Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Tuesday, August 18, 2009

Ramadhan menjelang lagi... perceraian yang menanti...




Ramadhan yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam bakal tiba hari Sabtu minggu ini. Mungkin ini Ramadhan terakhir buat kita, maka rebutlah peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah swt ini dengan sebaiknya.

Bagi para majikan, mudahkanlah kepada para pekerja untuk mengerjakan ibadah. Mungkin juga elok jika sekiranya para pekerja dibenarkan untuk pulang awal bagi menyediakan keperluan berbuka puasa dan menggantikan masa dengan masuk lebih awal untuk bekerja. Molek juga sekiranya dimulakan awal pagi semasa masuk bekerja dengan tadarus al-Quran sesama pekerja dan menunaikan ibadah solat dhuha di pejabat. Wallahu'alam. Muga dipermudahkan Allah untuk kita melakukan amal ibadah di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tentu indah sekali setelah keletihan berpuasa seharian, maka kita semua dapat berbuka dengan ahli keluarga dan menunaikan solat maghrib secara berjamaah bersama. Kemudiannya, para bapa & ibu membawa anak-anak untuk menunaikan solat tarawih di masjid. Ada juga masjid yang bermurah hati menyediakan juadah selepas tarawih, jika di utara disebut sebagai `more'. Keesokan paginya, ibu mengejut anak-anak untuk bersahur bersama. Indah bukan...

Di sebalik keindahan tersebut, terdapat insan-insan yang menderita, kebingungan, kesedihan, dan pelbagai lagi ...

dan pada penulisan kali ini, saya ingin fokus kepada kisah seorang ibu, Puan S, suri rumah sepenuh masa yang mempunyai 6 orang cahayamata, yang mana 2 orang bersekolah menengah, seorang bersekolah rendah, seorang tadika dan 2 lagi baru berusia 4 tahun dan 2 tahun.

Perkahwinan Puan S dengan suami beliau, En K selama lebihkurang 17 tahun amat bahagia walaupun En K berpendapatan rendah. Kehadiran orang ketiga menyebabkan sikap En K mula berubah. Selama lebih 4 bulan En K mula mengabaikan nafkah keluarga.. sikap En K mula bertukar menjadi seorang pemarah.

Ada ketikanya, tiada apa-apa di rumah untuk mengalas perut Puan S anak beranak. En K cuma singgah ke rumah dan memberikan wang poket sekolah untuk anak sebanyak RM3.00 sahaja. Teguran dan nasihat Puan S kepada suami yang dikasihi agar menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak diendahkan.

Saman dan Pernyataan Tuntutan dibawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga yang diterima oleh Puan S menyebabkan Puan S makin kebingungan.

`Apa? Suami yang amat aku kasihi & sayangi selama ni nak menceraikan aku?!!' terduduk Puan S apabila membaca butir-butir yang terkandung di dalam Pernyataan Tuntutan tersebut.

Ramadhan akan menjelang.. dan Ramadhan kali ini disambut dengan permohonan suami tercinta untuk menceraikan Puan S atas alasan tidak lagi bersefahaman dan bermasalah dengan anak-anak. Anak-anak menjadi masalah?? Anak-anak yang dijadikan alasan untuk En K menceraikan Puan S.

Aku membaca coretan ringkas Puan S. Ternyata Puan S amat menyayangi suaminya. Tindakan terburu-buru En K untuk menceraikan beliau amat tidak dijangka memandangkan anak-anak yang masih bersekolah dan masih kecil.

Sahabatku, Puan R dari Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang mengenali Puan S meminta bantuanku untuk menjawab Pernyataan Tuntutan tersebut. Puan R lah yang berusaha membantu dan memberi semangat kepada Puan S. Di sebalik kesibukan perbicaraan kes, aku sempat mendrafkan Pernyataan Pembelaan & Tuntutan Balas untuk difailkan (tanpa menafikan hak talak ditangan En K) dan terus emel kepada Puan R.

Jika En K masih berkeras dan tetap dengan keputusannya untuk menceraikan Puan S, isu nafkah anak, perbelanjaan persekolahan anak, nafkah edah, rumah tempat tinggal buat Puan S dan anak-anak, kenderaan untuk kegunaan Puan S menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah, perintah potongan gaji En K dan pelbagai perkara yang perlu difikirkan. Kerja apa yang boleh dilakukan oleh Puan S untuk menampung keperluan anak-anak jika berlaku pengabaian nafkah oleh En K. Bagaimana pula jika anak-anak nak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi?

dan pelbagai persoalan bermain di benak fikiranku...

bagaimana pula keadaan Puan S kelak, seorang suri rumah sepenuh masa yang mencurahkan sepenuh kasih sayang terhadap suami dan anak-anak selama hampir 17 tahun, tiba-tiba nak diceraikan...

Tambahan, Ramadhan bakal menjelang...

dan Hari Raya Aidil Fitri kali ini tentu sekali berbeza sambutannya tanpa kehadiran seorang ayah dan suami yang dicintai...

Moga Puan S diberikan kesabaran dan ketabahan untuk meneruskan kehidupan beliau bersama anak-anak... (bukan mudah bagi seorang ibu nak mendidik 6 anak dalam keadaan pelbagai masalah sosial yang melanda sekarang ini)

Moga En K tidak me'lupa'kan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada 6 orang anak...

Moga anak-anak tersebut membesar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah... ameen.



Syariah Paksi Keadilan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails