Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Monday, February 11, 2008

Murtad : Isu-Isu berkaitan, Hukuman serta Implikasinya




Muqaddimah

Murtad ialah sesuatu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seseorang Islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan seseorang tadi keluar dari Islam. . Mengikut bahasa riddah ialah kembali daripada sesuatu kepada yang lain. Menurut Syara’, kembali daripada agama Islam kepada kekufuran, atau dengan perkataan yang mempersendakan, kedegilan ataupun iktikad. Umpamanya orang yang mengingkari kewujudan Allah swt, menafikan para Rasul, membohongi seseorang Rasul, menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, menafikan perkara yang wajib, mengiktikadkan wajib perkara yang tidak wajib, berazam untuk menjadi kafir pada esok hari ataupun berbolak-balik untuk menjadi kafir. Contoh perbuatan yang boleh menyebabkan kekafiran ialah meletakkan Quran atau buku hadis Nabawi ke atas perkara-perkara yang kotor, sujud kepada berhala atau matahari atau menafikan kewajipan solat dan lain-lain lagi.

ISU-ISU BERKAITAN RIDDAH

1. Konflik antara Hak Kebebasan Agama dan Hak Asasi Manusia

Konsep kebebasan agama dalam Islam disebut dalam al-Quran yang bermaksud : ‘Tidak ada paksaan dalam agama Islam kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan kufur. Oleh itu sesiapa yang tidak percayakan taghut dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali agama yang teguh, yang tidak akan putus. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui’

Jika dilihat asbabun nuzul, ayat di atas diturunkan setelah berlaku peristiwa seorang ayah yang tinggal di Madinah pada masa itu belum memeluk Islam menyerahkan anaknya kepada orang Yahudi Bani Nadhir untuk dipelihara. Kemudiannya orang Madinah menjadi Islam, menyambut kedatangan Rasulullah saw dan menjadi kaum Anshar. Apabila berlaku pengusiran ke atas Bani Nadhir keluar daripada Madinah kerana mengengkari perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani, maka si ayah tadi memohon kepada Rasulullah saw supaya anak itu ditarik kepada Islam, kalau perlu dengan paksa. Beliau mengatakan ‘Belahan diriku sendiri akan masuk neraka, ya Rasulullah!’. Maka turunlah ayat di atas ‘tidak ada paksaan dalam agama’. Kalau anak itu sudah terang menjadi Yahudi, tidaklah boleh dipaksa memeluk Islam. Menurut riwayat Ibnu Abbas, Nabi saw hanya memanggil anak-anak itu dan disuruh memilih, apakah mereka sudi memeluk agama ayah mereka, iaitu Islam atau tetap dalam Yahudi dan turut diusir? Dan menurut riwayat, ada yang memeluk Islam dan ada yang terus menjadi Yahudi dan sama berangkat dengan Yahudi yang mengasuhnya itu meninggalkan Madinah. Keyakinan suatu agama tidaklah boleh dipaksakan, sebab : ‘Telah nyata kebenaran dan kesesatan’ . Agama Islam memberi orang kesempatan mempergunakan akalnya yang murni untuk mencari kebenaran.

Berdasarkan ayat di atas menunjukkan bahawa konsep ‘tiada paksaan dalam agama’ hanya terpakai kepada orang-orang bukan Islam sahaja. Jika sekiranya seseorang bukan Islam itu telah memasuki agama Islam, maka konsep di atas tidak akan terpakai. Maka hujah yang menyatakan bahawa ayat ‘tiada paksaan dalam agama’ merujuk kepada ‘hak untuk menukar agama’ tidak boleh diterima kerana ianya jauh terpesong daripada konsep agama Islam dan juga bercanggah dengan ayat-ayat suci yang menjanjikan azab seksa dan sengsara di dalam neraka. Seterusnya dalam ayat yang lain, Allah swt berfirman yang bermaksud, ‘Katakanlah : Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah Allah yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’

Maka, dalil di atas sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11(1) menyebut : ‘Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan agamanya’. Fasal (4) menyebut : ‘Undang-Undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Undang-Undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam’. Fasal (4) secara jelas menyatakan bahawa melalui peruntukan Undang-Undang boleh ‘mengawal atau menyekat’ sebarang penyebaran lain-lain agama ke atas orang-orang Islam. Maka pihak berkuasa boleh mengambil apa-apa tindakan yang munasabah untuk memberi efek kepada Fasal (4) tersebut. Dan jika sekiranya tindakan kawalan dan sekatan oleh pihak berkuasa tidak berkesan, tindakan undang-undang dan hukuman yang sewajarnya hendaklah dilaksanakan mengikut kuasa yang telah diberi mengikut Undang-Undang.
Di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 ada memperuntukkan :
Seksyen 3 – Pemujaan salah
Seksyen 4 – Doktrin Palsu
Seksyen 6 – Dakwaan Palsu
Seksyen 7 – Menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dll. agama Islam
Seksyen 8 – Mempersendakan, dll ayat Quran dan Hadis

Terdapat golongan yang salah memahami nas al-Quran yang diturunkan atau sengaja menyelewengkan pengertiannya dengan mengatakan Islam menggalakkan kebebasan beragama yang mana orang Islam sendiri dibenarkan murtad, dan ianya bukanlah suatu kesalahan. Mengapa terjadi sedemikian? Antara sebabnya ialah sebagaimana dinyatakan di bawah ini :
(1) tidak tahu nas hukum atau cuai
(2) kesalahfahaman terhadap nas atau kerana kesalahan mentakwilkannya, seperti menganggap khusus kalimat yang umum. Menganggap muqayyad terhadap kata yang mutlak atau sebaliknya
(3) memandang dan memahami kalimat, dipisahkan dari konteks kalimat sebelumnya, atau terpisah dari apa yang menguatkannya dari dalil ijmak yang meyakinkan yang belum pernah dilanggar oleh seorang ulama pun sepanjang zaman
(4) tindakan terburu-buru dalam mengambil pengertian nas, sebelum mempelajarinya dengan semestinya, memikirkan secukupnya, mempertimbangkan sematangnya dan mencurahkan semua kemampuannya dalam membahas dan meneliti
(5) kemahuan untuk mengikuti hawa nafsunya atau hawa nafsu orang lain, baik orang lain ini berupa sekelompok penguasa yang diharap manfaatnya dan ditakuti kekejamannya ataupun berupa sekelompok rakyat yang mana sebahagian orang mencari kerelaan dan sanjungan darinya. Allah berfirman : ‘Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu...’
(6) mujtahid semasa yang terpengaruh oleh suatu realiti yang berlaku dan berusaha mencari alasan untuk membenarkannya, baik dengan sengaja atau tidak
(7) usaha untuk mengenepikan firman Allah swt dan sabda Rasulullah saw dan menyelewengkannya dari maksud yang sebenarnya

Apakah kita boleh berijtihad dalam masalah perintah yang ada hukuman bagi mencuri iaitu ‘Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya’ dan perintah yang ada dalam hukum zina iaitu ‘Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah setiap seorang dari keduanya seratus kali dera’ dan kita jadikan kedua perintah tersebut ‘diperbolehkan’ bukan untuk ‘diwajibkan’ berdasarkan perintah dalam firman Allah yang bermaksud ‘Wahai Bani Adam, ambillah perhiasanmu setiap pergi ke masjid dan makanlah, minumlah dan janganlah berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan’

Jadi mereka mengatakan bahawa hukuman zina dan hukuman mencuri tidaklah diwajibkan dan boleh beralih kepada hukuman lain. Sedangkan Rasulullah saw sendiri menolak memohon perlindungan apapun dalam hukuman had ini dari seorang yang paling dicintainya iaitu Usamah bin Zaid di mana Rasulullah saw bersabda kepada Usamah bin Zaid : ‘Adakah engkau meminta perlindungan dalam masalah had Allah, wahai Usamah! Demi Allah seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya akan aku potong tangannya’. Seterusnya Allah berfirman : ‘Dan janganlah kamu belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk menjalankan agama Allah jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman’

2. Hukuman bunuh adalah melulu dan kejam

Jumhur Fuqaha’ yang terdiri daripada Imam Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat : hukuman bunuh ke atas orang-orang Islam yang telah murtad dan enggan bertaubat, wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad, sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda tanpa perbezaan.

Seseorang Islam yang telah murtad tiak boleh dihukum bunuh, kecuali setelah dan selepas diminta bertaubat terlebih dahulu untuk mengetahui sebab-sebab ia menjadi murtad. Jika seseorang itu murtad disebabkan salah faham mengenai agama Islam hendaklah diberi penjelasan kepada mereka kedudukan yang sebenar masalah-masalah yang berkaitan dengan agama Islam sehingga mereka faham dan menyedari kesalahan dan rujuk kembali menganut agama Islam. Dan jika seseorang tadi murtad disebabkan keingkarannya hendaklah juga diminta mereka bertaubat agar kembali kepada agama Islam. Setelah orang yang murtad itu diminta bertaubat , tetapi ia masih berdegil juga (tidak mahu bertaubat), maka wajiblah dibunuh.

Ini bersandarkan dalil-dalil berikut :
(1) Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. : ‘Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah ia’
(2) Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. : ‘Tidak halal menumpahkan darah seseorang Islam, kecuali dengan sebab salah satu dari tiga perkara : Orang yang telah pernah berkahwin berzina (zina muhsan), nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dibalas dengan bunuh), dan orang yang meninggalkan agamanya (agama Islam) yang memisahkan diri dari jamaah orang Islam (murtad)’

Oleh yang demikian, tidak benarlah pengataan bahawa hukuman bunuh terhadap orang yang murtad adalah melulu dan kejam kerana mereka telah diberi berpeluang untuk bertaubat. Dan dalam tempoh tersebut juga, mereka boleh mempelajari dan mendalami ajaran Islam untuk menjelaskan kekaburan dan ketidakfahaman, salah faham dan sebagainya yang telah membuatkan mereka mengambil tindakan terburu-buru untuk murtad. Seolah-olah tiada jalan lain untuk menyelesaikan kebuntuan fikiran dan masalah yang mereka hadapi selain daripada mengambil keputusan untuk meninggalkan agama Islam yang murni. Hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas orang yang telah thabit murtadnya itu tidak boleh dianggap suatu tindakan yang melulu dan kejam, kerana hukuman itu adalah hukuman Allah dan RasulNya yang wajib dilaksanakan, dan tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan hukuman Allah.

Walaubagaimanapun, kesalahan murtad di Malaysia dilihat dari dua sudut iaitu, pertamanya, sebagai kesalahan jenayah riddah, dan keduanya, sebagai kesalahan menghina agama Islam. Murtad adalah satu kesalahan jenayah di Pahang yang mana boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan sebat tidak melebihi enam sebatan.

Peruntukan di Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak secara literalnya tidak menjadikan murtad sebagai satu kesalahan kecuali ianya dilakukan dengan niat untuk mengelak dari didakwa di mahkamah syariah maka ia menjadi satu kesalahan atau jenayah. Seterusnya undang-undang di Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa murtad ialah kesalahan menghina agama Islam. Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 dalam Seksyen 7 memperuntukkan :
Mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain – (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubung dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang yang sedang berkuatkuasa …. yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya

Seksyen 8 dalam Akta yang sama pula menyatakan tentang kesalahan mengucapkan kata-kata atau melakukan perbuatan mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat suci al-Quran atau hadith Rasulullah saw. Berdasarkan peruntukan-peruntukan sedia ada, walaupun tidak dinyatakan secara tegas akan kesalahan murtad, namun jika sekiranya peruntukan-peruntukan yang sedia ada dikuatkuasakan dapat membendung gejala murtad di kalangan umat Islam dan memberi suatu amaran keras kepada pihak-pihak bukan Islam supaya lebih menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Adalah molek sekiranya dimasukkan peruntukan khusus bahawa tindakan juga akan diambil kepada individu-individu, pertubuhan, atau badan yang menjalankan dakyah agama mereka ke atas umat Islam.

3. Konflik Bidangkuasa Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah

Isu murtad menimbulkan pelbagai pendekatan yang mengelirukan diambil oleh mahkamah sivil dan mahkamah syariah sehinggalah Perkara 121(1A) dimasukkan agar bidangkuasa antara kedua-dua mahkamah diasingkan dengan lebih jelas.

Prof Emeritus Ahmad Ibrahim menyatakan tujuan dimasukkan Perkara 121(1A) di dalam Perlembagaan Malaysia, ‘one important effect of the amendment is to avoid for the future any conflict between the decisions of the Syariah courts and the civil courts, which had occurred in number of cases before [Myriam v Ariff and Tengku Mariam & Anor v Commissioner for Religious Affairs, Trengganu & Ors]. … In a number of cases the High Court in dealing with Muslim parties have not applied the Islamic Law but have applied the law, which is in conflict with the Islamic Law [Ainan bin Mahmud v Syed Abubakar and Nafsiah v Abdul Majid]… In the cases like those dealt with above, it would appear that the effect of the amendment to article 121 of the Federal Constitution would be to prevent for the future any conflict between the decisions of the civil courts and the Syariah courts, as the matters can only be brought to the Syariah Courts and the High Court will no longer have jurisdiction to deal with them. Although this seems to be the result, it would seem to be advisable to remove all doubt and to amend or repeal certain laws which would seem to give jurisdiction to the High Court’ . Di dalam kes Dalip Kaur v Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor , pada mukasurat 63, ‘according to the fatwa, a Muslim who renounced the Islamic faith continues in Islam until a Syariah court makes a declaration that he has become a ‘murtad’.’

4. Undang-Undang Islam hendaklah mengikut kehendak peredaran zaman

Antara isu yang ditimbulkan lagi, adakah semua hukum-hakam syariat boleh diperbaharui dan dikembangkan? Dan bolehkan hukum hakam Islam disesuaikan mengikut peredaran zaman serta terikat dengan Akta-Akta, Enakmen-Enakmen, dan kepentingan hak asasi manusia? Untuk membincangkan isu ini terutamanya apabila melibatkan hukum murtad, kita perlu membahagikan semua hukum-hakam perundangan ini kepada tiga bahagian :

(1) Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima perubahan
Semua dasar dan kaedah yang berkait dengan pengurusan harta, penentuan hukum, system ekonomi dan pentadbiran serta perlembagaan. Syariat dalam masalah ini hanya menetapkan kaedah serta skop yang umum, sementara tugas melakukan serta menghuraikan pelaksanaannya diserahkan kepada eksekutif serta penggubal undang-undang agar sesuai dengan zaman serta suasana setempat dengan syarat tidak bercanggah dengan nas sahih, tidak terkeluar dari kaedah umum atau melampaui dari skop yang dibenarkan.
(2) Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima pengembangan
Masalah yang tidak ada nas yang terang adalah tertakluk kepada ijtihad semasa. Masalah-masalah ini seperti menerangkan hukum Islam tentang jaminan pencen pekerja, ganti rugi pemberhentian kerja dan lain-lain lagi. Ulama muktabar, warak, bertakwa, berkebolehan dalam berijtihad perlu menentukan hukum Islam berasaskan kemaslahatan, perkembangan, sesuai dengan perkembangan tamadun serta kemajuan ilmu. Kaedah fiqh : ‘tidak dinafikan hukum-hakam itu berubah mengikut perubahan zaman’
(3) Masalah-masalah perundangan tetap yang tidak boleh menerima pembaharuan dan pengembangan
Ijtihad tidak dibenarkan dalam masalah yang terdapat nas yang qat’i, seperti masalah aqidah, rukun iman, hukum-hakam ibadah, haramnya zina, riba, arak, judi, membunuh jiwa, membataskan bahagian harta warisan, menghadkan iddah talak dan kematian, larangan membuka aurat, percampuran lelaki dan perempuan dan sebagainya. Ini untuk menjamin tidak berlaku perubahan hukum yang boleh menghancurkan syariat dan ajaran Islam. Ulama’ usul mengatakan : ‘berijtihad tidak dibolehkan terhadap masalah ada nas’

5. Orang-orang bukan Islam hendaklah diberi hak kebebasan untuk menegur, memberi pandangan, mengkritik ajaran dan undang-undang Islam

Ini adalah satu isu yang dibangkitkan oleh salah seorang aktivis muslimah dalam sebuah NGO yang memperjuangkan hak kebebasan beragama menurut perspektif dan kefahamannya. Beliau mengatakan `We cannot discuss race relations because it is sensitive. We cannot discuss religion because it is sensitive. Then who do we give the space to discuss these issues? Where religion is concerned, the people who do not recognize freedom of religion also do not recognize tolerance, understanding, equality, do not have any compunction about other people’s sensitivities… why is it that we, who want to promote freedom of religion, freedom of expression, dialogue, understanding and tolerance must shut up because of the sensitivities of others? To do this is to then hand over this one exclusive group of people, exclusive rights and the monopoly to decide on what is Islam, what is right and what is wrong. The rest of the citizens of this country who will be affected by such pronouncements and by such law making are told to shut up and accept it. This tantamount to nothing more then theocratic dictatorship. The role and right of non-Muslims to talk about Islam is questioned. What right do they have to talk about Islam? Every time they want to say something about Islam, they are told to shut up because ‘you are a non-Muslim and you do not know anything about the religion and you therefore do not have the right to talk about the religion’. When religion is part of public life, when you want to use religion to govern public life, to make laws in the name of religion, then in a democratic society, every citizen has the right to talk about religion because it affects your life, your well-being and it affects your rights as a citizen of this country’.

JiKa sekiranya, orang Islam sendiri merelakan agamanya dikritik dan menganjurkan agar dibenarkan Islam dikritik oleh orang-orang bukan Islam, apakah pula pandangan orang-orang bukan Islam? Sedangkan, umat Islam dianjurkan agar menghormati agama lain. Mengapa pula, penganut agama lain tidak boleh dianjur supaya menghormati agama Islam yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi/persekutuan? Tambahan, undang-undang syariah hanyalah meliputi orang-orang Islam sahaja. Maka, apakah wujud kerisauan dihati orang-orang bukan Islam bahawa mereka juga akan dihukum jika melakukan kesalahan? Hal ehwal agama hendaklah dibincangkan oleh pakar agama sahaja. Orang-orang Islam yang awam yang tidak memahami konsep perundangan Islam, ilmu fiqh, usul fiqh dan sebagainya tidak mungkin atau amat sukar untuk memahami undang-undang syariah, apatah lagi orang-orang bukan Islam yang diajak untuk berbincang tentang ajaran Islam. Bahkan, umat Islam sendiri tidak pernah menyentuh, mengkritik, atau apa-apa sahaja berkaitan agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain. Itu bukanlah adab beragama! Contohnya, seseorang yang memerlukan pembedahan koronari, apakah akan diajak seorang doktor gigi untuk melakukan pembedahan tersebut, ataupun dipanggil seorang mekanik, atau seorang peguam untuk melakukan tugasan tersebut? Walaupun, doktor gigi berada dalam aliran atau bidang `kedoktoran’ yang sama tetapi beliau tidak mempunyai kepakaran dalam perkara pembedahan koronari. Fikir-fikirkanlah.

HUKUMAN RIDDAH

Jika sekiranya terdapat orang-orang Islam yang murtad, dan tindakan itu telah menjadi bahaya kepada masyarakat Islam sama ada dengan pengisytiharan mereka secara terang-terangan, atau mereka telah berperang dengan orang Islam, atau bertindak mengajak orang-orang Islam lain murtad, maka orang-orang Islam diperintah mengambil tindakan terhadap mereka sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud : ‘Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu) padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah (melahirkan) Islam serta, mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun di bumi ini yang menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong’ (Al-Taubah : 73-74)

Murtad adalah merupakan dosa besar dan mengikut Jumhur Ulama ia bukan sahaja dibalas dengan hukuman yang pedih di akhirat akan tetapi boleh dihukum sebagai jenayah mengikut al-Quran dan al-Sunnah.

‘Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai hukum berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah ‘Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi orang-orang Islam dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada Allah dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram serta mengusir penduduknya dari situ, adalah lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah) kekacauan dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan dihormati). Dan mereka orang-orang kafir itu sentiasa memerangi kamu hingga mereka sanggup melakukan yang demikian; dan sesiapa di antara kamu yang murtad, lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)’ (Al-Baqarah : 217)

‘Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah ia beriman dia mendapat kemurkaan Allah, kecuali orang yang dipaksa kafir pada hal hatinya tetap dalam iman’ (An-Nahl : 106)

‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah kemudian murtad, beriman kembali, murtad lagi kemudian memperbesar-besar ketidakpercayaan mereka. Allah tidak akan mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan jalan yang benar kepada mereka’

Ayat ini merujuk kepada perbuatan murtad dan kemudian beriman secara silih berganti, namun tidak ada disebutkan hukumannya. Menurut S. A. Rahman, Ketua Hakim Pakistan : `Hal yang demikian ialah bukti yang jelas dan hampir muktamad yang menolak tesis bahawa orang yang murtad harus dihukum bunuh sebaik sahaja dia murtad. Ayat ini menggambarkan perbuatan murtad yang berulangkali setelah berselangseli beriman kepada Allah, tanpa menyebut sebarang hukuman kerana perbuatan tersebut di dunia. Oleh yang demikian, perbuatan murtad mestilah suatu dosa bukannya jenayah. Jika orang yang murtad harus dibunuh sebaik sahaja dia murtad pertama kali, tentulah dia tidak mungkin murtad berulangkali’. Berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, yang bermaksud ‘Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia’.

Setiap jenayah yang dilakukan sememangnya patut menerima hukuman. Uqubah adalah balasan yang ditetapkan oleh syarak untuk mencegah perlakuan yang ditegah oleh Allah dan melakukan apa yang diperintahNya. Balasan berbentuk fizikal dan telah ditetapkan sejak generasi terdahulu dengan tujuan untuk menyekat mukallaf daripada melakukan jenayah. Jika kesalahan dilakukan juga, pesalah akan dihukum dengan uqubah agar dia tidak mengulangi jenayah itu dan dengan harapan tindakan terhadapnya itu akan menjadi pengajaran kepada yang lain. Ibnu Taimiyah berpendapat uqubah syariah diperundangkan sebagai ‘rahmat’ daripada Allah swt untuk hambaNya, lahir daripada rahmat dan belas ihsan Allah kepada makhlukNya. Jika demikian wajarlah manusia dihukum kerana dosa yang mereka telah lakukan, untuk memenuhi matlamat ihsan dan rahmat kepada manusia, sebagaimana matlamat seorang bapa mendidik anaknya dan seorang doktor mengubati pesakit.

Ciri-ciri falsafah uqubah Islam adalah seperti berikut :-
(1) Berasaskan panduan Allah, bukan hasil pemikiran manusia
(2) Rahmat kepada manusia
(3) Berteraskan pemeliharaan lima aspek asas kehidupan
Imam al-Ghazali menegaskan : ‘Sesungguhnya mencari manfaat dan menghindar kemudaratan adalah tujuan hidup manusia, maslahat manusia akan tercapai melalui pencapaian tujuan hidup mereka. Tetapi apa yang kita maksudkan dengan maslahat ialah menjaga perkara yang menjadi tuntutan syarak ke atas manusia ialah lima iaitu hendaklah menjaga agama mereka iaitu agama Islam kerana agama yang lain tidak diterima oleh Allah, hendaklah menjaga nyawa (termasuk tubuh badan), menjaga akal fikiran, keturunan dan harta benda. Sesuatu yang termasuk dalam penjagaan kelima-lima asas ini dikatakan maslahah’
(4) Menggabungkan uqubah dunia dan uqubah akhirat
(5) Syariah dan keadilan

Ciri-ciri uqubah adalah seperti berikut :-
(1) Uqubah mestilah memadai atau mencukupi sebagai balasan kepada penjenayah
(2) Uqubah mestilah boleh menghalang orang lain daripada melakukan jenayah seperti uqubah yang pedih dan menakutkan, tetapi dalam batas keadilan
(3) Wujud kesesuaian antara uqubah dengan jenayah yang dilakukan, hukuman yang tidak sesuai hendaklah dielakkan
(4) Uqubah mestilah berkuatkuasa sepenuhnya untuk memastikan tiada siapa yang terlepas daripada hukuman

IMPLIKASI RIDDAH

1. Hubungan Perkahwinan

Jika suami atau isteri murtad, maka putuslah hubungan perkahwinan mereka. Apabila isteri atau suami yangmurtad itu bertaubat dan kembali semula kepada Islam, mereka haruslah memperbaharui akad nikah dan mas kahwin. Firman Allah swt : ‘Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik dari seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Ini ialah kerana) orang-orang kafir mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya kepada umat manusia supaya mereka dapat mengambil pengajaran (daripadanya)’ (Al-Baqarah : 221)

Seksyen 46 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyebut : ‘Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain daripada Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh mahkamah’

2. Hak Jagaan Anak (termasuk nafkah anak)

Permasalahan hak jagaan anak dan nafkah timbul apabila satu pihak memeluk agama Islam manakala satu pihak lagi enggan, ataupun apabila satu pihak murtad. Ini dapat dilihat dalam beberapa kes yang telah diputuskan oleh pihak Mahkamah. Di dalam kes Mohd Hanif Farikullah v. Bushra Chaudri & Another Appeal , isu ialah sama ada Mahkamah Majistret ada bidangkuasa untuk mendengar permohonan nafkah anak. Faiza Tamby Chik J : `Article 121(1A) Federal Constitution does not overrule the general jurisdiction of the civil courts. Civil courts are courts of general jurisdiction and can hear cases commenced by Muslims as well as by non-Muslims, and can try offences against Muslims and non-Muslims that are created by the laws of the land. Moreover, the civil High Courts are courts of inherent jurisdiction while the jurisdiction of the Syariah Courts are determined by the respective state laws and if the Legislature does not confer on the Syariah Courts any jurisdiction to deal with any matter in the State List then the Syariah Court is precluded from dealing with that matter. Consequently, once a decision is made that the civil court has jurisdiction to hear a matter then the court can decide the matter or issue which arise’

3. Hak Terhadap Harta

Imam Syafie berpendapat harta benda orang murtad menjadi hakmilik baitul mal, dan tidak boleh diwarisi, sama ada oleh waris yang Islam atau yang bukan Islam. Imam Hanafi berpendapat harta orang yang murtad yang diperolehinya pada masa ia Islam (sebelum murtad) adalah diwarisi oleh warisnya yang Islam. Tetapi harta yang diperolehi pada masa ia murtad, jika ia mati, atau dihukum bunuh atau dibuang ke negara bukan Islam, maka hartanya menjadi harta Fie’, dan hendaklah diserahkan kepada baitul mal.

4. Harta Sepencarian

Ke manakah pihak-pihak akan memohon apabila salah seorang murtad untuk menuntut hak terhadap harta sepencarian yang didapati dalam tempoh perkahwinan? Adakah pihak-pihak boleh menuntut harta sepencarian tersebut? Adakah pihak yang murtad boleh memohon di Mahkamah Sivil?

5. Hak Perwalian

Orang yang murtad tidak mempunyai hak kewalian terhadap orang lain. Ia tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya.

6. Hak Waris

Orang yang murtad tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat-kerabat muslimnya. Dalam kes Re Timah bt Abdullah telah diputuskan ahli waris bukan Islam seorang perempuan Jepun yang telah memeluk Islam, tidak mendapat apa-apa bahagian dai harta pusakanya. Sabda Nabi saw, ‘Orang muslimin tidak boleh mempusakai orang kafir, dan orang kafir tidak boleh mempusakai orang Muslim’

7. Hutang Orang Murtad

Segala hutang yang ditanggungnya semasa dia masih Islam dibayar dengan harta pencariannya semasa dia Islam. Manakala hutang-hutang tanggungannya ketika murtad hanya dibayar dengan hasil usahanya semasa dia dalam murtad. Ini adalah riwayat daripada Abu Hanifah, dan kata-kata Zufar.

8. Hak Persaksian

Dalam banyak urusan yang menghendaki orang Islam yang adil disyaratkan menjadi saksi. Orang Islam yang fasik tidak diterima sebagai saksi, apatah lagi orang kafir kecuali dalam perkara wasiat orang Islam yang dalam musafir yang hendak meninggal dunia apabila tidak didapati orang Islam lain disampingnya. Hadith ‘Adalah tidak sah nikah melainkan dengan wali dan dua saksi yang adil’ (Riwayat Thabrani). Firman Allah swt : ‘…dan hendaklah kamu mengadakan 2 orang saksi lelaki dari kalangan kamu..’ (Al-Baqarah : 282)

9. Hak Dalam Kepimpinan dan Jawatan

Pemimpin, pengurus, pentadbir dan pelindung orang Islam itu hendaklah orang Islam. Firman Allah swt : ‘Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain..’ (At-Taubah : 71). Dalam satu surah yang lain, Allah swt berfirman : ‘Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat kepada sesetengahnya yang lain…’ (Al-Maidah : 51)

PENUTUP

Isu murtad adalah amat sensitif dikalangan mana-mana penganut agama, dan tidak terhad kepada agama Islam semata-mata. Yang membezakan hanyalah, Islam adalah suatu sistem hidup yang merangkumi undang-undang yang sempurna mengawal kehidupan umat termasuklah menyediakan hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan. Pada hakikatnya tidaklah ada segala agama, pemuka-pemuka agama yang bertanggungjawab dalam agama itu, seperti pendeta Kristian, pastor Katolik, bikshu Buddha dan ulama Islam yang senang mendengar kalau ada penganutnya yang murtad. Pemuka tiap agama ingin pemeluk agama lain pindah ke dalam agama yang dia pimpin dan yang di dalam jangan sampai murtad. Sebab itu dalam hati kecil pemuka sekalian agama tidak ada yang menyetujui : Ayat 1 fasal 16 dan Hak Murtad yang terselip dalam fasal 18 Piagam Hak-Hak Asasi Manusia.

Justeru, maklumat yang benar dan betul berkenaan undang-undang Islam yang bersifat rabbani, universal, lengkap dan melengkapi seluruh kehidupan manusia seringkali disalahertikan yang mana sebahagian umat Islam sendiri keliru dan mempunyai kefahaman yang salah tentang Islam dan menganggap bahawa Islam hanyalah agama sepertimana agama-agama lain yang hanya terbatas diruang lingkup ibadat di masjid, surau, hanya berkenaan ibadat dan akhlak semata-mata. Jika umat Islam sendiri gagal untuk memahami, enggan mempelajari, dan hanya mengambil sikap sambil lewa dan tidak mengendah kepentingan mempelajari dan memahami konsep Islam yang sebenar, maka tidak hairanlah terdapat pihak bukan Islam yang cuba memberi definisi Islam menurut teori dan kefahaman mereka sendiri dengan mencedok sedikit sebanyak maklumat daripada agama-agama lain. Malah umat Islam sendiri cuba menerangkan berkenaan agama Islam berdasarkan ilmu yang ada di dada mengikut kefahaman masing-masing tanpa merujuk kepada golongan pakar agama. Ini menimbulkan kesan yang negatif terhadap agama Islam dan umat Islam sendiri.

1 comment:

eyjaz said...

salam..sy mintak izin mengambil sedikit sebanyak maklumat didalam blog ini ye..harap tuan blog membenarkan...syukran atas pertimbangan...=) smga Allah merahmatimu selalu..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails