Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Tuesday, August 12, 2008

Suami Kaki Judi




Assalamualaikum Wrt Wbt,

Tuan/Puan,

Saya jumpa blog ini semasa surfing. Artikel-artikel dalam blog ini membantu saya dan rakan-rakan saya yang ada mengalami masalah-masalah berkaitan rumahtangga. Saya ingin mendapatkan pandangan Tuan/Puan berkenaan masalah rakan saya. Beliau sudah 2 minggu keluar rumah bersama-sama 3 orang anak dan tinggal di rumah orang tua beliau di kampung. Ini kerana beliau tidak tahan dengan sikap suami yang enggan berubah. Rakan saya bercadang untuk memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah. Suami beliau mendakwa rakan saya nusyuz kerana keluar rumah dan minta rakan saya bayar tebus talak 20 ribu. Padahal, suami rakan saya tidak bekerja, kaki judi dan mengabaikan nafkah isteri dan anak-anak. Suami beliau sering pulang ke rumah lewat malam dan seringkali akan meminta duit daripada rakan saya untuk membayar hutang pinjaman along kerana berjudi dan dipukul jika rakan saya enggan beri duit. Rakan saya bekerja sebagai kerani dan berpendapatan rendah. Apa yang perlu rakan saya lakukan? Tolonglah.


Yang ingin membantu,
Sal, KL


Jawapan :


Terima kasih kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk membantu rakan Puan. Terima kasih juga kerana membenarkan saya menyiarkan soalan Puan dan jawapan untuk tatapan umum. Sikap Puan yang prihatin dengan penderitaan dan kesusahan yang dilalui oleh rakan Puan wajar dicontohi oleh semua.

Jika dirujuk Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WWP) 1984 (AKta 303) (AUKI 1984) memperuntukkan :

59. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz

(1) Tertakluk kepada Hukum Syara', Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya

(2) Tertakluk kepada Hukum Syara' dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain -

(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syara'

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz


Berdasarkan seksyen di atas, Mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan suami rakan Puan untuk membayar nafkah kepada rakan Puan sebagai isteri yang sah.

Di dalam kes rakan Puan, tidak dinyatakan sama ada rakan Puan telah menghadiri kaunseling di Pejabat Agama tentang masalah rumahtangga yang dihadapi. Puan tidak menyatakan sama ada rakan Puan ada membuat apa-apa laporan polis selepas dipukul suami dan semasa keluar meninggalkan rumah bersama anak-anak dan sama ada rakan Puan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan selepas dipukul suami. Dokumen-dokumen ini amat penting untuk membantu rakan Puan semasa perbicaraan di Mahkamah kelak.

Rakan Puan juga boleh memohon perceraian fasakh mengikut Seksyen 52 AUKI 1984 yang memperuntukkan antaranya (saya hanya menyentuh butiran seksyen yang berkaitan dengan kes rakan Puan) -

52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syara’ adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu -

(a) …
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) …
(d) …
(e) …
(f) …
(g) …
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain –
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara’; atau
(iii) …
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) …
(vi) …
(i) …
(j) …
(k) …
(l) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syara’

Rakan puan juga boleh mohon perceraian secara taklik atas alasan dipukul dan dicederakan sekiranya ada tercatat di dalam Sijil Nikah (minta rakan Puan rujuk sijil nikah untuk memastikan butir-butir lafaz taklik)

Contoh lafaz taklik untuk rujukan :

`Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya …………………… selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan apabila sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah dan ia memberi Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka ketika itu tertalaqlah ia dengan cara talaq khuluq’

Rakan Puan juga boleh mendapatkan suatu injunksi perlindungan daripada penganiayaan oleh suaminya. Injunksi perlindungan ini diperuntukkan dalam Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang mana ianya melarang sebarang perbuatan penganiayaan oleh suami terhadap isteri selama mana keputusan permohonan perceraian belum selesai.

Moga penerangan ringkas ini dapat membantu Puan menasihatkan rakan Puan.



Suriaterang



[p/s : Saya juga doakan agar hubungan ikatan ukhuwwah antara puan dengan rakan puan diberkati Allah swt. Sungguh indah ukhuwwah persaudaraan Islam!

Firman Allah swt dalam surah hujurat, ayat 10 :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (49:10)
`Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat'

Sabda Rasulullah saw : `3 sifat sesiapa yang memilikinya, sesungguhnya dia dapat mengecapi kemanisan iman : hendaklah dia menyintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari yang lain, mengasihi seseorang kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia benci dicampakkan ke neraka' (HR Bukhari & Muslim)]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails