Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Monday, January 21, 2008

Hak-Hak Wanita Sebelum Perkahwinan

Pendahuluan

Dewasa ini terlalu banyak kes-kes melibatkan kaum Hawa yang terpapar di dada akhbar dan media massa. Keruntuhan moral, kepincangan akhlak, pergolakan rumahtangga, penderaan mental dan fizikal dan pelbagai lagi.

Mengapa ini terjadi?

Pelbagai program dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta untuk menjadikan kaum Hawa terutamanya celik undang-undang dan mengetahui hak-hak mereka.

Enakmen dan Undang-Undang Islam dikemaskini, diperbaiki dari masa ke semasa dan dikuatkuasakan untuk menjaga kepentingan wanita.

Apakah kaum Hawa menyedari dan menghargainya? Atau masih terus membiarkan diri berada di dalam kebuntuan dan kejahilan tentang Undang-undang Islam.


Hak-Hak Wanita Sebelum Perkahwinan

Memilih Pasangan

1. memilih pasangan muslim

`Dan janganlah kamu mengahwinkan perempuan-perempuan Islam dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman dan memeluk agama Islam. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran daripadanya’ (Al-Baqarah : 221)

Seksyen 10 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan :

`Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam’

2. memilih pasangan yang sekufu

Bahasa : sama atau setaraf
Istilah : satu aspek yang ketiadaannya akan mencacatkan kedua mempelai

Kufu merupakan hak perempuan dan wali. Kufu dituntut bagi pihak perempuan, bukan bagi pihak lelaki.

Jika seseorang perempuan berkahwin dengan orang yang tidak kufu, maka wali berhak menuntut supaya aqad difasakhkan. Sebaliknya juga jika wali menikahkan perempuan dengan orang yang tidak sekufu, maka perempuan waliannya berhak menuntut supaya difasakhkan perkahwinannya.

Sabda Rasulullah saw : `Tiga perkara jangan engkau tangguhkan iaitu sembahyang apabila tiba waktunya, jenazah seorang yang meninggal dan perempuan janda atau perawan apabila dilamar oleh seseorang lelaki yang sekufu dengannya’ (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dengan sanad yang hasan)

Kufu adalah dari segi keturunan, merdeka, Islam, pekerjaan
dan harta.

Alam Pertunangan

1. mengenali, mengkaji akhlak dan kecenderungan pasangan menurut Hukum Syarak

2. mencari titik persefahaman antara pasangan sebelum mendirikan rumahtangga

3. memberi dan menerima hadiah, hantaran dan sebagainya daripada pasangan

4. berhak menolak ajakan pasangan untuk keluar atau sebagainya jika tanpa ditemani mahram

5. membatalkan pertunangan jika sekiranya tidak sekufu dan mempunyai alasan yang munasabah

6. menerima pampasan gantirugi dan meminta dikembalikan hadiah dan sebagainya jika pasangan mungkir janji untuk berkahwin tanpa alasan munasabah

7. menghadiri permohonan poligami oleh pasangan di Mahkamah Syariah dan memberi keterangan (jika sekiranya pasangan ingin berpoligami)

Persetujuan Perkahwinan

1. tidak dipaksa

Rasulullah saw bersabda : `Janganlah kahwinkan seseorang perempuan yang bukan anak dara (janda) sehingga kamu mendapat kuasanya terhadap perkahwinan itu dan janganlah kahwinkan seorang anak dara sehingga dipinta izinnya’ (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah saw bersabda : `Seseorang yang bukan anak dara mempunyai hak yang lebih besar mengenai dirinya daripada penjaganya. Persetujuan seorang anak dara haruslah dipinta berkenaan dengan sesuatu mengenai dirinya dan diam membisu pada haknya itu adalah bererti memberikan persetujuan’ (Riwayat Muslim)

Seksyen 13 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan :

`Sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada -

(a) wali pihak perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak; atau

(b) Hakim Syarie yang mempunyai bidangkuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali raja mengikut Hukum Syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi’

Seksyen 37 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan :

`Kecuali jika dibenarkan oleh Hukum Syarak, seseorang yang menggunakan apa-apa kekerasan atau ugutan -

(a) untuk memaksa seseorang berkahwin bertentangan dengan kemahuannya; atau

(b) untuk menahan seseorang lelaki yang telah mencapai umur lapan belas tahun atau seseorang perempuan yang telah mencapai umur enam belas tahun dari berkahwin dengan sahnya,

adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu’

2. bawah umur

Perkahwinan bawah umur hendaklah mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah mengikut undang-undang di Malaysia. Ini bertujuan agar Mahkamah dapat menyelidik gadis tersebut dari segi latar belakang, keadaan fizikal, kemampuan untuk berumahtangga dan bagi menjaga kepentingan gadis tersebut.

Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan :

`Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu’
Meletakkan Syarat-Syarat Yang Tidak Bersalahan Dengan Hukum Syarak


Menurut Ash-Shawkaniy, seorang isteri boleh membentangkan syarat-syarat sebelum perkahwinan mengenai cara kehidupannya, makanannya, rumah dan pakaian menurut status sosial suami dan hak-hak ini tidak boleh dikurangkan. Begitu juga suami boleh memasukkan syarat-syarat bahawa isteri tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, isteri tidak menolak untuk bersatu dengannya dan tidak menggunakan harta suami atau milikannya kecuali dengan izinnya.



suriaterang



Sabda Rasulullah saw : `Berwasiatlah engkau semua kepada kaum wanita dengan baik, sebab sesungguhnya wanita itu dibuat dari tulang rusuk dan sesungguhnya bengkok tulang rusuk ialah bahagian teratas sekali. Maka jikalau engkau cuba meluruskannya maka engkau akan mematahkannya dan jikalau engkau biarkan sahaja, maka ia akan tetap bengkok selama-lamanya. Oleh itu, maka berwasiatlah yang baik kepada kaum wanita itu’ (Bukhari & Muslim)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails