Pages
Untaian Hikmah
Kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’
Thursday, October 30, 2008
Suami menderita menanggung potongan nafkah tinggi
Petang ini seorang klien lelaki datang tanpa sebarang temujanji ke pejabat saya. Lebihkurang 10 minit jugalah dia terpaksa menunggu kerana saya terpaksa menyiapkan surat-surat dan dokumen-dokumen yang urgent untuk difailkan di Mahkamah Tinggi.
Suatu `kelegaan'tampak di sebalik riak mukanya yang agak keletihan ketika beliau dipanggil masuk. Mungkin penat seharian bekerja mencari rezeki untuk anak isteri di rumah.
`Ya, ada apa yang boleh saya bantu En X?' soal saya sambil menghadiahkan senyuman.
Apalagi, panjang lebar En X menceritakan masalah yang dihadapi oleh beliau. Beliau telah disaman oleh bekas isteri yang menuntut nafkah anak-anak seramai 4 orang. Gaji beliau telah dipotong sebanyak RM700-00 sebulan melalui suatu perintah mahkamah apabila beliau gagal hadir semasa perbicaraan.
`Bukan apa puan, selama ni saya bayar nafkah anak-anak setiap bulan tanpa gagal. Paling rendah RM400-00. Kalau ada rezeki lebih, kadangkala saya masukkan RM700-00 dalam akaun bekas isteri. Duit gaji bulanan saya ni cukup-cukup makan jer. Isteri saya sekarang ni dah cukup sabar dah. Macam-macam kerja dia buat untuk bantu kewangan menampung perbelanjaan keluarga, jual ais krim, nasi lemak, macam-macam la. Puan, cuba tengok ni perbelanjaan bulanan saya' ujar En X sambil mengunjuk pernyataan pembelaan yang ditaipnya sendiri kerana semasa perbicaraan yang lepas beliau tidak melantik peguam syarie.
`Ok jugak, pembelaan En X ni bagi seorang awam seperti beliau', bisik hati saya sendirian.
Pendapatan bulanan : RM 2,600-00
Tolak RM 900-00
(epf, socso, angkasa, tabung haji)
Gaji bersih RM 1,700-00
Perbelanjaan :
a) Sewa Rumah RM 300-00
b) Hutang kereta (CIMB) RM 450-00
c) Hutang Ambank RM 250-00
d) Bil Api & Air RM 50-00
e) Pinjaman Perumahan RM 600-00
f) Petrol RM 200-00
g) Bil Telefon RM 80-00
h) Belanja Rumahtangga RM 300-00
i) Persekolahan Anak RM 200-00
Jumlah RM2,430-00
`Ini belum masuk kalau emergency lagi. Biasanya kalau ada ahli keluarga masuk hospital, anak-anak sakit, saya terpaksa buat tebal muka minta pinjam daripada keluarga dan rakan-rakan. Korek sana, kambus sini. Perit betul. Kewangan saya betul-betul kritikal ni puan. Biasanya kita keluarga, susah sama susah, senang sama senang. Tapi bila gaji bersih saya dipotong RM700-00, baki yang tinggal hanya RM1,000-00. Saya nak pusing-pusing duit untuk bayar hutang dan perbelanjaan rumah pun sangkut ni. Lagi pun, anak-anak saya dengan bekas isteri dah besar. Anak pertama dan kedua dah masuk IPT, dapat pinjaman. Anak ketiga dan keempat masih sekolah menegah dan rendah. Setiap kali hari raya, saya tak dapat nak beraya dengan anak-anak, walaupun saya dah beri wang belanja hari raya'
Kadang-kadang kita sebagai peguam ni kena bertindak bukan sahaja sebagai peguam dan klien, tapi sebagai sahabat, kaunselor... menjadi pendengar setia kepada mereka. Saya seterusnya memberikan kata-kata semangat dan beberapa alternatif kepada en X untuk mengakhiri pertemuan pada petang tersebut.
`Terima kasih puan, lega sikit rasanya. Ringan sikit kepala saya ni. Betul kata puan, ujian Allah ni pelbagai. Ujian Allah ni tanda kasih sayang Allah. Ujian Allah ni sesuai dengan kemampuan hambaNya. Kalau tak sabar, silap-silap haribulan saya dah masuk tanjung rambutan... hehe' ujar En X dalam nada bergurau. Mungkin untuk meredakan keresahan yang melanda beliau.
Jam di dinding dah menunjukkan pukul 6.15 petang. Terdapat staf yang masih tekun menaip komputer untuk menyiapkan amanah yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan.
`Ok lah En X, dah lewat ni. Jangan lupa untuk menghantar dokumen-dokumen yang saya minta esok ya'
`Baik puan. Maaf, saya ambil masa puan untuk bersama dengan anak-anak di rumah' balas En X sambil mengemas dokumen-dokumen di atas meja dan memasukkan ke dalam fail coklat yang dibawa bersama.
Saya telah bertindak mewakili para bapa atau suami dalam kes-kes syariah sebelum ini dengan pelbagai masalah. Masalah hadhanah, nafkah, di dera isteri dan macam-macam lagi.
Suka saya untuk merujuk kajian oleh Nik Noriani Nik Badlishah dalam buku terbitan DBP bertajuk Undang-Undang Keluarga Islam, Nafkah dan Hak-hak kewangan Lain' yang menyatakan bahawa kebanyakan jumlah yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah kepada bapa untuk membayar nafkah sekitar RM50. Terdapat juga kes apabila bapa mampu untuk memberikan sebanyak RM300-00 untuk seorang anak pada setiap bulan tetapi bilangannya sedikit.
Tuntutan nafkah terutamanya nafkah anak perlu diperintahkan apabila perintah perceraian dikeluarkan. Tidak kiralah sama ada perceraian itu secara talak, taklik, fasakh atau khulu', atau sama ada isteri tersebut disabitkan sebagai nusyuz. Ini kerana, anak tidak melibatkan isu nusyuz.
Oleh yang demikian, mahkamah boleh memerintahkan supaya bapa membayar terutamanya nafkah anak apabila perintah perceraian dikeluarkan.
Seksyen 73(1)(c) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WP) 1984 memperuntukkan :
`Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya'
Saya teringat firman Allah swt dalam surah Anfal, ayat 28 :
`Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak-anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang amat besar'
Syariah Paksi Keadilan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam.. saya nak tanya jadi apa kesudahannya bapa yg kata tak mampu tadi.. adakah beliau lepas dari membayar tunggakan..ni pendapat saya..kalau dah tau gaji tak cukup kenapa bernikah lain lagi ..dan deprive hak anak2 yang sedia ada. bukankah tak adil namanya begitu pada anak2 yg sudah sedia ada.hak mereka diambil utk keluarga baru kerana ayah mereka mementingkan diri dan nafsu..:(
Post a Comment