Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Tuesday, June 30, 2009

Isteri saya tak layak jaga anak!





`Puan, isteri saya tak layak untuk menjaga anak-anak saya' keluh En. K kepada saya. Saya tenung wajah En. K yang kelihatan agak tertekan. Sesekali En. K menyapu peluh dingin di wajahnya.

'Saya akan menyesal seumur hidup saya jika saya bersetuju untuk berikan hak jagaan anak-anak saya kepada isteri saya' sambung En. K lagi.

`Mengapa En. K berpandangan sedemikian?' soal saya untuk mencungkil rahsia di sebalik kata-kata beliau.

`Sebab saya kenal isteri saya. Dia tak mampu untuk menjaga anak-anak saya, darah daging saya' jawab En. K perlahan sambil memandang sekilas ke arah bekas isterinya yang kebetulan berjalan bersama peguamnya di ruang legar mahkamah syariah.

`Apa maksud En. K yang isteri En. tak mampu? Saya rasa En. K faham ya, nafkah anak-anak itu tanggungjawab suami' balas saya bersahaja untuk mendapatkan kepastian daripada En. K bahawa beliau bukan mengelak untuk membayar nafkah anak-anak.

'Bukan Puan. Saya faham itu. Saya tahu Puan nak kan kepastian daripada saya. Saya tahu Puan nak tahu sebab sebenar...' kata-kata En. K terhenti sambil menghela nafas yang panjang.

Saya memberi ruang masa kepada En. K untuk berfikir.

'Macam ni lah En. K. Saya nak membantu En. K. Tapi En. K kena bantu saya untuk membolehkan saya membantu En. Jika En tidak menceritakan perkara yang sebenar, sukar untuk saya membantu En. K. Saya tahu memang adakalanya sukar untuk menceritakan perkara sebenar yang En. dah pendam lama untuk menjaga maruah dan nama baik keluarga dan bekas isteri En. Saya faham dan saya tak paksa. En. boleh ambil masa untuk berfikir. Sebutan seterusnya pada 11.7.09 ya! Apa-apa pun, feel free to contact' ujar saya panjang lebar.

'Terima kasih Puan. Puan, macam ni lah puan... bekas isteri saya pernah kena ditangkap khalwat dengan lelaki lain semasa saya tiada di rumah' bisik En. K pantas seolah-olah diucapkan dalam satu nafas sahaja.

Kelegaan tampak di wajahnya kerana dapat mengeluarkan apa yang terpendam selama ini.

`Saya malu.. Saya malu pada keluarga, jiran-jiran, masyarakat...hmm.. apa-apa pun, nanti saya call puan ya'

`K, kita bincang di pejabat' balas saya pendek.

----------------------------

Dalam kes sebegini, secara ringkasnya boleh kita rujuk seksyen 83 & 84 Enakmen Keluarga (saya rujuk Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003) :

Seksyen 83 : Kelayakan-kelayakan yang perlu untuk penjagaan

Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika -

(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalh sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Seksyen 84 : Bagaimana hak penjagaan hilang

Hak seseorang perempuan terhdp hadhanah adalah hilang -

(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika perempuan itu menukar pemstautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Jika diberi keizinan & kesempatan masa, insya-Allah saya akan menjelaskan dan melampirkan pendapat-pendapat fuqaha' berserta dalil untuk rujukan dan panduan kita semua pada masa akan datang..



Syariah Paksi Keadilan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails