Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Tuesday, August 19, 2008

Ibubapa kandung boleh tuntut anak daripada keluarga angkat


Bolehkah ibubapa kandung menuntut hak penjagaan terhadap anak kandung yang telah diserahkan kepada keluarga angkat? Tambahan, ibu bapa kandung telah membuat surat keizinan pengangkatan kepada keluarga angkat dan menandatangani surat akuan sumpah di hadapan pesuruhjaya sumpah. Ini semua sah mengikut undang-undang. Keluarga angkat seterusnya mendaftarkan anak angkat tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Adoption Act 1952 (Act 257) And Registration of Adoptions Act 1952 (Act 253).


Apa pandangan anda semua?


Mahkamah Syariah di dalam kes Ahmad bin Arshad dan seorang lagi lawan Mohd Jamal bin Mat Jamin dan seorang lagi telah membenarkan tuntutan ibubapa kandung dan membuat keputusan bahawa anak angkat di bawah jagaan Defendan diserahkan kepada ibubapa kandung. Seterusnya surat keizinan pengangkatan yang diikrarkan dihadapan pesuruhjaya sumpah dan surat pengangkatan adalah dibatalkan.

Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa penuh dalam kes hadhanah berdasarkan seksyen 82 EUKI dan kes di Mahkamah Sivil Azizah bte Shaik Ismail & Anor lwn Fatimah bte Shaik Ismail & Anor yang mana tiga orang hakim persekutuan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak adalah terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah berdasarkan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Abdul Hamid bin Mohamed menyatakan : `In this case, there is no doubt that the subject matter of the case is clearly falls with the jurisdiction of Syariah Court'

Mahkamah Syariah juga boleh mengubah perintah perjanjian pengangkatan berdasarkan seksyen 76 EUKI.

Seksyen 76 - Mahkamah boleh atas permohonan seseorang yang ada mempunyai kepentingan pada bila-bila masa dan masa ke semasa mengubah atau boleh pada bila-bila masa membatalkan sesuatu perintah penjagaan atau nafkah seseorang anak jika Mahkamah berpuas hati bahawa perintah itu telah diasaskan atas sesuatu salah penyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal keadaan

Persoalan mengenai siapakah yang lebih layak menjaga (hadhanah) anak yang berusia bawah 7 tahun?

Mengikut hukum ialah ibu. Sabda Rasulullah saw yang dinyatakan di dalam Musnad Imam Ahmad juz 2 hlm 182 bermaksud : `Kamu (ibu) adalah lebih berhak kepada penjagaan anak selagi ibu itu belum berkahwin lain'

Dr Muhammad Aqalah dalam kitabnya Nizam al Usroh fi al-Islam, juz 3, hlm 355 menyatakan : `Bahawasa ulama' fiqh telah sepakat menetapkan bahawa ibu sebenar adalah lebih berhak dari yang lainnya untuk hadhanah anaknya apabila ibu itu mencukupi syarat-syarat untuk hadhanah'

Seksyen 82(1) EUKI - `Tertakluk kepada seksyen 83 ibu adalah paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan'

Mahkamah turut mememutuskan bahawa `walau apapun, anak tersebut belum mecapai umur 7 tahun dan ibu (kandung) adalah orang yang berhak menjaganya. Plaintif kedua (di dalam kes Ahmad Arshad), sebagai ibu kandung, berkelayakan untuk menjaga anak tersebut dan tiada apa-apa yang menegah beliau untuk berbuat demikian. Mengambilkira bahawa Plaintif Kedua amat berkehendak kepada anak tersebut, maka Mahkamah berpendapat anak tersebut hendaklah disrah semula kepada beliau dan pengangkatan yang dibuat hendaklah dibatalkan.



suriaterang


ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوا آبَاءهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

"Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Monday, August 18, 2008

Lafaz cerai suami Nora Danish sah

Lafaz cerai suami Nora Danish sah



KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami pelakon sitkom komedi Puteri, Nora Danish pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua.

Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, berbunyi 'I ceraikan you' pada Februari dan 'Saya ceraikan awak' pada Jun lalu sebagai sah.

Malah, plaintif juga mengakui waras ketika melafazkan kata-kata itu.

Bagaimanapun, Nora yang mengandung kira-kira tiga bulan akan tamat tempoh edahnya selepas melahirkan anaknya pada awal tahun depan.

Nora, 26, hadir di mahkamah memakai baju kurung merah jambu bersama ibunya dan kelihatan tenang sepanjang prosiding manakala Rizal Ashram hadir ditemani rakannya mengenakan kot berwarna hitam.

Pada 10 Julai lalu, Rizal yang juga anak bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib memberitahu mahkamah dia pernah melafazkan cerai terhadap Nora sekitar Februari, tetapi merujuk semula selepas mendapat nasihat seorang ustaz.

Ahli perniagaan itu juga memberitahu mahkamah dia sekali lagi melafazkan cerai menerusi telefon bimbitnya dalam keadaan sedar ketika Nora di rumah.

Ketika menjawab soalan hakim mengenai keadaannya ketika lafaz cerai disebut oleh Rizal Ashram, Jun lalu, Nora memberitahu mahkamah ketika itu kandungannya berusia dua bulan.

Pasangan itu bernikah pada 20 Jun 2006 di Sime Darby Convention Centre, Sri Hartamas di sini. Selain terkenal dengan drama Puteri, Nora pernah berlakon dalam drama dan telemovie seperti Pendekar 5, Cinta KLCC, Gadis Cuci dan Celak Pak Andam.

dipetik daripada Berita Harian Online
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20080812234100/Article/



Ini adalah salah satu contoh kes Ithbat cerai iaitu suatu proses pengesahan lafaz cerai yang dibuat oleh suami diluar mahkamah. Mahkamah akan merujuk kepada lafaz yang dibuat oleh suami sama ada soreh atau kinayah.

Dalam kes Nora Danish, lafaz yang dibuat oleh suami ialah lafaz iaitu `I ceraikan you' dan `saya ceraikan awak'.

Talak umumnya terbahagi kepada dua, iaitu talak soreh yang tidak memerlukan niat dan talak kinayah yang memerlukan niat.

Apa perbezaan jika suami lafaz `aku rela ceraikan awak', adakah jatuh talak? Dalam satu kes syariah, Mohamad Md Ali lwn Roslina Mohd Yusof, Mahkamah Syariah memutuskan bahawa tidak jatuh talak. Apa yang berlaku ialah suami rela menceraikan isterinya atas andaian isterinya telah benci kepadanya, dan ingin meminta persetujuan cerai darinya. Kata-kata suami `aku rela ceraikan awak' boleh dimaksudkan menyerahkan perceraian kepada isteri jika ia mahu. Ianya seperti bermaksud `aku rela ceraikan engkau jika engkau mahu kerana engkau benci padaku'. Namun hakikatnya ialah suami tidak berniat untuk bercerai dan tidak benci malah masih sayang kepada isteri. Oleh itu, Mahkamah memutuskan berdasarkan prinsip Al-Tawfid fi al-Talak, tidak sabit talak.


suriaterang


p/s : Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua pengunjung blog ini...

Tuesday, August 12, 2008

Suami Kaki Judi




Assalamualaikum Wrt Wbt,

Tuan/Puan,

Saya jumpa blog ini semasa surfing. Artikel-artikel dalam blog ini membantu saya dan rakan-rakan saya yang ada mengalami masalah-masalah berkaitan rumahtangga. Saya ingin mendapatkan pandangan Tuan/Puan berkenaan masalah rakan saya. Beliau sudah 2 minggu keluar rumah bersama-sama 3 orang anak dan tinggal di rumah orang tua beliau di kampung. Ini kerana beliau tidak tahan dengan sikap suami yang enggan berubah. Rakan saya bercadang untuk memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah. Suami beliau mendakwa rakan saya nusyuz kerana keluar rumah dan minta rakan saya bayar tebus talak 20 ribu. Padahal, suami rakan saya tidak bekerja, kaki judi dan mengabaikan nafkah isteri dan anak-anak. Suami beliau sering pulang ke rumah lewat malam dan seringkali akan meminta duit daripada rakan saya untuk membayar hutang pinjaman along kerana berjudi dan dipukul jika rakan saya enggan beri duit. Rakan saya bekerja sebagai kerani dan berpendapatan rendah. Apa yang perlu rakan saya lakukan? Tolonglah.


Yang ingin membantu,
Sal, KL


Jawapan :


Terima kasih kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk membantu rakan Puan. Terima kasih juga kerana membenarkan saya menyiarkan soalan Puan dan jawapan untuk tatapan umum. Sikap Puan yang prihatin dengan penderitaan dan kesusahan yang dilalui oleh rakan Puan wajar dicontohi oleh semua.

Jika dirujuk Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WWP) 1984 (AKta 303) (AUKI 1984) memperuntukkan :

59. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz

(1) Tertakluk kepada Hukum Syara', Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya

(2) Tertakluk kepada Hukum Syara' dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain -

(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syara'

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz


Berdasarkan seksyen di atas, Mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan suami rakan Puan untuk membayar nafkah kepada rakan Puan sebagai isteri yang sah.

Di dalam kes rakan Puan, tidak dinyatakan sama ada rakan Puan telah menghadiri kaunseling di Pejabat Agama tentang masalah rumahtangga yang dihadapi. Puan tidak menyatakan sama ada rakan Puan ada membuat apa-apa laporan polis selepas dipukul suami dan semasa keluar meninggalkan rumah bersama anak-anak dan sama ada rakan Puan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan selepas dipukul suami. Dokumen-dokumen ini amat penting untuk membantu rakan Puan semasa perbicaraan di Mahkamah kelak.

Rakan Puan juga boleh memohon perceraian fasakh mengikut Seksyen 52 AUKI 1984 yang memperuntukkan antaranya (saya hanya menyentuh butiran seksyen yang berkaitan dengan kes rakan Puan) -

52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syara’ adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu -

(a) …
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) …
(d) …
(e) …
(f) …
(g) …
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain –
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara’; atau
(iii) …
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) …
(vi) …
(i) …
(j) …
(k) …
(l) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syara’

Rakan puan juga boleh mohon perceraian secara taklik atas alasan dipukul dan dicederakan sekiranya ada tercatat di dalam Sijil Nikah (minta rakan Puan rujuk sijil nikah untuk memastikan butir-butir lafaz taklik)

Contoh lafaz taklik untuk rujukan :

`Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya …………………… selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan apabila sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah dan ia memberi Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka ketika itu tertalaqlah ia dengan cara talaq khuluq’

Rakan Puan juga boleh mendapatkan suatu injunksi perlindungan daripada penganiayaan oleh suaminya. Injunksi perlindungan ini diperuntukkan dalam Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang mana ianya melarang sebarang perbuatan penganiayaan oleh suami terhadap isteri selama mana keputusan permohonan perceraian belum selesai.

Moga penerangan ringkas ini dapat membantu Puan menasihatkan rakan Puan.



Suriaterang



[p/s : Saya juga doakan agar hubungan ikatan ukhuwwah antara puan dengan rakan puan diberkati Allah swt. Sungguh indah ukhuwwah persaudaraan Islam!

Firman Allah swt dalam surah hujurat, ayat 10 :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (49:10)
`Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat'

Sabda Rasulullah saw : `3 sifat sesiapa yang memilikinya, sesungguhnya dia dapat mengecapi kemanisan iman : hendaklah dia menyintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari yang lain, mengasihi seseorang kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia benci dicampakkan ke neraka' (HR Bukhari & Muslim)]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails