Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Monday, January 21, 2008

Hak-Hak Wanita Selepas Perceraian

1. Nafkah Eddah

‘Dan jika mereka (isteri yang telah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin kemudian jika mereka menyusukan anak-anakmu maka berikanlah mereka upahnya’ (At-Talak : 6)

Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya

(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya , iaitu, antara lain -
1. apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
2. apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
3. apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz

Seksyen 65(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah suatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh edah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz

2. Hutang Mas Kahwin

Seksyen 57 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan

3. Tempat Tinggal

‘Tempatkanlah para isteri kamu di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuan dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan hati mereka’ (At-Talak : 6)

Seksyen 71 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.

(2) Hak tempat tinggal akan terhenti -
(a) jika tempoh eddah telah tamat ; atau
(b) jika tempoh penjagaan anak telah tamat ; atau
(c) jika perempuan itu telah berkahwin semula ; atau
(d) jika perempuan itu telah bersalah melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka (fahisyah),
dan sesudah itu suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya

4. Mut’ah

‘dan hendaklah kamu berikan satu mut’ah (saguhati) kepada mereka. Orang yang mampu memberikan mut’ah itu menurut kemampuannya orang yang miskin pula menurut kemampuannya juga’ (Baqarah : 236)

Seksyen 2 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mut’ah ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan

Di dalam kitab Kifayatul Akhyar, mut’ah bererti `nama bagi harta yang diberikan oleh suami kepada isteri kerana suami menceraikannya’

Di dalam kitab `Iaanatut Talibin ada menyebut : `suami wajib memberi mut’ah kepada isterinya yang telah disetubuhi walaupun isterinya itu seorang hamba, oleh kerana berlakunya perceraian yang bukannya berpunca daripada isteri dan bukan juga disebabkan mati salah seorang suami isteri itu’

Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Selain dari haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak

5. Harta Sepencarian

`Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan’ (An-Nisa : 32)

Seksyen 2 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Harta Sepencarian ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak

Seksyen 58 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak

6. Hak Jagaan Anak (Hadhanah)

‘Dari Abdullah bin Amar, bahawa seseorang perempuan bertanya, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya bagi anak lelakiku ini perutkulah yang mengandungnya, pangkuan aku menjadi perlindungannya dan susukulah yangmenyusuinya, tiba-tiba sekarang ayahnya mahu mencabutnya dari aku’. Maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Engkaulah lebih berhak terhadapnya selama engkau tidak berkahwin lain’

‘Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW katanya, ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya suamiku mahu membawa anakku pergi padahal dialah yang mengambil air untukku dari sumur Abu Unbah dan dia pun berguna sekali bagiku’. Maka Rasulullah SAW bersabda, ‘Ini ayahmu dan ini ibumu. Pilihlah mana yang engkau sukai’. Lalu anak tersebut memilih ibunya. Lalu ibunya pergi membawa anaknya’

Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan

6. Nafkah Anak

`Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka’ (At-Talak : 6)

`Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dari seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajipan demikian’ (Al-Baqarah : 233)

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda : Hindun pernah bertanya, `Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan (suami hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya’. Kemudian Rasulullah saw menjawab, `Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf’

Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Maka adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya

Seksyen 73 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya -
(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu dalam jagaan isterinya;
(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri; atau
(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain



suriaterang

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails