Hari Raya Aidil Fitri 2010 yang disambut dengan penuh kesyukuran dan meriah oleh warga Malaysia dikejutkan dengan berita kematian Datuk Sosilawati dan 3 rakan beliau yang penuh tragis dan sangat mengusik emosi masyarakat umum tidak kira bangsa, warna kulit dan agama.
Seksyen 300 Kanun Keseksaan mendefinisikan perbuatan membunuh sebagai mematikan orang dengan salah kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan daripada ini :
1) Jika perbuatan yang menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian
2) Jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan bencana pada tubuh orang lain, di mana ia diketahui mungkin akan menyebabkan kematian kepada orang yang dikenakan bencana itu
3) Jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh kepada seseorang hingga cukup untuk menyebabkan kematian
4) Jika orang yag melakukan perbuatan itu tahu bahawa perbuatannya akan menyebabkan kematian atau mungkin menyebabkan kematian dan dia melakukan perbuatan itu tanpa sebab-sebab yang kukuh
Pengecualian 1 - Mematikan orang dengan salah tidak menjadi kesalahan membunuh jika pesalah hilang akal disebabkan kemarahan yang meluap-luap dan mengejut. atau menyebabkan kematian orang lain dengan silap atau dengan tidak sengaja.
Bukanlah tulisan saya kali ini untuk membincangkan Kanun Keseksaan dan yang sewaktu dengannya. Tetapi saya terpanggil untuk mengulas serba sedikit berkenaan kes ini dari perspektif jenayah islam.
Di dalam kitab Fi Usul al-Nizam al-Jina-i al-Islami ada menyebut : `Dalam syariat islam, perbuatan dan tindak-tanduk manusia jika dilihat daripada perspektif arahan syariat itu sendiri boleh dibahagikan kepada 2 kategori' yang mana disimpulkan sebagai :
1. Kategori perbuatan atau tindak-tanduk yang berhubung kait dengan HAK ALLAH.
2. Kategori perbuatan atau tindak-tanduk yang berhubung kait dengan HAK INDIVIDU.
Para ulama fiqah telah membahagikan hukum jenayah kepada 2, iaitu :
1. Hukuman jenayah yang ditentukan oleh syariat Islam seperti hudud, qisas dan diat
2. Hukuman jenayah yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syariat tetapi pemerintah diberi kuasa untuk menentukannya seperti hukuman takzir.
Ada juga sesetengah fuqaha membahagikan jenayah kepada 2 iaitu hudud dan takzir. Ibn Rusyd r.h. menyatakan : `Hudud bererti hukuman yang ditentukan secara terperinci oleh syariat Islam sama ada kes-kes yang melibatkan hak masyarakat atau hak individu'. Muhammad Abu Zuhrah dan Abdul Qadir 'Audah menegaskan : 'Oleh itu, jenayah membunuh dan menceroboh tidak dinamakan hudud oleh majoriti ulama fiqah sebaliknya diistilahkan sebagai jenayah qisas dan diat'.
Jenayah yang termasuk kategori hudud merupakan kesalahan yang menyentuh 5 keperluan asas manusia. Imam Syatibi r.h. menyatakan di dalam kitabnya al-Muwaafaqot : `Keperluan asas yang sangat perlu dijaga bagi menjamin kepentingan hidup manusia ada 5, iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta. 5 aspek hidup inilah yang disebut sebagai al-Doruuriyyat al-khams (5 keperluan asas)'. Manakala, menurut syariat Islam, keperluan hidup terbahagi kepada 3 iaitu :
1. Keperluan asas
2. Keperluan biasa
3. Keperluan mewah
Abdul Qadir 'Audah menyebut lagi : `Hanya jenayah tertentu sahaja boleh dikategorikan sebagai 'jenayah hudud'. Ia tidak akan berubah mengikut peredaran masa kerana telah ditentukan sendiri oleh syariat Islam, iaitu melalui al-Quran dan sunnah'.
Menurut jumhur ulama fiqah, kesalahan-kesalahan jenayah yang termasuk di dalam kategori jenayah hudud ialah :
1. Murtad
2. Minum arak
3. Mencuri
4. Merompak
5. Berzina
6. Menuduh zina
7. Memberontak
Di dalam kes bunuh Sosilawati dan 3 rakannya termasuk di dalam jenayah qisas. Hukuman qisas ialah hukuman yang telah ditentukan oleh Allah swt di dalam al-Quran dan Hadis iaitu pelakunya dikenakan hukuman balas.
Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah :
1. Membunuh orang lain dengan sengaja
2. Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja
3. Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman bunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh.
Firman Allah swt : "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." (Surah Al-Baqarah, 2:178)
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan atau dilukakan.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah: 45)
Hukuman diat pula ialah harta yang wajib dibayar oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai bayaran gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diat ialah :
1) Pembunuhan yang serupa sengaja
2) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja)
3) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah, 2:178)
Matlamat Hukuman Di Dalam Islam
1. Melindungi masyarakat daripada bahaya jenayah
2. Mencegah jenayah daripada berlaku
3. Memperbaiki diri penjenayah dan membetulkan penyelewengan
4. Membersih dosa penjenayah dan menyelamatkan dari azab di akhirat