Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Friday, October 24, 2008

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)



Tahniah!

Ini suatu berita yang menggembirakan dan melegakan kepada semua. Mengapa? Bagi ibu tunggal, BSK akan menjadi salah tempat rujukan dan memohon bantuan setelah ditinggalkan suami tanpa nafkah. Kepada anak-anak, bantuan kewangan yang diberikan tentunya memberi suatu sinar cahaya harapan untuk mereka meneruskan pengajian agar tidak tercicir. Kepada suami pula, BSK akan membantu para suami untuk `menggalakkan' mereka menunaikan tanggungjawab yang dituntut oleh ajaran Islam untuk menanggung nafkah anak-anak dan isteri mengikut kemampuan sama ada secara `sukarela' atau `paksarela'.



dipetik dari laman web : http://web7.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=366508


Malaysia Negara Islam Pertama Wujud Bahagian Sokongan Keluarga


PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia merupakan negara Islam pertama di dunia yang mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi membantu usaha menguatkuasakan penghakiman atau perintah Mahkamah Syariah dalam kes hal ehwal kekeluargaan, terutamanya dalam perkara berkaitan nafkah dan hak penjagaan anak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan BSK pada peringkat awal akan memberikan tumpuan kepada usaha membantu isteri bersama anak-anak meneruskan kehidupan selepas ditinggalkan suami tanpa nafkah akibat penceraian atau suami berkahwin lain.

"Bantuan akan diberikan kepada mereka yang membuat permohonan kepada BSK seperti bantuan kewangan untuk menampung keperluan persekolahan anak-anak terutamanya kepada ibu yang tidak bekerja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan BSK di sini, Rabu.

Beliau berkata BSK juga akan menyediakan khidmat nasihat dari aspek perundangan untuk membantu isteri mendapatkan nafkah daripada suami.

"Ini kerana terdapat banyak kes suami degil dan engkar untuk membayar nafkah walaupun menerima perintah mahkamah dan ada juga kes yang suami tidak mempunyai kemampuan untuk membayar nafkah berkenaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata BSK juga akan menjadi moderator kepada agenda penyelesaian masalah di kalangan masyarakat Islam kerana tidak mahu kes-kes yang lambat diselesaikan, memberi kesan terhadap imej Islam.

Setakat ini terdapat 629 daripada 16,706 kes tuntutan nafkah yang direkodkan sebagai nafkah tidak diterima selepas penghakiman.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyaksikan penyampaian sumbangan cek RM500,000 oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang diwakili setiausahanya Datuk Che Mat Che Ali kepada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Ibrahim Lembut.

BSK yang diwujudkan di bawah JKSM mempunyai 96 kakitangan yang akan ditempatkan di seluruh negara.




Syariah Paksi Keadilan

Bolehkah isteri menuntut tunggakan nafkah?



Salam Aidilfitri kepada semua pengunjung Syariah Paksi Keadilan,


Apa pendapat anda sekalian? Boleh ke isteri-isteri menuntut tunggakan nafkah daripada suami? Ada dalil ke yang membolehkan isteri-isteri menuntut tunggakan nafkah daripada suami? Dulu tak pernah pun nak tuntut... kenapa sekarang baru nak tuntut?

Pelbagai persoalan tentunya bermain di fikiran suami-suami dan isteri-isteri. Bagi yang belum berumahtangga, ini merupakan satu `ilmu pengetahuan' yang amat berguna. Tentunya masa kursus pra-perkahwinan, penceramah ada memaklumkan tentang tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Kalau ada yang `miss' tanpa sebab yang munasabah, maka para isteri dah nampak jalan cara nak memohon nafkah yang tertunggak atau terhutang tersebut.

Di dalam ayat al-Quran yang berbunyi :


الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ وَاللاَّتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلاَ تَبْغُواْ عَلَيْهِنَّ سَبِيلاً إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

maksudnya :

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Ayat di atas merupakan asas bagi hak wanita untuk menerima nafkah daripada suami. Perkataan `anfaqu' yang digunakan dalam ayat di atas berasal daripada perkataan nafaqa yang membawa maksud tanggung atau sara.

Saya teringat satu hadis yang bermaksud : `Sesungguhnya orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik menjelaskan hutang'

Di dalam artikel yang akan datang saya akan berkongsi dengan rakan-rakan semua tentang peruntukan nafkah dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.


Syariah Paksi Keadilan


dipetik dari laman web :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_02.htm


Hakim tegur AC Mizal tidak hadir di mahkamah

Shafnie Zainudin dan anaknya, Muhamad Shafiq Iman hadir di Mahkamah Syariah Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 21 Okt. – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 18 Disember depan keputusan berhubung bantahan awal yang dikemukakan pengacara Akademi Fantasia, AC Mizal terhadap permohonan bekas isterinya agar satu perintah komital dikeluarkan bagi menghantarnya ke penjara setelah mendakwa beliau gagal menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelaki mereka berjumlah RM50,000.

Hakim Syarie Saarani Ismail akan membuat keputusan itu pada pukul 3 petang hari tersebut. Terdahulu, Saarani menegur sikap AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, kerana tidak menghadiri prosiding hari ini dengan alasan terlibat dalam satu penggambaran di Pulau Langkawi.

‘‘Tidak bolehkah responden menyesuaikan masanya untuk hadir ke mahkamah hari ini? Perkara ini serius dan tidak boleh buat main-main.

‘‘Jika benar tarikh penggambaran telah ditetapkan lebih awal daripada kes ini seperti yang dimaklumkan peguam, mengapakah pada prosiding lalu ketika mahkamah menetapkan tarikh hari ini, responden tidak membantah?’’ kata Hakim Saarani sambil menyoal peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal.

Ekoran pertanyaan hakim, Siti Aishah memberi akujanji akan membawa anak guamnya ke mahkamah pada tarikh prosiding akan datang.

Siti Aishah dalam pada itu mengesahkan telah menerima afidavit jawapan terhadap notis bantahan awal yang dikemukakan pihaknya.

Setelah meneliti afidavit jawapan, menurut Siti Aishah, pihaknya berhasrat untuk membuat balasan atas afidavit jawapan tersebut.

Peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Shafnie Zainudin, 33, selaku pemohon memberitahu, responden telah menyerahkan sesalinan notis bantahan awal pada pukul 5.50 petang 24 Oktober lalu.

Namun, berdasarkan Seksyen 46(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003, penyerahan itu dianggap diserahkan pada hari berikutnya iaitu 25 Oktober lalu.

Azmi memberitahu mahkamah, pemohon telah menjawab semua isu yang dibangkitkan dalam bantahan awal AC Mizal.

Kata Azmi, responden kononnya mendakwa tiada notis peringatan dikeluarkan walhal sebelum tindakan komital difailkan tidak kurang daripada lima surat peringatan telah dikeluarkan sejak tahun 2005.

Responden juga antara lain mempertikaikan tindakan pemohon memfailkan kes ke Mahkamah Tinggi Syariah sedangkan kes sepatutnya didengar di peringkat Mahkamah Rendah Syariah sahaja.

‘‘Sungguhpun begitu, saya memohon mahkamah mengenepikan bantahan awal yang telah difailkan oleh responden. Ini kerana, responden ‘secara perundangan’ mestilah ‘membersihkan’ dirinya terlebih dahulu sebelum memohon apa-apa permohonan termasuklah mengemukakan bantahan awal.

‘‘Ini selari dengan kehendak perenggan 1(e) Arahan Amalan Mahkamah Syariah No.13 bagi tahun 2004,’’ kata Azmi yang menganggap permohonan itu seolah-olah sengaja melewat-lewatkan proses mahkamah.

‘‘Dengan kata lain, AC Mizal perlu terlebih dahulu menjelaskan tunggakan nafkah anak terlebih dahulu sebelum mengemukakan lain-lain permohonan,’’ jelas Azmi.

Pada 10 September lalu, Shafnie memohon agar satu perintah komital dikeluarkan untuk menghantar responden ke penjara kerana dikatakan gagal menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelakinya sebanyak RM50,000.

Pada tarikh tersebut, mahkamah membenarkan permohonan AC Mizal untuk menangguhkan prosiding kerana responden ingin memfailkan notis bantahan awal terhadap permohonan Shafnie.

Plaintif melalui afidavit yang diikrarkan pada 4 Ogos lalu menyatakan dia mempunyai dua orang cahayamata iaitu Muhammad Shafiq Iman, 12, dan Muhammad Shabil Iman, 9 tahun, hasil perkongsian hidup dengan responden.

Shafnie, bagaimanapun, telah bercerai talak satu pada 17 Oktober 2001 dan Mahkamah Rendah Syariah Kajang telah memerintahkan supaya responden membayar nafkah anak-anak sebanyak RM2,000 sebulan sehingga kanak-kanak terbabit berusia 18 tahun.

Namun, plaintif mendakwa, responden telah enggan, gagal atau cuai dan tidak mematuhi perintah Mahkamah Rendah Syariah Kajang bertarikh 22 Disember 2004 bagi menjelaskan bayaran nafkah anak-anaknya sepenuhnya sejak Februari 2002 secara ansuran sebanyak RM200 sebulan dan bakinya akan dibayar melalui potongan gaji daripada akaun.

Selain itu, responden turut diperintahkan untuk membayar nafkah semasa bagi setiap bulanan untuk kedua-dua anak sebanyak RM300.

Berdasarkan perintah bertarikh 22 Disember 2004, Mahkamah Rendah Syariah Kajang, hakim bicara merekodkan beberapa terma mengenai nafkah anak iaitu responden mestilah menjelaskan bayaran nafkah tertunggak RM50,000 secara ansuran.

Shafnie menyatakan, sehingga ke hari ini tiada apa-apa perintah yang membatalkan atau mengubah perintah mahkamah tersebut.

Lantaran itu, plaintif menyatakan, dia telah memfailkan permohonan menghina perintah mahkamah pada 16 April 2002. Kemudiannya, responden telah memfailkan permohonan ubah perintah pada 18 Mac 2003 dengan mengemukakan alasan dia mengalami masalah kewangan berikutan syarikat Skop Production Sdn. Bhd. telah menamatkan kontraknya sebagai pelakon.

Shafnie hadir ditemani anaknya Muhammad Shafiq.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails