Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Saturday, December 29, 2007

Konsep Bekerja Menurut Pandangan Islam

Konsep Bekerja Menurut Pandangan Islam

Oleh:
Hj. Ahmad bin Hj. Awang, Institut Dakwah Dan Latihan Islam, BAHEIS

Pendahuluan:

Tidak ada siapa yang akan mempertikaikan jika ada yang mengatakan bahawa setiap orang mahu bekerja atau mendapatkan pekerjaan untuk menjamin kehidupannya. Kalau kita ambil contoh dari golongan belia, baik yang berpelajaran menengath atau tinggi sama ada mereka yang gagal dan tidak pernah bersekolah langsung, semuanya bercita-cita untuk mendapat pekerjaan atau boleh bekerja bagi menampung keperluan hidupnya sendiri atau keluarganya. Adakah bekerja itu boleh dipandang sebagai suatu kewajipan atau tanggungjawab yang mempunyai tujuan yang lebih luas? Tetapi apakah yang bekerja itu hanya sekadar untuk menampung dan menjamin kehidupan di dunia ini. Soalan ini perlulah kita jawab dengan memahami konsep kerja menurut pandangan Islam.

Pengertian Kerja:

Kerja atau amal menurut Islam dapat diertikan dengan makna yang umum dan makna yang khusus. Amal dengan makna umum ialah melakukan atau meninggalkan apa jua perbuatan yang disuruh atau dilarang oleh agama yang meliputi perbuatan baik atau jahat. Perbuatan baik dinamakan amal soleh dan perbuatan jahat dinamakan maksiat. Adapun kerja atau amal dengan maknanya yang khusus iaitu melakukan pekerjaan atau usaha yang menjadi salah satu unsur terpenting dan titik tolak bagi proses kegiatan ekonomi seluruhnya.

Kerja dalam makna yang khusus menurut Islam terbahagi kepada:
1. Kerja yang bercorak jasmani (fizikal)
2. Kerja yang bercorak aqli/fikiran (mental)

Dari keterangan hadis-hadis Rasulullah (s.a.w), terdapat kesimpulan bahawa konsep kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibolehkan oleh syarak sebagai balasan kepada upah atau bayaran, sama ada kerja itu bercorak jasmani (flzikal) seperti kerja buruh, pertanian, pertukangan tangan dan sebagainya atau kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan pegawai, baik yang berupa perguruan, iktisas atau jawatan perkeranian dan teknikal dengan kerajaan atau swasta.

Antara hadis-hadis tersebut ialah:

"Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri". (Riwayat al-Bukhari)

Selain daripada itu para sahabat menggunakan perkataan pekerja (amil) untuk jawatan orang yang ditugaskan menjadi petugas pemerintahan umpamanva kadi, gabenor dan sebagainya. Oleh yang demikian segala kerja dan usaha yang dibolehkan oleh syarak baik yang bersifat kebendaan atau abstrak atau gabungan dan kedua-duanya adalah dianggap oleh Islam sebaga "kerja". Segala kerja yang bermanfaat Islam dan yang sekecil-kecilnya seperti menyapu longkang hingga kepada yang sebesar-besarnya seperti menjadi menteri atau kepala negara adalah merupakan kerja atau amal sekalipun ianya berlainan peringkat dan kelayakan yang diperlukan untuknya. Berdasarkan konsep ini maka menurut pandangan Islam, masyarakat seluruhnya dan semua peringkat adalah pekerja.

Oleh yang demikian konsep kerja seperti ini membawa implikasi sosial yang penting, antaranya:
1. Bahawa asal manusia adalah sama sebagai manusia dan pekerja yang mempunyai kemuliaan dan kehormatan sekalipun perbezaan itu tidaklah merupakan keistimewaan satu pihak terhadap yang lain.
2. Para pekerja bukanlah hanya satu kelompok dari masyarakat, bahkan mereka adalah semua anggota masyarakat. Jadi mengikut konsep Islam bahawa masyarakat itu adalah tersusun atau terbentuk dari kerjasama antara sesama para pekerja di dalamnya, bukan terdiri dari kumpulan para pekerja dan para majikan seperti yang difahami menurut sistem ekonomi komunis atau kapitalis.

Kerja Menurut Tuntutan Islam:

Islam menjadikan kerja sebagai tuntutan fardu atas semua umatnya selaras dengan dasar persamaan yang diisytiharkan oleh Islam bagi menghapuskan sistem yang membeza-bezakan manusia mengikut darjat atau kasta dan warna kulit. Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supava kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang taqwa." (al-Hujurat: 13)
Dengan menggunakan segala unsur-unsur perbezaan darjat atau warna kulit itu maka jadilah kerja menurut Islam suatu tuntutan kewajipan yang menyeluruh atas setiap orang yang mampu bekerja untuk mencapai kebahagiaan individu dan juga masyarakat. Jadi tidaklah kerja itu hanya khusus untuk golongan hamba abdi seperti sebelumnya.

Firman Allah bermaksud:
"Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan." (al-Taubah: 105)

Islam juga meningkatkan tuntutan kerja itu hingga ke tahap kewajipan agama. Oleh itu tahap iman sentiasa dikaitkan oleh al-Quran dengan amal soleh atau perbuatan baik. Ini bererti Islam itu adalah akidah yang mesti diamalkan dan amalan yang mesti berakidah secara tidak terpisah. Seperti firman Allah bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya sekalian manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh". (al-Asr: 1-3)

Kerja Sebagai Sumber Nilai:

Islam menjadikan kerja sebagai sumber nilai insan dan ukuran yang tanggungjawab berbeza.

Firman Allah bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang itu melainkan balasan apa yang diusahakan". (al-Najm: 39)

Firman-Nya lagi bermaksud:
"Dan bagi tiap-tiap seseorang beberapa darjat tingkatan balasan disebabkan amal yang mereka kerjakan dan ingatlah Tuhan itu tidak lalai dari apa yang mereka lakukan". (al-An'am: 132)

Kerja sebagai sumber nilai manusia bererti manusia itu sendiri menentukan nilai atau harga ke atas sesuatu perkara itu. Sesuatu perkara itu pada zatnya tidak ada apa-apa nilai kecuali kerana nisbahnya kepada apa yang dikerjakan oleh manusia bagi menghasil, membuat, mengedar atau menggunakannya. Kerja juga merupakan sumber yang objektif bagi penilai prestasi manusia berasaskan segi kelayakan. Oleh yang demikian Islam menentukan ukuran dan syarat-syarat kelayakan dan juga syarat-syarat kegiatan bagi menentukan suatu pekerjaan atau jawatan itu supaya dapat dinilai prestasi kerja seseorang itu. Dengan cara ini, Islam dapat menyingkirkan perasaan pilih kasih dalam menilai prestasi seseorang sama ada segi sosial, ekonomi dan politik.

Kerja Sebagai Sumber Pencarian:

Islam mewajibkan setiap umatnya bekerja untuk mencari rezeki dan pendapatan bagi menyara hidupnya. Islam memberi berbagai-bagai kemudahan hidup dan jalan-jalan mendapatkan rezeki di bumi Allah yang penuh dengan segala nikmat ini.

Firman-Nya bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai-bagai jalan) penghidupan." (al-A'raf: 168)

Dan firman-Nya lagi bermaksud:
"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunnya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan kepada-Nya jualah dibangkitkan hidup semula." (al-Mulk: 15)

Islam memerintahkan umatnya mencari rezeki yang halal kerana pekerjaan itu adalah bagi memelihara maruah dan kehormatan manusia.

Firman Allah bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik". (al-Baqarah: 168)

Sabda Nabi (s.a.w) bermaksud:
"Mencari kerja halal itu wajib atas setiap orang Islam."

Oleh yang demikian Islam mencela kerja meminta-minta atau mengharapkan pertolongan orang lain kerana ianya boleh merendahkan harga diri atau maruah. Dalam sebuah hadis

Rasulullah (s.a.w) bermaksud:
"Bahawa sesungguhnya seseorang kamu pergi mengambil seutas tali kemudian mengikat seberkas kayu api lalu menjualnya hingga dengan sebab itu ia dapat memelihara harga dirinya, adalah lebih baik daripada ia pergi meminta-minta kepada orang sama ada mereka rnemberinya atau menolaknya."

Kerja Sebagai Asas Kemajuan Umat:

Islam mewajibkan kerja untuk tujuan mendapatkan mata pencarian hidup dan secara langsung mendorongkan kepada kemajuan sosioekonomi. Islam mengambil perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap kemajuan umat kerana itu ia sangat menekankan kemajuan di peringkat masyarakat dengan menggalakkan berbagai kegiatan ekonomi sama ada di sekitar pertanian, perusahaan dan perniagaan. Dalam hadis Rasulullah (s.a.w) sangat ketara dorongan ke arah kemajuan ekonomi di sektor tersebut, sebagai contoh:

1. Di bidang Pertanian

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Tidaklah seseorang mukmin itu menyemai akan semaian atau menanam tanaman lalu dimakan oleh burung atau manusia melainkan ianya adalah menjadi sedekah".

2. Di bidang Perusahaan

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
"Sebaik usaha ialah usaha seorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihat- menasihati.

3. Di bidang Perniagaan

Rasulullah (s.a.w) pernah meletakkan para peniaga yang jujur dan amanah kepada kedudukan yang sejajar dengan para wali, orang-orang yang benar, para syuhada' dan orang-orang soleh dengan sabda bermaksud:
"Peniaga yang jujur adalah bersama para wali, orang-orang siddiqin, para syuhada' dan orang-orang soleh".

Baginda juga menyatakan bahawa sembilan persepuluh daripada rezeki itu adalah pada perniagaan.

Islam Menolak Pengangguran:

Islam menuntut umatnya bekerja secara yang disyariatkan atau dibenarkan menurut syarak bagi menjamin kebaikan bersama dengan mengelakkan dari meminta-minta dan sebaliknya hendaklah berdikari. Islam sentiasa memandang berat dan menyeru umatnya untuk bekerja dan berusaha mencari rezeki melalui dua pendekatan berikut:
Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta dan menganggur. Banyak hadis Nabi (s.a.w) mengenai larangan berusaha cara meminta. Baginda sering benar mengarahkan orang yang datang meminta, supaya mereka bekerja umpamanya, suatu ketika seorang fakir datang meminta-minta kepada baginda lalu baginda bertanya: "Adakah anda memiliki sesuatu?" "Tidak", kata lelaki itu. Baginda bertanya lagi dengan bersungguh-sungguh, lalu lelaki itu menjawab: "Saya ada sehelai hamparan yang separuhnya kami jadikan alas duduk dan separuhnya lagi kami buat selimut dan ada sebuah mangkuk yang kami gunakan untuk minum".Maka baginda bersabda kepadanya: "Bawakan kedua-dua benda itu kepada saya". Lalu dibawanya kedua-dua barang itu, kemudian Nabi tunjukkan barang itu kepada orang yang berada di sisi baginda kalau ada sesiapa yang hendak membelinya. Akhirnya baginda dapat menjualnya dengan harga dua dirham dan diberikan wang tersebut kepada lelaki itu sambil baginda berkata: "Belilah makanan untuk keluargamu dengan satu dirham manakala satu dirham lagi belikanlah sebilah kapak". Kemudian Rasulullah (s.a.w) meminta lelaki itu datang lagi, lalu lelaki itupun datang dan baginda telah membubuhkan hulu kapak itu dan menyuruh lelaki itu pergi mencari kayu api sambil baginda mengatakan kepada lelaki itu supaya lelaki itu tidak akan berjumpa lagi dalam masa 15 hari. Lelaki itu pergi dan kembali lagi selepas 15 hari sambil membawa datang 10 dirham, lalu ia berkata: "Wahai Rasulullah, Allah telah memberkati saya pada kerja yang tuan suruh saya itu." Maka baginda Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Itu adalah lebih baik daripada anda datang pada hari kiamat kelak sedang pada muka anda bertanda kerana meminta-minta.

Berdasarkan kepada banyak hadis mengenai perkara ini, para ulama membuat kesimpulan bahawa larangan meminta-minta itu bukanlah sekadar perintah bersifat akhlak sahaja bahkan orang yang menjadikan kerja meminta-minta itu sebagai "profesion", hendaklah dikenakan hukuman yang berpatutan.

Kesimpulan:

Berdasarkan kepada keterangan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah (s.a.w) dengan huraian-huraian seperti yang disebutkan dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Islam sangat mengambil berat terhadap "kerja" dengan menjelaskan konsep kerja itu dan kedudukannya yang tinggi dalam ajaran Islam. Ringkasnya, kita dapat simpulkan seperti berikut:-

1. Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja untuk dunia dan kerja untuk akhirat.

2. Kerja untuk kehidupan dunia sama ada yang bercorak aqli/mental (white collar job) atau bercorak jasmani (blue collar job) adalah dipandang sama penting dan mulia di sisi Islam asal sahaja dibolehkan oleh syarak.

3. Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa mengira darjat, keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di sisi Allah, melainkan kerana taqwanya.

4. Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama melalui kerja masing-masing. Berdasarkan kebolehan dan kelayakan serta kelayakan bidang masing-masing kerana segala kerja mereka adalah bersumberkan iman dan bertujuan melaksanakan amal soleh.

5. Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai khalifah Allah dan hamba-Nya untuk memakmurkan bumi ini dan sekaligus pula beribadat kepada Allah, Tuhan Pencipta alam.

6. Kerja merupakan cara yang tabi'i untuk manusia mencari nafkah bagi menyara hidup dan keluarga melalui berbagai sektor pekerjaan dan perusahaan yang sedia terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan alam yang Allah sediakan di atas muka bumi ini.

7. Islam melarang/menolak pengangguran kerana ia akan mendedahkan kepada kelemahan dan kefakiran dan jatuhnya maruah diri/ummah, kerana Islam menghendaki setiap umatnya bermaruah dan berdikari, tidak meminta-minta dan berharap kepada bantuan dan belas kasihan orang lain, bahkan sebaliknya hendaklah menjadi umat yang kuat dan mampu membela mereka yang lemah dan tertindas agar seluruh manusia menikmati keadilan dan rahmat yang dibawa oleh Islam sebagai agama atau "ad-Din" yang tertinggi dan mengatasi seluruh kepercayaan dan ideologi manusia. Firman Allah S.W.T bermaksud: "Dialah Allah yang mengutuskan Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) supaya ia meninggikan atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik membencinya".


Sumber: Sinaran Islam, Tahun 8, Bil. 2, Jun 1988, hal. 16-30.

Kajian Kes : Mungkir Pertunangan

Kajian Kes : Mungkir pertunangan


Aisyah telah dipinang oleh keluarga Johan. Semasa upacara peminangan, kedua-dua belah pihak telah menetapkan mahar RM800 berserta persalinan serba dua kerana melangkah bendul. Mereka juga telah bertukar-tukar hantaran dimana pihak Johan telah memberikan sebentuk cincin emas berlian berharga RM13,000 dan wang hantaran sebanyak RM20,000 dan pihak perempuan telah memberi cincin perak bertatah berlian berharga RM10,000.

Dalam tempoh pertunangan, pihak perempuan telah membuat persiapan perkahwinan dengan membeli peralatan bilik pengantin, mengecat dan mengubahsuai rumah dan membeli pakaian pengantin sebanyak 5 pasang. Kesemua persiapan tersebut berjumlah RM200,000.

Seminggu sebelum tarikh perkahwinan, Aisyah mendapat sms daripada Johan bahawa beliau ingin memutuskan pertunangan kerana beliau terkena ‘santau’ dan Johan baru mendapat tahu bahawa Aisyah masih tunangan Kasim. Sedangkan Aisyah telah menyiapkan segala persiapan perkahwinan dan kad-kad jemputan telah diedarkan.

Pada hari perkahwinan, Aisyah telah ditemuramah oleh wartawan dan disiarkan dimuka hadapan surat khabar utama dengan tuduhan ‘Johan lelaki dayus’. Aisyah juga menyatakan bahawa beliau tidak memberi jawapan kepada pinangan oleh Kasim.

Nasihatkan Aisyah dan Johan.


3 isu yang perlu diteliti dan dirungkaikan :

1. Adakah sah ikatan pertunangan?
2. Siapakah yang memungkiri? Adakah alasan yang diberikan boleh diterima oleh syarak?
3. Apakah remedi yang boleh dituntut oleh kedua-dua belah pihak?

Isu 1 : Adakah sah ikatan pertunangan?

a. Ulama telah mengharuskan pertunangan sebagai langkah awal kepada ikatan perkahwinan.

Al-Baqarah : 235 `Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara kiasan) untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam iddah)’

Jabir bin Abdullah, Rasulullah saw bersabda : `Jika seseorang kamu mahu meminang seorang perempuan kalau boleh lihat lebih dahulu apa yang menjadi daya tarikan untuk mengahwininya, maka hendaklah dilakukannya’

b. Syarat-syarat perempuan yang dipinang
i. perempuan yang boleh diakadnikahkan
ii. bukan perempuan yang telah dipinang
iii. tidak dalam iddah
iv. bukan perempuan yang diharamkan berkahwin

c. Dalam kes ini, isu yang ditimbulkan oleh Johan bahawa Aisyah adalah tunangan Kasim.
Persoalannya, adakah pinangan Kasim diterima? Aisyah mengakui bahawa Kasim ada meminang tetapi beliau masih belum memberikan sebarang jawapan sehinggalah beliau menerima pinangan Johan.

Hadis : `Janganlah seorang lelaki meminang selepas pinangan saudaranya kecuali setelah peminang yang pertama itu meninggalkannya (memutuskannya) atau memberi kebenaran kepada peminang selepasnya’

Terdapat 3 keadaan :
i. pinangan pertama telah diterima
- fuqaha’ sepakat : HARAM bagi peminang baru datang meminangnya kerana dia menceroboh hak peminang yang pertama dan boleh menimbulkan perkelahian.
- Mazhab Malik : HARAM meminang perempuan yang menaruh minat kepada seseorang lelaki yang tidak fasik.
ii. pinangan pertama ditolak
- ulama’ sepakat : HARUS bagi lelaki lain meminangnya kerana hak lelaki pertama tidak sabit.
iii. pinangan yang belum ditolak dan belum diterima
- ½ fuqaha’ : TIDAK BOLEH orang baru meminangnya, kerana ada unsur mencabar orang yang pertama yang berkemungkinan pinangan akan diterima, tetapi dengan kedatangan pinangan yang baru bererti peminang kedua memotong peluang orang yang pertama.
- ½ fuqaha’ : HARUS bagi orang yang baru meminangnya, kerana pinangan masih belum diberi keputusan itu belum lagi sempurna dan belum sabit hak peminangnya.
- Hadis Mutttafaq alaih : Fatimah binti Qais telah berjumpa Rasulullah saw menceritakan bahawa Muawiyah dan Abu Jahm telah meminangnya. Rasulullah bersabda – Muawiyah seorang yang miskin tidak ada harta, manakala Abu Jahm pula seorang yang sentiasa meletakkan tongkat di atas tengkuknya (garang dengan isterinya), maka kahwinlah dengan Usamah bin Zaid.

Dalam kes ini, Johan telah meminang Aisyah dalam keadaan beliau tidak tahu bahawa Kasim ada masuk meminang Aisyah terlebih dahulu.

Hadis :

Seterusnya, Johan dan Aisyah boleh berpegang kepada pendapat (iii) iaitu HARUS bagi Johan meminang Aisyah selagimana Aisyah belum menerima pinangan orang lain dan berpegang kepada dalil hadis Fatimah binti Qais di atas.

Ikatan pertunangan antara Johan dan Aisyah adalah SAH dari segi hukum syarak.

Isu 2 : Siapakah yang memungkiri? Adakah alasan yang diberikan boleh diterima oleh syarak?

a. Johan yang memungkiri dan ingin memutuskan ikatan pertunangan atas 2 alasan :
i. baru mendapat tahu bahawa Aisyah adalah tunangan Kasim
ii. terkena `santau’

Isra’ : 34 `Dan sempurnakan perjanjian’
Hadis : `Tunaikan janji bila kamu berjanji’

b. Adakah alasan ini boleh diterima oleh undang-undang dan hukum syarak?

Seksyen 15 AUKI 1984 : `tanpa apa-apa sebab yang sah’

Alasan pertama :

Jika benar Aisyah adalah tunangan Kasim, maka Johan mempunyai alasan yang kukuh dan sebab yang sah untuk membatalkan pertunangan kerana jika Johan meneruskan pernikahannya dengan Aisyah maka terdapat 3 pendapat fuqaha’ :

i. Jumhur fuqaha’ : nikah SAH tetapi perbuatan meminang tunang orang lain itu BERDOSA
ii. Daud al-Zahiri : nikah TIDAK SAH dan terFASAKH, kerana hakikat larangan meminang bererti larangan bernikah itu sendiri
iii. Imam Malik : 3 pendapat :
o Nikah SAH
o Nikah TIDAK SAH
o Jika isteri sudah disetubuhi tidak boleh difasakhkan kerana akad telah terjadi
Jika isteri belum disetubuhi hendaklah difasakhkan nikahnya

Jika sekiranya, Aisyah belum menerima pinangan Kasim dan daripada sesiapa sahaja, maka alasan tersebut bukanlah sebab yang sah untuk membatalkan pertunangan ini.

Alasan kedua :

Johan menyatakan bahawa beliau terkena `santau’. Adakah ini alasan yang sah mengikut undang-undang dan hukum syarak?

Isu 3 : Apakah remedi yang boleh dituntut oleh kedua-dua belah pihak?

a. Dibawah isu ini terdapat 2 persoalan yang perlu diketahui terlebih dahulu iaitu :

1. Apakah persetujuan yang telah dicapai dan hadiah yang telah diberi antara kedua-dua belah pihak?

a. Persetujuan yang dicapai :
i. mahar sebanyak RM800
ii. persalinan serba dua
b. Barang-barang hantaran pihak-pihak :
i. daripada Johan : sebentuk cincin emas berlian berharga RM13,000 dan wang hantaran RM20,000
ii. daripada Aisyah : sebentuk cincin perak bertatah berlian berharga RM10,000

2. Apakah perbelanjaan yang telah dibuat oleh kedua-dua belah pihak?

a. perbelanjaan Johan :
b. perbelanjaan Aisyah : peralatan bilik pengantin, mengecat dan mengubahsuai rumah dan membeli pakaian pengantin sebanyak 5 pasang. Kesemua persiapan tersebut berjumlah RM200,000.

b. Remedi yang disediakan menurut Undang-Undang dan Hukum Syarak :

i. Hukum Syarak

3 pendapat ulama’ :

HANAFI : jika hadiah-hadiah masih sempurna dan belum menukar keadaannya atau dimakan atau dimusnahkan, pemberi boleh meminta balik hadiah tersebut, jika kemungkiran janji oleh pihak yang lain. (tidak kisah sama ada pihak lelaki atau pihak perempuan yang putuskan, maka pihak yang dimungkiri janjinya boleh meminta balik hadiah tersebut)

MALIKI : Jika kemungkiran dari pihak lelaki, dia tidak berhak meminta balik hadiah tersebut. Jika kemungkiran dari pihak perempuan, lelaki boleh meminta balik hadiah yang diberi olehnya, sama ada hadiah itu masih ada atau tidak. Jika hadiah itu telah dimusnahkan, harganya harus dibayar. (perempuan mungkir, lelaki boleh minta hadiah)

SHAFIE : Hadiah-hadiah hendaklah dikembalikan sama ada masih wujud atau tidak. Jika hadiah itu masih ada, hendaklah dikembalikan.Jika telah dimakan atau digunakan atau hilang, harganya hendaklah dikembalikan. (kena kembalikan hadiah)

ii. Seksyen 15 AUKI 1984 :

`tanpa apa-apa sebab yang sah’

`pihak yang mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian-pemberian pertunangan jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa yang telah dibelanjakan dengan suci hati untuk persediaan perkahwinan’

`boleh dituntut melalui tindakan Mahkamah’

iii. Kes-kes :

1. Aishah lwn Jamaludin
2. Hussin lwn Moh
3. Abdul Latiff
4. Norlida lwn Hasmawi

iv. Dalam kes ini, Johan mungkir pertunangan atas alasan santau. Jika sekiranya, beliau berjaya membuktikannya di Mahkamah kelak, maka beliau boleh memohon agar diketepikan pemberian dan perbelanjaan yang perlu dibayar kepada Aisyah. Jika beliau gagal, maka Johan hendaklah memulangkan kesemua pemberian yang telah diberikan oleh Aisyah, dan jika sekiranya pemberian itu tidak ada, hendaklah dibayar harganya. Jika mengikut pendapat Syafie, maka Johan juga boleh memohon agar pemberiannya kepada Aisyah dikembalikan semula.

Persoalannya, sama ada Johan perlu membayar sejumlah RM200,000 persiapan perkahwinan yang telah dibelanjakan oleh Aisyah? (dah bayar hantaran RM20,000 + pendapatan Johan + g/rugi aib)

Persoalan seterusnya, bolehkah Johan menuntut semula wang mahar sebanyak RM800 serta gantirugi kerana aib dan malu apabila disiarkan berita `Johan lelaki dayus’ dimuka hadapan akhbar utama?


suriaterang


Anjuran penyelesaian secara sulh.

Mutiara Kata ILMU & AMAL

Mutiara kata baginda Rasulullah saw berkenaan ILMU :


1. Ilmu yang sedikit lebih baik dari ibadat yang banyak. Cukuplah kefahaman seseorang itu dengan dia mengabdi diri kepada Allah, dan cukuplah kejahilan bagi seseorang apabila beliau kagum dengan pendapatnya sendiri

2. Wahai manusia, sesungguhnya ilmu itu dengan belajar, dan kefahaman itu dengan usaha memperdalamkan kefahaman. Siapa yang dikehendaki Allah (mendapat) kebajikan Allah akan menjadikannya faham tentang agama. Dan sesungguhnya hamba Allah yang takut kepadaNya ialah para ulamak.

3. Kiranya Allah menghendaki kebaikan pada seorang hambaNya, Allah akan menjadikannya faham tentang agama dan mengilhamkan kepadanya kebijaksanaannya

4. Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan tarikan (sekaligus) tetapi Allah menariknya dengan mematikan para ulamak, sehinggalah tidak tinggal lagi seorang alim pun, dan manusia pun mengambil (memilih) kepala-kepala (ketua) yang jahil. Mereka itupun ditanya (tentang sesuatu) lantas mereka memberi fatwa dengan tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan


Mutiara kata baginda Rasulullah saw berkenaan AMAL :


1. Bahawasanya beberapa orang dari penghuni syurga pergi (menemui) beberapa orang dari penghuni neraka, lantas mereka (penghuni syurga) bertanya : `Kenapa kamu masuk neraka, demi Allah kami tidak masuk syurga kecuali dengan apa yang kami pelajari dari kamu’. Mereka (penghuni neraka) pun menjawab : `Kami berkata (menyuruh) tetapi kami tidak buat’ – riwayat at-Tabarani

2. Contoh bandingan orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain tetapi beliau lupakan dirinya samalah seperti lampu yang menerangkan orang lain tetapi beliau membakar dirinya – riwayat at-Tabarani

3. Aku tidak merasa bimbang terhadap (keadaan) umatku, baik yang mukmin dan yang kafir, kerana yang mukmin akan dilindungi oleh imannya dan yang kafir pula akan dihalang oleh kekufurannya. Yang aku bimbangkan terhadap kamu ialah munafik yang lidahnya alim, beliau memperkatakan apa yang kamu tahu dan melakukan apa yang kamu benci – riwayat at-Tabarani

4. Seorang lelaki tidak menjadi benar-benar mukmin sehinggalah hatinya sama dengan lidahnya, dan lidahnya sama dengan hatinya. Perkataannya tidak mencanggahi perbuatannya. Jirannya terselamat dari kejahatannya – riwayat at-Tabarani


suriaterang

Berilmu & Beramal
Fastaqim Kama Umirta

Inilah Saya, Anda Pula Siapa?

Inilah saya, anda siapa?


Seorang wartawan bertanya Imam al-Syahid Hassan Al-Banna tentang dirinya dan meminta beliau memperkenalkan dirinya sendiri kepada orang ramai.

Beliau berkata :

`Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran.
Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan.
Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah Negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni dibawah naungan Islam yang murni.
Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya.
Justeru dia berseru : Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutuiNya.
Ialah yang diperintahkan kepada saya dan saya adalah salah seorang yang menyerahkan diri.

Inilah saya, anda pula siapa?’


Hasan al-Banna

Kualiti vs Kuantiti

Kualiti vs Kuantiti


Di antara keutamaan kerja yang mesti diberikan perhatian yang berat menurut perspektif Syari’at Islam ialah mendahulukan kualiti atas kuantiti dan jumlah.

Jumlah bilangan yang banyak dan besar bukanlah menjadi suatu ukuran, akan tetapi kebaikan itu diukur mengikut mutu dan kualitinya.

Di antara ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan persoalan kualiti dan kuantiti ialah seperti berikut :

A) Al-Quran menyindir dan mencerca golongan yang majority yang tidak menggunakan akal, tidak bersyukur dan tidak beriman

1. Surah Al-Ankabut, ayat 63
`Tetapi kebanyakan mereka tidak pandai menggunakan akal’
2. Surah Al-`Araf, ayat 187
`Akan tetapi manusia tidak mengetahui’
3. Surah Hud, ayat 17
`Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman’
4. Surah Al-Baqarah, ayat 243
`Akan tetapi kebanyakan manusia tidak pandai bersyukur’
5. Surah Al-An’am, ayat 116
`Dan apabila kamu mengikuti kebanyakan orang-orang yang berada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah’

B) Al-Quran memuji golongan yang minority yang beriman dan bersyukur atas nikmat yang diberikan

1. Surah Sad, ayat 24
`… kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; dan amat sedikitlah bilangan mereka itu’
2. Surah Saba’, ayat 13
`… dan sedikit dari kalangan hamba-hamba-Ku yang pandai bersyukur’
3. Surah al-Anfal, ayat 26
`… dan ingatlah olehmu ketika bilangan kamu sedikit dan masih lemah di atas muka bumi ini’
4. Surah Hud, ayat 116
`Maka mengapa tidak ada dari umat-umat sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada menunaikan kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil daripada orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka’

Kata-kata pujangga Arab :

`Kamu mengejek kami kerana bilangan yang sedikit,
Cubalah kamu lihat : orang-orang yang mulia itu tidak banyak
Apalah salahnya bila jumlah kami sedikit namun mulia,
Tetapi bilangan yang banyak ada dalam kehinaan’


Berdasarkan Seerah yang menunjukkan kemenangan golongan yang minority melawan golongan majority :


A) golongan tentera Talut yang sedikit bilangan memperoleh kemenangan terhadap golongan tentera Jalut yang sangat banyak jumlahnya

Surah Al-Baqarah, ayat 149

B) kemenangan tentera Badar melawan tentera kaum musyrikin

Surah Ali-Imran, ayat 123
Surah Al-Anfal, ayat 26

C) kemenangan tentera Islam dalam perang Hunain dengan bantuan dan pertolongan Allah

Surah al-Taubah, ayat 25-26
Surah Al-Anfal, ayat 65

Sesiapa yang mengkaji seerah Rasulullah saw akan mendapati bahawa Baginda sangat mengutamakan factor kualiti dan mutu, bukan bilangan dan kuantiti. Begitu juga seerah para khulafa al-Rasyidin dan para sahabat yang mana mereka mengutamakan factor mutu dan kualiti keimanan, bukan factor jumlah dan bilangan para pengikutnya.

Hadith Rasul saw :

`Hampir datang masanya seluruh umat berkerumun ke atas kamu dari setiap penjuru, seperti orang-orang yang lapar berkerumun ke atas sebuah dulang yang berisi makanan’ Para sahabat bertanya : `Apakah kerana bilangan kami (kaum muslimin) pada ketika itu sedikit, wahai Rasulullah?’ Jawab Rasul saw : `Bahkan pada ketika itu bilangan kamu banyak, namun kamu bagaikan buih air bah yang mengalir. Demi sesungguh Allah akan angkat rasa gentar dan takut dari hati musuh-musuhmu terhadap kamu, dan DIA akan melemparkan rasa al-Wahn ke dalam hati kamu’. Mereka bertanya : `Wahai Rasulullah, apakah penyakit al-Wahn itu?’ Jawab Rasul saw : `Cinta harta benda dunia dan takut akan kematian’. (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Thauban r.a., kitab Sahih al-Jami’ al-Saghir, bil 8183)

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah saw menyebutkan, maksudnya : `Pada hari kiamat nanti ada seorang lelaki yang bertubuh gagah dan sasa, namun berat timbangannya tidak melebihi sebelah sayap nyamuk di hadapan Allah Taala. Bacalah oleh kamu ayat ini, mafhumnya : `…dan Kami tidak akan memberikan apa-apa markah (timbangan) bagi amalan mereka pada hari Kiamat (Surah al-Kahf, ayat 105)’

Pada suatu hari Abdullah Ibn Mas’ud r.a. memanjat sebatang pokok untuk satu keperluan, lantas ternampaklah kedua betis kakinya yang kurus kering. Tiba-tiba sebahagian sahabat yang lain mentertawakannya, maka bersabdalah Baginda Rasulullah saw yang hadir di tempat itu, mafhumnya :

`Apakah kamu mentertawakan keadaan betis kakinya yang kurus kering? Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, timbangan kedua betis itu lebih berat di sisi Allah daripada Gunung Uhud!’ (Hadith sahih dari riwayat Amirul Mukminin Ali bin Ibn Talib r.a. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal, Abi Ya’la, al-Tabrani dengan sanad yang sahih dari riwayat Abdullah Ibn Mas’ud r.a. sendiri)


suriaterang

Usahakan kuantiti yang berkualiti!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails