Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Friday, October 1, 2010

Wali Enggan, Anak Derita



Salam buat semua pengunjung,

Kali ini saya berhasrat untuk berkongsi berkenaan tuntutan wali enggan atau dikenali juga sebagai tuntutan wali engkar. Ini adalah suatu tuntutan yang dibuat oleh anak perempuan terhadap bapa kandungnya (dalam kebanyakan kes) yang mana bapanya enggan mengahwinkan anaknya dengan lelaki pilihannya.

Terdapat pelbagai fakta kes yang memaksa si anak untuk berbuat demikian. Sekali imbas, tentunya terdetik di hati kita semua, 'kenapa lah si anak buat begitu, nak kahwin punya pasal sanggup pula saman ayah sendiri', 'tak kenang budi, penat-penat si ayah membesarkan dia sampai ke universiti, bila dah besar panjang melawan bapa sendiri' dan pelbagai lagi bisikan-bisikan di hati masing-masing yang kadangkala sukar nak dielakkan.

Dalam suatu kes di mahkamah, si anak perempuan, Zura (bukan nama sebenar) telah turun naik beberapa kali ke mahkamah syariah untuk tuntutan wali engkar. Zura telah dibesarkan oleh ibunya apabila ibu dan ayahnya berpisah. Si ayah juga tidak pernah menjengok dan tidak memberikan nafkah kepada Zura. Apatah lagi, Zura dibesarkan tanpa merasai kasih sayang daripada seorang ayah. Walaupun begitu Zura berjaya menamatkan pelajarannya di universiti tempatan dan telah mempunyai pekerjaan tetap. Apabila bertemu dengan pilihan hati, Zura berusaha untuk mencari ayahnya. Akhirnya, bertemu juga si anak dan si ayah yang telah lama berpisah setelah melalui kesukaran. Zura menyampaikan hajat di hatinya. Alhamdulillah, ayahnya telah menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis pernikahan dan menjadi wali pernikahan Zura. Hati Zura berbunga kegembiraan kerana berjumpa ayah yang dikasihi dan ayahnya juga telah bersetuju untuk mewalikannya.

Majlis pernikahan di atur sebaik mungkin dan tarikh nikah ditetapkan. Semua persediaan telah dibuat dan kad-kad jemputan pernikahan telah diedarkan kepada saudara mara, orang kampung dan rakan taulan. Semua perbelanjaan pernikahan, kos majlis pernikahan, persediaan perkahwinan ditanggung dan diuruskan oleh Zura kerana beliau adalah anak yang sulong. Adik-adiknya masih kecil lagi dan ibunya juga telah uzur.

Tarikh berbahagia yang ditunggu berbaki lapan hari. Zura menerima panggilan yang mengundang kesedihan dan membuatkan dirinya tidak tentu arah. 'Zura, ayah bersetuju untuk menjadi wali Zura hanya jika Zura bersetuju untuk memberi wang sejumlah RM10,000-00'.

Zura menjadi tidak keruan. Hari yang sama Zura bertolak untuk bertemu ayah tersayang untuk terus memujuk dan bertanya sebab mengapa si ayah tiba-tiba berubah hati. Pujukan demi pujukan tidak makan. Hari semakin dekat. Masa semakin suntuk. Mahu tidak mahu, Zura terpaksa memfailkan tuntutan wali enggan terhadap si ayah. Bailif memulangkan semula saman tersebut atas alasan wali enggan menerimanya.

Di dalam mahkamah, mengalir air mata Zura memohon agar dibenarkan perkahwinan melalui wali hakim tetapi prosedur terpaksa diikuti, saman perlu diserahkan sama ada secara kediri atau penyampaian ganti.

Aduhai si ayah... kasihanilah si anak... sudah la tidak mendapat kasih sayang seorang ayah sejak dilahirkan... sudah la si anak tidak mendapat nafkah yang sepatutnya menjadi tanggungjawab si ayah... tanggungjawab untuk menjadi wali nikah pun ditolak tanpa alasan munasabah... alangkah ruginya... apalah salah si anak? merobek perasaan si anak yang kembali menerima ayahnya (walaupun telah ditinggalkan sejak sekian lama), biarlah sejarah (walau hitam, coklat atau kelabu) yang berlalu disimpan kemas-kemas dalam lipatan... janganlah si anak yang menjadi tempat melampiaskan geram atau kemarahan lama...

Okaylah, kita berbalik kepada perbincangan tentang wali enggan.

Merujuk kepada kamus istilah undang-undang keluarga Islam ditulis oleh Dr Zaleha Kamaruddin dan Puan Raihanah Abdullah, wali enggan atau wali `adhal ialah wali yang telah diminta oleh seseorang perempuan untuk menikahkannya dengan seorang lelaki yang sekufu dan dia enggan menikahkannya tanpa alasan. Dalam hal ini, hakim atau Qadhi berhak menikahkannya, setelah ternyata kedua-duanya sekufu dan wali tersebut telah diberi nasihat agar menarik balik keengganannya itu. Sekiranya wali tersebut masih enggan, maka hakim berhak menikahkan perempuan tersebut, sama keadaannya seperti wali aqrabnya yang ghaib. Inilah pendapat mazhab Syafie dan Abu Hanifah yang muktamad. Manakala ulama lain pula berpendapat bahawa perempuan tersebut boleh dinikahkan oleh walinya yang lebih jauh hubungannya (wali ab'ad).

Para fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin jika sekiranya pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.

Dalam sebuah hadith riwayat At-Tirmizi dan Hakim : `Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan iaitu, solat bila telah datang waktunya, jenazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya'.

Menurut jumhur fuqaha (Syafie, Maliki dan Hanbali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya.

Rasulullah saw bersabda : `Kalau wali-wali itu enggan, maka sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali' (riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Dalam satu kes Azizah lwn Mat (1976), YA Hakim telah memutuskan bahawa pemohon berhak mendapat wali hakim untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya dengan mas kahwin dan belanja yang telah ditetapkan.

Fakta kes : seorang perempuan telah menuntut di mahkamah kadhi supaya ia dikahwinkan dengan lelaki pilihannya secara wali hakim kerana bapanya enggan mewalikannya dalam perkahwinan itu dengan mas kahwin sebanyak RM80.00 dan hantaran RM202.00 tunai. Pihak bakal suami telah mencuba beberapa kali untuk meminang perempuan tetapi dihalang oleh bapa dengan alasan 'Tunggulah dulu sehingga anak perempuannya mendapat pekerjaan'. Bakal suami itu bekerja sebagai Pembantu Audit.

Kadhi ketika memutuskan kes itu menyatakan : `Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewalikan nikah anaknya kerana enggan atau berselisih faham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan wali hakim atau wali raja dengan alasan,
1. Daripada Aisyah r.a., Nabi saw bersabda : `Jika mereka berselisih, maka sultan atau rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali' (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-Tirmizi)
2. Rasulullah saw bersabda : `Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar' (Riwayat At-Tirmizi)




Syariah Paksi Keadilan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails