Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Monday, December 17, 2007

Gejala Sumbang Mahram dalam Jelatang

GEJALA SUMBANG MAHRAM DALAM JELATANG

Saya mengikuti kisah Drama Bersiri Jelatang yang disiarkan setiap hari Selasa, jam 9.00 malam di TV3. Menarik juga ceritanya yang memaparkan konflik sebuah keluarga dan percintaan `haram’ antara seorang yang bergelar ayah tiri, Razlan dengan anak tirinya sendiri, Suria. Jelingan mata si ayah membuatkan hati si anak terpaut. Ayah dan anak mula terlupa akan batas-batas hubungan antara ayah dan anak, maka berlakulah perbuatan yang dikenali sebagai sumbang mahram. Suria kemudiannya mengambil keputusan keluar dari rumah ibunya, Alima dan tinggal bersama-sama ayah tirinya di sebuah rumah yang lain. Hasil perhubungan haram mereka juga telah menyebabkan Suria mengandungkan anak luar nikah.

Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah An-Nisa, ayat 23 : `Dan anak-anak perempuan isteri kamu yang berada di dalam pemeliharaan kamu, jika isteri itu telah kamu gauli. Akan tetapi jika isteri itu belum pernah kamu gauli (kemudian terjadi perceraian), kamu tidak berdosa mengahwininya (anak perempuannya)’. Ayat ini menjelaskan mengharamkan perkahwinan antara seorang lelaki dengan anak perempuan isterinya menurut garis ke bawah (iaitu anak perempuan isterinya dari perkahwinan dengan lelaki lain yang terdahulu dan anak cucu keturunannya), jika isterinya itu telah digauli’

Rentetan daripada itu, mulalah timbul penyesalan di hati Suria di atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan terhadap ibunya. Suria lalu mengambil keputusan untuk pulang dan tinggal bersama-sama ibunya kembali. Apabila Alima mengetahui bahawa Suria mengandungkan benih suaminya sendiri, beliau turut mengalami tekanan perasaan yang hebat.

Hati saya juga amat bimbang sekali kerana saya percaya drama bersiri ini mendapat rating yang tinggi dikalangan para penonton yang juga terdiri daripada kalangan ibu bapa dan remaja. Tambahan, watak ibu, Alima yang dibawa oleh Marisa Yasmin digambarkan sebagai seorang ibu yang baik, sabar dan tabah menghadapi ujian kehidupan.

Tindakan menggugurkan kandungan yang digambarkan sebagai salah satu jalan penyelesaian di dalam drama Jelatang ini amat merunsingkan hati saya. Sudahlah melakukan dosa berzina, kemudian ditambah lagi dengan dosa membunuh anak yang tidak berdosa di dalam kandungan. Yang peliknya, tindakan dibuat adalah hasil perbincangan antara ibu dan ayah kandung sendiri, iaitu Alima dengan Hashim, bekas suami Alima yang dilakonkan oleh Aman Shah. Adakah itu sahaja jalan penyelesaian terbaik yang dapat difikirkan oleh ibu bapa yang digambarkan sebagai ibu bapa profesional di dalam drama ini? Ke manakah pula perginya penasihat atau kaunselor yang wataknya dibawa oleh pelakon Safura? Atau tiadakah guru-guru agama yang dirujuk untuk mendapatkan pandangan sebelum membuat keputusan yang membabitkan nyawa yang tidak berdosa?

Persoalan yang lain, adakah tindakan-tindakan di atas menunjukkan ciri-ciri seorang ibu dan ayah yang amat menyayangi anak perempuannya yang telah tersasar dari jalan kebenaran? Adakah dengan tindakan ibu dan ayah tersebut akan membuatkan anak perempuannya kembali bertaubat kepada Allah swt? Adakah tiada lagi belas kasihan terhadap anak perempuannya yang telah menyesal dan ingin pulang ke jalan yang benar? Adakah seorang ibu hanya menerima penyesalan anak perempuannya setelah anak perempuannya sanggup dan bersetuju menggugurkan benih suaminya tersebut?

Watak ibu dalam drama Jelatang ini menampakkan sikap yang kadangkala seolah-olah mementingkan perasaan diri sendiri tanpa memberi peluang kepada si anak yang menyesal dan kembali ke rumah untuk mencari erti sebuah kedamaian, ketenangan serta keampunan daripada Allah swt.

Ya, saya bersetuju dengan kenyataan bahawa ibu tersebut juga mengalami tekanan perasaan yang hebat apabila mengetahui anak perempuannya mengandungkan benih suaminya sendiri tanpa melupakan hakikat bahawa syurga seorang anak di bawah telapak kaki ibu. Bahkan saya turut bersetuju bahawa si ibu sepatutnya membawa perkara ini ke tengah dan melaporkan perlakuan sumbang mahram tersebut kepada pihak yang berkuasa dari awal lagi tetapi sebaliknya si ibu hanya bertindak pasrah dengan apa yang berlaku dan hanya mampu menyekat dan membekukan kad kredit yang digunakan oleh sang suami yang berseronok-seronok di Pulau Langkawi bersama anak perempuan kesayangannya. Adakah itu sahaja yang mampu dilakukan oleh seorang ibu untuk menjaga maruah anak perempuannya?

Bahkan Alima boleh memfailkan perceraian secara fasakh menurut undang-undang terhadap Razlan. Tidak boleh diterima oleh akal seorang isteri masih boleh menyayangi seorang suami yang berlaku sumbang dengan anak perempuan sendiri.

Terlalu banyak perkara negatif yang dipaparkan oleh drama bersiri menunjukkan masalah masyarakat dewasa kini yang begitu kronik sekali, antaranya :
1. Tindakan seorang anak yang mendurhakai ibunya
2. Tindakan seorang ibu yang hanya bersikap pasrah dan membiarkan anak perempuan bergelumang dengan dosa zina
3. Tindakan seorang ayah tiri yang mengambil kesempatan terhadap anak tiri sendiri
4. Tindakan seorang anak perempuan yang berzina dengan ayah tirinya sendiri
5. Tindakan seorang suami pemarah dan mengasari isterinya
6. Tindakan seorang ibu dan ayah yang merelakan anak perempuannya menggugurkan kandungan yang tidak berdosa
7. Tindakan seorang ibu yang mengandungkan anak luar nikah yang menggugurkan kandungannya.

Benar, Islam memandang perkahwinan sebagai cara yang bermanfaat untuk menjaga kaum lelaki dari keburukan dan bahaya yang dilakukan secara bersembunyi, penyelewengan seks dan segala gejala yang dapat merosak kesihatan fizikal dan mental, jasmani dan rohani. Rasulullah saw memperingatkan orang-orang yang ingin melakukan kejahatan dan perbuatan keji dengan sabdanya :
`Ada tujuh golongan orang yang pada hari kiamat kelak Allah tidak sudi melihat mereka dan tidak akan membersihkan mereka dari dosa, bahkan kepada mereka Allah berfirman : `Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang lain yang dimasukkan ke dalamnya!’ Tujuh golongan itu ialah :
1. kaum homoseks
2. orang-orang yang melakukan melancap
3. orang-orang yang memuaskan hawa nafsunya dengan haiwan
4. mereka yang menyetubuhi dubur isterinya
5. mereka yang mengahwini perempuan dan anak tirinya
6. mereka yang berzina dengan perempuan jirannya
7. mereka yang mengganggu tetangganya sehingga ia dikutuk olehnya’
(Diriwayatkan oleh Thabrani)

Firman Allah dalam Surah Al-Isra’, ayat 32 yang bermaksud : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)’

Seterusnya, janganlah disebabkan oleh tindakan-tindakan sempit akal yang dibawa oleh watak-watak dalam drama ini mempengaruhi ibubapa dan remaja di luar sana untuk mengambil tindakan yang sama apabila menghadapi dan mengalami masalah ini. Sedangkan, banyak lagi alternatif dan jalan keluar yang baik dari kemelut masalah yang melanda ini.

Jika anak lelaki Alima dihantar ke pusat pemulihan akhlak kerana mempertahankan maruah diri adiknya. Sepatutnya sebagai penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh Suria, Alima juga boleh memohon menghantar Suria ke Pusat Jagaan Puteri. Contohnya di Raudhatus Sakinah (RS) iaitu sebuah institusi yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja puteri (berumur sekitar 12 hingga 25 tahun) yang menjadi mangsa gejala social. RS ialah sebuah pusat yang berusaha membantu remaja-remaja yang terlibat untuk meningkatkan keyakinan dan keupayaan diri agar menjadi individu yang berguna kepada masyarakat dan agama. Setiap pelatih RS akan dibimbing melalui kelas-kelas bimbingan rohani, kemahiran, khidmat nasihat dan kaunseling, dan aktiviti-aktiviti yang pelbagai oleh sukarelawan-sukarelawan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan rakan JIM.

Penyelesaian yang sebegini akan membuat masyarakat sedar dan celik mata bahawa apalah salah memaafkan kesalahan seorang anak yang telah terlanjur. Bahkan Allah swt mengampunkan dosa hambaNya yang bertaubat nasuha.

Suka saya membawa satu ayat Surah At-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud : `Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya’. Ayat ini menjelaskan tanggungjawab secara langsung ke atas seseorang Islam iaitu tanggungjawab terhadap dirinya, keluarganya, rumah dan anak-anaknya.

Drama Jelatang juga kurang menitikberatkan atau mengenengahkan aspek kerohanian seperti ibu yang merintih kepada Allah swt apabila dilanda masalah yang amat besar serta penyesalan anak perempuannya yang bersungguh-sungguh dengan mendirikan sembahyang dan berdoa dengan linangan air mata setelah melakukan dosa zina sedangkan Allah swt Maha Maha Pengampun dan menerima taubat hamba-hambaNya yang ikhlas dan menyesal.

Firman Allah swt dalam surah Ali-Imran, ayat 135 yang bermaksud : `Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui’

Golongan yang bertaubat inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya : `Semua anah Adam itu bersalah dan paling baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat (daripada kesalahannya)’ (Hadith riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Di dalam satu kisah di zaman Rasulullah saw berkenaan taubat seorang wanita melakukan zina di mana beliau diperlakukan dan dilayan dengan begitu baik sekali.

Dari Abu Nujaid Imran bin Al-Husain Al-Khuza’iy, ia berkata : `Ada seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah saw sedangkan ia sedang hamil kerana berzina dan berkata : `Ya Rasulullah, saya telah melakukan kesalahan, dan saya harus di had (dihukum), maka laksanakanlah had itu pada diri saya’. Kemudian Nabi saw memanggil walinya seraya bersabda : `Perlakukanlah baik-baik wanita ini, apabila sudah melahirkan, bawalah ke mari’. Maka dilaksanakan perintah itu oleh walinya.

Kemudian setelah wanita itu melahirkan, dibawalah ke hadapan Rasulullah saw dan memerintahkan untuk wanita, maka diikatkanlah pakaiannya dan direjam. Setelah ia mati, maka Rasulullah saw menyembahyangkan jenazahnya. Namun Umar berkata kepada beliau : `Wahai Rasulullah, mengapa engkau menyembahyangkan wanita itu, padah ia telah berzina?’

Baginda menjawab : `Wanita itu benar-benar bertaubat, dan seandainya taubatnya dibahagi kepada 70 orang penduduk Madinah, nescaya masih cukup. Pernahkah kamu mendapatkan orang yang lebih utama daripada seseorang yang telah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung? (HR Muslim)

Akhir sekali, saya juga ingin menyarankan kepada penulis skrip drama-drama berbentuk kemasyarakatan sebegini agar memberi perhatian dan fokus yang lebih tertumpu kepada membimbing serta mendidik masyarakat penonton agar membuat pilihan yang terbaik dalam hidup mereka. Bukan hanya sekadar memainkan emosi para penonton untuk menaikkan rating TV.

Wallahu`alam.


suriaterang

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails