
Pages
Untaian Hikmah
Friday, October 1, 2010
Wali Enggan, Anak Derita

Monday, September 20, 2010
Pemergian Sosilawati dan 3 rakan - adakah terbela?

Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan atau dilukakan.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah: 45)
Syariah Paksi Keadilan
Tuesday, August 17, 2010
Buku panduan nikah bantu isu rumah tangga

[Gambar di atas : JAMIL KHIR menunjukkan buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk di Putrajaya semalam]
- dipetik dari KOSMO ONLINE 12 OGOS 2010
PUTRAJAYA - Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk dapat membuka jalan penyelesaian bagi masalah pernikahan khususnya kepada golongan wanita.
Ia dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kehakiman Syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buku panduan itu mengandungi segala aliran proses yang diperlukan untuk semua kategori permasalahan.
Kata beliau, buku itu akan menjadi panduan yang sangat bermanfaat, sekali gus berupaya memainkan peranan sebagai rujukan untuk negeri-negeri lain di Malaysia.
"Lazimnya apabila proses perceraian berlaku, masalah sering berlaku kepada wanita, khususnya yang telah menjadi ibu tunggal hingga kadangkala, ia boleh mendatangkan aib kepada mereka.
"Dengan buku panduan ini, ia akan membantu orang ramai yang berdepan dengan masalah seumpamanya memperoleh jalan penyelesaian yang lebih jelas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku itu di sini semalam.
Syariah Paksi Keadilan
Nafkah Sementara Lindungi Keluarga Teraniaya
Nafkah sementara lindungi keluarga teraniaya
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh
Kelulusan dana RM15 juta bukti kerajaan peka keperluan isteri dalam proses bercerai
APABILA perintah nafkah zahir secara automatik kepada bekas isteri dalam edah dan anak yang belum mampu menanggung diri sendiri dicadangkan beberapa tahun dulu, banyak yang menyokong idea itu. Malah, ramai yang menggesa supaya pihak yang berkenaan berbuat sesuatu agar saranan itu menjadi kenyataan seberapa segera, sama ada melalui undang-undang atau bantuan sementara oleh kerajaan.
Antara usul menarik ialah agar setiap keluarga Muslim mempunyai 'insurans nafkah' supaya jika berlakunya perceraian atau suami gagal memberi nafkah, isteri dan semua anak tidak teraniaya dan dizalimi. Walaupun masih banyak perkara yang perlu dimurnikan, hal itu tentulah bertujuan memberi keadilan kepada wanita dan anak kecil seperti diperintahkan agama.
Tidak dapat dinafikan, hari ini ramai isteri bekerjaya dan mampu menanggung keluarga jika suami gagal menunaikan tanggungjawab. Malah trend berpoligami untuk menghimpun nafkah daripada isteri juga mengundang perhatian pemimpin dan pertubuhan wanita di negara kita dan hakikat ini sedikit sebanyak mencalarkan keizinan syarak kerana poligami bertujuan membela wanita yang dalam kesusahan, bukannya menganiaya wanita.
Undang-undang Islam memutuskan nafkah adalah tanggungjawab setiap suami dan menafikan hak mana-mana lelaki untuk berumahtangga sekiranya tidak mampu memberi nafkah kerana perkahwinan yang menyebabkan isteri dizalimi wajib dihalang.
Suami adalah qawwam (pemimpin) yang bertanggungjawab terhadap isteri seperti disebut dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa', ayat 34 yang bermaksud: "Golongan lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap wanita."
Adalah amat penting untuk mengetahui sama ada bakal suami atau keturunan sebelah bapanya mampu menunaikan tanggungjawab memberi belanja asas untuk kesenangan ahli keluarga yang bakal bertambah kerana jika suami tidak memberi nafkah, maka bapa atau datuknya wajib berbuat demikian.
Di atas budi bicara isteri yang merelakan suami untuk tidak menunaikan tanggungjawab, masalah ini akan lebih meruncing apabila menuju perceraian kerana isteri akan memohon nafkah yang tertunggak seperti dibenarkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Membayangkan bayaran itu yang mungkin mencecah ratusan ribu kerana nafkah bukan hanya wang untuk membeli keperluan dapur, malah juga tempat tinggal, pakaian, pembantu dan kemudahan asas lain, menyebabkan ramai suami tidak mahu melepaskan isteri kerana tidak mampu membayar hutang.
Proses memohon perceraian oleh isteri pula memakan masa selain memerlukan kerjasama suami yang kebanyakannya melarikan diri. Dalam tempoh inilah isteri dan anak digantung tidak bertali selain terpaksa pula membayar hutang yang dipusakakan oleh suami yang hilang. Jarang pula yang sanggup meminta nafkah daripada keluarga suami walaupun itu yang sepatutnya mereka lakukan.
Apabila Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah Mahkamah Syariah, ia bagaikan durian runtuh buat isteri dan anak yang tiada tempat bergantung. Walaupun ia bukan bonus tahunan, sedikit sebanyak dapat juga membantu mereka yang benar-benar perlukan wang untuk meneruskan hidup, sementara mendapat hak yang sepatutnya mereka peroleh tanpa diminta.
Perlu juga difahamkan nafkah bukan wajib selepas berlakunya perceraian saja, sebaliknya bermula saat pertama dilafazkan ijab dan kabul. Amatlah tidak wajar sekiranya suami hanya berkira untuk memberi nafkah atau isteri hanya ingin memohon nafkah selepas disahkan bercerai.
Ia akan merumitkan keadaan yang tidak akan menjadi selesa selepas pertelingkahan bermula. Bagaimanapun, bukan semua isteri layak diberi nafkah, melainkan yang taat pada suami kerana hak yang boleh dituntut oleh seorang isteri daripada suami mestilah seimbang dengan kewajipan ditunaikan terhadap suami.
Nafkah sementara ini memanglah tidak akan menyelesaikan masalah tetapi sebagai perlindungan daripada pemerintah yang peka terhadap keperluan golongan wanita dan kanak-kanak.
Perlu diingat, wanita dan kanak-kanak bukanlah manusia kelas kedua atau ketiga yang boleh dipinggirkan sesuka hati apabila tidak diperlukan sebaliknya berstatus sama rata sebagai manusia di sisi Allah dan wajib dimuliakan.
Justeru, menzalimi mereka adalah satu kekejaman yang tidak terlindung lagi. Kerajaan melalui mahkamah wajar mengisytiharkan suami yang gagal membayar hutang nafkah sementara kembali kepada kerajaan sebagai bankrap, agar menjadi iktibar untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom
Syariah Paksi Keadilan
Wednesday, August 4, 2010
Sumber Hukum Perundangan Islam

Muqaddimah
Sumber hukum atau dalil perundangan ialah sumber pengambilan dalam menetapkan sesuatu hukum syarak, sama ada ia berasaskan sumber yang disepakati oleh ulama mujtahid ataupun sumber yang tidak disepakati oleh mereka. Sumber hukum dalam perundangan Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian :
1. Dalil Qat'i
2. Dalil Zanni
Dalil Qat'i iaah dalil-dalil yang disepakati oleh para ulama iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak ulama dan Qiyas.
Dalil Zanni ialah dalil-dalil yang tidak disepakati oleh ulama iaitu Istihsan, Masalih Mursalah, Urf dan Istishab.
Pengertian
1. As-Sunnah
1.1 Menurut Jumhur Ulama ialah perkara yang lahir daripada Nabi s.a.w sama ada berupa perkataan, perbuatan atau pengakuan.
1.2 Boleh juga diertikan sebagai segala apa yang disandarkan kepada nabi dari segi perkataan, perbuatan, sifat, tingkah laku, perjalanan hidup dan pengakuan atau takrir, baik sebelum dibangkitkan menjadi rasul atau selepas baginda dibangkitkan.
1.3 Atau segala apa yang datang daripada nabi, selain dari pada al-Quran baik berupa ucapan, perbuatan, sifat dan pengakuan.
1.4 Sunnah dapat dibahagikan kepada tiga iaitu sunnah qawliyah, sunnah fi'liyah dan sunnah taqririyyah.
2. Ijmak Ulama
2.1 Muafakat pendapat ulama mujtahid mengenai sesuatu masalah
2.2 Sepakat ulama mujtahid daripada umat Islam sama ada dalam bentuk i'tiqad kata-kata atau perbuatan untuk mengeluarkan hukum yang berlaku selepas kewafatan nabi
2.3 Persepakatan ulama mujtahid daripada umat Nabi Muhammad selepas kewafatan Nabi Muhammad dalam perkara yang berhubung dengan hukum syarak
3. Al-Qiyas
3.1 Menzahirkan persamaan sesuatu perkara yang tidak ada nas tentang hukumnya dengan sesuatu perkara yang ada nas tentang hukumnya kerana kedua-duanya mempunyai persamaan pada illah atau sebab pada hukum. Contohnya Allah mengharamkan minum arak dengan dalil nas. Mujtahid mendapati illah dan sebab pengharamannya ialah memabukkan. Maka diqiyaskan terhadapnya semua benda yang memabukkan seperti todi, dadah dan wiski adalah haram.
3.2 Persamaan sebab dalam sesuatu perkara furu' yang telah berlaku dengan perkara yang baru mengikut persamaan illah hukum tersebut.
3.3 Perbandingan di antara suatu hukum dalam perkara yang baharu lahir dengan perkara yang telah ada hukumnya di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
3.4 Menyamakan masalah yang tidak dijelaskan hukumnya di dalam al-Quran, Hadis atau Ijmak dengan masalah yang dijelaskan hukumnya di dalam salah satu daripada dalil yang tersebut brdasarkan wujudnya persamaan illah di antara keduanya.
4. Istihsan
4.1 Menurut Ulama Hanafi - mengubah sesuatu perkara yang berasal dari qiyas kepada qiyas yang lebih baik dan kuat atau perubahan terhadap qiyas kepada dalil nas yang bercanggah dengan qiyas yang nyata.
4.2 Menurut Usul Fiqh - menukarkan pengambilan qiyas yang nyata (jaliy) kepada qiyas yang tidak nyata (khafiy) ataupun menukarkan sesuatu hukum daripada hukum kulliy kepada hukum pengecualian atau juga dari dalil kulliy kepada hukum takhsis kerana terdapat dalil yang menyebabkan mujtahid memindahkannya.
4.3 Imam Syafie dan ulama Syafie serta sebahagian ulama Hanbali menolak berhujah dengan istihsan dan ia tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk mengeluarkan hukum.
4.4 Ulama Hanafiah, Imam Malik dan sebahagian ulama Hanbali menerima konsep berhujah dengan istihsan dan menggunakannya sebagai dalil hukum.
5. Masalih Mursalah
5.1 Menurut ulama usul Fiqh - membuat sesuatu hukum dan undang-undang yang baik dan berfaedah untuk kepentingan manusia dan masyarakat yang tidak sebarang nas untuk dijadikan bukti dan dasar sama ada ia boleh dilaksanakan atau harus atau tidak boeh dilaksanakan.
5.2 Prinsip utama ialah untuk mencari dan membawa manfaat serta mencegah atau menolak kemudaratan.
5.3 Umumnya masalih dibahagikan kepada dua :
a) masalih disudut yang diambilkira oleh syarak atau tidak
b) masalih disudut kekuatan dirinya
5.4 Konsep penggunaan masalih al mursalah ialah untuk tujuan kemaslahatan dan kebaikan manusia dengan berasaskan kepada tiga asas Islam iaitu daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.
5.5 Jumhur ulama sepakat bahawa ia tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara berkaitan ibadat kerana perkara berkaitan ibadat tidak ada ruang untuk ijtihad dan mesti dilaksanakan sesuai dengan hukum syarak.
5.6 Jumhur ulama dan imam empat mazhab menerima ia boleh dijadikan hujah dalam perkara muamalat dan amaliah. Namun, Mazhab Zahiriah dan sebahagian ulama Syafie dan Maliki menolaknya.
6. Urf
6.1 Urf ialah apa sahaja yang menjadi kebiasaan sekumpulan manusia serta diikuti oleh orang lain sama ada dalam percakapan atau amalan. Sesetengah ulama tidak membezakan semua urf dengan adat kebiasaan.
6.2 Urf tidak dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil dan hukum syarak yang tetap dan tidak berubah, walaupun suasana dan adat berubah.
7. Istishab
7.1 Istishab bermaksud sesuatu perkara atau keadaan yang dihukum pada zaman kedua berdasarkan hukum zaman pertama. iaitu menetapkan hukum yang berlaku pada masa kini berdasarkan hukum yang telah berlaku di masa lalu, kecuali terdapat nas yang mengubahnya.
7.2 Menurut Imam al-Syawkani - sesuatu yang kekal keadaannya selama mana tiada sesuatu yang boleh merubahnya. ini bermaksud keadaan atau kedudukan sesuatu itu tetap kekal seperti sebelumnya dan akan sentiasa digunakan untuk diambil kira di masa sekarang dan akan datang.
Wallahu'alam.
(Rujukan : Jurnal Hukum - Usul Fiqh dalam al-Qada tulisan YAA Datuk Sheikh Ghazali Haji Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie: JH XVIII/II)
Syariah Paksi Keadilan
Tuesday, April 20, 2010
Wasiat Oh Wasiat!

Wasiat Oh Wasiat!
Kenapa wasiat penting ya?
a) Ibn Umar berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya - Hak bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan sesudah bermalam dua malam tiada lain wasiatnya itu tertulis pada amal kebajikannya. Ibn Umar berkata `Tidak berlaku bagiku satu malampun sejak aku mendengar Rasulullah s.a.w. mengucapkan hadith itu kecuali wasiatkan selalu berada disisikan' (Sunan Abu Dawud, Kitab al-Wasiya vol 2 p.805)
b) Sa'd bin Abu Waqqas berkata 'Telah datang Nabi s.a.w untuk menengok aku, sedang aku ada di Mekah. Aku berkata 'Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku'. Beliau menjawab 'Tidak'. Aku berkata 'Separuhnya'. Beliau menjawab 'Tidak'.
Aku berkata 'Sepertiga'. Beliau menjawab 'Ya sepertiga'. Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya bila engkau meninggalkan ahli warisan kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka' (Sunan Abu Dawud Kitab al-Wasiya Vol 2 p.805-806)
c) Diriwayatkan oleh Ibn Abbas `Ayat al-Quran yang bermaksud `Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati jika ia ada meninggalkan harta hendaklah ia membuat wasiat untuk ibu bapanya dan kaum kerabatnya'. Wasiat dibuat sedemikian hingga diwahyukan ayat warisan' (Sunan Abu Dawud Kitab al-Wasiya Vol 2 p.807)
d) Abu Umamah berkata bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda `Sesungguhnya Allah telah menentukan hak tiap-tiap ahli waris dan dengan ketentuan itu tidak ada hak wasiat lagi bagi ahli waris' (Sunan Abu Dawud Kitab al-Wasiya Vol 2 p. 808)
e) Ibn Abbas berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda : `Tidak ada wasiat bagi ahli waris kecuali jika yang lain ahli waris bersetuju' (Mishkat al Masabih Vol 2 p. 225)
f) Diriwayatkan dari Jabir, ia berkata telah bersabda Rasulullah s.a.w. `Barangsiapa yang mati di dalam keadaan berwasiat maka ia telah mati di jalan Allah dan Sunnah, mati di dalam keadaan taqwa dan syahid dan mati di dalam keadaan diampuni dosanya' (Mishkat al Masabih, Vol 2 p. 326)
g) Diriwayatkan oleh Imran b Hussin bahawa ada seorang yang berwasiat memerdekakan 6 hambanya. oleh itu tidak mempunyai apa-apa harta lain. Nabi s.a.w. telah memerintahkan hamba itu dibahagikan dengan undi kepada3 kelompok. beliau memerdekakan 2 hamba itu dan yang lain tidak. (Shafii Kitab al-Umm Vol 5 p. 465)
Hmm... wasiat dianjurkan dan amat digalakkan di dalam Islam. Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan pertalian kekeluargaan. Terdapat juga waris yang selama ini bersusah payah menguruskan segala urusan harta si mati hinggalah harta tersebut bertambah nilainya. Selepas kematian, maka waris tersebut rupanya tidak mendapat harta yang selama ini diusahakan mengikut faraid.
Apakah yang perlu beliau lakukan?
Bagaimana untuk mempertahankan haknya?
Setelah 20 tahun beliau mengerjakan dan mengusahakan segala harta si mati, sekarang semua itu lenyap tiba-tiba?
Jika dilihat kes-kes hari ini, timbul perbalahan/persengketaan/perkelahian jika harta tidak ditadbir dengan sempurna. Disebabkan itulah, wasiat amat-amat digalakkan di dalam Islam. Begitu juga hibah harta.
Di sini, pihak peguam hendaklah memainkan peranan penting sebagai orang tengah untuk mententeramkan para waris. Terdapat waris-waris yang tidak memahami prosedur mahkamah, dan jika tidak dijelaskan akan menyebabkan berlakunya sedikit `ombak kecil' di dalam keluarga tersebut.
Jika setiap waris masing-masing mempunyai peguam mereka, maka para peguam hendaklah bertindak mendamaikan, memberi kepercayaan kepada peguam yang diamanahkan untuk memfailkan permohonan faraid bagi pihak waris-waris di mahkamah syariah untuk menyelesaikan tugasannya dan seterusnya memberi ruang kepada peguam yang dilantik untuk mengambil tindakan seterusnya di mahkamah tinggi sivil dan lain-lain kerja yang bersangkutan. Jika terbukti bahawa di dalam Sijil Faraid tidak terdapat waris yang diwakili dimasukkan, maka di dalam undang-undang dibenarkan waris tersebut melalui peguam yang dilantik untuk memfailkan rayuan atau bantahan.
Memang bukan mudah di dalam alam realiti! Tambahan, jika ia melibatkan harta yang banyak.
Fikir-fikirkanlah.
Syariah Paksi Keadilan
Thursday, March 11, 2010
SAYA SETUJU NIKAH DENGAN ABANG TAPI DENGAN SYARAT...

`Saya setuju nikah dengan abang tetapi dengan syarat abang berikan saya hantaran RM15,000, 10 ekar tanah kebun, seutas rantai tangan emas, sebentuk cincin dan mas kahwin RM1,000' ujar Puan Z kepada Encik K tegas.
Pujukan demi pujukan oleh Encik K untuk berkahwin dengan Puan Z selama ini yang ditolak mentah-mentah akhirnya berjaya juga. Inipun disebabkan Puan Z terperangkap dengan syarat yang dinyatakan sendiri. Puan Z meletakkan syarat barang-barang hantaran dan hadiah perkahwinan yang baginya Encik K tidak akan setuju kerana terlalu tinggi dan mahal. Tetapi Puan Z silap, Encik K terus menyatakan persetujuan dan selang beberapa hari Encik K terus hadir ke rumah Puan Z menyerahkan geran-geran tanah tersebut.
Puan Z menyenaraikan segala keburukan sikapnya kepada Encik K agar Encik K berubah hati dan enggan berkahwin dengannya tetapi Encik K tetap dengan keputusannya. Anak-anak Encik K yang telah dewasa hadir ke rumah Puan Z, memarahi Puan Z dan meminta agar dipulangkan dokumen-dokumen hartanah. Encik K bangun membela maruah bakal isterinya, Puan Z.
Pelik dunia ini bila hati dah suka. Tak payah la cakap apa-apa lagi. Bagai mencurah air di daun keladi. Bila orang muda bercinta lain caranya. Bila mak bapak bercinta, hmmm...
Selepas bertunang, Encik K membawa Puan Z dengan ditemani anak Puan Z ke Pejabat Tanah. Encik K mengisi borang 14A Pindahmilik tanah dan beliau terus menandatangani borang tersebut di hadapan ADO.
Semasa masih dalam proses pindahmilik harta tersebut, maka Puan Z dan Encik K pun terus mengadakan majlis perkahwinan. Semuanya tampak berjalan lancar. Di dalam majlis tersebut, wakil Encik K membaca lot-lot tanah yang Encik K setuju menyerahkan kepada Puan Z sebagai balasan persetujuan Puan Z untuk berkahwin dengan Encik K. Terdapat juga lot-lot yang tidak dibaca atas permintaan Encik K untuk mengelak kemarahan anak-anak beliau.
Setelah bernikah, hidup mereka bahagia sekali. Selang beberapa bulan, tanah-tanah yang hendak dipindahmilikkan oleh Encik K kepada Puan Z telah dikaveatkan oleh anak-anak Encik K. Encik K membuka kaveat tersebut. Tetapi dikaveatkan sekali lagi oleh anak Encik K yang lain pula.
Encik K juga diajak oleh anak-anak beliau untuk kembali tinggal di rumah lama beliau. Lama kelamaan Puan Z ditinggalkan. Tanah-tanah tersebut tidak diserahkan kepada Puan Z. Malah wang hantaran dan mas kahwin pun masih belum dibayar oleh Encik K.
Fikir-fikirkanlah!
Syariah Paksi Keadilan
Terima kasih buat semua!

Salam buat semua pengunjung Syariah Paksi Keadilan,
Teguran, pertanyaan, galakan dan kata-kata yang bagiku adalah kata-kata yang menyuntik semangat untukku terus menulis. Ada yang bertanya direct kepadaku, `lama tak update blog. bila nak update?'. ada juga yang melontarkan pernyataan melalui suamiku. Hmmm... nampaknya rakan-rakanku juga mengikuti perkembangan tulisan-tulisanku dalam blog ni. Bukan setakat itu, mereka menghargai dan terus memberi aku kata-kata semangat agar ku terus mencoret dalam blog ini. Kalau nak dikira sibuk, yelah..semua orang sibukkan. Tapi masa yang diberi selama 24 jam tetap sama kepada semua orang. Kita yang sepatutnya menggunakan masa yang diberikan itu sebaik mungkin. Kalau tak, masa akan meninggalkan kita begitu sahaja. Hari ini 12 Mac 2010 pukul 10.31 pagi tidak akan sama dengan esok 13 Mac 2010 pukul 10.31 pagi.
Terima kasih buat semua sahabat perjuangan, rakan-rakan dan kenalan maya yang mengikuti perkembangan dan tulisan blog ini.
Syariah Paksi Keadilan