Kembalikan kuasa kehakiman: Raja Dr Nazrin
Thursday, 10 April 2008 07:39am
©Berita Harian (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Munira Yusoff
TINGKAT KREDIBILITI: Raja Dr Nazrin dan Abdul Hamid tiba pada majlis pembukaan Persidangan Tahunan Majlis Hakim Malaysia, di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam bertitah, suasana sekarang amat sesuai untuk melakukan perubahan dalam badan kehakiman bermula dengan memastikan kuasa kehakiman dikembalikan kepada badan berkenaan.
Sehubungan itu, baginda bersetuju supaya ditubuhkan Suruhanjaya Kehakiman untuk membuat perakuan berhubung pelantikan hakim kepada Perdana Menteri yang seterusnya perlu berbincang dengan Persidangan Raja-Raja.
"Beta gembira mendapati bahawa sejak beberapa tahun lalu, Perdana Menteri semakin banyak berbincang secara berkesan dengan Persidangan Raja-Raja.
"Ini selaras dengan semangat Perlembagaan dan beta berpendapat ini menyebabkan keyakinan terhadap badan kehakiman semakin bertambah," titah baginda pada Persidangan Hakim-hakim Malaysia di sini.
Lebih 90 Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tiga hari itu. Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Azmi dan Hakim Besar Malaya Datuk Alauddin Mohd Sheriff.
Raja Dr Nazrin menegaskan, badan kehakiman mesti sentiasa mempertahankan fungsi dan semangat Perlembagaan Persekutuan tanpa mengorbankan doktrin pengasingan kuasa, Rukun Negara dan kebebasan badan itu sendiri dalam menegakkan sistem keadilan.
"Hakim selaku nadi dalam sistem keadilan dan perundangan negara diberi tanggungjawab besar dalam mentafsir dan mempertahankan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan. Sebarang keputusan pentadbiran yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan mampu mengakibatkan undang-undang tertinggi kita itu menjadi tidak relevan.
"Hakim perlu sensitif dengan fungsi dan semangat Perlembagaan Persekutuan, iaitu melindungi hak setiap rakyat, bukan saja untuk memastikan keadilan tapi juga bagi mempertahankan integriti negara," titah baginda.
Merujuk pelbagai dakwaan salah laku yang melanda badan kehakiman sejak kebelakangan ini, baginda menyifatkannya sebagai zaman kritikal dalam sejarah negara.
"Apa yang mendukacitakan mengenai tanggapan rendah terhadap badan kehakiman kita sekarang ialah ia pernah disanjung tinggi. Penghakiman yang dibuat oleh mahkamah kita pernah menjadi sebutan di negara Komanwel. Hakim kita pernah dihormati kerana keputusan yang bijak dan adil.
"Reputasi sebegitu hanya boleh dikekalkan jika standard tinggi yang diamalkan itu dapat dilaksanakan secara konsisten. Namun, ini tidak berlaku. Dalam tempoh 20 tahun lalu, kebebasan dan integriti badan kehakiman terhakis. Akibatnya, berlaku kehilangan keyakinan terhadap sistem kehakiman.
"Semua ini adalah titik hitam terhadap maruah dan reputasi kita dan ia berpotensi melemahkan malah menghancurkan negara," titah baginda.
Sambil menegaskan Malaysia memerlukan satu 'kebangkitan dalam badan kehakiman', Raja Nazrin bertitah jika pentadbiran sesuatu negara itu tidak baik, pelabur akan mencari negara lain.
"Tidak cukup untuk kerajaan sekadar menjanjikan kekayaan, rakyat turut mementingkan kebebasan dan perlindungan... daripada rasuah, penindasan," titah baginda.
Baginda menegaskan, jalan penyelesaian perlu difikirkan dengan menangani isu secara realistik bagi mengatasi masalah ini supaya badan kehakiman akan lebih kuat di masa depan. Justeru, Mahkamah Persekutuan sendiri perlu mengambil pendekatan lebih terbuka terutama ketika menyemak semula keputusan terdahulu yang mungkin mengakibatkan ketidakadilan.
"Tidak boleh dinafikan bahawa ada penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mungkin menimbulkan kebimbangan di kalangan pengamal undang-undang dan orang awam.
"Jika ada keputusan yang mungkin mengakibatkan berat sebelah kepada mana-mana pihak, ia perlu diperbetulkan di peringkat Mahkamah Persekutuan dan tidak dibiarkan kekal sebagai catatan perundangan kita.
"Mencapai keadilan dan membawa perubahan dalam keadaan ketidakadilan adalah perkara induk yang menjadi asas dalam sistem perundangan dan keadilan yang bertamadun," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, badan kehakiman perlu dikembalikan statusnya dalam Perlembagaan seperti yang pernah dinikmatinya sejak Merdeka sehinggalah 20 tahun lalu. Jika itu tidak dilakukan, doktrin pengasingan kuasa yang menjadi asas demokrasi di Malaysia, akan terus menjadi lemah.
"Kita tidak boleh semata-mata cuba mendapatkan kegemilangan zaman silam tetapi hendaklah berusaha mencapai kejayaan lebih besar. Namun, dalam kita hendak menggapai bintang di langit, kita perlu berpijak di bumi nyata.
"Selagi kuasa kehakiman tidak dikembalikan kepada kepada badan kehakiman seperti juga kuasa eksekutif diberi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet, adalah sukar untuk meyakinkan semua pihak bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang ditadbir mengikut undang-undang," titah baginda.
Pages
Untaian Hikmah
Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’
Thursday, April 10, 2008
Saturday, February 23, 2008
Sekiranya Kita Mempunyai Sebuah Kerajaan

Al-Ustaz Hassan Al-Banna r.a. berkata :
Sekiranya kita mempunyai sebuah kerajaan Islam yang sahih Islamnya, benar imannya, bebas berfikir dan melaksanakan segalanya, mengetahui dengan betul keagungan khazanah yang berada di hadapannya, kebesaran sistem Islam yang diwarisinya, beriman bahawa padanya ada penawar untuk rakyat yang menjadi petunjuk hidayah kepada manusia seluruhnya... .
Maka kita akan menuntut daripadanya agar membangunkan dunia dengan nama Islam. Kita akan menuntut negara-negara lain untuk mengkaji dan menilainya, menarik mereka kepadanya dengan seruan yang bertalu-talu, hujah dan utusan yang berturut-turut dan dengan pelbagai cara lain untuk menyeru dan menyampaikan risalah Islam.
Dengan itu ia pasti akan menjadi pusat kerohanian, politik dan praktik antara pelbagai kerajaan. Nescaya ia akan mampu untuk memperbaharui sensitiviti rakyat, mendokongnya ke arah keagungan dan cahaya, mencetuskan dalam dirinya semangat, kesungguhan dan amal.
Sungguh amat menghairankan, kita mendapati komunis mempunyai negara yang mendokong dan menyeru untuknya, berkorban dan menarik manusia kepadanya. Kita mendapati Fasis dan Nazi mempunyai umat yang memuja dan berjuang untuknya, berbangga dengan pengikutnya serta menundukkan seluruh sistem yang penting kepada ajarannya. Kita mendapati pelbagai aliran kemasyarakatan dan politik mempunyai pendokong yang gagah, membelanya dengan nyawa, akal, pemikiran, tulisan, harta benda, akhbar dan segala usaha untuknya. Mereka hidup dan mati kerananya.
Tetapi kita tidak mendapati sebuah kerajaan Islam yang menjalankan kewajipan berdakwah kepada Islam, yang menghimpunkan seluruh keindahan sistem ini dan membuang segala keburukannya. Ia mempersembahkannya kepada umat lain sebagai suatu sistem global yang mempunyai penyelesaian yang betul, jelas lagi menyenangkan bagi semua masalah kemanusiaan.
Sedangkan Islam telah menjadikan dakwah satu kefardhuan yang mesti dilakukan. Ia diwajibkan kepada seluruh umat, perkumpulan dan rakyat Islam sebelum sistem-sistem ini diciptakan dan sebelum dikenali wujudnya sistem dakyah kepada ideologi-ideologi ini.
Surah Ali-Imran, ayat 104 :
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."
Tetapi para pemerintah kita enggan untuk mengikuti perkara ini. Mereka semua telah dididik dalam dakapan orang asing. Mereka lebih hampir dengan pemikiran orang asing. Mereka berlari mengikuti jejak langkah orang asing dan berlumba-lumba untuk memperolehi keredhaan mereka? Mungkin tidak melampau sekiranya kita menyatakan bahawa pemikiran kemerdekaan (bebas)dalam mengatur urusan dan kerja tidak terlintas dalam pemikiran mereka ini, apatah lagi ia hendak dijadikan manhaj (method) kerja mereka.
Sesungguhnya kita telah mancadangkan cita-cita dan harapan ini kepada ramai pemerintah di Mesir. Adalah suatu perkara biasa, harapan ini tidak akan memberikan kesan yang praktikal. Sesungguhnya suatu kaum yang telah kehilangan Islam dalam diri, rumah, urusan peribadi dan urusan umum mereka adalah lebih tidak mampu untuk mencurahkan perkara ini kepada orang lain, tidak mampu bergerak ke hadapan mengajak orang lain kepada Islam kerana orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberikan apa-apa.
- dipetik daripada Majmu' Rasail al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna

`Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya' (Ali-Imran 3 : 104)
Subscribe to:
Posts (Atom)