Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Wednesday, January 30, 2008

Bahaya Zina

Bahaya Zina

Rasulullah saw bersabda : Tiga golongan yang mana Allah tidak bercakap dengan mereka pada hari Kiamat, mereka juga tidak dimuliakan dan mereka tidak dipandang dengan penilaian rahmat dan untuk mereka disediakan dengan azab yang pedih, iaitu : Orang tua yang berzina, pemimpin atau pemerintah yang pendusta dan orang fakir yang sombong (Riwayat Muslim)

Hukuman hudud terhadap remaja atau pemuda pemudi yang berzina sebelum berkahwin dikenakan sebatan sebanyak 100 kali sebatan.

Firman Allah swt dalam Surah An-Nur, ayat 2 : `Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat..’

Manakala bagi orang lelaki dan wanita penzina yang telah berkahwin dikenakan hukuman rejam sampai mati.

Sabda Rasulullah saw : `Lelaki tua dan perempuan tua yang berzina, maka rejamlah kedua-duanya, sebagai balasan daripada Allah’

Sebagaimana dinyatakn di dalam sebahagian surah An-Nur yang telah dinasakhkan bacaan dan tulisannya, namun hukumnya masih dikekalkan, iaitu : `Lelaki tua dan perempuan tua apabila keduanya berzina, maka rejamlah keduanya’

Oleh itu, demi untuk menjaga masyarakat agar tidak terjebak di dalam kancah penzinaan Al-Quran telah melarang sebarang unsure-unsur yang boleh membawa kepada penzinaan. Contohnya, khalwat (atau bersendirian antara lelaki dan perempuan), berkelakuan tidak senonoh, bercakap bahasa yang lucah dan seumpamanya.

Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Isra’, ayat 32 : `Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)’

Bagi orang-orang yang berjaya mengawal diri daripada melakukan perbuatan zina adalah termasuk dalam golongan yang tinggi kedudukan iman mereka.

Firman Allah swt dalam surah Al-Furqan, ayat 68 : `Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina …’

Perbuatan zina meninggalkan kesan buruk terhadap masyarakat, antaranya merosakkan nasab keturunan, merebak penyakit yang merbahaya seperti Aids dan sifilis, menimbulkan pergaduhan dan pembunuhan dan pelbagai lagi.

Di dalam satu hadis ada menukilkan bahaya zina yang diriwayatkan oleh al-Bukhari : `Dicatatkan terhadap anak Adam nasibnya dari penzinaan dan dia pasti mengalaminya : kedua mata, zinanya melihat, kedua telinga zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhasrat dan berharap. Semua itu direalisasikan oleh kemaluan (faraj) atau ditinggalkannya’

Di dalam satu hadis yang lain daripada Abu Hurairah yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim : `Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya’



suriaterang


selamatkanlah diri kami & zuriat kami serta keturunan kami dari terjebak dalam kancah penzinaan.

Monday, January 21, 2008

Hak-Hak Wanita Selepas Perceraian

1. Nafkah Eddah

‘Dan jika mereka (isteri yang telah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin kemudian jika mereka menyusukan anak-anakmu maka berikanlah mereka upahnya’ (At-Talak : 6)

Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya

(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya , iaitu, antara lain -
1. apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
2. apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
3. apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz

Seksyen 65(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah suatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh edah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz

2. Hutang Mas Kahwin

Seksyen 57 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan

3. Tempat Tinggal

‘Tempatkanlah para isteri kamu di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuan dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan hati mereka’ (At-Talak : 6)

Seksyen 71 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.

(2) Hak tempat tinggal akan terhenti -
(a) jika tempoh eddah telah tamat ; atau
(b) jika tempoh penjagaan anak telah tamat ; atau
(c) jika perempuan itu telah berkahwin semula ; atau
(d) jika perempuan itu telah bersalah melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka (fahisyah),
dan sesudah itu suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya

4. Mut’ah

‘dan hendaklah kamu berikan satu mut’ah (saguhati) kepada mereka. Orang yang mampu memberikan mut’ah itu menurut kemampuannya orang yang miskin pula menurut kemampuannya juga’ (Baqarah : 236)

Seksyen 2 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mut’ah ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan

Di dalam kitab Kifayatul Akhyar, mut’ah bererti `nama bagi harta yang diberikan oleh suami kepada isteri kerana suami menceraikannya’

Di dalam kitab `Iaanatut Talibin ada menyebut : `suami wajib memberi mut’ah kepada isterinya yang telah disetubuhi walaupun isterinya itu seorang hamba, oleh kerana berlakunya perceraian yang bukannya berpunca daripada isteri dan bukan juga disebabkan mati salah seorang suami isteri itu’

Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Selain dari haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak

5. Harta Sepencarian

`Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan’ (An-Nisa : 32)

Seksyen 2 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Harta Sepencarian ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak

Seksyen 58 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak

6. Hak Jagaan Anak (Hadhanah)

‘Dari Abdullah bin Amar, bahawa seseorang perempuan bertanya, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya bagi anak lelakiku ini perutkulah yang mengandungnya, pangkuan aku menjadi perlindungannya dan susukulah yangmenyusuinya, tiba-tiba sekarang ayahnya mahu mencabutnya dari aku’. Maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Engkaulah lebih berhak terhadapnya selama engkau tidak berkahwin lain’

‘Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW katanya, ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya suamiku mahu membawa anakku pergi padahal dialah yang mengambil air untukku dari sumur Abu Unbah dan dia pun berguna sekali bagiku’. Maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Ini ayahmu dan ini ibumu. Pilihlah mana yang engkau sukai’. Lalu anak tersebut memilih ibunya. Lalu ibunya pergi membawa anaknya’

Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan

6. Nafkah Anak

`Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka’ (At-Talak : 6)

`Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dari seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajipan demikian’ (Al-Baqarah : 233)

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda : Hindun pernah bertanya, `Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan (suami hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya’. Kemudian Rasulullah saw menjawab, `Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf’

Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Maka adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya

Seksyen 73 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya -
(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu dalam jagaan isterinya;
(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri; atau
(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain



suriaterang

Hak-Hak Wanita Semasa Dalam Tempoh Perkahwinan

1. Mahar

‘Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya’. (An-Nisa’ : 4)

Ketika Khalifah Umar r.a. menganjurkan adanya pembatasan mas kahwin, ada seorang wanita tua yang menyanggahnya. Dan Umar r.a. bersetuju dengan pendapat wanita itu, dengan berkata : ‘Wanita itulah yang benar, Umar yang salah’

Seksyen 21 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain

Seksyen 57 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

2. Nafkah

‘Hendaklah orang-orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya. Barangsiapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran’ (At-Talak : 7)

‘Perempuan-perempuan itu hendaklah kamu tempatkan dalam kediaman yang sesuai dengan kemampuanmu, dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak menimpakan kesempitan kepada mereka’ (At-Talak : 6)

Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya
(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya , iaitu, antara lain -
1. apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
2. apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
3. apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

3. Perhubungan Suami Isteri

‘Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang disukai dan sediakanlah amal-amal yang baik untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya pada hari akhirat kelak. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman’ (Al-Baqarah : 223)

Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(i) bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan mensetubuhinya.

4. Perlindungan dari Gangguan/Penderaan

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)’ (An-Nisa : 19)

Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain -
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

Seksyen 107 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mahkamah adalah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya darimengganggui atau menceroboh; dengan apa-apa carapun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya

5. Keadilan

`dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum menghalang kamu dari berlaku adil, maka berlaku adillah kerana ia lebih dekat dengan taqwa’ (Al-Maidah : 16)

Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain -
(vi) jika ia mempunyai isteri lebih dari seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak

Seksyen 128 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

6. Membubarkan perkahwinan

Seseorang wanita berhak memohon perceraian dalam beberapa keadaan yang dibenarkan oleh Hukum Syarak dan diperuntukkan oleh Undang-Undang Keluarga Islam iaitu :
1. Seksyen 47 : Perceraian dengan talak atau dengan perintah
2. Seksyen 49 : Perceraian khuluk atau tebus talak
3. Seksyen 50 : Perceraian secara taklik atau janji
4. Seksyen 52 : Perceraian secara fasakh

7. Memiliki Harta
Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain -
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu

8. Layanan Baik Dan Bimbingan

Sabda Rasulullah saw : `Pesan memesanlah kamu terhadap berbuat baik kepada perempuan, kerana sesungguhnya perempuan ini dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok. Sekiranya engkau cuba membetulkannya, ia akan patah, sekiranya engkau membiarkannya, dia akan terus bengkok’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Memberi Pandangan Dalam Poligami

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri-isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh Mahkamah supaya hadir apabila permohonan tersebut didengar



suriaterang



p/s :

Pagi tadi suria menghadiri satu kes poligami. Suami hadir berpakaian kemas dan segak sekali sambil membawa 2 orang isterinya yang masih muda. Turut hadir bakal madu, iaitu bakal isteri no. 3. Ketiga-tiga wanita tersebut duduk bersama-sama dan berbual mesra sambil menunggu nama di panggil untuk masuk ke dalam kamar hakim.

Begitulah... nampak seolah-olah mustahil seorang suami untuk membawa isteri-isteri sedia ada ke mahkamah untuk mahkamah untuk mendapatkan pandangan mereka sebelum membenarkan permohonan poligami tetapi `nothing is impossible'. Yang penting, suami berkemampuan, adil dan bertanggungjawab, berani berhadapan dengan isteri-isteri menceritakan hasrat yang bersarang di dalam hati dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Hak-Hak Wanita Sebelum Perkahwinan

Pendahuluan

Dewasa ini terlalu banyak kes-kes melibatkan kaum Hawa yang terpapar di dada akhbar dan media massa. Keruntuhan moral, kepincangan akhlak, pergolakan rumahtangga, penderaan mental dan fizikal dan pelbagai lagi.

Mengapa ini terjadi?

Pelbagai program dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta untuk menjadikan kaum Hawa terutamanya celik undang-undang dan mengetahui hak-hak mereka.

Enakmen dan Undang-Undang Islam dikemaskini, diperbaiki dari masa ke semasa dan dikuatkuasakan untuk menjaga kepentingan wanita.

Apakah kaum Hawa menyedari dan menghargainya? Atau masih terus membiarkan diri berada di dalam kebuntuan dan kejahilan tentang Undang-undang Islam.


Hak-Hak Wanita Sebelum Perkahwinan

Memilih Pasangan

1. memilih pasangan muslim

`Dan janganlah kamu mengahwinkan perempuan-perempuan Islam dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman dan memeluk agama Islam. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran daripadanya’ (Al-Baqarah : 221)

Seksyen 10 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan :

`Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam’

2. memilih pasangan yang sekufu

Bahasa : sama atau setaraf
Istilah : satu aspek yang ketiadaannya akan mencacatkan kedua mempelai

Kufu merupakan hak perempuan dan wali. Kufu dituntut bagi pihak perempuan, bukan bagi pihak lelaki.

Jika seseorang perempuan berkahwin dengan orang yang tidak kufu, maka wali berhak menuntut supaya aqad difasakhkan. Sebaliknya juga jika wali menikahkan perempuan dengan orang yang tidak sekufu, maka perempuan waliannya berhak menuntut supaya difasakhkan perkahwinannya.

Sabda Rasulullah saw : `Tiga perkara jangan engkau tangguhkan iaitu sembahyang apabila tiba waktunya, jenazah seorang yang meninggal dan perempuan janda atau perawan apabila dilamar oleh seseorang lelaki yang sekufu dengannya’ (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dengan sanad yang hasan)

Kufu adalah dari segi keturunan, merdeka, Islam, pekerjaan
dan harta.

Alam Pertunangan

1. mengenali, mengkaji akhlak dan kecenderungan pasangan menurut Hukum Syarak

2. mencari titik persefahaman antara pasangan sebelum mendirikan rumahtangga

3. memberi dan menerima hadiah, hantaran dan sebagainya daripada pasangan

4. berhak menolak ajakan pasangan untuk keluar atau sebagainya jika tanpa ditemani mahram

5. membatalkan pertunangan jika sekiranya tidak sekufu dan mempunyai alasan yang munasabah

6. menerima pampasan gantirugi dan meminta dikembalikan hadiah dan sebagainya jika pasangan mungkir janji untuk berkahwin tanpa alasan munasabah

7. menghadiri permohonan poligami oleh pasangan di Mahkamah Syariah dan memberi keterangan (jika sekiranya pasangan ingin berpoligami)

Persetujuan Perkahwinan

1. tidak dipaksa

Rasulullah saw bersabda : `Janganlah kahwinkan seseorang perempuan yang bukan anak dara (janda) sehingga kamu mendapat kuasanya terhadap perkahwinan itu dan janganlah kahwinkan seorang anak dara sehingga dipinta izinnya’ (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah saw bersabda : `Seseorang yang bukan anak dara mempunyai hak yang lebih besar mengenai dirinya daripada penjaganya. Persetujuan seorang anak dara haruslah dipinta berkenaan dengan sesuatu mengenai dirinya dan diam membisu pada haknya itu adalah bererti memberikan persetujuan’ (Riwayat Muslim)

Seksyen 13 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan :

`Sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada -

(a) wali pihak perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak; atau

(b) Hakim Syarie yang mempunyai bidangkuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali raja mengikut Hukum Syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi’

Seksyen 37 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan :

`Kecuali jika dibenarkan oleh Hukum Syarak, seseorang yang menggunakan apa-apa kekerasan atau ugutan -

(a) untuk memaksa seseorang berkahwin bertentangan dengan kemahuannya; atau

(b) untuk menahan seseorang lelaki yang telah mencapai umur lapan belas tahun atau seseorang perempuan yang telah mencapai umur enam belas tahun dari berkahwin dengan sahnya,

adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu’

2. bawah umur

Perkahwinan bawah umur hendaklah mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah mengikut undang-undang di Malaysia. Ini bertujuan agar Mahkamah dapat menyelidik gadis tersebut dari segi latar belakang, keadaan fizikal, kemampuan untuk berumahtangga dan bagi menjaga kepentingan gadis tersebut.

Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan :

`Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu’
Meletakkan Syarat-Syarat Yang Tidak Bersalahan Dengan Hukum Syarak


Menurut Ash-Shawkaniy, seorang isteri boleh membentangkan syarat-syarat sebelum perkahwinan mengenai cara kehidupannya, makanannya, rumah dan pakaian menurut status sosial suami dan hak-hak ini tidak boleh dikurangkan. Begitu juga suami boleh memasukkan syarat-syarat bahawa isteri tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, isteri tidak menolak untuk bersatu dengannya dan tidak menggunakan harta suami atau milikannya kecuali dengan izinnya.



suriaterang



Sabda Rasulullah saw : `Berwasiatlah engkau semua kepada kaum wanita dengan baik, sebab sesungguhnya wanita itu dibuat dari tulang rusuk dan sesungguhnya bengkok tulang rusuk ialah bahagian teratas sekali. Maka jikalau engkau cuba meluruskannya maka engkau akan mematahkannya dan jikalau engkau biarkan sahaja, maka ia akan tetap bengkok selama-lamanya. Oleh itu, maka berwasiatlah yang baik kepada kaum wanita itu’ (Bukhari & Muslim)

Maklumat Umum Jenayah Syariah

Jenayah Syariah

Suatu tindakan atau perbuatan yang dilarang dan merosakkan, sama ada tindakan ke atas nyawa, badan, harta atau sebagainya. Kesalahan yang mesti dihukum kerana melanggar hak Allah swt dan hak manusia atau makhluk lain. Matlamat utama syariat adalah untuk membawa rahmat kepada seluruh manusia dan semesta alam.

Definisi Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (AKJS 1997)

LIWAT
- perhubungan seks sesama lelaki

MUNCIKARI
-seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syarak

MUSAHAQAH
- perhubungan seks sesama perempuan

QAZAF
- membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang

SUMBANG MAHRAM
- persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang dilarang mengahwini satu sama lain di bawah Hukum Syarak

TAKFIR
- menganggap seseorang orang Islam sebagai orang bukan Islam

ZINA
- persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah

Kesalahan Berhubungan Aqidah

PEMUJAAN SALAH (S. 3 (1) AKJS 1997)
- mana-mana orang yang memuja alam semulajadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara yang menyalahi Hukum Syarak
- denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau keduanya

DOKTRIN PALSU (S. 4 (1) AKJS 1997)
- mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam yang berlawanan dengan Hukum Syarak
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi

MENGEMBANGKAN DOKTRIN AGAMA (S. 5 AKJS 1997)
- mana-mana orang yang mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain daripada doktrin atau kepercayaan agama Islam di kalangan orang yang beragama Islam
- denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau keduanya

DAKWAAN PALSU (S. 6 AKJS 1997)
- mana-mana orang yang mengisytiharkan dirinya atau mana-mana orang lain sebagai rasul atau nabi, Imam Mahadi atau wali atau menyatakan atau mendakwa bahawa dia atau mana-mana orang lain mengetahui peristiwa atau perkara di luar pemahaman atau pengetahuan manusia sedangkan perisytiharan, pernyataan atau dakwaan itu palsu dan berlawanan dengan ajaran Islam
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau keduanya

Kesalahan Berhubungan Kesucian Agama Islam & Institusinya

MENGHINA, ATAU MENYEBABKAN DIPANDANG HINA, DLL AGAMA ISLAM (S. 7 AKJS 1997)
- mana-mana orang secara lisan atau bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain
menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina;
mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam;
atau mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam
- denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau keduanya

MEMPERSENDAKAN, DLL AYAT AL-QURAN ATAU HADITH (S. 8 AKJS 1997)
- mana-mana orang, dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat Al-Quran atau Hadith
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau keduanya

TIDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG JUMAAT
(S. 14 AKJS 1997)
- mana-mana orang lelaki, yang baligh, tidak menunaikan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut tanpa uzur syarie
- denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau keduanya

TIDAK MENGHORMATI RAMADHAN (S. 15 AKJS 1997)
-mana-mana orang menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain; atau secara terbuka atau ditempat awam makan, minum atau menghisap rokok
- denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau keduanya

MENGHASUT MENGABAIKAN KEWAJIPAN AGAMA
S. 17 AKJS 1997)
- mana-mana orang menghasut atau mendorong mana-mana orang Islam supaya tidak menghadiri masjid atau pengajaran agama atau apa-apa upacara agama
- denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau keduanya

BERJUDI (S. 18 AKJS 1997 )
- mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi
- denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau keduanya

MINUMAN YANG MEMABUKKAN (S. 19 AKJS 1997)
- mana-mana orang minum apa-apa minuman yang memabukkan di mana-mana kedai atau tempat awam
- denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau keduanya

Kesalahan Berhubungan Kesusilaan

PERBUATAN SUMBANG MAHRAM (S. 20 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi

PELACURAN (S. 21 AKJS 1997)
(1) perempuan yang melacurkan diri
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi
(2) mana-mana orang yang melacurkan isteri atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya atau menyebabkan atau membenarkan isteri atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya melacurkan diri
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi

MUNCIKARI (S. 22 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi

PERSETUBUHAN LUAR NIKAH (S. 23 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi

LIWAT (S.25 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi

MUSAHAQAH (S. 26 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi

KHALWAT (S. 27 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau keduanya

ORANG LELAKI BERLAGAK PEREMPUAN (S. 28 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 1 tahun atau keduanya

PERBUATAN TIDAK SOPAN DI TEMPAT AWAM (S. 29 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau keduanya

Lain-Lain Kesalahan

1. Takfir
2. Memusnahkan atau mencemarkan masjid, surau, dsb
3. Menggalakkan maksiat
4. Memujuk lari perempuan bersuami
5. Menghalang pasangan yang sudah bernikah hidup sebagai suami isteri
6. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan
7. Memujuk lari orang perempuan
8. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam
9. Qazaf
10. Penyalahgunaan tanda halal



suriaterang


`dan janganlah belas kasihan kepada keduanya, mencegah kamu untuk menjalankan agama Allah’ (An-Nur : 2)

Ucapan Presiden Peguam Syarie Malaysia semasa Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan pada 17 Januari 2008

Ucapan Presiden semasa majlis pentauliahan peguam-peguam Syarie Wilayah Persekutuan


Terima kasih Pengerusi Majlis,
YAA Datuk Ibrahim bin Lembut, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM
YAA Tuan Hj Hussin Ahamad Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan
Yang Arif Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah MSWPKL
Y Bijaksana Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan
Ketua Pendaftar, Pegawai Sulh dan Pegawai-pegawai MSWPKL
Pimpinan PGSM dan ahli-ahli PGSM
Ahli Jawatankuasa Penganjur Program
Dan Yang Diraikan Semua Peguam Syarie yang akan menerima sijil pentauliahan pada hari ini.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, Selawat dan salam ke hadrat Rasulullah saw. Selaku Presiden PGSM, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnianya sehingga Majlis Pentauliahan ini berjaya dilaksanakan pada hari ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak YAA dan juga seluruh Pegawai MSWPKL yang telah memberi ruang kepada PGSM untuk bersama-sama meraikan majlis ini. Saya berasa sangat gembira melihat jumlah Peguam Syarie yang agak ramai yang akan mendapat pentauliahan pada hari ini. Ia sekali gus menunjukkan kesungguhan dan minat mendalam di kalangan Peguam Syarie yang baru untuk bersama-sama memartabatkan perjuangan Syariah di negara kita.

Pada hari ini, kita meraikan hari yang bermakna bagi Peguam Syarie yang baru, kerana mereka telah berjaya melepasi ujian dan temu duga sehingga berjaya ditauliahkan sebagai Peguam Syarie di Wilayah Persekutuan. PGSM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan anda semua dan selamat datang ke alam guaman syarie.

Secara umumnya, profesyen guaman sebenarnya berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri. Seseorang peguam hendaklah membina dan mempunyai kualiti tertentu yang sangat penting dalam profesion ini. Antara sikap penting tersebut adalah integriti, sabar, suka mencari ilmu dan meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan. Ia bukan semata-mata melibatkan wang sebagai ganjaran yang menjadi matlamat tetapi peluang untuk berkhidmat dan membantu pihak yang teraniaya adalah menjadi keutamaan.

Pada hari ini, akhbar sering melaporkan isu-isu mahkamah sama ada mahkamah syariah atau mahkamah sivil. Secara tidak langsung ia turut melibatkan peguam yang beramal. Kerana itu, para peguam sama ada sedar atau tidak akan turut menjadi tumpuan dan menjadi tempat rujukan masyarakat. Justeru itu, Peguam-peguam perlu mengambil kira beberapa kualiti yang perlu disemai agar ia subur dalam diri kita.

Pertama, seseorang peguam mesti mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasannya. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti yang memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap klien, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nila-nilai profesional tinggi seorang peguam. Seseorang peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada klien, peguam yang lain dan juga kepada pihak Mahkamah dalam menegakkan keadilan. Kita perlu sentiasa melihat sesuatu isu itu dari aspek yang makro berbanding dengan mikro.

Kedua, Mengambil berat dan sabar dalam berurusan- Sikap ini menghendaki kita supaya sentiasa menghormati dan memerhati kehormatan semua orang. Untuk itu, seseorang peguam perlu melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam-peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi dari bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak di sepanjang proses undang-undang yang dilaksanakan. Ini bermakna, walaupun seseorang peguam mewakili kliennya tetapi masa yang sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.

Ketiga, Cintakan Ilmu dan Sentiasa Berusaha menambah ilmu. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu yang ada dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada dengan menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau pun bertanya kepada Peguam-peguam Senior apa-apa perkara yang mungkin belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum kita ketahui.

Keempat, Bersikap Baik dan Mengambil Berat (Civility)- Seorang peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan sahaja kepada Mahkamah dan rakan sekerja tetapi juga kepada seluruh manusia yang digaulinya. Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji yang dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen yang sangat tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan. Seseorang peguam mesti mewakili klien dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan serta komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan yang diberikan oleh klien terhadapnya. Pada masa yang sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada kliennya tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan yang tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan kepada undang-undang dan menjaga sistem keadilan Syariah yang kita perjuangkan.

Kelima, Bersungguh dan Teliti- Seseorang peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga dan kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes dan peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya. Dengan menguasai fakta dan undang-undang dengan teliti, ia akan membantu peguam dalam menjalankan tugasan dan mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan kliennya. .

Keenam, Suka untuk memberi khidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas- Seseorang peguam mesti membantu dan melibatkan diri dalam urusan-urusan yang memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu mereka yang memerlukan sama ada melibatkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebaginya.

Dalam berurusan dengan pihak lawan, peguam-peguam mereka, pegawai Mahkamah dan mana-mana pihak yang terlibat dalam sistem perundangan negara, seseorang peguam mesti berusaha untuk menjadikan sistem keadilan kita dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang. Seseorang peguam perlu mengelak dari melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik Mahkamah Syariah dan sistem perundangan Syariah atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan Syariah terhakis. Apa yang menjadi matlamat adalah untuk mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Hukum Syarak.

Sebelum memilih untuk membawa kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, seseorang peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada klien alternatif-alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah mereka seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.

Seseorang peguam juga mesti meningkatkan kemampuan berkomunikasi dan penulisan sama ada dalam bahasa Malaysia, Bahasa Arab atau pun bahasa Inggeris. Semua kertas perundangan juga perlu menggunakan bahasa yang senang difahami dan tepat kepada maksud yang dikehendaki. Peguam juga mesti sentiasa memerhatikan kes kliennya dan memberi nasihat yang tepat dan bersesuaian.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud yang bermaksud “ Hakim-hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka....” Hadith ini sebenarnya bukan sahaja ditujukan kepada hakim sahaja malah kepada peguam juga kerana kedua hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam-peguam yang berhujah secara palsu di hadapannya dulu bersama-sama mereka. Oleh itu para peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan.

Sebagai sebuah Badan yang ingin memartabatkan perundangan Syariah dan sekali gus menjaga kebajikan Peguam Syarie di Malaysia, PGSM sentiasa berusaha untuk memberi input positif terutama melibatkan perundangan Syariah. Kita juga sangat berharap agar semua Peguam Syarie yang beramal nanti akan turut sama berada di bawah PGSM dan sama-sama bekerjasama menghidupkan serta memajukan PGSM demi kebaikan semua.

Akhirnya, saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali kali kepada pihak YAA kerana memberi peluang kepada PGSM untuk turut sama meraikan Peguam Syarie yang baru pada hari ini. Mewakili PGSM, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Peguam Syarie yang berjaya mendapat pentauliahan pada hari ini. Sekian Terima kasih.

Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
17 hb Januari 2008.

(edited by Nurhidayah Muhd Hashim)

Wednesday, January 2, 2008

Kempen Anda Bijak Jauhi Zina mengiringi sambutan tahun baru 2008

Selamat Menyambut Tahun Baru 2008 kepada semua...

Edaran Kempen `Anda Bijak Jauhi Zina' oleh ahli-ahli Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) membantu dalam usaha membanteras maksiat dan mengelakkan mudharat yang lebih besar (sadd al-dhara'i) dikalangan remaja terutamanya muslim.

Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia cegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan lisannya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)


suriaterang


Selamat Menyambut 1 Muharam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails