Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Saturday, February 23, 2008

Sekiranya Kita Mempunyai Sebuah Kerajaan





Al-Ustaz Hassan Al-Banna r.a. berkata :

Sekiranya kita mempunyai sebuah kerajaan Islam yang sahih Islamnya, benar imannya, bebas berfikir dan melaksanakan segalanya, mengetahui dengan betul keagungan khazanah yang berada di hadapannya, kebesaran sistem Islam yang diwarisinya, beriman bahawa padanya ada penawar untuk rakyat yang menjadi petunjuk hidayah kepada manusia seluruhnya... .

Maka kita akan menuntut daripadanya agar membangunkan dunia dengan nama Islam. Kita akan menuntut negara-negara lain untuk mengkaji dan menilainya, menarik mereka kepadanya dengan seruan yang bertalu-talu, hujah dan utusan yang berturut-turut dan dengan pelbagai cara lain untuk menyeru dan menyampaikan risalah Islam.

Dengan itu ia pasti akan menjadi pusat kerohanian, politik dan praktik antara pelbagai kerajaan. Nescaya ia akan mampu untuk memperbaharui sensitiviti rakyat, mendokongnya ke arah keagungan dan cahaya, mencetuskan dalam dirinya semangat, kesungguhan dan amal.

Sungguh amat menghairankan, kita mendapati komunis mempunyai negara yang mendokong dan menyeru untuknya, berkorban dan menarik manusia kepadanya. Kita mendapati Fasis dan Nazi mempunyai umat yang memuja dan berjuang untuknya, berbangga dengan pengikutnya serta menundukkan seluruh sistem yang penting kepada ajarannya. Kita mendapati pelbagai aliran kemasyarakatan dan politik mempunyai pendokong yang gagah, membelanya dengan nyawa, akal, pemikiran, tulisan, harta benda, akhbar dan segala usaha untuknya. Mereka hidup dan mati kerananya.

Tetapi kita tidak mendapati sebuah kerajaan Islam yang menjalankan kewajipan berdakwah kepada Islam, yang menghimpunkan seluruh keindahan sistem ini dan membuang segala keburukannya. Ia mempersembahkannya kepada umat lain sebagai suatu sistem global yang mempunyai penyelesaian yang betul, jelas lagi menyenangkan bagi semua masalah kemanusiaan.

Sedangkan Islam telah menjadikan dakwah satu kefardhuan yang mesti dilakukan. Ia diwajibkan kepada seluruh umat, perkumpulan dan rakyat Islam sebelum sistem-sistem ini diciptakan dan sebelum dikenali wujudnya sistem dakyah kepada ideologi-ideologi ini.


Surah Ali-Imran, ayat 104 :
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."

Tetapi para pemerintah kita enggan untuk mengikuti perkara ini. Mereka semua telah dididik dalam dakapan orang asing. Mereka lebih hampir dengan pemikiran orang asing. Mereka berlari mengikuti jejak langkah orang asing dan berlumba-lumba untuk memperolehi keredhaan mereka? Mungkin tidak melampau sekiranya kita menyatakan bahawa pemikiran kemerdekaan (bebas)dalam mengatur urusan dan kerja tidak terlintas dalam pemikiran mereka ini, apatah lagi ia hendak dijadikan manhaj (method) kerja mereka.

Sesungguhnya kita telah mancadangkan cita-cita dan harapan ini kepada ramai pemerintah di Mesir. Adalah suatu perkara biasa, harapan ini tidak akan memberikan kesan yang praktikal. Sesungguhnya suatu kaum yang telah kehilangan Islam dalam diri, rumah, urusan peribadi dan urusan umum mereka adalah lebih tidak mampu untuk mencurahkan perkara ini kepada orang lain, tidak mampu bergerak ke hadapan mengajak orang lain kepada Islam kerana orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberikan apa-apa.


- dipetik daripada Majmu' Rasail al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails