Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Saturday, March 28, 2009

Wacana Wanita & Keadilan Syariah

Wacana Wanita dan Keadilan Syariah



Kami sekeluarga mengambil keputusan cuti sekolah yang akan bermula pada bulan Mac 2009 untuk pulang bercuti ke utara Semenanjung. Saya menyiapkan beberapa tugasan dan fail-fail klien yang telah ditetapkan untuk bicara sebaik sahaja pulang dari bercuti agar percutian ini menjadi percutian keluarga dan percutian `minda'.

Panggilan telefon daripada Puan Faridah, Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (PAKSI-JIM) pada hari terakhir bekerja pada minggu tersebut amat mengejutkan saya. Saya diminta untuk menjadi Pembentang Kedua dalam Wacana Wanita & Keadilan Syariah pada 26 Mac 2009 bertajuk - 'Penambahbaikan Implementasi Sistem Perundangan Kekeluargaan Syariah di Malaysia : Satu Tuntutan'.

Lamaran ini saya terima dengan penuh rasa tanggungjawab. Saya berdoa semoga dipermudahkan Allah swt segala urusan. Harapan saya juga dengan pembentangan ini sebagai usaha kerdil saya yang mana serba sedikit dapat membantu pihak-pihak terbabit dalam usaha penambahbaikan Sistem Perundangan Kekeluargaan di Malaysia dan seterusnya menjelaskan kepada masyarakat berkenaan Mahkamah Syariah di Malaysia.


*** *** *** *** *** *** ***


Petikan Sinar Harian : Suara Cakna Komuniti Anda


Nusyuz juga libatkan suami : Faridah


KUALA LUMPUR - Nusyuz bukan sahaja berlaku berlaku di kalangan isteri, sebaliknya ia juga boleh melibatkan golongan suami.

Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (Paksi-Jim), Faridah Maludin berkata, pada pembentangan kertas kerja pertama dilakukan pada program Wacana Wanita dan Keadilan Syariah itu, pihaknya berusaha memperjelaskan isu dan cuba meyakinkan masyarakat, terutama suami isteri bahawa nusyuz bukan sahaja berlaku dalam kalangan isteri, tetapi juga oleh suami.

`Daripada perbincangan ini dapat dirumuskan bahawa suami juga melakukan nusyuz apabila mereka cuai dalam melaksanakan kewajipan rumahtangga', katanya pada program tersebut yang diadakan di Dewan Hadhari, Pusat Islam Malaysia.

Katanya, daripada penjelasan itu, diharapkan semua pihak dapat bertindak sewajarnya apabila perkara tersebut berlaku supaya semua pihak dapat keadilan.

`Yang jelas, peserta diberi kefahaman menyeluruh dan mendalam berkenaan nusyuz serta pengertiannya daripada sudut syarak serta aplikasi sepatutnya berlandaskan hukum syarak', katanya.

Dalam rumusannya, Faridah berkata, Islam bukanlah semata-mata syariat dan perundangan sebaliknya juga adalah akidah yang mentafsirkan erti kehidupan, ibadah mendidik rohani, akhlak membersihkan jiwa, pemahaman memperbetulkan gambaran, nilai yang mengangkat martabat manusia serta adab kesopanan yang menghiasi kehidupan seharian.

`Ini bererti kembali kepada syariah adalah kembali kepada keharmonian hidup yang sebenarnya dan Syariah Islam mesti dijadikan paksi kehidupan dan kemudian barulah keadilan yang menjadi tuntutan dan amanah semua lelaki dan wanita dapat ditegakkan'. katanya.

Program Wacana Wanita & Keadilan Syariah anjuran Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (Paksi) di bawah Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Che Mat Che Deraman.

Hadir sama, Ketua Wanita JIM Pusat, Dr Harlina Halizah Siraj yang turut memberi ucaptama beliau yang bertajuk Keadilan dan Kesaksamaan dalam Kehidupan Berkeluarga menurut Perspektif Syariah.

Dalam wacana tersebut, dua kertas kerja dibentangkan kepada peserta iaitu pertama melalui bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Alias Othman bertajuk Huraian al-Quran tentang nusyuz Suami dan Isteri : Pengertian dan Penyelesaian.

Pembentangan kedua disampaikan oleh Peguambela, Peguamcara dan Peguam Syar'ie iaitu Sazira Abdul Aziz bertajuk Penambahbaikan Implementasi Sistem Perundangan Kekeluargaan Syariah di Malaysia : Satu Tuntutan yang menyentuh kepada kepentingan dan perlunya disegerakan penambahbaikan prosedur dalam sistem perundangan syariah di Malaysia.




Syariah Paksi Keadilan

1 comment:

-nurul- said...

salam..blh x tlg saya crikn data statistik kes syariah dri taun ble2 la sampai taun 2008 or 2009..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails