Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Friday, November 28, 2008

Ayah Kandung Vs Ayah Tiri




Jam sudah menunjukkan hampir pukul 3.00 petang, temujanji yang sepatutnya dijadualkan pada pukul 2.00 petang dengan seorang klien wanita, Puan Z terpaksa dilewatkan memandangkan Puan Z ada urusan lain yang perlu diselesaikan segera.

Kesempatan yang ada tentunya amat berharga. Fail-fail di atas meja menunggu untuk disemak, ditandatangan, diteliti satu per satu dan pelbagai tugasan lagi. Inilah amanah yang dipertanggungjawabkan!

Loceng pintu berbunyi. Staff saya bergegas membuka pintu dan mempersilakan Puan Z dan `suami baru' masuk ke bilik mesyuarat. Semakin ceria dan berseri wajahnya. Puan Z yang saya kenali ialah seorang wanita yang tabah, penuh dengan kelembutan dari segi gerak laku dan percakapan.

Dahulunya, Puan Z ialah ibu tunggal yang mempunyai 5 orang anak yang masih bersekolah menengah dan rendah. Keputusan yang diambil untuk berpisah dengan suami pertama mengundang kemelut perselisihan faham antara keluarga kedua belah pihak. Puan Z cekalkan hati dan teruskan juga keputusan yang telah dibuat memandangkan Puan Z telah melakukan solat istikharah, berjumpa dengan kaunselor (setelah dinasihatkan pengetua kerana Puan Z kelihatan murung dan bersedih hingga menjejaskan penumpuan mengajar) dan Puan Z juga telah berjumpa dengan pakar psikiatri.

Selama ini, Puan Z bersabar mempertahankan rumahtangga yang dibina memandangkan status dirinya sebagai seorang `ustazah' di sekolah. Ini yang membuatkan Puan Z semakin tertekan, fikiran terganggu dan memberi kesan kepada anak-anak.

`Puan, saya masih ingat nasihat yang diberikan oleh seorang kaunselor. Dia menasihatkan agar saya fikirkan keadaan diri saya yang semakin tidak terurus. Jangan fikirkan masalah suami selepas perceraian. Selama 14 tahun perkahwinan semua bayaran perbelanjaan persekolahan, bil-bil, sewa rumah, makan minum anak-anak, pakaian anak-anak semuanya saya tanggung. Bahkan pakaian hari raya anak-anak pun, saya tidak mampu nak beli sehinggakan ada saudara mara yang simpati yang berikan pakaian terpakai anak-anak mereka untuk dipakai oleh anak-anak saya semasa hari raya. Bab diri saya, tak payahlah nak ceritakan di sini. Sedangkan keperluan anak-anak pun tidak mencukupi, apatah lagi keperluan saya. Kaunselor menasihatkan saya bahawa cukuplah 14 tahun saya bersabar dengan sikap suami yang tidak juga berubah-ubah. Berapa lama lagi saya nak teruskan perkahwinan ini dan nak beri peluang kepada suami? Kaunselor minta saya bayangkan wajah anak-anak saya, seorang demi seorang. Sebak rasanya. Hidup tak seperti anak-anak orang lain. Dah la tak dapat kasih sayang ayah, duit kocek sekolah hari-hari pun ayahnya suruh minta dengan saya. Kaunselor minta saya ambil masa untuk berfikir tentang masa depan yang masih jauh perjalanannya dan jangan risaukan tentang suami. Pandailah suami hidup dengan cara kehidupannya tu. Sekarang fikirkan anak-anak, fikirkan diri saya. Lagi lama saya bertahan dengan perkahwinan ni, beliau takut saya akan terkena penyakit kemurungan yang mana tanda-tandanya telah ada pada diri saya'.

Keputusan berat yang dibuat oleh Puan Z rupanya memberikan sinar bahagia kepada kehidupan anak-anak. Suami baru Puan Z, En X hanyalah seorang drebar lori tetapi kuat pegangan agamanya. Puan Z bermadu kerana En X telah mempunyai seorang isteri tetapi masih belum dikurniakan cahayamata. Anak-anak Puan Z amat manja dengan En X dan memanggil beliau dengan gelaran ayah. En X juga amat menyayangi anak-anak Puan Z dan beliau berusaha bekerja hingga lewat malam untuk menyara pendidikan anak-anak Puan Z, yang sulong menuntut di salah sebuah universiti terkemuka di Indonesia dalam jurusan kedoktoran, nombor dua menuntut di IPT Malaysia dalam jurusan jururawat dan lain-lain masih bersekolah menengah dan rendah. En X tidak lokek untuk memberikan wang belanja setiap kali menziarahi anak-anak Puan Z di asrama.

Perkahwinan Puan Z dan En X yang dahulunya ditentang oleh seluruh ahli keluarga Puan Z, tetapi kini mengundang ikatan kekeluargaan yang lebih erat dengan sikap tolak ansur dan ambil berat En X terhadap Puan Z dan anak-anak. Hasil dari perkahwinan mereka telah dikurniakan seorang cahayamata perempuan yang baru berusia 2 tahun. Hubungan Puan Z dengan madunya juga baik. En X berusaha untuk bersikap adil kepada kedua-dua isteri, malah keceriaan tampak di wajah En X walaupun penat bekerja menanggung dua buah keluarga.

Hmmm... madu yang manis.




Syariah Paksi Keadilan

2 comments:

Hairin Herlina Abdul Halim said...

assalamualaikum wrt..

Salam ziarah & salam perkenalan..
suka saya baca blog ni..Terima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman..

salam ukhwah,
hairin herlina abdul halim
Senior Executive/Lawyer Syarie
Amanah Raya Berhad, Kuala Lumpur
Kisas 98/99

Sazira said...

Salam mahabbah,

Terima kasih dan bersyukur ke hadrat Ilahi jika tulisan perkongsian ini memberi manfaat buat semua. Respon puan mencetus semangat kepada saya untuk terus menulis... Jzkk.

sazira
Kisas 90/91

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails