Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Thursday, July 16, 2009

Wasiat 1/3 harta -vs- Wasiat Pentadbiran Pusaka





Sketsa 1 :


`Maaf, saya tak nak harta saya pindahmilik masa saya hidup. Saya nak semuanya berlaku lepas saya tak ada nanti. Tanah yang 10 ekar tepi jalan besar tu saya nak beri kepada isteri saya. Tanah yang sebelah masjid, saya cadang nak wakafkan. Tanah sawit 20 ekar di felda tu pun saya nak beri pada isteri saya. Kalau boleh, saya nak isteri saya jadi pentadbir harta saya' ujar Hj Deraman sambil meneguk kopi panas yang dihidangkan oleh isteri tersayang.

Hj Deraman ialah seorang yang dihormati di kampung tersebut. Jika ada kematian dan kenduri kendara, beliau lah yang menjadi tempat rujukan orang kampung. Pandangannya diterima oleh masyarakat kampung. Kehadirannya dinanti-nantikan kerana sifat peramahnya memikat warga tua dan muda. Hj Deraman dahulunya seorang usahawan yang berjaya. Kejayaannya tersebut menjadikan nama beliau meniti di bibir-bibir para ibu sebagai contoh kepada anak-anak di kampung tersebut.

Sejak kebelakangan ini, kesihatan Hj Deraman agak tidak memberansangkan. Batuk yang dialami selama lebih 3 bulan tidak nampak berkurangan. Isterinya yang mesra dipanggil Mak Jah bingkas bangun mengambil segelas air putih apabila melihat suaminya tersedak sedikit semasa menjamah kuih.

'Macam ni Tn Hj, ada banyak cara yang mana Tn Hj boleh buat. Antaranya Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka dan ...' kata-kata Ida iaitu seorang pegawai perunding syariah di syarikat Hj Deraman dipotong oleh Hj Deraman.

`Bukan yang tu. Bukan wasiat. Saya bukan nak wasiat 1/3 harta saya. Saya cuma nak harta saya diberi kepada isteri saya selepas saya meninggal. Saya tak ada anak. Lepas tu, isteri saya akan membahagikannya kepada adik-beradik saya yang lain ikut jumlah yang isteri saya tentukan. Sebahagian harta lagi, terutamanya wang simpanan saya dan tanah-tanah sawit saya nak masukkan dalam syarikat keluarga' balas Hj Deraman.

`Tn Hj, di dalam Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka Tn Hj boleh menamakan isteri Tn Hj sebagai pentadbir harta pusaka. Ia akan memudahkan urusan pusaka kelak. Tn Hj juga boleh buat Surat Hibah harta ataupun buat Surat Pengisytiharan Harta Sepencarian..'

`Tak payah la, surat-surat hibah, harta sepencarian tu.. dulu pun saya pernah handle kes-kes wasiat macam ni.. buat disclaimer je' tokok Saiful adik bongsu Hj Deraman.

`Ye la, bang. Buat disclaimer jer.. saya pun ingat nak buat macam tu untuk anak angkat saya nanti. Kalau buat hibah, silap-silap haribulan, kita pula kena halau keluar dari rumah..sape yang susah, kita juga' balas Munah sambil mengambil tempat duduk di sebelah abangnya, Hj Deraman.

`Kalau macam tu, Ida awak buat 'Surat Penolakan Waris' yang menyatakan waris-waris saya menolak untuk mengambil hak mereka sebagai waris dalam harta saya selepas saya mati kelak' arah Hj Deraman.

`Hmmm... Tn Hj, mungkin kita boleh bincang di ofis jika Tn Hj ingin tahu lebih lanjut tentang Surat...' Ida cuba memberikan cadangan.

`Tak pe, Ida. Saya tahu. Awak jangan risau. Adik-beradik saya dah setuju takkan tuntut harta saya lepas saya mati kelak. Awak sendiri dengar kan' balas Hj Deraman tersenyum. Beliau tahu pegawai syariahnya memang jujur dan berhasrat untuk menjaga kepentingannya, tetapi Hj Deraman meyakini dan mempercayai kata-kata adik-adiknya dan cukuplah surat penolakan harta tersebut.


Sketsa 2 :


Seminggu selepas kematian Hj Deraman, Mak Jah membawa `Surat Penolakan Waris' tersebut yang telah ditandatangani oleh waris-waris yang terdiri daripada 8 adik-beradik Hj Deraman ke Pejabat Pusaka.

`Surat apa ni mak cik? Bila tandatangan ni? Mak cik ada bawa Sijil Kematian suami' soal kerani di kaunter pendaftaran.

`Ada' balas Mak Jah sambil menyerahkan semua dokumen penting termasuklah ic beliau, ic waris, sijil kematian, sijil nikah dan senarai dokumen milikan harta.

`Banyak harta ni. Kalau harta kurang RM600,000 mak cik boleh teruskan di pejabat pusaka ni. Ikut prosedur biasa. Kena isi borang A. Kalau lebih RM600,000 mak cik kena pergi Mahkamah Tinggi Sivil. Lepas tu, mak cik kena pergi buat permohonan untuk dapatkan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah' jelas kerani tersebut panjang lebar.

`Tapi puan, harta tu kan terus jatuh atas nama saya sebab waris semua menolak untuk terima harta. tak boleh ke terus daftar atas nama mak cik je' soal Mak Jah kebingungan.

`Tak boleh mak cik. Tak valid surat tu. Waris-waris tandatangan tolak hak masa arwah masih hidup. Sedangkan masa arwah masih hidup tak timbul soal hak pusaka ni. Kalau waris nak tolak hak, kena buat surat penolakan baru iaitu selepas kematian arwah. Jadi, mak cik kena kumpul semua waris minta tandatangan mereka semula. Kalau waris tak setuju, harta arwah kena bahagi ikut faraid macam biasa' panjang lebar kerani pejabat pusaka memberi penjelasan menambahkan kebingungan Mak Jah.



******************



Inilah antara contoh yang berlaku dalam masyarakat kita. Mereka kurang memahami dan tidak membezakan antara wasiat sedekah jariah, wasiat nasihat dan wasiat wasi. Yang terfikir di benak fikiran mereka, bila sebut bab wasiat... itulah dia wasiat menyerahkan 1/3 harta.


Ingin mengetahui dengan lebih lanjut?


Insya-Allah, saya akan berkongsi dengan para pembaca yang dihormati berkenaan tips-tips ringkas mengurus harta pusaka. Sama-samalah kita berkongsi ilmu demi kebaikan bersama.



`Pelajarilah al-Quran serta ajarkan ianya kepada orang lain dan pelajarilah ilmu faraid serta ajarkan ianya kepada orang lain. kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut juga akan dicabut oleh Allah swt. lalu akan timbullah fitnah harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada di kalangan dua orang yang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka'
(Hadis Shahih riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Abdullah Ibn Mas'ud)











Syariah Paksi Keadilan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails