Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Saturday, December 20, 2008

Suamiku Mak Nyah




Akhirnya Puan Z nekad untuk menemui saya setelah beberapa kali pertemuan yang dirancangkan ditunda. Melalui perbualan telefon, saya dapat merasakan Puan Z memendam perasaan dan suatu rahsia yang amat sukar untuk diluahkan. Bagaimana agaknya jika pertemuan ini menjadi sebuah 'petang yang bisu seribu bahasa'.. atau seperti biasa saya yang menjadi 'kaunselor' yang tidak bertauliah memberi semangat kepada klien-klien yang trauma agar mereka bangkit semula dari kejatuhan dan berani untuk tampil ke hadapan... hmmm... sukar untuk dijangka.

`Puan, Puan Z baru sampai dan sedang menunggu puan di bilik temubual' ujar Julie, staffku yang komited terhadap kerja dan berdedikasi. Aku mengangguk sedikit sambil mengambil kertas temubual klien untuk merekodkan isi-isi penting..


*** *** *** *** *** ***


Hampir satu jam, Puan Z meluahkan rasa. Tidak tercatat rasanya penderitaan yang dialami dan ditanggung selama ini oleh Puan Z.

Puan Z hanya memendamkan sahaja masalah rumahtangganya daripada keluarga dan rakan-rakan pada awal perkahwinan dan cuba sedaya upaya untuk menafikan apa yang difikirkan selama ini. Beliau berulang kali meyakinkan dirinya bahawa suaminya ialah seorang lelaki sejati, normal...

Walaubagaimanapun, cerita sebenar terbongkar apabila beliau sedang mengandung 8 bulan. Beliau menjumpai pakaian wanita, peralatan solek wanita dan pelbagai barangan wanita. Jiwa Puan Z mulai tak keruan. Beliau mula menyusun satu persatu peristiwa yang berlaku.. suaminya selalu pulang lewat malam dalam keadaan wajah penuh mekap.. enggan membenarkan Puan Z tinggal bersama apabila suami bertukar tempat kerja.. menjumpai gambar-gambar suami berpakaian wanita.. suami enggan mengaku beliau telah berkahwin.. suami mempunyai seorang kawan lelaki yang 'rapat'..

Puan Z berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan dan berkelakuan normal. Pelbagai usaha dan perbincangan hati ke hati dibuat agar suaminya berubah dan kembali ke pangkal jalan.. tetapi semakin lama, jiwa semakin tertekan. Tugasannya di pejabat mula terganggu dan merosot. Puan Z tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja dan seringkali menangis dan mengelamun. Puan Z merasakan dirinya hanya dipergunakan untuk mengabui mata masyarakat bahawa suami beliau seorang yang `normal'. Tetapi, hakikat sebenarnya Puan Z hidup terpisah dengan suami walaupun baru berkahwin. Hubungan sebagaimana suami isteri tidak dikecapi, apatah lagi kasih sayang..

Apa yang perlu Puan Z lakukan? Adakah terdapat wanita normal yang ingin teruskan kehidupan sebegini? Adakah isteri hanya perlu bersabar dengan segala tindakan suami yang melampaui batas? Adakah salah jika isteri memohon perceraian? Adakah beliau mendapat hak penjagaan anak selepas perceraian nanti? Pelbagai persoalan dilontarkan... Puan Z amat takut sekiranya beliau dikatakan sebagai seorang isteri yang nusyuz..

Puan Z turut meluahkan isi hatinya... beliau amat menyayangi suaminya, walaupun sudah berpisah kelak, beliau bersedia menjadi rakan baik suaminya... beliau faham bahawa bukan mudah seorang lelaki yang dilahirkan dengan `jiwa perempuan' untuk berdepan dengan masyarakat yang seringkali memandang serong terhadap mereka, tetapi setiap manusia diberikan pilihan... pilihlah jalan yang lebih diredhai Allah swt, kerana Allah swt memandang kepada amal & taqwa dan bukan kepada rupa.. pedulikan apa masyarakat kata..

Selesai mencatat dan menggariskan poin-poin penting, saya menetapkan suatu tarikh temujanji yang lain untuk Puan Z menyemak deraf Pernyataan Tuntutan perceraian secara fasakh.


*** *** *** *** *** *** ***


Rakan-rakan pembaca sekalian,


Boleh tak saya katakan bahawa mereka ini tergolong dalam golongan 'lelaki istimewa' yang dipilih oleh Allah swt untuk diuji. Jika mereka berjaya melalui ujian ini, saya percaya kedudukan mereka akan lebih baik daripada `lelaki normal' yang tidak diuji sebegini.

Sebagai peringatan, Rasulullah saw telah bersabda : `Bukan dari golongan kami siapa sahaja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa sahaja lelaki yang menyerupai wanita' Musnad Ahmad, No. 6875 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Ahmad Syakir)

Bahkan, `Abdullah ibn `Abbas r.a. menerangkan bahawa : `Rasulullah saw melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki' (Sahih al-Bukhari, No. 5546)

Kepada mereka yang pernah tersasar, masih belum terlewat untuk kembali ke jalan yang sebenar.

Firman Allah swt :

(An-Nahl : 128) `Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan'

(Al-Muddathir : 56) `Dialah (Allah) Tuhan yang berhak dipatuhi perintah-Nya, dan Dialah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat)'

(Ali-Imran : 135) `Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang telah mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya)'

(Al-A'raf : 201) `Sesungguhnya orag-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka (dengan itu) mereka nampak jalan yang benar'

Sesungguhnya sifat pemaaf kepada masyarakat yang tidak atau kurang memahami hakikat kejadian manusia, yang seringkali melemparkan tohmahan kepada golongan `lelaki istimewa' ini yang telah bertaubat dan kembali ke jalan Allah swt, maka - MAAFKANLAH MEREKA.

Al-Hakim dan perawi lain meriwayatkan daripada `Uqbah bin `Aamir al-Jahmi r.a., beliau berkata : Rasulullah saw bersabda kepadaku - 'Ya `Uqbah, sukakah kamu aku khabarkan tentang akhlak ahli dunia dan akhirat yang paling afdhal? Iaitulah kamu menjalinkan hubungan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, kamu memberi kepada orang yang tidak memberi kepadamu dan kamu memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu'



Wallahu`alam.



Syariah Paksi Keadilan


(P/s : Kalau kita lihat drama sekarang ini pun terdapat yang memaparkan watak `maknyah'. Bermula dengan watak Sam dalam sitkom komedi '2+1', watak Dee & Moon dalam sitkom 'Jangan Ketawa', drama Sutun, teater 'Patung Kertas' yang dilakonkan oleh Ashraff Muslim dan Jalaludin Hassan, drama bertajuk 'Cinta Estrogen' dan filem terbaru arahan Raja Azmi.


Walaupun berunsur hiburan, ia diharapkan watak yang dilakonkan menjadi pencetus kepada perubahan positif golongan ini kepada matlamat kehidupan yang sebenar dan diberi suntikan Islamik. Moga drama/filem yang diterbitkan berupaya mendidik masyarakat mendekati Allah Yang Maha Esa)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails