Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Thursday, October 30, 2008

Suami menderita menanggung potongan nafkah tinggi



Petang ini seorang klien lelaki datang tanpa sebarang temujanji ke pejabat saya. Lebihkurang 10 minit jugalah dia terpaksa menunggu kerana saya terpaksa menyiapkan surat-surat dan dokumen-dokumen yang urgent untuk difailkan di Mahkamah Tinggi.

Suatu `kelegaan'tampak di sebalik riak mukanya yang agak keletihan ketika beliau dipanggil masuk. Mungkin penat seharian bekerja mencari rezeki untuk anak isteri di rumah.

`Ya, ada apa yang boleh saya bantu En X?' soal saya sambil menghadiahkan senyuman.

Apalagi, panjang lebar En X menceritakan masalah yang dihadapi oleh beliau. Beliau telah disaman oleh bekas isteri yang menuntut nafkah anak-anak seramai 4 orang. Gaji beliau telah dipotong sebanyak RM700-00 sebulan melalui suatu perintah mahkamah apabila beliau gagal hadir semasa perbicaraan.

`Bukan apa puan, selama ni saya bayar nafkah anak-anak setiap bulan tanpa gagal. Paling rendah RM400-00. Kalau ada rezeki lebih, kadangkala saya masukkan RM700-00 dalam akaun bekas isteri. Duit gaji bulanan saya ni cukup-cukup makan jer. Isteri saya sekarang ni dah cukup sabar dah. Macam-macam kerja dia buat untuk bantu kewangan menampung perbelanjaan keluarga, jual ais krim, nasi lemak, macam-macam la. Puan, cuba tengok ni perbelanjaan bulanan saya' ujar En X sambil mengunjuk pernyataan pembelaan yang ditaipnya sendiri kerana semasa perbicaraan yang lepas beliau tidak melantik peguam syarie.

`Ok jugak, pembelaan En X ni bagi seorang awam seperti beliau', bisik hati saya sendirian.

Pendapatan bulanan : RM 2,600-00
Tolak RM 900-00
(epf, socso, angkasa, tabung haji)
Gaji bersih RM 1,700-00

Perbelanjaan :
a) Sewa Rumah RM 300-00
b) Hutang kereta (CIMB) RM 450-00
c) Hutang Ambank RM 250-00
d) Bil Api & Air RM 50-00
e) Pinjaman Perumahan RM 600-00
f) Petrol RM 200-00
g) Bil Telefon RM 80-00
h) Belanja Rumahtangga RM 300-00
i) Persekolahan Anak RM 200-00
Jumlah RM2,430-00

`Ini belum masuk kalau emergency lagi. Biasanya kalau ada ahli keluarga masuk hospital, anak-anak sakit, saya terpaksa buat tebal muka minta pinjam daripada keluarga dan rakan-rakan. Korek sana, kambus sini. Perit betul. Kewangan saya betul-betul kritikal ni puan. Biasanya kita keluarga, susah sama susah, senang sama senang. Tapi bila gaji bersih saya dipotong RM700-00, baki yang tinggal hanya RM1,000-00. Saya nak pusing-pusing duit untuk bayar hutang dan perbelanjaan rumah pun sangkut ni. Lagi pun, anak-anak saya dengan bekas isteri dah besar. Anak pertama dan kedua dah masuk IPT, dapat pinjaman. Anak ketiga dan keempat masih sekolah menegah dan rendah. Setiap kali hari raya, saya tak dapat nak beraya dengan anak-anak, walaupun saya dah beri wang belanja hari raya'

Kadang-kadang kita sebagai peguam ni kena bertindak bukan sahaja sebagai peguam dan klien, tapi sebagai sahabat, kaunselor... menjadi pendengar setia kepada mereka. Saya seterusnya memberikan kata-kata semangat dan beberapa alternatif kepada en X untuk mengakhiri pertemuan pada petang tersebut.

`Terima kasih puan, lega sikit rasanya. Ringan sikit kepala saya ni. Betul kata puan, ujian Allah ni pelbagai. Ujian Allah ni tanda kasih sayang Allah. Ujian Allah ni sesuai dengan kemampuan hambaNya. Kalau tak sabar, silap-silap haribulan saya dah masuk tanjung rambutan... hehe' ujar En X dalam nada bergurau. Mungkin untuk meredakan keresahan yang melanda beliau.

Jam di dinding dah menunjukkan pukul 6.15 petang. Terdapat staf yang masih tekun menaip komputer untuk menyiapkan amanah yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

`Ok lah En X, dah lewat ni. Jangan lupa untuk menghantar dokumen-dokumen yang saya minta esok ya'

`Baik puan. Maaf, saya ambil masa puan untuk bersama dengan anak-anak di rumah' balas En X sambil mengemas dokumen-dokumen di atas meja dan memasukkan ke dalam fail coklat yang dibawa bersama.

Saya telah bertindak mewakili para bapa atau suami dalam kes-kes syariah sebelum ini dengan pelbagai masalah. Masalah hadhanah, nafkah, di dera isteri dan macam-macam lagi.

Suka saya untuk merujuk kajian oleh Nik Noriani Nik Badlishah dalam buku terbitan DBP bertajuk Undang-Undang Keluarga Islam, Nafkah dan Hak-hak kewangan Lain' yang menyatakan bahawa kebanyakan jumlah yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah kepada bapa untuk membayar nafkah sekitar RM50. Terdapat juga kes apabila bapa mampu untuk memberikan sebanyak RM300-00 untuk seorang anak pada setiap bulan tetapi bilangannya sedikit.

Tuntutan nafkah terutamanya nafkah anak perlu diperintahkan apabila perintah perceraian dikeluarkan. Tidak kiralah sama ada perceraian itu secara talak, taklik, fasakh atau khulu', atau sama ada isteri tersebut disabitkan sebagai nusyuz. Ini kerana, anak tidak melibatkan isu nusyuz.

Oleh yang demikian, mahkamah boleh memerintahkan supaya bapa membayar terutamanya nafkah anak apabila perintah perceraian dikeluarkan.

Seksyen 73(1)(c) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WP) 1984 memperuntukkan :
`Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya'

Saya teringat firman Allah swt dalam surah Anfal, ayat 28 :
`Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak-anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang amat besar'


Syariah Paksi Keadilan

Tuesday, October 28, 2008

Nafkah dalam Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia

Di dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, terdapat satu bahagian yang memperuntukkan berkenaan nafkah isteri, nafkah anak-anak dan sebagainya. Contohnya, dalam Bahagian IV Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WP) 1984 menggariskan 22 peruntukan yang semuanya berkaitan nafkah.

Secara ringkasnya, di bawah ini antara peruntukan berkaitan nafkah yang terdapat di dalam bahagian tersebut.

1. Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah bagi isteri dan kesan nusyuz

2. Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah bagi seseorang yang tertentu

3. Pentaksiran nafkah

4. Kuasa Mahkamah untuk memerintahkan cagaran diberikan bagi nafkah

5. Mengenakan denda nafkah

6. Tempoh perintah nafkah

7. Hak terhadap nafkah atau pemberian selepas perceraian

8. Kuasa Mahkamah untuk mengubah perintah nafkah

9. Kuasa Mahkamah untuk mengubah perjanjian nafkah

10. Nafkah yang perlu dibayar dibawah perintah Mahkamah tidak boleh dipindahkan hak miliknya

11. Menuntut tunggakan nafkah

12. Nafkah sementara

13. Hak tempat tinggal

14. Kewajipan menanggung nafkah anak

15. Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah bagi kanak-kanak

16. Kuasa bagi Mahkamah memerintahkan cagaran bagi nafkah seseorang anak

17. Kuasa bagi Mahkamah mengubah perintah berhubung penjagaan atau nafkah seseorang anak

18. Kuasa bagi Mahkamah mengubah perjanjian atau nafkah seseorang anak

19. Menuntut tunggakan seseorang anak

20. Kewajipan menanggung nafkah kanak-kanak yang diterima sebagai ahli keluarga

21. Tempoh perintah bagi nafkah anak

22. Kewajipan menanggung nafkah anak-anak yang tidak sah taraf




Syariah Paksi Keadilan

Friday, October 24, 2008

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)



Tahniah!

Ini suatu berita yang menggembirakan dan melegakan kepada semua. Mengapa? Bagi ibu tunggal, BSK akan menjadi salah tempat rujukan dan memohon bantuan setelah ditinggalkan suami tanpa nafkah. Kepada anak-anak, bantuan kewangan yang diberikan tentunya memberi suatu sinar cahaya harapan untuk mereka meneruskan pengajian agar tidak tercicir. Kepada suami pula, BSK akan membantu para suami untuk `menggalakkan' mereka menunaikan tanggungjawab yang dituntut oleh ajaran Islam untuk menanggung nafkah anak-anak dan isteri mengikut kemampuan sama ada secara `sukarela' atau `paksarela'.



dipetik dari laman web : http://web7.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=366508


Malaysia Negara Islam Pertama Wujud Bahagian Sokongan Keluarga


PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia merupakan negara Islam pertama di dunia yang mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi membantu usaha menguatkuasakan penghakiman atau perintah Mahkamah Syariah dalam kes hal ehwal kekeluargaan, terutamanya dalam perkara berkaitan nafkah dan hak penjagaan anak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan BSK pada peringkat awal akan memberikan tumpuan kepada usaha membantu isteri bersama anak-anak meneruskan kehidupan selepas ditinggalkan suami tanpa nafkah akibat penceraian atau suami berkahwin lain.

"Bantuan akan diberikan kepada mereka yang membuat permohonan kepada BSK seperti bantuan kewangan untuk menampung keperluan persekolahan anak-anak terutamanya kepada ibu yang tidak bekerja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan BSK di sini, Rabu.

Beliau berkata BSK juga akan menyediakan khidmat nasihat dari aspek perundangan untuk membantu isteri mendapatkan nafkah daripada suami.

"Ini kerana terdapat banyak kes suami degil dan engkar untuk membayar nafkah walaupun menerima perintah mahkamah dan ada juga kes yang suami tidak mempunyai kemampuan untuk membayar nafkah berkenaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata BSK juga akan menjadi moderator kepada agenda penyelesaian masalah di kalangan masyarakat Islam kerana tidak mahu kes-kes yang lambat diselesaikan, memberi kesan terhadap imej Islam.

Setakat ini terdapat 629 daripada 16,706 kes tuntutan nafkah yang direkodkan sebagai nafkah tidak diterima selepas penghakiman.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyaksikan penyampaian sumbangan cek RM500,000 oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang diwakili setiausahanya Datuk Che Mat Che Ali kepada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Ibrahim Lembut.

BSK yang diwujudkan di bawah JKSM mempunyai 96 kakitangan yang akan ditempatkan di seluruh negara.




Syariah Paksi Keadilan

Bolehkah isteri menuntut tunggakan nafkah?



Salam Aidilfitri kepada semua pengunjung Syariah Paksi Keadilan,


Apa pendapat anda sekalian? Boleh ke isteri-isteri menuntut tunggakan nafkah daripada suami? Ada dalil ke yang membolehkan isteri-isteri menuntut tunggakan nafkah daripada suami? Dulu tak pernah pun nak tuntut... kenapa sekarang baru nak tuntut?

Pelbagai persoalan tentunya bermain di fikiran suami-suami dan isteri-isteri. Bagi yang belum berumahtangga, ini merupakan satu `ilmu pengetahuan' yang amat berguna. Tentunya masa kursus pra-perkahwinan, penceramah ada memaklumkan tentang tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Kalau ada yang `miss' tanpa sebab yang munasabah, maka para isteri dah nampak jalan cara nak memohon nafkah yang tertunggak atau terhutang tersebut.

Di dalam ayat al-Quran yang berbunyi :


الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ وَاللاَّتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلاَ تَبْغُواْ عَلَيْهِنَّ سَبِيلاً إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

maksudnya :

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Ayat di atas merupakan asas bagi hak wanita untuk menerima nafkah daripada suami. Perkataan `anfaqu' yang digunakan dalam ayat di atas berasal daripada perkataan nafaqa yang membawa maksud tanggung atau sara.

Saya teringat satu hadis yang bermaksud : `Sesungguhnya orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik menjelaskan hutang'

Di dalam artikel yang akan datang saya akan berkongsi dengan rakan-rakan semua tentang peruntukan nafkah dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.


Syariah Paksi Keadilan


dipetik dari laman web :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_02.htm


Hakim tegur AC Mizal tidak hadir di mahkamah

Shafnie Zainudin dan anaknya, Muhamad Shafiq Iman hadir di Mahkamah Syariah Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 21 Okt. – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 18 Disember depan keputusan berhubung bantahan awal yang dikemukakan pengacara Akademi Fantasia, AC Mizal terhadap permohonan bekas isterinya agar satu perintah komital dikeluarkan bagi menghantarnya ke penjara setelah mendakwa beliau gagal menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelaki mereka berjumlah RM50,000.

Hakim Syarie Saarani Ismail akan membuat keputusan itu pada pukul 3 petang hari tersebut. Terdahulu, Saarani menegur sikap AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, kerana tidak menghadiri prosiding hari ini dengan alasan terlibat dalam satu penggambaran di Pulau Langkawi.

‘‘Tidak bolehkah responden menyesuaikan masanya untuk hadir ke mahkamah hari ini? Perkara ini serius dan tidak boleh buat main-main.

‘‘Jika benar tarikh penggambaran telah ditetapkan lebih awal daripada kes ini seperti yang dimaklumkan peguam, mengapakah pada prosiding lalu ketika mahkamah menetapkan tarikh hari ini, responden tidak membantah?’’ kata Hakim Saarani sambil menyoal peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal.

Ekoran pertanyaan hakim, Siti Aishah memberi akujanji akan membawa anak guamnya ke mahkamah pada tarikh prosiding akan datang.

Siti Aishah dalam pada itu mengesahkan telah menerima afidavit jawapan terhadap notis bantahan awal yang dikemukakan pihaknya.

Setelah meneliti afidavit jawapan, menurut Siti Aishah, pihaknya berhasrat untuk membuat balasan atas afidavit jawapan tersebut.

Peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Shafnie Zainudin, 33, selaku pemohon memberitahu, responden telah menyerahkan sesalinan notis bantahan awal pada pukul 5.50 petang 24 Oktober lalu.

Namun, berdasarkan Seksyen 46(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003, penyerahan itu dianggap diserahkan pada hari berikutnya iaitu 25 Oktober lalu.

Azmi memberitahu mahkamah, pemohon telah menjawab semua isu yang dibangkitkan dalam bantahan awal AC Mizal.

Kata Azmi, responden kononnya mendakwa tiada notis peringatan dikeluarkan walhal sebelum tindakan komital difailkan tidak kurang daripada lima surat peringatan telah dikeluarkan sejak tahun 2005.

Responden juga antara lain mempertikaikan tindakan pemohon memfailkan kes ke Mahkamah Tinggi Syariah sedangkan kes sepatutnya didengar di peringkat Mahkamah Rendah Syariah sahaja.

‘‘Sungguhpun begitu, saya memohon mahkamah mengenepikan bantahan awal yang telah difailkan oleh responden. Ini kerana, responden ‘secara perundangan’ mestilah ‘membersihkan’ dirinya terlebih dahulu sebelum memohon apa-apa permohonan termasuklah mengemukakan bantahan awal.

‘‘Ini selari dengan kehendak perenggan 1(e) Arahan Amalan Mahkamah Syariah No.13 bagi tahun 2004,’’ kata Azmi yang menganggap permohonan itu seolah-olah sengaja melewat-lewatkan proses mahkamah.

‘‘Dengan kata lain, AC Mizal perlu terlebih dahulu menjelaskan tunggakan nafkah anak terlebih dahulu sebelum mengemukakan lain-lain permohonan,’’ jelas Azmi.

Pada 10 September lalu, Shafnie memohon agar satu perintah komital dikeluarkan untuk menghantar responden ke penjara kerana dikatakan gagal menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelakinya sebanyak RM50,000.

Pada tarikh tersebut, mahkamah membenarkan permohonan AC Mizal untuk menangguhkan prosiding kerana responden ingin memfailkan notis bantahan awal terhadap permohonan Shafnie.

Plaintif melalui afidavit yang diikrarkan pada 4 Ogos lalu menyatakan dia mempunyai dua orang cahayamata iaitu Muhammad Shafiq Iman, 12, dan Muhammad Shabil Iman, 9 tahun, hasil perkongsian hidup dengan responden.

Shafnie, bagaimanapun, telah bercerai talak satu pada 17 Oktober 2001 dan Mahkamah Rendah Syariah Kajang telah memerintahkan supaya responden membayar nafkah anak-anak sebanyak RM2,000 sebulan sehingga kanak-kanak terbabit berusia 18 tahun.

Namun, plaintif mendakwa, responden telah enggan, gagal atau cuai dan tidak mematuhi perintah Mahkamah Rendah Syariah Kajang bertarikh 22 Disember 2004 bagi menjelaskan bayaran nafkah anak-anaknya sepenuhnya sejak Februari 2002 secara ansuran sebanyak RM200 sebulan dan bakinya akan dibayar melalui potongan gaji daripada akaun.

Selain itu, responden turut diperintahkan untuk membayar nafkah semasa bagi setiap bulanan untuk kedua-dua anak sebanyak RM300.

Berdasarkan perintah bertarikh 22 Disember 2004, Mahkamah Rendah Syariah Kajang, hakim bicara merekodkan beberapa terma mengenai nafkah anak iaitu responden mestilah menjelaskan bayaran nafkah tertunggak RM50,000 secara ansuran.

Shafnie menyatakan, sehingga ke hari ini tiada apa-apa perintah yang membatalkan atau mengubah perintah mahkamah tersebut.

Lantaran itu, plaintif menyatakan, dia telah memfailkan permohonan menghina perintah mahkamah pada 16 April 2002. Kemudiannya, responden telah memfailkan permohonan ubah perintah pada 18 Mac 2003 dengan mengemukakan alasan dia mengalami masalah kewangan berikutan syarikat Skop Production Sdn. Bhd. telah menamatkan kontraknya sebagai pelakon.

Shafnie hadir ditemani anaknya Muhammad Shafiq.

Wednesday, October 22, 2008

Konvensyen Peguam-Peguam Syarie Malaysia 2008



dipetik dari laman web : http://www.esyariah.gov.my/



Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia(JKSM) sekali lagi mengambil langkah proaktif dalam usaha menganjurkan Konvensyen Peguam-Peguam Syarie Malaysia 2008 yang bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya pada 14 Jun 2008 lalu.

Konvensyen tersebut berjaya menarik kira-kira 700 orang peserta yang terdiri dari Peguam Syarie, pelajar dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Pegawai Syariah seluruh Malaysia. Konvensyen yang pertama kali diadakan ini boleh dianggap berjaya dan kena pada masanya dengan mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk wakil dari Negara Brunei Darussalam yang berminat menyertainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmiannya telah memberikan berita gembira buat peguam syarie yang ada dinegara ini apabila mengumumkan usaha kearah mewujudkan Akta Guaman Syarie yang mana draf tersebut bakal dibentangkan Ogos ini di Dewan Rakyat.

Akta ini antara lain memabawa kepada pembentukan Majlis Peguam Syarie yang bertindak mentadbir dan mengawal selia profesyen guaman syarie.

Y.A.A Datuk Hj Ibrahim Bin Lembut, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM dalam memberikan kenyataan balasnya selepas sidang media, turut berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih atas perhatian serius kerajaan dalam menangani isu dan permasalahan yang dihadapi peguam syarie dengan mewujudkan Akta Guaman Syarie yang bakal menyelesaikan masalah seperti urusan penerimaan masuk sebagai peguam, kaedah dan urusan disiplin serta etika Peguam Syarie.

Antara objektif konvensyen ini adalah membincangkan perkara berkaitan dengan peguam syarie termasuklah peranan, hala tuju dan cabaran yang dihadapi oleh kumpulan itu.

Kejayaan konvensyen ini merupakan satu usaha bersama termasuk para peserta yang memberikan komitmen penuh dalam memberikan pandangan dan mengemukan isu yang telah lama dihadapi oleh peguam syarie selama beramal dinegara ini.

Hasil resolusi diakhir konvensyen ini secara tak langsung telah mengangkat martabat profesyen peguam syarie sataraf peguam sivil bagi mengimbangi sistem kehakiman dinegara ini agar lebih efisyen dan menjadi contoh kepada negara luar.

RUMUSAN KONVENSYEN PEGUAM SYARIE SELURUH MALAYSIA ADALAH SEPERTI BERIKUT:

1. Menjadikan penganjuran Konvensyen Peguam Syarie Seluruh Malaysia pada setiap tahun sebagai wadah penyatuan dan percambahan pemikiran serta tindakan dalam bidang profesion guaman syarie.

2. Penyegeraan penggubalan dan seterusnya mewartakan Undang-undang Profesion Guaman Syarie.

3. Penyegeraan penubuhan Majlis Peguam Syarie Malaysia.

4. Peguam Syarie berperanan dengan lebih aktif dalam memastikan perintah mahkamah dilaksanakan dengan lebih berkesan.

5. Hakim/Peguam Syarie merebut peluang untuk berperanan dalam bidang muamalat.

6. Menyelaras peraturan kemasukan Peguam Syarie di samping amalan menggunapakai satu sijil pentauliahan yang diiktiraf di seluruh Negara.

7. Semua permohonan atau tuntutan hendaklah menepati kehendak undang-undang dan pertimbangan keadilan serta tidak menyalahi tuntutan Hukum Syarak termasuklah permohonan injunksi.

8. Membuat pindaan terhadap Akta Bantuan Guaman 1971 dan Peraturan-Peraturan Bantuan 1970 dan Nasihat Guaman supaya Biro Bantuan Guaman Malaysia mempunyai skop bidangkuasa yang lebih luas bagi kes-kes Syariah dan bersesuaian dengan perkembangan semasa perundangan Syariah di Malaysia.

9. Menstruktur semula perjawatan Pegawai Syariah dan kakitangan Syariah di Biro Bantuan Guaman Malaysia bagi memenuhi keperluan dan kehendak stakeholder.

10. Tindakan Peguam Syarie mewakili anak guam dalam sesuatu kes, atas asas menegakkan keadilan dan kebenaran merupakan suatu tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

11. Sebagai pendokong pelaksanaan keadilan, Peguam Syarie hendaklah menghayati dan mengamalkan Etika Peguam Syarie setiap masa.

12. Membuat penambahbaikan program latihan kepada Peguam Syarie.


Syariah Paksi Keadilan

Friday, October 17, 2008

Muzakarah Peguam Syarie Negeri Johor

Pada 16 Oktober 2008 (16 Syawal 1429) saya menghadiri Muzakarah Pemegang Tauliah Peguam Syarie Negeri Johor bertempat di Dewan Muzakarah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor.

Sebanyak 2 kertas kerja dibentangkan iaitu `Peranan Peguam Syarie di era Globalisasi : Perjuangan dan Cabaran' disampaikan oleh Tuan Abas bin Nordin, Peguam Syarie Kanan Persekutuan dan `Perlaksanaan Arahan Amalan' disampaikan oleh Tuan Hj Walid bin Abu Hassan, Ketua Unit Pembangunan Undang-Undang dan Sistem Kehakiman Syariah.

Tuan Abas telah menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab peguam syarie. Antaranya beliau memetik kata-kata oleh almarhum Syaikh Mohd Abu Zuhrah,

`Peguam ialah seorang yang alim tentang undang-undang yang mampu mencari kebenaran pihak yang benar dan menolak kepalsuan pihak yang bersalah bersandarkan kepada ilmunya mengikut kehendak undang-undang dalam menegakkan hak dan kewajipan dan pengekalan dan pengukuhan kepada kebebasan awam...'

Seterusnya beliau menekan kepentingan para peguam syarie khususnya agar memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau merujuk kepada kata-kata Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim,

`Sungguhpun Perlembagaan Persekutuan itu tidak digubal sebagai Perlembagaan Negara Islam, dia boleh dipakai dan dilaksanakan supaya ia sesuai atau sekurang-kurangnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Perlembagaan Persekutuan itu ialah ciptaan manusia dan dia tidak bebas dari kekurangan dan kesilapan'

Kenyataan di atas menunjukkan bahawa Perlembagaan Malaysia kelihatannya tidak menghalang perlaksanaan undang-undang syariah.

Tambahan, Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia menyebut Islam sebagai agama persekutuan atau agama bagi Negara Malaysia. Maksud tersirat yang boleh kita fahami di sini ialah Islam bukanlah sebagai agama rasmi semata tetapi seolah-olahnya `persekutuan' ialah `seorang manusia' yang menganuti agama Islam. Prof Aziz Bari turut mengulas di dalam bukunya bahawa berdasarkan di atas Malaysia seharusnya ditunjangi oleh dasar-dasar Islam.

Tuan Abas turut memetik penghakiman YAA Ketua Hakim Negara di dalam kes Lina Joy,

`It was clear that in art 11 there was usage of the words `... right to profess and practice his religion...'. The words `has the right' was applicable to `profess' and also `practise' : Kamariah bte Ali lwn Kerajaan Negeri Kelantan [2002] 3 MLJ 657; Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55 followed. Islam is not only a collection of dogma and rituals but it is also a complete way of life comprising of all kinds of human, individual or public, legal, political, economic, social, cultural or judicial activities'

Manakala Tuan Hj Walid menjelaskan penggunaan Arahan Amalan yang membantu melicinkan pentadbiran sistem Mahkamah Syariah dan penyeragaman peraturan-peraturan Mahkamah Syariah yang memberi natijah yang amat baik apabila banyak kes-kes dapat diselesaikan dengan segera. Beliau juga menerangkan prosedur pembinaan Arahan Amalan yang mana berbeza Practice Direction dalam undang-undang sivil.

Muzakarah diteruskan dengan forum undang-undang bertajuk `Tanggungjawab Peguam Syarie Masa Kini' dipengerusikan oleh Tuan Muhammad Khaldun bin Mohamad Syarif, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah. Ahli panel yang memberi input dan berkongsi pengalaman dan ide-ide bernas ialah Tn Hj Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tn Abas bin Nordin dan Tuan Hj Walid bin Abu Hassan.

Tn Hj Zainul Rijal menjelaskan usaha-usaha PGSM untuk tingkatkan keyakinan masyarakat kepada peguam syarie di Malaysia, memperjuangkan penubuhan Majlis Peguam Syarie Malaysia dan Akta Profesion Peguam Syarie, Mahkamah Syariah menjadi Mahkamah yang membicarakan isu-isu yang berkaitan perbankan Islam.

Wallahu`alam.

Syariah Paksi Keadilan


serba sedikit coretan perkongsian... moga bermanfaat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails