Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Wednesday, August 4, 2010

Sumber Hukum Perundangan Islam




Muqaddimah


Sumber hukum atau dalil perundangan ialah sumber pengambilan dalam menetapkan sesuatu hukum syarak, sama ada ia berasaskan sumber yang disepakati oleh ulama mujtahid ataupun sumber yang tidak disepakati oleh mereka. Sumber hukum dalam perundangan Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian :
1. Dalil Qat'i
2. Dalil Zanni

Dalil Qat'i iaah dalil-dalil yang disepakati oleh para ulama iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak ulama dan Qiyas.
Dalil Zanni ialah dalil-dalil yang tidak disepakati oleh ulama iaitu Istihsan, Masalih Mursalah, Urf dan Istishab.


Pengertian


1. As-Sunnah

1.1 Menurut Jumhur Ulama ialah perkara yang lahir daripada Nabi s.a.w sama ada berupa perkataan, perbuatan atau pengakuan.

1.2 Boleh juga diertikan sebagai segala apa yang disandarkan kepada nabi dari segi perkataan, perbuatan, sifat, tingkah laku, perjalanan hidup dan pengakuan atau takrir, baik sebelum dibangkitkan menjadi rasul atau selepas baginda dibangkitkan.

1.3 Atau segala apa yang datang daripada nabi, selain dari pada al-Quran baik berupa ucapan, perbuatan, sifat dan pengakuan.

1.4 Sunnah dapat dibahagikan kepada tiga iaitu sunnah qawliyah, sunnah fi'liyah dan sunnah taqririyyah.


2. Ijmak Ulama

2.1 Muafakat pendapat ulama mujtahid mengenai sesuatu masalah

2.2 Sepakat ulama mujtahid daripada umat Islam sama ada dalam bentuk i'tiqad kata-kata atau perbuatan untuk mengeluarkan hukum yang berlaku selepas kewafatan nabi

2.3 Persepakatan ulama mujtahid daripada umat Nabi Muhammad selepas kewafatan Nabi Muhammad dalam perkara yang berhubung dengan hukum syarak


3. Al-Qiyas

3.1 Menzahirkan persamaan sesuatu perkara yang tidak ada nas tentang hukumnya dengan sesuatu perkara yang ada nas tentang hukumnya kerana kedua-duanya mempunyai persamaan pada illah atau sebab pada hukum. Contohnya Allah mengharamkan minum arak dengan dalil nas. Mujtahid mendapati illah dan sebab pengharamannya ialah memabukkan. Maka diqiyaskan terhadapnya semua benda yang memabukkan seperti todi, dadah dan wiski adalah haram.

3.2 Persamaan sebab dalam sesuatu perkara furu' yang telah berlaku dengan perkara yang baru mengikut persamaan illah hukum tersebut.

3.3 Perbandingan di antara suatu hukum dalam perkara yang baharu lahir dengan perkara yang telah ada hukumnya di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

3.4 Menyamakan masalah yang tidak dijelaskan hukumnya di dalam al-Quran, Hadis atau Ijmak dengan masalah yang dijelaskan hukumnya di dalam salah satu daripada dalil yang tersebut brdasarkan wujudnya persamaan illah di antara keduanya.


4. Istihsan

4.1 Menurut Ulama Hanafi - mengubah sesuatu perkara yang berasal dari qiyas kepada qiyas yang lebih baik dan kuat atau perubahan terhadap qiyas kepada dalil nas yang bercanggah dengan qiyas yang nyata.

4.2 Menurut Usul Fiqh - menukarkan pengambilan qiyas yang nyata (jaliy) kepada qiyas yang tidak nyata (khafiy) ataupun menukarkan sesuatu hukum daripada hukum kulliy kepada hukum pengecualian atau juga dari dalil kulliy kepada hukum takhsis kerana terdapat dalil yang menyebabkan mujtahid memindahkannya.

4.3 Imam Syafie dan ulama Syafie serta sebahagian ulama Hanbali menolak berhujah dengan istihsan dan ia tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk mengeluarkan hukum.

4.4 Ulama Hanafiah, Imam Malik dan sebahagian ulama Hanbali menerima konsep berhujah dengan istihsan dan menggunakannya sebagai dalil hukum.


5. Masalih Mursalah

5.1 Menurut ulama usul Fiqh - membuat sesuatu hukum dan undang-undang yang baik dan berfaedah untuk kepentingan manusia dan masyarakat yang tidak sebarang nas untuk dijadikan bukti dan dasar sama ada ia boleh dilaksanakan atau harus atau tidak boeh dilaksanakan.

5.2 Prinsip utama ialah untuk mencari dan membawa manfaat serta mencegah atau menolak kemudaratan.

5.3 Umumnya masalih dibahagikan kepada dua :
a) masalih disudut yang diambilkira oleh syarak atau tidak
b) masalih disudut kekuatan dirinya

5.4 Konsep penggunaan masalih al mursalah ialah untuk tujuan kemaslahatan dan kebaikan manusia dengan berasaskan kepada tiga asas Islam iaitu daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.

5.5 Jumhur ulama sepakat bahawa ia tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara berkaitan ibadat kerana perkara berkaitan ibadat tidak ada ruang untuk ijtihad dan mesti dilaksanakan sesuai dengan hukum syarak.

5.6 Jumhur ulama dan imam empat mazhab menerima ia boleh dijadikan hujah dalam perkara muamalat dan amaliah. Namun, Mazhab Zahiriah dan sebahagian ulama Syafie dan Maliki menolaknya.


6. Urf

6.1 Urf ialah apa sahaja yang menjadi kebiasaan sekumpulan manusia serta diikuti oleh orang lain sama ada dalam percakapan atau amalan. Sesetengah ulama tidak membezakan semua urf dengan adat kebiasaan.

6.2 Urf tidak dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil dan hukum syarak yang tetap dan tidak berubah, walaupun suasana dan adat berubah.


7. Istishab

7.1 Istishab bermaksud sesuatu perkara atau keadaan yang dihukum pada zaman kedua berdasarkan hukum zaman pertama. iaitu menetapkan hukum yang berlaku pada masa kini berdasarkan hukum yang telah berlaku di masa lalu, kecuali terdapat nas yang mengubahnya.

7.2 Menurut Imam al-Syawkani - sesuatu yang kekal keadaannya selama mana tiada sesuatu yang boleh merubahnya. ini bermaksud keadaan atau kedudukan sesuatu itu tetap kekal seperti sebelumnya dan akan sentiasa digunakan untuk diambil kira di masa sekarang dan akan datang.

Wallahu'alam.

(Rujukan : Jurnal Hukum - Usul Fiqh dalam al-Qada tulisan YAA Datuk Sheikh Ghazali Haji Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie: JH XVIII/II)

Syariah Paksi Keadilan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails