Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Saturday, February 23, 2008

Sekiranya Kita Mempunyai Sebuah Kerajaan





Al-Ustaz Hassan Al-Banna r.a. berkata :

Sekiranya kita mempunyai sebuah kerajaan Islam yang sahih Islamnya, benar imannya, bebas berfikir dan melaksanakan segalanya, mengetahui dengan betul keagungan khazanah yang berada di hadapannya, kebesaran sistem Islam yang diwarisinya, beriman bahawa padanya ada penawar untuk rakyat yang menjadi petunjuk hidayah kepada manusia seluruhnya... .

Maka kita akan menuntut daripadanya agar membangunkan dunia dengan nama Islam. Kita akan menuntut negara-negara lain untuk mengkaji dan menilainya, menarik mereka kepadanya dengan seruan yang bertalu-talu, hujah dan utusan yang berturut-turut dan dengan pelbagai cara lain untuk menyeru dan menyampaikan risalah Islam.

Dengan itu ia pasti akan menjadi pusat kerohanian, politik dan praktik antara pelbagai kerajaan. Nescaya ia akan mampu untuk memperbaharui sensitiviti rakyat, mendokongnya ke arah keagungan dan cahaya, mencetuskan dalam dirinya semangat, kesungguhan dan amal.

Sungguh amat menghairankan, kita mendapati komunis mempunyai negara yang mendokong dan menyeru untuknya, berkorban dan menarik manusia kepadanya. Kita mendapati Fasis dan Nazi mempunyai umat yang memuja dan berjuang untuknya, berbangga dengan pengikutnya serta menundukkan seluruh sistem yang penting kepada ajarannya. Kita mendapati pelbagai aliran kemasyarakatan dan politik mempunyai pendokong yang gagah, membelanya dengan nyawa, akal, pemikiran, tulisan, harta benda, akhbar dan segala usaha untuknya. Mereka hidup dan mati kerananya.

Tetapi kita tidak mendapati sebuah kerajaan Islam yang menjalankan kewajipan berdakwah kepada Islam, yang menghimpunkan seluruh keindahan sistem ini dan membuang segala keburukannya. Ia mempersembahkannya kepada umat lain sebagai suatu sistem global yang mempunyai penyelesaian yang betul, jelas lagi menyenangkan bagi semua masalah kemanusiaan.

Sedangkan Islam telah menjadikan dakwah satu kefardhuan yang mesti dilakukan. Ia diwajibkan kepada seluruh umat, perkumpulan dan rakyat Islam sebelum sistem-sistem ini diciptakan dan sebelum dikenali wujudnya sistem dakyah kepada ideologi-ideologi ini.


Surah Ali-Imran, ayat 104 :
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."

Tetapi para pemerintah kita enggan untuk mengikuti perkara ini. Mereka semua telah dididik dalam dakapan orang asing. Mereka lebih hampir dengan pemikiran orang asing. Mereka berlari mengikuti jejak langkah orang asing dan berlumba-lumba untuk memperolehi keredhaan mereka? Mungkin tidak melampau sekiranya kita menyatakan bahawa pemikiran kemerdekaan (bebas)dalam mengatur urusan dan kerja tidak terlintas dalam pemikiran mereka ini, apatah lagi ia hendak dijadikan manhaj (method) kerja mereka.

Sesungguhnya kita telah mancadangkan cita-cita dan harapan ini kepada ramai pemerintah di Mesir. Adalah suatu perkara biasa, harapan ini tidak akan memberikan kesan yang praktikal. Sesungguhnya suatu kaum yang telah kehilangan Islam dalam diri, rumah, urusan peribadi dan urusan umum mereka adalah lebih tidak mampu untuk mencurahkan perkara ini kepada orang lain, tidak mampu bergerak ke hadapan mengajak orang lain kepada Islam kerana orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberikan apa-apa.


- dipetik daripada Majmu' Rasail al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna



`Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya' (Ali-Imran 3 : 104)

Friday, February 22, 2008

Mahkamah bukan teater bangsawan, titah Raja Nazrin

Mahkamah bukan teater bangsawan, titah Raja Nazrin
Posted on Tuesday, February 19 @ 20:25:06 MYT by greenboc

Oleh Bernama

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang berkewajipan mempertahankan kedaulatan sistem kehakiman negara dan menjadikan diri mereka teladan kepada orang ramai, titah Pemangku Raja Perak Raja Nazrin Shah Selasa.
Baginda bertitah, mereka wajib meletakkan tanda aras kepada orang awam dari segi amalan menghormati undang-undang dan mempertahankan kesucian serta tidak mempersendakan mahkamah dari dipesongkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, pada setiap masa.



"Mahkamah jangan sama sekali dibenarkan hingga sampai ke peringkat dianggap oleh masyarakat sebagai satu teater melakonkan bangsawan yang skripnya telah ditulis oleh pengarah tertentu. "Mahkamah juga harus dikawal dari dijadikan gelanggang oleh mana-mana pihak untuk mencari pengaruh politik," titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-13 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Titahnya, undang-undang tidak membawa erti jika sekadar menjadi himpunan kata-kata suci yang terkandung dalam kanun, enakmen dan akta, yang kemudiannya dinodai dengan perbuatan mungkar tanpa menghormati etika profesion.
Sebaliknya, titah baginda, nilai undang-undang terletak kepada kemuliaan perlaksanaan oleh mereka yang telah diberi amanah, kepercayaan dan penghormatan untuk mengendalikan undang-undang. "Kekuatan dan kemuliaan undang-undang tidak terletak pada keindahan seni bina bangunan mahkamah atau peralatan mahkamah yang canggih atau pada pakaian para hakim dan peguam yang hebat.
"Mahkamah dan para pengamal undang-undang perlu mempunyai roh yang meyakinkan hingga dapat menegakkan institusi perundangan yang dihormati," titahnya.
Raja Nazrin bertitah, amalan perundangan yang berlandaskan kod etika peguam yang tinggi mampu memperkukuhkan sistem demokrasi negara sesuai dengan mekanisme semak dan imbang antara kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
Titahnya, sistem perundangan yang adil dan diyakini rakyat adalah prasyarat untuk memastikan keamanan negara tidak tergugat.
"Sistem perundangan yang saksama adalah instrumen berkesan untuk menjauhkan warga dari mencari alternatif lain yang memudaratkan sehingga boleh membawa negara menuju kepada satu anarki," titah baginda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails