Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Friday, May 23, 2008

Anak Oh Anak!!

ANAK OH ANAK!!


Perbualan antara seorang anak perempuan berusia enam tahun dengan ibunya, Alina. Alina baru sahaja dua bulan berpisah dengan Azman dengan perceraian talak tiga.

Anak : Ibu, kenapa ayah tinggal di rumah lain? Ayah tak suka mira ke?
Ibu : Tak lah. Ayah sayang sangat kat mira. Mira kan satu-satunya anak ibu dan ayah. Ayah dah telefon ibu beritahu yang ayah akan datang ambil mira masa cuti sekolah nanti. Mira nak ikut ayah tak?
Anak : Nak! Nak! Tentu seronok! Ayah nak bawa mira ke mana?
Ibu : Jalan-jalan makan angin. Mira nak pergi mana?
Anak : Mira nak pergi zoo, taman rama-rama, main air swimming pool… macam dulu-dulu tu… Jom lah ibu!

Alina tersenyum pahit dan hanya mengangguk-anggukkan kepala dalam keadaan tidak pasti.

Fikiran Alina menerawang jauh. Kelihatan jelas di dalam kotak pemikirannya suasana di Mahkamah Syariah yang tenang. Yang Arif Hakim memandang ke arah Alina dan Azman sambil menuturkan bait-bait kata nasihat kepada Alina dan Azman yang berdiri di hadapan Yang Arif Hakim untuk mendengar keputusan Mahkamah. Azman tunduk. Terpapar kesedihan dan penyesalan yang amat di wajah Azman. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perkataan besar akibatnya.

Mahkamah : `Azman bin Jalal, berdasarkan ikrar kamu bahawa kamu telah melafazkan cerai ke atas Alina dengan lafaz `Aku cerai mu Alina dengan talak tiga’, maka Mahkamah harus mensabitkan perceraian tersebut. Perceraian ini adalah perceraian dengan lafaz talak tiga kali pertama. Lafaz yang digunakan ialah lafaz firaq. Lafaz yang kamu ucapkan juga ialah lafaz sarih, yang bererti ia tidak memerlukan niat lagi. Mahkamah juga telah memutuskan hak jagaan terhadap anak perempuan berusia 6 tahun, Amira binti Azman diberikan kepada ibu serta hak lawatan dan akses yang munasabah diberikan kepada bapa’.

Bagai guruh yang berdentum terasa nak pecah jantung bila mendengar keputusan Mahkamah. Air mata yang jemu bertakung dikelopak mata mula jatuh satu-persatu. Kasih sayang yang bertaut selama 10 tahun perkahwinan berakhir. Alina menoleh melihat suami yang dikasihi yang berdiri di sebelah kanan dengan anggaran 15 kaki jauhnya. Alina akur akan hakikat bahawa sekarang jarak di antara mereka lebih jauh daripada itu. Azman kelihatan menggeleng-gelengkan kepala dengan perlahan dan lemah. Terbayang wajah comel Amira yang tersenyum manja sambil memegang tangan ayah dan ibu menambahkan kesedihan yang menyucuk dihati Alina.

Permintaan Azman dan keluarga Azman untuk memelihara Amira sehingga dewasa membuatkan Alina tertanya-tanya akan haknya sebagai ibu kandung. Adakah disebabkan beliau bergaji lebih rendah daripada Azman dan Azman berpendapatan besar sebagai Pengurus Besar syarikat korporat membuatkan Alina kehilangan hak untuk membesarkan satu-satunya permata hatinya. Tidak dapat Alina gambarkan kehidupannya tanpa Amira di sisi.

Yang Arif Hakim seterusnya membaca hujah-hujah dengan perlahan dan jelas tentang hak jagaan anak. Alina mendengar hujah Yang Arif Hakim dengan teliti untuk memahami hak-hak Alina sebagai ibu, hak-hak Azman sebagai ayah serta hak-hak Amira sebagai anak. Barulah Alina tahu bahawa hak Amira yang perlu dijaga dan diberi perhatian oleh Azman dan Alina, dan bukanlah hak ibu ayah yang kebiasaannya sanggup bergaduh dan bermasam muka berebut anak.

Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajipan ibu bapa kerana si anak memerlukan perhatian, kasih sayang, asuhan dan didikan.

Mengikut Hukum Syara’ sebagaimana di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, oleh Dr Mustofa Al-Khin dan lain-lain, jilid kedua, cetakan kelima 1424H/2003M, Dar al Qalam, Damsyek, Syria, hal 181 menyebut : `Hadhanah dari segi istilah syara’ ialah menjaga seseorang yang tidak dapat menguruskan dirinya dan mendidiknya dengan pelbagai kaedah yang mendatangkan kebaikan kepadanya sesuai dengan perkembangannya. Bagi kanak-kanak kecil, hadhanahnya berakhir sehingga mencapai umur mumaiyiz. Menjaga dan mendidik kanak-kanak selepas umur mumayyiz sehingga mencapai umur baligh, tidak dinamakan hadhanah tetapi dinamakan kafalah’

Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar : `Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya, ‘Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku’. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda, `Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain’ (Riwayat Abu Daud)

Hadith ini menunjukkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah. Persoalan kebajikan anak adalah lebih diutamakan.

Dalam hadith yang lain : `Seorang perempuan datang menemui Rasulullah saw dan bertanya, `Ya Rasulullah, suamiku hendak membawa anakku, padahal anakku sudah pandai mencari air untukku ke perigi Abu Inabah’. Rasulullah menjawab, `Ini ayahmu dan ini ibumu. Pilihlah mana yang engkau sukai. Lalu anak tersebut memilih ibunya, lalu ibunya pergi membawa anaknya’ (Sunan Abu Daud, Kitab at-Talaq vol 2 ms 617)

Dalam kitab Fiqh-us-Sunnah, Syed Sabiq telah merujuk kepada satu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah di Jirja Mesir yang memutuskan bahawa : `Setiap ibu yang mempunyai hak hadhanah mempunyai hak penjagaan terhadap anaknya, dan setiap anak mempunyai hak yang lebih kuat daripada hak ibunya, dan jika ibunya kehilangan hak, namun anak tetap tidak kehilangan haknya’

Dalam kitab yang sama, juzuk 8, Syed Sabiq menyatakan `Sesungguhnya pihak yang menjaga dan pihak yang dijaga itu mempunyai hak masing-masing, tetapi hak pihak yang dijagai adalah lebih kuat daripada hak pihak yang menjaga’

Ibnul Qayyim ada berkata : `Sesungguhnya kita menyerahkan anak kepada bapa atau ibunya adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak. Kalau anak tinggal bersama ibunya maka kemaslahatannya lebih terjamin. Maka anak itu akan diserahkan kepada ibunya meskipun anak itu memilih bapanya kerana memang pilihan anak itu belum tepat acap kali tersalah pilih’.

Seterusnya Ibnul Qayyim menyambung bicara : `Aku mendengar guruku berkata, `Telah berselisih faham dua orang ibu bapa di hadapan hakim tentang siapa yang akan memelihara anaknya. Kemudian hakim menyuruh anak itu supaya memilih antara ibu atau bapanya. Lalu anak itu memilih bapanya. Berkata ibunya kepada hakim, `Cubalah tuan hakim Tanya kepada anak itu apa sebabnya anak itu memilih bapanya?’ Lalu hakim bertanya kepada anak itu. Anak itu menjawab, `Ibuku menghantarku ke tempat mengaji Quran tiap-tiap hari dan guru-guru acapkali memukulku. Manakala bapaku membiarkanku bermain-main bersama kawan-kawan, sebab itu aku suka tinggal dengan bapaku’. Mendengar demikian, hakim memutuskan untuk menyerahkan anak itu kepada ibunya dengan menyatakan, `Engkau lebih berhak memelihara anak itu’.

Di dalam kes Wan Abdul Aziz lwn Siti Aishah JH [1401H], 147, Jemaah Pengadilan telah menyampaikan pendapatnya, antaranya : `Pokok dan tujuan hadhanah ialah muslihat dan kebaikan budak yang dipelihara dan dijaga sebagai hak asasi bagi budak itu. Hak yang mesti diutamakan lebih dari hak pihak yang memelihara …. Sesungguhnya setiap yang menjaga dan yang dijaga (anak) mempunyai hak dalam pemeliharaan tetapi hak yang dijaga lebih kuat dari hak yang menjaga, dan diterangkan oleh Ibnul Qadamah dengan katanya yang bermaksud, ‘Thabitnya hadhanah adalah untuk menentukan nasib (kepentingan) budak (kanak-kanak) itu’.

Di dalam kitab Al-Umm oleh Imam al-Shafei, jilid ketiga, juzuk kelima, cetakan Dar al-Mukrifah, Beirut, Lebanon, hal 92 ada disebut :`Al-Shafei berkata, `Apabila terpisah kedua ibu bapa dan kedua-duanya berada di dalam satu qaryah, maka ibu adalah lebih berhak terhadap anaknya selama dia belum berkahwin lain dan semasa anak itu masih kecil. Sekiranya anak itu mencapai umur tujuh tahun atau lapan tahun dan dia mempunyai kesempurnaan akal, anak itu disuruh membuat pilihan penjaganya di antara bapanya atau ibunya dan anak itu hendaklah bersama dengan penjaga pilihannya itu’

Mengikut hukum syara’ di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, oleh Dr Wahbah al-Zuhaili, syarat-syarat umum haadin (orang yang diberi hak penjagaan anak) ialah :
1) dia cukup umur, kanak-kanak tidak berhak menjadi haadin;
2) dia adalah sempurna akal;
3) dia berkeupayaan mendidik kanak-kanak;
4) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
5) dia adalah seorang Islam.

Manakala syarat-syarat khas haadinah pula ialah :
1) dia masih belum berkahwin dengan lelaki lain yang tidak ada hubungan waris dengan si anak;
2) dia adalah terdiri daripada kerabat terdekat kepada anak; dan
3) dia boleh menyusukan anak.

Mengikut undang-undang pula, syarat-syarat hadhinah ada diperuntukkan di dalam Seksyen 81, Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 yang memperuntukkan :
Hadinah, iaitu, perempuan yang mempunyai hak mendidik kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika :-
(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Seksyen 82 pula memperuntukkan hak seseorang perempuan terhadap anak adalah hilang –
(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu dalam mana orang lelaki itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, tetapi adalah kembali semula apabila perkahwinan itu dibubarkan;
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Seksyen 83 Enakmen yang sama memperuntukkan –
(a) Hak hadinah bagi menjaga seorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.
(b) Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintah selainnya

Azman dan Alina mengangguk-angguk faham. Inilah keadilan syariah! Yang penting kebajikan Amira. Bukanlah isu siapa yang mendapat hak jagaan anak, maka dialah yang menang. Tetapi, mereka sebagai ibu bapa kandung Amira mempunyai amanah dan tanggungjawab yang lebih besar daripada itu. Tidak kisah lah, sama ada Amira tinggal bersama ibu atau ayah. Perceraian bukan bermakna Azman kehilangan hak sebagai ayah, dan Alina kehilangan hak sebagai ibu. Janganlah disebabkan perceraian Amira yang menjadi mangsa pergolakan antara ibu dan ayah disebabkan hasutan nafsu. Tidak salah jika Alina dan Azman berkawan baik selepas perceraian ini. Tambahan, mereka pernah hidup bersama selama sepuluh tahun dan saling mengenali hati budi masing-masing.


suriaterang

`Lengkapkanlah anak-anak kamu dengan 3 perkara : Cinta terhadap Nabi kamu, cinta terhadap ahli rumahtangganya, dan selalu membaca al-Quran' (Riwayat ath-Thabarani)

`Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia' (Riwayat at-Tirmizi)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails