Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Monday, January 21, 2008

Hak-Hak Wanita Semasa Dalam Tempoh Perkahwinan

1. Mahar

‘Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya’. (An-Nisa’ : 4)

Ketika Khalifah Umar r.a. menganjurkan adanya pembatasan mas kahwin, ada seorang wanita tua yang menyanggahnya. Dan Umar r.a. bersetuju dengan pendapat wanita itu, dengan berkata : ‘Wanita itulah yang benar, Umar yang salah’

Seksyen 21 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain

Seksyen 57 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

2. Nafkah

‘Hendaklah orang-orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya. Barangsiapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran’ (At-Talak : 7)

‘Perempuan-perempuan itu hendaklah kamu tempatkan dalam kediaman yang sesuai dengan kemampuanmu, dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak menimpakan kesempitan kepada mereka’ (At-Talak : 6)

Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya
(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya , iaitu, antara lain -
1. apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
2. apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
3. apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

3. Perhubungan Suami Isteri

‘Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang disukai dan sediakanlah amal-amal yang baik untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya pada hari akhirat kelak. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman’ (Al-Baqarah : 223)

Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(i) bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan mensetubuhinya.

4. Perlindungan dari Gangguan/Penderaan

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)’ (An-Nisa : 19)

Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain -
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

Seksyen 107 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Mahkamah adalah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya darimengganggui atau menceroboh; dengan apa-apa carapun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya

5. Keadilan

`dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum menghalang kamu dari berlaku adil, maka berlaku adillah kerana ia lebih dekat dengan taqwa’ (Al-Maidah : 16)

Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain -
(vi) jika ia mempunyai isteri lebih dari seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak

Seksyen 128 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

6. Membubarkan perkahwinan

Seseorang wanita berhak memohon perceraian dalam beberapa keadaan yang dibenarkan oleh Hukum Syarak dan diperuntukkan oleh Undang-Undang Keluarga Islam iaitu :
1. Seksyen 47 : Perceraian dengan talak atau dengan perintah
2. Seksyen 49 : Perceraian khuluk atau tebus talak
3. Seksyen 50 : Perceraian secara taklik atau janji
4. Seksyen 52 : Perceraian secara fasakh

7. Memiliki Harta
Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain -
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu

8. Layanan Baik Dan Bimbingan

Sabda Rasulullah saw : `Pesan memesanlah kamu terhadap berbuat baik kepada perempuan, kerana sesungguhnya perempuan ini dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok. Sekiranya engkau cuba membetulkannya, ia akan patah, sekiranya engkau membiarkannya, dia akan terus bengkok’ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Memberi Pandangan Dalam Poligami

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan :

Apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri-isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh Mahkamah supaya hadir apabila permohonan tersebut didengar



suriaterang



p/s :

Pagi tadi suria menghadiri satu kes poligami. Suami hadir berpakaian kemas dan segak sekali sambil membawa 2 orang isterinya yang masih muda. Turut hadir bakal madu, iaitu bakal isteri no. 3. Ketiga-tiga wanita tersebut duduk bersama-sama dan berbual mesra sambil menunggu nama di panggil untuk masuk ke dalam kamar hakim.

Begitulah... nampak seolah-olah mustahil seorang suami untuk membawa isteri-isteri sedia ada ke mahkamah untuk mahkamah untuk mendapatkan pandangan mereka sebelum membenarkan permohonan poligami tetapi `nothing is impossible'. Yang penting, suami berkemampuan, adil dan bertanggungjawab, berani berhadapan dengan isteri-isteri menceritakan hasrat yang bersarang di dalam hati dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails