S amat menyayangi suaminya. Tindakan terburu-buru En K untuk menceraikan beliau amat tidak dijangka memandangkan anak-anak yang masih bersekolah dan masih kecil.

Sahabatku, Puan R dari Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang mengenali Puan S meminta bantuanku untuk menjawab Pernyataan Tuntutan tersebut. Puan R lah yang berusaha membantu dan memberi semangat kepada Puan S. Di sebalik kesibukan perbicaraan kes, aku sempat mendrafkan Pernyataan Pembelaan & Tuntutan Balas untuk difailkan (tanpa menafikan hak talak ditangan En K) dan terus emel kepada Puan R.

Jika En K masih berkeras dan tetap dengan keputusannya untuk menceraikan Puan S, isu nafkah anak, perbelanjaan persekolahan anak, nafkah edah, rumah tempat tinggal buat Puan S dan anak-anak, kenderaan untuk kegunaan Puan S menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah, perintah potongan gaji En K dan pelbagai perkara yang perlu difikirkan. Kerja apa yang boleh dilakukan oleh Puan S untuk menampung keperluan anak-anak jika berlaku pengabaian nafkah oleh En K. Bagaimana pula jika anak-anak nak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi?

dan pelbagai persoalan bermain di benak fikiranku...

bagaimana pula keadaan Puan S kelak, seorang suri rumah sepenuh masa yang mencurahkan sepenuh kasih sayang terhadap suami dan anak-anak selama hampir 17 tahun, tiba-tiba nak diceraikan...

Tambahan, Ramadhan bakal menjelang...

dan Hari Raya Aidil Fitri kali ini tentu sekali berbeza sambutannya tanpa kehadiran seorang ayah dan suami yang dicintai...

Moga Puan S diberikan kesabaran dan ketabahan untuk meneruskan kehidupan beliau bersama anak-anak... (bukan mudah bagi seorang ibu nak mendidik 6 anak dalam keadaan pelbagai masalah sosial yang melanda sekarang ini)

Moga En K tidak me'lupa'kan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada 6 orang anak...

Moga anak-anak tersebut membesar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah... ameen.



Syariah Paksi Keadilan

Thursday, July 16, 2009

Wasiat 1/3 harta -vs- Wasiat Pentadbiran Pusaka





Sketsa 1 :


`Maaf, saya tak nak harta saya pindahmilik masa saya hidup. Saya nak semuanya berlaku lepas saya tak ada nanti. Tanah yang 10 ekar tepi jalan besar tu saya nak beri kepada isteri saya. Tanah yang sebelah masjid, saya cadang nak wakafkan. Tanah sawit 20 ekar di felda tu pun saya nak beri pada isteri saya. Kalau boleh, saya nak isteri saya jadi pentadbir harta saya' ujar Hj Deraman sambil meneguk kopi panas yang dihidangkan oleh isteri tersayang.

Hj Deraman ialah seorang yang dihormati di kampung tersebut. Jika ada kematian dan kenduri kendara, beliau lah yang menjadi tempat rujukan orang kampung. Pandangannya diterima oleh masyarakat kampung. Kehadirannya dinanti-nantikan kerana sifat peramahnya memikat warga tua dan muda. Hj Deraman dahulunya seorang usahawan yang berjaya. Kejayaannya tersebut menjadikan nama beliau meniti di bibir-bibir para ibu sebagai contoh kepada anak-anak di kampung tersebut.

Sejak kebelakangan ini, kesihatan Hj Deraman agak tidak memberansangkan. Batuk yang dialami selama lebih 3 bulan tidak nampak berkurangan. Isterinya yang mesra dipanggil Mak Jah bingkas bangun mengambil segelas air putih apabila melihat suaminya tersedak sedikit semasa menjamah kuih.

'Macam ni Tn Hj, ada banyak cara yang mana Tn Hj boleh buat. Antaranya Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka dan ...' kata-kata Ida iaitu seorang pegawai perunding syariah di syarikat Hj Deraman dipotong oleh Hj Deraman.

`Bukan yang tu. Bukan wasiat. Saya bukan nak wasiat 1/3 harta saya. Saya cuma nak harta saya diberi kepada isteri saya selepas saya meninggal. Saya tak ada anak. Lepas tu, isteri saya akan membahagikannya kepada adik-beradik saya yang lain ikut jumlah yang isteri saya tentukan. Sebahagian harta lagi, terutamanya wang simpanan saya dan tanah-tanah sawit saya nak masukkan dalam syarikat keluarga' balas Hj Deraman.

`Tn Hj, di dalam Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka Tn Hj boleh menamakan isteri Tn Hj sebagai pentadbir harta pusaka. Ia akan memudahkan urusan pusaka kelak. Tn Hj juga boleh buat Surat Hibah harta ataupun buat Surat Pengisytiharan Harta Sepencarian..'

`Tak payah la, surat-surat hibah, harta sepencarian tu.. dulu pun saya pernah handle kes-kes wasiat macam ni.. buat disclaimer je' tokok Saiful adik bongsu Hj Deraman.

`Ye la, bang. Buat disclaimer jer.. saya pun ingat nak buat macam tu untuk anak angkat saya nanti. Kalau buat hibah, silap-silap haribulan, kita pula kena halau keluar dari rumah..sape yang susah, kita juga' balas Munah sambil mengambil tempat duduk di sebelah abangnya, Hj Deraman.

`Kalau macam tu, Ida awak buat 'Surat Penolakan Waris' yang menyatakan waris-waris saya menolak untuk mengambil hak mereka sebagai waris dalam harta saya selepas saya mati kelak' arah Hj Deraman.

`Hmmm... Tn Hj, mungkin kita boleh bincang di ofis jika Tn Hj ingin tahu lebih lanjut tentang Surat...' Ida cuba memberikan cadangan.

`Tak pe, Ida. Saya tahu. Awak jangan risau. Adik-beradik saya dah setuju takkan tuntut harta saya lepas saya mati kelak. Awak sendiri dengar kan' balas Hj Deraman tersenyum. Beliau tahu pegawai syariahnya memang jujur dan berhasrat untuk menjaga kepentingannya, tetapi Hj Deraman meyakini dan mempercayai kata-kata adik-adiknya dan cukuplah surat penolakan harta tersebut.


Sketsa 2 :


Seminggu selepas kematian Hj Deraman, Mak Jah membawa `Surat Penolakan Waris' tersebut yang telah ditandatangani oleh waris-waris yang terdiri daripada 8 adik-beradik Hj Deraman ke Pejabat Pusaka.

`Surat apa ni mak cik? Bila tandatangan ni? Mak cik ada bawa Sijil Kematian suami' soal kerani di kaunter pendaftaran.

`Ada' balas Mak Jah sambil menyerahkan semua dokumen penting termasuklah ic beliau, ic waris, sijil kematian, sijil nikah dan senarai dokumen milikan harta.

`Banyak harta ni. Kalau harta kurang RM600,000 mak cik boleh teruskan di pejabat pusaka ni. Ikut prosedur biasa. Kena isi borang A. Kalau lebih RM600,000 mak cik kena pergi Mahkamah Tinggi Sivil. Lepas tu, mak cik kena pergi buat permohonan untuk dapatkan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah' jelas kerani tersebut panjang lebar.

`Tapi puan, harta tu kan terus jatuh atas nama saya sebab waris semua menolak untuk terima harta. tak boleh ke terus daftar atas nama mak cik je' soal Mak Jah kebingungan.

`Tak boleh mak cik. Tak valid surat tu. Waris-waris tandatangan tolak hak masa arwah masih hidup. Sedangkan masa arwah masih hidup tak timbul soal hak pusaka ni. Kalau waris nak tolak hak, kena buat surat penolakan baru iaitu selepas kematian arwah. Jadi, mak cik kena kumpul semua waris minta tandatangan mereka semula. Kalau waris tak setuju, harta arwah kena bahagi ikut faraid macam biasa' panjang lebar kerani pejabat pusaka memberi penjelasan menambahkan kebingungan Mak Jah.



******************



Inilah antara contoh yang berlaku dalam masyarakat kita. Mereka kurang memahami dan tidak membezakan antara wasiat sedekah jariah, wasiat nasihat dan wasiat wasi. Yang terfikir di benak fikiran mereka, bila sebut bab wasiat... itulah dia wasiat menyerahkan 1/3 harta.


Ingin mengetahui dengan lebih lanjut?


Insya-Allah, saya akan berkongsi dengan para pembaca yang dihormati berkenaan tips-tips ringkas mengurus harta pusaka. Sama-samalah kita berkongsi ilmu demi kebaikan bersama.



`Pelajarilah al-Quran serta ajarkan ianya kepada orang lain dan pelajarilah ilmu faraid serta ajarkan ianya kepada orang lain. kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut juga akan dicabut oleh Allah swt. lalu akan timbullah fitnah harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada di kalangan dua orang yang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka'
(Hadis Shahih riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Abdullah Ibn Mas'ud)











Syariah Paksi Keadilan

Suami minta tebus talak RM100000




'Jangan harap aku nak ceraikan kau. Kalau kau nak cerai jugak, boleh, kau bayar aku RM100000 baru lepaskan kau' ujar En. A kepada isterinya, Pn. S dalam nada yang agak keras.

Kelihatan peguamnya cuba menenangkan En. A dan mengajaknya keluar dari Mahkamah.

Setitis demi setitis air mata Pn. S jatuh. Tampak wajahnya tenang di sebalik tekanan yang dilaluinya selama ini. Saya memegang tangan Pn. S. Sejuk dan terasa Pn. S menggigil perlahan. Senyap. Saya biarkan Pn. S menenangkan perasaannya.

Mahkamah ditangguhkan selama 30 minit untuk sesi perbicaraan kes yang lain. Kes Pn. S ini baru diperingkat sebutan untuk membolehkan En. A memfailkan pembelaan terhadap tuntutan perceraian fasakh oleh Pn. S.

'Saya ok, insya-Allah..' ujar Pn S perlahan sambil tersenyum.

'Saya tahu dan saya percaya Puan boleh melalui detik-detik ini. Saya dapat rasakan yang Puan seorang isteri, ibu yang kuat dan tabah' balas saya sambil menggenggam erat tangan Puan S untuk memberi semangat kepada beliau.

`Mana lah saya nak cari duit sebanyak tu. Selama 10 tahun kahwin, nafkah diri dan anak-anak saya pun tak menentu. Beri nafkah pun ikut suka hati dia. Kalau dia nak bagi, dia bagi. Kalau tak, pandai-pandai la saya anak beranak nak hidup. Tapi, bila nak pisah sanggup dia minta saya RM100000' Puan S mengesat air matanya. Kelihatan Puan S tenang.

Inilah antara realiti yang berlaku sekarang ini. Bila berumahtangga, tanggungjawab sukar dilaksanakan. Di akhirat kelak, `tanggung' dan `jawab'lah di hadapan Rabbul Jalil. Perceraian pula, macam dah jadi satu bisnes lumayan pulak. Boleh pula diletak `papan tanda' harga cerai secara tebus talak.



****************


Apa itu tebus talak atau khulu'?


Tebus talak atau khulu' pada bahasa ialah cabut dan buang. Pada `uruf bermakna menghilangkan hubungan perkahwinan. Mengikut Sayid Sabiq dalam kitabnya Fikih Sunnah, khulu' yang dibenarkan hukum Islam berasal dari perkataan khala'a ats-tsauba, ertinya 'menanggalkan pakaian'. Ini adalah kerana perempuan sebagai pakaian lelaki dan lelaki sebagai pakaian perempuan.

Firman Allah s.w.t. : `Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamupun pakaian bagi mereka' (Al-Baqarah, ayat 187)

Khulu' juga dinamakan tebusan kerana isteri menebus dirinya dari suaminya dengan mengembalikan apa yang pernah diterimanya atau mahar kepada isterinya.


Definisi khulu' yang dipetik dari kitab Fiqh & Perundangan Islam oleh Wahbah al-Zuhaili :-


Mazhab Syafie : perceraian antara suami isteri dengan bayaran atau tebusan dengan menggunakan lafaz talak ataupun lafaz khulu'.

Mazhab Maliki : talak dengan gantian atau tebusan, sama ada tebusan itu daripada isteri atau orang lain, ataupun talak dengan menggunakan lafaz khulu' walaupun tanpa tebusan apa-apa.

Mazhab Hanafi : menghilangkan milik nikah yang memerlukan penerimaan isteri dengan lafaz khulu' atau yang seerti dengannya

Ulama Hanbali : perceraian antara suami dan isterinya dengan tebusan atau balasan yang di ambil daripada isteri atau orang lain dengan menggunakan lafaz-lafaz yang tertentu.


Dalil khulu' daripada hadith Ibn 'Abbas :

`Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata, `Wahai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais), tetapi saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan)', maka Rasulullah bersabda, 'Mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu)', isteri Qais menjawab, `Ya'. Kemudian baginda Rasulullah bersabda (kepada suaminya), `Terimalah kembali kebun itu, dan cerailah dia satu talak'

Berdasarkan dalil khulu' di atas, kita dapat melihat keindahan Islam yang memudahkan segala urusan hamba-hambaNya. Talak dikenali sebagai hak lelaki, manakala khulu' dikatakan sebagai hak isteri. Tetapi hakikatnya, seolah-olah khulu' itu dijadikan senjata oleh suami untuk menjadikan si isteri menderita dengan meletakkan suatu jumlah yang tinggi yang mana si suami tahu bahawa si isteri tidak mampu untuk menjelaskannya.

Kita boleh melihat suatu perbezaan yang nyata antara fasakh dan khulu'. Jika secara fasakh, pihak-pihak sama ada lelaki atau perempuan perlu membuktikan keburukan/kesalahan dan lain-lain perkara yang boleh disabitkan fasakh sebagaimana yang tercatat di dalam Enakmen. Melalui khulu', jika kita rujuk hadis di atas, wanita tersebut tidak menyatakan kesalahan atau aib suami, beliau hanya menyatakan bahawa beliau tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya, dan jika perkahwinan diteruskan mungkin akan menyebabkan beliau hidup dalam keadaan maksiat dan dosa. Dan Rasulullah s.a.w. membenarkan khulu' atas alasan wanita tersebut dan memerintahkan suami beliau menerima mahar yang dikembalikan dan seterusnya menjatuhkan talak.


Persoalan yang timbul yang boleh difikirkan bersama ialah -

1. Berapa jumlah tebus talak?
2. Siapakah yang sepatutnya menetapkan jumlah tebus talak?
3. Bolehkah mahkamah memerintahkan tebus talak dengan jumlah yang munasabah walaupun suami tidak bersetuju dengan jumlah tersebut?
4. Apakah alasan-alasan khulu' yang boleh diterima pakai oleh Mahkamah?




Syariah Paksi Keadilan

Tuesday, June 30, 2009

Isteri saya tak layak jaga anak!





`Puan, isteri saya tak layak untuk menjaga anak-anak saya' keluh En. K kepada saya. Saya tenung wajah En. K yang kelihatan agak tertekan. Sesekali En. K menyapu peluh dingin di wajahnya.

'Saya akan menyesal seumur hidup saya jika saya bersetuju untuk berikan hak jagaan anak-anak saya kepada isteri saya' sambung En. K lagi.

`Mengapa En. K berpandangan sedemikian?' soal saya untuk mencungkil rahsia di sebalik kata-kata beliau.

`Sebab saya kenal isteri saya. Dia tak mampu untuk menjaga anak-anak saya, darah daging saya' jawab En. K perlahan sambil memandang sekilas ke arah bekas isterinya yang kebetulan berjalan bersama peguamnya di ruang legar mahkamah syariah.

`Apa maksud En. K yang isteri En. tak mampu? Saya rasa En. K faham ya, nafkah anak-anak itu tanggungjawab suami' balas saya bersahaja untuk mendapatkan kepastian daripada En. K bahawa beliau bukan mengelak untuk membayar nafkah anak-anak.

'Bukan Puan. Saya faham itu. Saya tahu Puan nak kan kepastian daripada saya. Saya tahu Puan nak tahu sebab sebenar...' kata-kata En. K terhenti sambil menghela nafas yang panjang.

Saya memberi ruang masa kepada En. K untuk berfikir.

'Macam ni lah En. K. Saya nak membantu En. K. Tapi En. K kena bantu saya untuk membolehkan saya membantu En. Jika En tidak menceritakan perkara yang sebenar, sukar untuk saya membantu En. K. Saya tahu memang adakalanya sukar untuk menceritakan perkara sebenar yang En. dah pendam lama untuk menjaga maruah dan nama baik keluarga dan bekas isteri En. Saya faham dan saya tak paksa. En. boleh ambil masa untuk berfikir. Sebutan seterusnya pada 11.7.09 ya! Apa-apa pun, feel free to contact' ujar saya panjang lebar.

'Terima kasih Puan. Puan, macam ni lah puan... bekas isteri saya pernah kena ditangkap khalwat dengan lelaki lain semasa saya tiada di rumah' bisik En. K pantas seolah-olah diucapkan dalam satu nafas sahaja.

Kelegaan tampak di wajahnya kerana dapat mengeluarkan apa yang terpendam selama ini.

`Saya malu.. Saya malu pada keluarga, jiran-jiran, masyarakat...hmm.. apa-apa pun, nanti saya call puan ya'

`K, kita bincang di pejabat' balas saya pendek.

----------------------------

Dalam kes sebegini, secara ringkasnya boleh kita rujuk seksyen 83 & 84 Enakmen Keluarga (saya rujuk Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003) :

Seksyen 83 : Kelayakan-kelayakan yang perlu untuk penjagaan

Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika -

(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalh sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Seksyen 84 : Bagaimana hak penjagaan hilang

Hak seseorang perempuan terhdp hadhanah adalah hilang -

(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika perempuan itu menukar pemstautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Jika diberi keizinan & kesempatan masa, insya-Allah saya akan menjelaskan dan melampirkan pendapat-pendapat fuqaha' berserta dalil untuk rujukan dan panduan kita semua pada masa akan datang..



Syariah Paksi Keadilan

Saturday, March 28, 2009

Wacana Wanita & Keadilan Syariah

Wacana Wanita dan Keadilan Syariah



Kami sekeluarga mengambil keputusan cuti sekolah yang akan bermula pada bulan Mac 2009 untuk pulang bercuti ke utara Semenanjung. Saya menyiapkan beberapa tugasan dan fail-fail klien yang telah ditetapkan untuk bicara sebaik sahaja pulang dari bercuti agar percutian ini menjadi percutian keluarga dan percutian `minda'.

Panggilan telefon daripada Puan Faridah, Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (PAKSI-JIM) pada hari terakhir bekerja pada minggu tersebut amat mengejutkan saya. Saya diminta untuk menjadi Pembentang Kedua dalam Wacana Wanita & Keadilan Syariah pada 26 Mac 2009 bertajuk - 'Penambahbaikan Implementasi Sistem Perundangan Kekeluargaan Syariah di Malaysia : Satu Tuntutan'.

Lamaran ini saya terima dengan penuh rasa tanggungjawab. Saya berdoa semoga dipermudahkan Allah swt segala urusan. Harapan saya juga dengan pembentangan ini sebagai usaha kerdil saya yang mana serba sedikit dapat membantu pihak-pihak terbabit dalam usaha penambahbaikan Sistem Perundangan Kekeluargaan di Malaysia dan seterusnya menjelaskan kepada masyarakat berkenaan Mahkamah Syariah di Malaysia.


*** *** *** *** *** *** ***


Petikan Sinar Harian : Suara Cakna Komuniti Anda


Nusyuz juga libatkan suami : Faridah


KUALA LUMPUR - Nusyuz bukan sahaja berlaku berlaku di kalangan isteri, sebaliknya ia juga boleh melibatkan golongan suami.

Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (Paksi-Jim), Faridah Maludin berkata, pada pembentangan kertas kerja pertama dilakukan pada program Wacana Wanita dan Keadilan Syariah itu, pihaknya berusaha memperjelaskan isu dan cuba meyakinkan masyarakat, terutama suami isteri bahawa nusyuz bukan sahaja berlaku dalam kalangan isteri, tetapi juga oleh suami.

`Daripada perbincangan ini dapat dirumuskan bahawa suami juga melakukan nusyuz apabila mereka cuai dalam melaksanakan kewajipan rumahtangga', katanya pada program tersebut yang diadakan di Dewan Hadhari, Pusat Islam Malaysia.

Katanya, daripada penjelasan itu, diharapkan semua pihak dapat bertindak sewajarnya apabila perkara tersebut berlaku supaya semua pihak dapat keadilan.

`Yang jelas, peserta diberi kefahaman menyeluruh dan mendalam berkenaan nusyuz serta pengertiannya daripada sudut syarak serta aplikasi sepatutnya berlandaskan hukum syarak', katanya.

Dalam rumusannya, Faridah berkata, Islam bukanlah semata-mata syariat dan perundangan sebaliknya juga adalah akidah yang mentafsirkan erti kehidupan, ibadah mendidik rohani, akhlak membersihkan jiwa, pemahaman memperbetulkan gambaran, nilai yang mengangkat martabat manusia serta adab kesopanan yang menghiasi kehidupan seharian.

`Ini bererti kembali kepada syariah adalah kembali kepada keharmonian hidup yang sebenarnya dan Syariah Islam mesti dijadikan paksi kehidupan dan kemudian barulah keadilan yang menjadi tuntutan dan amanah semua lelaki dan wanita dapat ditegakkan'. katanya.

Program Wacana Wanita & Keadilan Syariah anjuran Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (Paksi) di bawah Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Che Mat Che Deraman.

Hadir sama, Ketua Wanita JIM Pusat, Dr Harlina Halizah Siraj yang turut memberi ucaptama beliau yang bertajuk Keadilan dan Kesaksamaan dalam Kehidupan Berkeluarga menurut Perspektif Syariah.

Dalam wacana tersebut, dua kertas kerja dibentangkan kepada peserta iaitu pertama melalui bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Alias Othman bertajuk Huraian al-Quran tentang nusyuz Suami dan Isteri : Pengertian dan Penyelesaian.

Pembentangan kedua disampaikan oleh Peguambela, Peguamcara dan Peguam Syar'ie iaitu Sazira Abdul Aziz bertajuk Penambahbaikan Implementasi Sistem Perundangan Kekeluargaan Syariah di Malaysia : Satu Tuntutan yang menyentuh kepada kepentingan dan perlunya disegerakan penambahbaikan prosedur dalam sistem perundangan syariah di Malaysia.




Syariah Paksi Keadilan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails