Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Friday, August 28, 2009

Tanah pusaka dibolot ibu tiri - Mingguan Wanita Online




Salam Ramadhan buat semua pembaca,

Alhamdulillah, hari ini 8 Ramadhan 1430H... bagaimana agaknya amal kita semua di dalam bulan yang serba berkah ini. Insya-Allah, masih ada masa untuk memperbaiki & mempertingkatkan amal di dalam Madrasah Ramadhan tahun ini. Karnival Ibadah yang sepatutnya disambut dengan meriah oleh semua umat Islam.

Hari ini tiada kes di Mahkamah. Masa yang terluang diperuntukkan untuk menyemak fail-fail klien, kemaskini artikel-artikel, menambah isi & idea untuk buku yang bakal diterbitkan (insya-Allah, moga dipermudahkan Allah swt. semuanya dengan izin-Nya jua), membaca emel-emel yang berlambakan, surfing internet... hmmm ... sempat saya `singgah' di teratak Mingguan Wanita Online. Menarik persoalan yang dilontarkan, `Tanah pusaka dibolot ibu tiri'.

Saya perturunkan kisahnya di sini :

Kisahnya mengenai ibu tiri yang telah membolot harta-harta pusaka peninggalan arwah ibu. Saya merupakan anak tunggal dalam sebuah keluarga yang menetap di Sarawak. Sebelum saya dilahirkan, ayah dan ibu tidak mempunyai anak selama 13 tahun perkahwinan mereka.

Bagi menghilangkan rasa sunyi di dalam hati, ayah dan ibu sudah sepakat untuk mengambil anak angkat, seorang lelaki dan seorang perempuan. Syukur rezeki Allah selepas mendapat anak angkat, ibu disahkan mengandung. Lahirkan saya hasil perkahwinan ibu dan ayah.

Hidup kami sangat bahagia namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Ketika usia saya mencecah 9 tahun, ibu pergi meninggalkan kami semua akibat sakit. Selepas kematian ibu, ayah berkahwin baru dengan seorang wanita yang sangat muda, boleh dipanggil anak kalau dibandingkan dengan umur abang dan kakak saya.

Selepas ayah berkahwin, bermulalah kisah sedih hidup saya. Beberapa tahun perkahwinan, ibu tiri melahirkan dua orang anak yang mana kedua-duanya adalah perempuan. Ketika usia saya 11 tahun, saya dipinggirkan. Makan, minum dan pakaian semuanya saya perlu uruskan sendiri.

Lepas tamat sekolah menengah, saya disuruh bekerja dan hidup sendiri. Apa yang menyedihkan, dalam usia 26 tahun, bapa pergi meninggalkan kami semua kerana sakit tua. Nasib baik ketika itu, saya sudah bekerja tetap, mampu membeli rumah sendiri dan mempunyai keluarga sendiri. Setelah bapa meninggal, perangai ibu tiri yang tinggal bersama-sama dua anak perempuannya begitu menjadi-jadi.

Tanah dan harta pusaka peninggalan bapa dan ibu saya habis kesemua ditukar menjadi hak miliknya. Mereka menukar nama hak milik tersebut menggunakan khidmat peguam tanpa pengetahuan saya. Semasa menukar hak milik tersebut, ibu tiri memberitahu bahawa saya tiada kerana saya bekerja di bandar ketika itu.

Untuk makluman semua, tanah yang ditukar milik kepada nama ibu tiri saya itu bukanlah tanah pusaka dari bapa tapi harta pusaka sebelah emak. Bantulah saya Puan kaunselor, bagaimana harus saya menyelesaikan masalah ini. Bolehkah saya menuntut hak saya memandangkan tanah pusaka itu dari sebelah ibu dan bagaimanakah caranya. Bantulah saya.


*****************

Saya kongsikan catatan pandangan ringkas saya dalam isu yang dibangkitkan...

Harta yang menjadi persoalan ialah tanah pusaka arwah ibu pengadu.

Ada beberapa pihak dalam kes di atas.

1. Ibu tiri yang mempunyai 2 orang anak perempuan
2. Pengadu (wanita) anak kandung
3. Abang dan kakak angkat pengadu
4. waris-waris yang berhak

Ketika ibu kandung pengadu meninggal dunia, pengadu berusia 9 tahun. Tidak pasti sama ada ayah pengadu telah menyelesaikan masalah harta pusaka ibu pengadu. Tidak pasti juga sama ada ibu pengadu masih mempunyai ibu dan bapa yang masih hidup. Ini adalah kerana ianya akan memberi kesan kepada bahagian pusaka yang diterima oleh pengadu, ayah pengadu, datuk pengadu & nenek pengadu (sekiranya ada), adik beradik sebelah ibu & ayah.

Seterusnya ayah pengadu meninggal dunia. Pengadu menyatakan tanah pusaka arwah ibu dipindahmilikkan ke atas nama ibu tiri. Sebenarnya, sukar untuk memindahmilikkan harta pusaka milik arwah ibu pengadu ke atas nama ibu tiri begitu sahaja. Ia hendaklah melalui proses pusaka di Pejabat Pusaka jika nilainya kurang RM600,000 atau ke Mahkamah Tinggi jika nilainya melebihi RM600,000 atau mendapatkan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah.

Saya syorkan Pengadu membuat carian tanah di Pejabat Tanah yang berkenaan untuk mengetahui sebenar sama ada tanah pusaka ibu Pengadu telah ditukar nama atau sebaliknya. Jika benar tanah tersebut telah dipindahmilikkan, maka pengadu boleh & berhak mengambil tindakan undang-undang. Rujuklah pihak-pihak yang lebih mahir berkenaan undang-undang sebelum meneruskan tindakan selanjutnya.

Saya juga ingin highlight kepentingan membuat wasiat pentadbiran pusaka / hibah dan sebagainya semasa kita masih bernafas (termasuklah saya). Di dalam kes ini, anak angkat yang dipelihara sejak dari kecil dengan penuh kasih sayang akan terkeluar daripada menerima bahagian harta pusaka. Dengan adanya hibah atau wasiat pemberian harta kepada anak angkat, maka mereka memperolehi sesuatu daripada ibu bapa angkat untuk meneruskan kehidupan.

Wallahu'alam.



Syariah Paksi Keadilan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails