Pages

Untaian Hikmah

Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’

Monday, February 11, 2008

Lafaz talak beribu-ribu - adakah jatuh talak?

Lafaz talak beribu-ribu – adakah jatuh talak?


Dewasa ini pelbagai persoalan timbul dengan ungkapan perceraian oleh suami dengan menggunakan pelbagai `wording’ atau lafaz perkataan serta menggunakan pelbagai kaedah teknologi terkini termasuklah sistem khidmat pesanan ringkas dan lain-lain.

Nampak seperti mudahnya perceraian yang berlaku dan murah sekali harga sebuah perkahwinan. Keletihan dan beban hutang yang ditanggung semasa mengadakan majlis perkahwinan yang gilang gemilang masih lagi terasa. Ringan mulut menuturkan ungkapan `apa nak buat, jodoh tak ada’.

Terdapat juga pasangan yang bersungguh-sungguh berusaha untuk mempertahankan rumahtangga yang dibina, tetapi disebabkan kejahilan tentang hukum hakam perkahwinan, maka mahligai bahagia yang dibina roboh begitu sahaja. Terbayang wajah anak-anak yang masih kecil tertanya-tanya dan keliru dengan perpisahan yang berlaku antara ibu dan ayah yang masih kuat dan utuh ikatan kasih sayang mereka.

Di dalam hal ini, ingin saya berkongsi satu contoh kes di mana si suami telah melafazkan kalimah cerai terhadap isteri dengan ungkapan lafaz taklik, `kalau you jumpa dia (Jamaluddin), jatuh talak beribu-ribu’. Tidak dinafikan bahawa si isteri masih terus berjumpa Jamaluddin selepas lafaz taklik tersebut. Suami menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk menceraikan isteri dengan lafaz taklik tersebut tetapi hanya bertujuan untuk melarang isteri daripada berjumpa dengan Jamaluddin.

Dalam kes Zainuddin Kamaruzzaman lwn Khairuzita Khairuddin , [2006] 1 CLJ (Sya) 366, Hakim Bicara telah mengulas bahawa lafaz taklik yang perlu kepada Mua’lah Alaib iaitu perbuatan pergi jumpa Jamaluddin dan ini disahkan sendiri oleh isteri.

Hakim bicara selanjutnya telah menjelaskan dengan merujuk kepada kitab I’aanah at-Talibin, Juzuk 4 m/s 27 :

`Harus bertaklik talak seperti mana membebaskan hamba dengan syarat dan tidak harus menarik balik sebelum wajib sifat dan tidak berlaku talak sebelum wujudnya syarat’.

Di dalam kitab al-Sharqani at-Tharit, Juzuk 2, m/s 302 menyatakan :

`Sesiapa yang membuat taklik dengan satu sifat atau lafaz maka jatuh talak dengan satu talak dengan adanya perbuatan atau sifat seperti mana bentuk lafaz taklik yang dibuat itu’

Berdasarkan 2 nas hukum syarak di atas jelaslah bahawa lafaz taklik talak yang telah dilafazkan oleh suami adalah lafaz taklik yang tidak boleh ditarik balik sehingga ia berlaku atau perlanggaran taklik itu wujud iaitu syarat atau sifat dalam lafaz taklik iaitu `kalau you jumpa dia, jatuh talak beribu-ribu talak’. Syaratnya `kalau isteri pergi berjumpa Jamaluddin jatuh talak beribu-ribu talak’.

Persoalan seterusnya, berapa jumlah talak yang jatuh?

Hakim bicara telah jelas menyebut berpandukan hukum syarak iaitu jika taklik seperti beribu atau sebanyak bintang di langit sekalipun ianya hanya akan dikira sekadar tiga sahaja iaitu jumlah yang maksima yang dibenarkan hukum syarak.

Di dalam kes ini, suami telah menjatuhkan satu talak kepada isteri sebelumnya. Maka baki talak ialah sebanyak sua talak lagi. Hakim seterusnya mensabitkan talak jatuh dua menjadikan tiga talak yang berjumlah kepada talak bain.

Adalah dinasihatkan supaya suami iaitu perayu di dalam kes ini menerima hakikat bahawa lafaz telah berlaku secara bain kubra dan wajar menerima ketentuan Ilahi ini dengan redha. Walaupun berat tetapi mahkamah ini menasihatkan supaya belajar mengenai hukum perkahwinan supaya menjamin rumahtangganya. Muslim dapat ditegakkan bukan hanya untuk nikah sahaja tetapi semua hukum-hukum yang terbit dari perkahwinan itu seperti bersekedudukan selepas bercerai tanpa rujuk yang sah, juga harus di ambil iktibar bahawa perbuatan itu menjejaskan akad nikah dan juga tidak sesuai sebagai rumahtangga muslim.


suriaterang

Pemimpin Gereja Britain minta undang-undang Syariah dibenarkan

Pemimpin gereja Britain minta undang-undang syariah dibenar
08/02/2008 4:16pm


LONDON 8 Feb. _ Ketua Uskup (Archbishop) Canterbury semalam meminta dibenarkan pelaksanaan undang-undang syariah secara terhad di Britain, cadangan yang mendapat pujian dari penduduk Islam Britain.

Cadangan yang dianggap luar biasa daripada seorang pemimpin tinggi gereja itu jika diterima akan memberi ruang kepada penduduk Islam Britain menyelesaikan pertikaian perkahwinan dan harta mengikut undang-undang Islam dan tidak melalui mahkamah-mahkamah sivil Britain.

Ketua Uskup Rowan Williams dalam satu temu ramah radio dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berkata, pelaksanaan undang-undang Islam boleh membantu membaiki masalah sosial.

Menurut beliau, langkah memperkenalkan undang-undang Islam merupakan suatu yang "tidak boleh dielak."

"Beberapa peruntukan dalam syariah sudah diiktiraf dalam masyarakat kita dan diterima di bawah undang-undang kita, jadi kita bukan membawa suatu yang asing dan bertentangan dengan sistem," katanya.

Bagaimanapun, jurucakap kepada Perdana Menteri Gordon Browan menolak cadangan Williams itu.

"Perdana Menteri percaya undang-undang Britain perlu dilaksana di negara ini berdasarkan nilai Britain," tegas Michael Ellam.

Cadangan tersebut juga ditolak oleh Sayeed Warsi, seorang menteri bayangan bagi Perpaduan Masyarakat dan Tindakan Sosial.

Beliau memberi alasan bahawa semua rakyat Britain tertakluk kepada undang-undang yang sama.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Ramadhan, Mohammed Shafiq berkata, pelaksanaan undang-undang syariah akan mengurangkan ketegangan dalam masyarakat.

"Ia akan menjadikan orang Islam berbangga menjadi orang Britain. Ia juga akan menjadikan orang Islam yakin negara ini menghormati kepercayaan mereka," katanya.

Menurut beliau, rakyat bukan Islam Britain juga perlu memahami bahawa cadangan Williams itu tidak bermaksud pelaksanaan dalam hal ehwal jenayah tetapi untuk pertikaian sivil.

Mohammed dan Williams menyatakan, Britain telah membenarkan penganut Yahudi Orthodok menyelesaikan pertikaian mengikut undang-undang tradisional Yahudi.

– AP

http://www.archbishopofcanterbury.org/1581

Suami Murtad, Hak Jagaan Anak Diberikan Kepada Ibu




Suami Murtad, Hak Jagaan Kepada Ibu


Di dalam kes Permohonan Ex Parte Zaimas bt Ibrahim , Pemohon telah memohon mengesahkan perceraiannya oleh suaminya yang telah menceraikan diluar mahkamah. Mahkamah telah berpuas hati bahawa Muhamed Tham bin Abdullah telah murtad, mahkamah juga berpuas hati bahawa perbuatannya yang sedemikian itu menyebabkan Mahkamah ada kuasa untuk membubarkan perkahwinannya dengan Zaimas binti Ibrahim.

Mahkamah telah merujuk kepada peruntukan Seksyen 43(1) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 yang memperuntukkan :

`Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain daripada Islam, maka perbuatan yang sedemikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah’

Sepanjang tempoh perkahwinan, mereka telah dikurniakan dua orang cahayamata perempuan.

Mengenai tuntutan hak jagaan anak oleh Pemohon, Mahkamah melihat kepada apa yang disebutkan di dalam kitab feqah. Di dalam kitab Kifayah Al-Akhyar juzuk 2 mula 93 ada disebut bererti :

`Hadanah ialah satu ungkapan untuk menyatakan pelaksanaan mengasuh anak yang masih tidak dapat membedakan antara yang bermanfaat (tamyiz), dan tidak dapat mengatur dirinya sendiri dan mengasuhnya sesuai dengan apa yang mendatangkan manfaat kepada dirinya dan menjauh mudarat daripada’

Selain daripada itu syarat-syarat hadinah, iaitu perempuan yang mempunyai hak mendidik kanak-kanak juga disebut di dalam kitab yang berkenaan di muka surat 94, manakala di dalam undang-undang ianya diperuntukkan menurut Seksyen 81 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 seperti berikut :

Hadinah, iaitu perempuan yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika –

(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia berakal sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani’


Di dalam Enakmen yang sama, Seksyen 83 telah memperuntukkan :

(1 Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan

(2) Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memutuskan selainnya’


Memandangkan bahawa Muhamed Tham bin Abdullah telah keluar dari agama Islam, walau apapun kedudukannya, demi menjaga iman anak-anaknya dengan Zaimas dan berpandukan kepada peruntukan Seksyen 83(2) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 yang antara lain memperuntukkan, `… melainkan jika Mahkamah memerintah selainnya,’ dan juga hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

`tiap-tiap kanak-kanak itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah (suci) maka kedua-dua ibu bapa merekalah yang menyebabkan mereka itu menjadi Yahudi atau Nasrani ataupun Majusi’

serta kaedah feqah (legal maxim) Saad Al-Dharu’i iaitu menutup saluran bahaya, Mahkamah berpendapat hak jagaan kedua-dua anak perempuan hendaklah diberikan kepada Zaimas binti Ibrahim, ibu kanak-kanak berkenaan.



suriaterang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails